OLE-OLE DARI KAMUNTING

TULISAN INI DIBUAT KETIKA SAYA DI KEM TAHANAN KAMUNTING. SENGAJA SAYA TIDAK MEMBETULKAN SEDIKIT PUN AYATNYA HANYA UNTUK MENGEKALKAN KEASLIANNYA. HIDUP DI SANA MEMANG SUKAR, TETAPI DALAM SUKAR SENTIASA ADA YANG DAPAT KITA SYUKURKAN. BACALAH TULISAN DARI KAMUNTING INI…

Maha suci Allah, yang misteri ketentuaan dan ditetapkan-Nya tidak dapat di duga dan diteka oleh sesiapa. Benarlah, Tuhan punya rencanaNya yang tersendiri dan misteri..

Hakikat inilah yang sering berlaku dalam kehidupan kita.Cuba kita lihat contoh popular di kalangan orang ternama.Dapatkah Anwar Ibrahim misalnya,menjangka bekiau akan digelar OT (orang tahanan)di kem tahanan kemunting?Dan kini dia ditahan lagi?

Sudah tentu juga mendiang Boon Siew tidak dapat menjangka akan menjadi seorang bilionare semasa masih menjual belon angin di awal karier perniagaannya.Hidup mereka yang gelap tiba-tiba jadi gemerlapan.

Tapi boleh jadi sebaliknya. Seperti apa yang menimpa bekas Presiden Filiphina -Ferdiana Marcos.Dia juga agaknya tidak pernah menduga akan digulingkan dan mati dalam buangan. Pada sepuluh tahun yang lalu terdugakan oleh Mobuto Seseko bahawa dirinya akan jatuh dari kerusi no 1 Zaire?

Ya, yang berkuasa tiba-tiba jadi binasa.Begitulah,hitam-putih nasib manusia ,tidak dapat dijangkau dengan mata ,akal dan jiwa.Sebab itu orang tua-tua berpesan ,jangan sekali-kali mendengar guruh di langit,air tempayan dicurahkan.

Apakah kekuatan yang boleh membakar daya juang untuk terus bersemangat pada ketika yang begitu genting dalam perjalanan hidup seseorang? Jawabnya, jangan panjang angan-angan …manfaatkan masa yang ada dan terus bekerja dalam waktu-waktu kritikal itu dengan segera. Kita tidak harus disusah-susahkan oleh angan-angan tentang masa depan yang jika dibayangkan pada waktu itu akan muram.

Oleh itu kita mesti merancang dan bekerja dengan apa yang sedang ada di tangan, tanpa takut dan bimbang akan hal-hal yang tidak menentu atau terbayang dalam angan-angan. Yang di tangan itulah realiti, yang ada dalam angan-angan itu cuma ilusi. Kita tidak mungkin hidup dalam dua alam yang samar iaitu masa lalu yang memori dan masa depan yang ilusi. Hidup sebenar ialah hari ini yang realiti.

Saya telah memulakan bab ini dengan menceritakan pengalaman hidup sendiri untuk menjelaskan bahawa adalah tidak wajar buat kita meneka-neka atau menjangka sesuatu yang tidak pasti pada masa depan. Samada yang kita jangkakan itu baik atau buruk. Jika kita mengangan-angankan yang baik, kita akan jadi ‘over confident’. Jika kita hanya mengangan-angankan yang buruk, kita akan jadi pesimis. Kedua-duanya memusnahkan.

Saya pasti pembaca juga mempunyai kisah tersendiri yang relevan dengan perbincangan kita ini. Apa yang boleh kita pelajari daripada kisah seumpama itu? Ya, untuk mendapat ketenangan pada saat-saat kritikal dalam hidup ialah:

Pendekkan angan-angan. Hiduplah dalam lingkungan hari ini. Saya ulang lagi, hiduplah dalam lingkungan hari ini. Ertinya, jangan dikhuatiri hari esok, jangan bimbangkan hari semalam…. Susun jadual hidup harian dan ikutilah dengan tenang.

Hidup umpama membaca lembaran-lembaran dari sebuah buku yang sangat tebal. Jangan gerun hanya melihat ketebalan buku itu, hingga hilang mood untuk membacanya. Atau terlalu gelojoh hingga membacanya secara meloncat-loncat tanpa mengikut tertib muka surat. Bacalah dari muka surat pertama, kedua, ketiga dan seterusnya. Buku yang tebal akan habis juga dibaca akhirnya. Bukan sahaja habis dibaca, bahkan ilmu yang dihidangkan akan dapat dihadamkan dengan mudah.

Inilah rahsia ketenangan jiwa para sahabat Rasulullah S.A.W. Mereka adalah individu yang pendek angan-angan dan menggunakan sepenuhnya kesempatan yang sedia ada di tangan. Mereka hidup tanpa rasa gundah dengan apa yang telah terjadi kelmarin dan tidak pula bimbang dengan apa yang bakal terjadi esok. Mereka tidak terdera dengan percubaan melihat masa depan dengan teropong angan-angan yang serba samar. Para sahabat nabi bukanlah pakar psikologi tetapi sikap mereka tepat seperti mana yang dikatakan oleh para psikologi moden:

“Tugas kita bukan melihat apa yang terletak jauh dan masih samar di hadapan, tetapi melakukan apa yang jelas di tangan.”

Sikap mereka dibentuk oleh penghayatan mereka terhadap pesanan Rasulullah S.A.W. Mereka adalah insan produktif yang bekerja hasil dorongan hati, fikiran dan fizikalnya oleh sabda Rasulullah S.A.W:

“Jika kamu berpagi-pagi, jangan menunggu ke waktu petang….”

Matlamat dan pendekatan hidup mereka ‘simple’ dan jelas. Mereka adalah insan praktikal dan realistik. Kebaikan yang boleh dilakukan pada hari ini, mereka terus laksanakan pada hari itu juga. Sementara kejahatan yang boleh diberhentikan pada hari ini, terus dihentikan ketika itu juga. Ibadat dan taubat mereka tidak kenal istilah nanti atau tunggu. Justeru itu tempo hidup mereka tidak pernah diganggu oleh istilah terlambat atau tercepat.

Pernah satu malam Rasulullah S.A.W rimas ketika hendak tidur. Ketika ditanya oleh isterinya kenapa? Baginda bersabda:

“Aku risaukan dua tiga keping dirham yang masih tinggal dalam rumah ini. Takut-takut aku dipanggil oleh Allah (mati) dalam keadaan dirham itu tidak aku sedekahkan.”

Itulah peribadi Rasulullah S.A.W, yang tidak berangan-angan panjang. Baginda pernah bersabda, bahawa bila matanya terbuka, baginda tidak yakin apakah sempat baginda menutup matanya semula. Bila baginda menarik nafas, baginda tidak yakin apakah baginda akan dapat melepaskannya semula.

Panjang angan-angan akan menyebabkan sikap bertangguh-tangguh untuk melakukan suatu kebaikan atau meninggalkan suatu kejahatan. Ramai orang yang khuatir, bukan berfikir, tentang masa depannya. Terimalah realiti walaupun takdirnya ia tidak seperti yang kita harapkan. Lebih baik satu ringgit di tangan daripada berjuta-juta ringgit di alam angan-angan. Tetapi ingat satu ringgit di tangan jika benar-benar dimanfaatkan mungkin menjanjikan pulangan berjuta-juta ringgit pada masa akan datang.

Hidup adalah satu pusingan perubahan yang tidak henti-henti. Hukum alam menetapkan bahawa yang tidak berubah hanyalah perubahan. Oleh kerana itu adalah satu kerja gila jika kita hendak menyelesaikan ‘masalah-masalah’ masa depan yang hakikatnya belum berlaku. Kita tidak akan dapat menjejak kaki pada air sungai yang sama dua kali. Justeru air sungai sentiasa mengalir… dan begitu jugalah kehidupan akan terus berubah.

Sekali lagi saya tegaskan bahawa hidup adalah perubahan yang tidak henti-henti. Jangan cuba mengawalnya. Jangan cuba mengambil ‘tempat’ Tuhan untuk mengawal semua perubahan kerana yang mampu mengawalnya hanyalah DIA yang tidak berubah-rubah. Inilah hikmah mengapa Qada’ dan Qadar Allah dirahsiakan daripada pengetahuan manusia. Agar dengan itu manusia boleh hidup dengan aman tanpa diganggu walau sedikitpun oleh pengetahuan tentang masa hadapan.

Dapatkah seorang yang sihat makan dengan enak jika mengetahui pada hari esoknya dia akan mati? Atau mampukah seorang ayah membesarkan anaknya dengan sabar jika diketahuinya bahawa anaknya bakal menderhakainya? Manusia boleh hidup dengan aman tanpa mengetahui tentang masa depannya. Madah pujangga, “masa lalu adalah kelmarin yang telah mati. Masa depan adalah esok yang belum lahir… tetapi selamatkanlah hari ini yang masih hidup.”

Seorang manusia walau bagaimana kuat sekalipun, tidak akan mampu menanggung derita masa lalu dicampur beban masa depan, lalu dipikul bersama masalah pada hari ini. Tiga beban dalam satu masa boleh menyebabkan seorang genius dihantar ke hospital sakit otak. Tiga beban dalam satu masa boleh menyebabkan seorang atlit di hantar ke wad pesakit jantung. Hidup ini mesti ditangani dengan mudah. Namun ini bukan pula alasan untuk mempermudah-mudahkan hidup. Cuma “take it easy….”

Mungkin anda akan bertanya, kalau begitu salahkah kita merancang untuk masa depan? Tidak. Pendek angan-angan bukan bererti tidak bersedia untuk hari esok. Fikirkan hari esok, tetapi jangan khuatir.

Banyak bezanya antara fikir dan khuatir. Mungkin sama banyaknya bezanya antara angan-angan dan cita-cita. Sesiapa yang khuatir tentang hari esok, akan mensia-siakan peluang yang ada pada hari ini. Sebaliknya sesiapa yang berfikir tentang hari esok, akan memanfaatkan peluang pada hari ini.

Tidak ada gunanya berangan-angan. Angan-angan tentang kebaikan akan menyebabkan seseorang itu alpa. Angan-angan tentang keburukan akan menyebabkan seseorang itu kecewa. Manusia angan-angan tidak akan dapat merancang, bekerja dan berusaha dengan baik.

Sebaliknya, hiduplah dalam lingkungan hari ini kerana cara yang paling tepat untuk hari esok ialah dengan menumpukan perhatian dan bekerja dengan sepenuhnya pada hari ini. Pemikiran dapat mencari kesan dan sebab-sebab untuk melahirkan perancangan dan pelaksanaan. Kekhuatiran akan membawa kekusutan fikiran dan tekanan perasaan.

Lihatlah mentaliti orang tua-tua Melayu zaman dahulu. Pada mereka sudah ada kerangka pemikiran wawasan 2020. Mereka sering memikirkan nasib anak cucu di kemudiaan hari. Mereka menanan pokok durian yang dijangka berbuah bertahun-tahun kemudian yang mungkin mereka pun tidak sempat merasanya.

Mereka telah memafaatkan benih pokok durian lalu ditanam pada ‘hari esok’ mereka. Mereka berfikir, bukan khuatir. Kita tidak akan dapat menikmati buah durian datuk dan nenek kita jika mereka hanya berangan-angan bahawa pada masa hadapan  generasi Melayu akan terus makan durian. Atau khuatir kemungkinan tanah kebun akan tergadai menjadi kilang perindustrian.

Anda mungkin marahkan saya kerana asyik berfalsafah. Tetapi bukanlah niat saya begitu. Saya hanya ingin meyakinkan diri saya dan juga pembaca bahawa untuk selamat melalui ketika paling mencabar dalam kehidupan ialah dangan memendekkan angan-angan. Ini bukanlah falsafah yang hendak dibincangkan semata-mata. Tetapi ilmu mesti dan boleh mengamalkannya. Mungkin ada orang yang perlukan ilmu untuk mula mengamalkannya. Mungkin juga telah dapat mengamalkannya secara semulajadi (nature) tanpa belajar akan falsafahnya. Hidup ini bukan untuk ahli falsafah sahaja. Sinisnya, ada juga ahli falsafah yang hidupnya lebih celaru berbanding juga insan yang tidak punya apa-apa ijazah….

Mari saya kenalkan dengan seorang teman berbangsa Cina sewaktu sama-sama ditahan di Kamunting dahulu. Dia seorang positif dan cergas sewaktu melalui hari-hari yang sukar bagi di ken tahanan. Setiap hari, pagi-pagi lagi dia telah bangun dan mula bersenam dengan disiplin Taicinya. Setelah mandi dan bersarapan pagi, dia mula belajar bahasa Inggeris dan kemudian mengajar bahasa Mandarin. Jadual waktu belajar, bermain, pakaian dan aktiviti hariannya terdisiplin dengan begitu rapi.

Jarang saya melihat dia susah hati. Kalau adapun cuma sekali-sekala terutama pada hari Sabtu. Kalau saya tidak mengenalinya dari dekat, saya tentu tidak menyangka bahawa dia sebenarnya mempunyai banyak masalah yang tidak kurang beratnya berbanding orang tahanan yang lain. Pada suatu hari, dia telah dibenarkan pulang untuk satu masalah keluarga yang sangat urgent….

Daripada situ barulah rahsia dirinya tersingkap oleh saya (yang kebetulan rapat dengannya). Sebenarnya, dia mempunyai seorang ayah yang sedang nazak kerana penyakit barah. Perniagaan yang dikendalikan oleh isterinya pula sedang merosot akibat penahanannya. Anak lelakinya masih tertanya-tanya akan ‘kehilangan’nya. Dan macam-macam lagi masalahnya yang berbelit-belit. Dia mengaku pada hari Sabtu dia sedikit gelisah, kerana hari itulah hari paling sibuk buat isteri dan anaknya dengan pelbagai urusan hidup.

Tetapi kenapa kawan saya itu tetap senang dan mampu gembira? Malah lebih gembira dari sesetengah kawan yang lain, yang kadang kala masalah-masalah mereka jauh lebih ringan daripadanya? Jawabnya… kerana kawan saya itu mengamalkan falsafah: Hidup dalam lingkungan hari ini. Dia selalu berkata, “apa guna risau-risau. Nanti sakit. Bila sakit, apa guna harta dan wang. Hari ini gua mahu senaman. Nanti gua mahu jumpa gua punya bini dan anak dengan badan kuat dan sihat. Kalau lu susah hati…. Talak makan, talak tidur, lu akan sakit. Kalau sakit nanti satu sen pun tak ada guna.”

Ramai kawan-kawan berbangsa Cina di kem tahanan yang mengamalkan falsafah mudah untuk mententeramkan hati mereka. Mereka selalu berkata, “jangan kita rugi dua tahun. Kita mesti untung dua tahun.” Pada mulanya saya tidak faham apa yang dimaksudkan oleh mereka tetapi kemudian saya faham maksud ‘ahli-ahli falsafah’ Kamunting itu.

Penjelasannya begini…. Di luar mereka tidak punya masa unutk bersenam, menjaga kesihatan dan mneguruskan badan. Bahkan ada yang setiap malam minum arak dan berpeleseran hingga pulang jauh-jauh malam.

Akibatnya, ramai yang kena penyakit darah tinggi, kencing manis, lemah jantung dan lain-lain lagi. Tetapi bila ditahan, badan yang sakit mula sihat kembali hasil senaman, makan, tidur, baring dan lain-lain yang terkawal. Lebih-lebih lagi sentiasa mendapatkan pemeriksaan kesihatan dan rawatan daripada pegawai perubatan (H.A) yang dikhaskan.

Bagi mereka, pencapaian ini menguntungkan. Dengan badan yang sihat dan kuat terhasil semasa dua tahun ditahan, mereka lebih beruntung berbanding berada di luar dengan badan yang sakit-sakit dan lemah. Boleh jadi jika kesihatan terus diabaikan kematian pun boleh berlaku lebih cepat. Kalau begitu kan elok ditahan 2 tahun oleh ISA? Begitulah isi falsafah para cendikiawan Kamunting itu adanya….

Mereka hanya bercakap secara spontan tanpa istilah bambastik kerana mereka bukanlah ahli falsafah atau psikologist. Tetapi sebenarnya apa yang mereka katakan adalah sama dengan kata seorang pakar psikologi  – Robert Louis Stevenson:

“Sesiapa sahaja boleh membuat kerjanya, walau bagaimana berat, untuk Satu hari. Sesiapa sahaja boleh hidup dengan riang, penuh kesabaran, kasih sayang, bersih, sehingga matahari jatuh. Dan inilah sebenarnya makna kehidupan.

Ingatlah, jangan sampai menunggu untuk menjadi ahli falsafah bagi mengamalkan prinsip: Hidup dalam lingkungan hari ini. Jika masih demikian… ertinya anda masih seorang yang suka berangan-angan!

One thought on “OLE-OLE DARI KAMUNTING

Tinggalkan komen

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.