ISLAM AKAN BANGKIT DI ATAS TRAGEDI INI

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Umat Islam yang yakin kepada kasih-sayang Allah, tentunya terpanggil untuk melihat apakah hikmah di sebalik tragedi yang menimpa umat ini.

Ini bukan sahaja penting untuk mendatangkan rasa simpati dan prihatin dalam jiwa kita, tetapi untuk mengambil iktibar dan teladan bagi dijadikan asas dalam pertimbangan dan tindakan kita juga.

Kita yakin bahawa takdir Allah pasti mengandungi banyak hikmahnya. Dan jika hikmah ini dapat dicungkil, insya-Allah ia akan dapat meringankan perasaan dan menjawab banyak tanda tanya dalam jiwa terhadap perkara-perkara yang tidak selari dengan kehendak kita.

Namun hanya Muslim yang sempurna akal dan penelitiannya sahaja dapat menjangkau hikmah yang terkandung di dalam cubaan dan bala yang menimpa.

Seorang ahli hikmah, Ibn Ataillah Askandari pernah berkata, “Barangsiapa yang menyangka sifat kasih-sayang Allah terpisah dalam takdir-Nya, maka itu adalah kerana pendeknya penglihatan akal dan matahati seseorang.” Tegasnya, menurut beliau, apa jua takdir Allah pasti bermaksud baik walaupun kelihatannya pahit.

Ibn Ataillah berkata lagi, “Bila Allah menguji orang Islam dengan tragedi, maka mereka mesti melihat dengan mata hati, dan memikirkan dengan akal, agar tercungkil hikmahnya. Jika tidak, itu petanda penglihatan hati tidak jauh, akal yang pendek.”

Untuk mencari hikmah dalam persoalan ini, pertamanya ialah kita mesti meyakini bahawa ujian yang menimpa umat Islam samada dalam bentuk  bencana alam, peperangan dan lain-lain adalah satu sunnahtullah (peraturan Allah) yang tidak ada siapapun dapat menghindarkannya. Hidup ini hakikatnya adalah satu ujian. Firman Allah:

“Dijadikan mati dan hidup kepada kamu untuk menguji siapakah yang terbaik amalannya.” (Al-Mulk: 3)

Orang Islam diuji untuk menyerlahkan nilai dirinya di sisi Tuhan. Dengan ujian sakit, barulah diketahui tahap kesabaran. Bila diuji dengan peperangan, baru terserlah tahap keberanian. Khususnya bagi orang yang beriman, ujian didatangkan untuk menilai dan mengukur semula sejauhmana keimanan kita kepada Allah. Oleh itu iman dan ujian saling berkaitan. Apabila diuji barulah diketahui apakah hati itu telah yakin (beriman) ataupun masih ragu-ragu. Firman Allah:

“Apakah manusia mengira, ia akan dibiarkan sahaja, mengatakan kami telah beriman, sedangkan mereka belum diuji?” (Al-Ankabut: 2)

Perlu diketahui bahawa Allah menguji orang Islam atas sebab-sebab yang berbeza. Berdasarkan sebab-sebab itulah letaknya kemuliaan atau kehinaan seseorang manusia. Dalam konteks ini Rasulullah s.a.w. telah bersabda: “ujian yang berlaku kepada manusia sama ada memuliakannya atau menghinakannya.”

Ada tiga sebab mengapa Allah menguji orang Islam:

  1. Kifarah

Yakni ujian ke atas orang yang baik tetapi terlanjur melakukan kejahatan. Maka ketika itulah dia diuji. Allah jadikan kesusahan dalam ujian itu sebagai ‘tebusan’ untuk menghapuskan dosa dan ketelanjurannya. Ertinya, Allah membalas kesalahannya di dunia untuk melepaskannya daripada dibalas di akhirat. Ini adalah lebih baik kerana azab di dunia adalah lebih ringan berbanding azab di akhirat. Ringkasnya, kifarah ialah ujian untuk ‘orang baik yang terbuat jahat’. Dengan ujian itu, ‘orang baik’ tersebut akan mendapat peringatan dan amaran atas kelalaian dan ketelanjurannya lalu berusaha untuk bertaubat kepada Allah.

Firman Allah: “Dan Kami (Allah) timpakan kepada mereka azab supaya mereka kembali ke jalan yang benar.” (43:48)

  1. Bala

Yakni ujian ke atas orang jahat yang melakukan kejahatan. Allah jadikan ujian sebagai hukuman Tuhan di dunia sebelum dihukum lebih berat di akhirat. Dengan kemurkaan-Nya Allah turunkan kepedihan dan kesengsaraan di dunia lagi sebelum orang itu diazab di neraka. Orang yang begini akan disiksa dua kali, pertama di dunia, kedua di akhirat. Rengkasnya, bala ialah bentuk ujian ke atas ‘orang jahat yang buat jahat’. Umat Nabi Nuh yang ditenggelamkan banjir, Fir’aun yang ditenggelamkan di laut Merah, Namrud yang dibunuh nyamuk, Qarun yang ditelan bumi adalah diantara mereka yang ditimpa bala di dunia lagi sebelum disiksa di akhirat.

Firman Allah: “Dan jika mereka berpaling, nescaya Allah akan mengazab mereka dengan azab yang pedih di dunia dan di akhirat.” (9:74)

  1. Ibtila’

Yakni ujian ke atas orang baik ketika melaksanakan kebaikannya. adalah tanda kasih-sayang Tuhan kepada hamba-Nya yang taat. Justeru dengan ibtila’ hamba itu akan mendapat pahala dan ditinggikan derjatnya disisi Allah. Jika tidak diuji, bagaimana hamba yang taat itu hendak mendapat pahala sabar, syukur, redha, pemaaf, qanaah dari Tuhan? Maka dengan ujian bentuk inilah ada dikalangan para Rasul ditingkatkan ke derjat Ulul Azmi – yakni mereka yang paling gigih, sabar dan berani menanggung ujian. Rengkasnya, ibtila’ ialah ujian keatas ‘orang baik yang buat baik’. Golongan para Nabi, siddiqin, syuhadak dan solehin adalah mereka yang sentiasa diuji dalam bentuk ibtila’ ini khususnya ketika mereka berjuang menegakkan kebenaran.

Firman Allah: “Apakah kamu mengira akan masuk ke dalam syurga sedangkan kepada kamu belum datang penderitaan sebagaimana yang dideritai orang-orang terdahulu daripada kamu, yaitu mereka ditimpa kesengsaraan, kemelaratan dan kegoncangan, sehingga Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya merintih: Bilakah datangnya pertolongan Allah?”     Al Baqarah: 214

Pendek kata, bagi orang beriman, ujian bukanlah sesuatu yang negatif kerana Allah sentiasa mempunyai maksud-maksud yang baik di sebaliknya. Malah dalam keadaan berdosa sekalipun, ujian didatangkan-Nya sebagai satu pengampunan. Manakala dalam keadaan taat, ujian didatangkan untuk meningkatkan derjat.

Tanpa menuding jari kepada sesuatu puak atau golongan tertentu, maka kita yakin mereka juga (malah kita di Malaysia yang diuji dengan ujian nikmat ini) terpecah-pecah kepada 3 golongan ini, yakni sama ada golongan yang diuji secara ibtila’, kifarah atau bala. Sebaik-baiknya masing-masing hendaklah sedar dan insaf, biarlah sekurang-kurangnya mereka dan kita diuji secara kifarah, dan dengan itu hendaklah masing-masing menyegerakan serta mempertingkatkan rasa taubat kepada Allah.

Namun jika mereka tetap berdegil tidak mustahil Allah akan terus membersihkan bumi ini dari terus dihuni oleh insan-insan derhaka melalui ujian dalam bentuk bala-Nya. Kematian, kehancuran dan kebuluran akan terus berlaku. Insya-Allah setelah bumi itu ‘dibedah’ dan insan-insan jahat yang umpama ‘barah’ yang menanah itu dikeluarkan, maka barulah muncul generasi yang lebih bersih, kuat dan beriman. Dan ketika itulah segelintir mereka yang diuji secara ibtila’ sekarang ini akan mendapat sokongan dan membangunkan satu kebangkitan baru Islam yang lebih tulus, progresif dan kuat.

Akhirnya, perlulah diketahui bahawa rahsia kejayaan para Rasul dalam menghadapi ujian dalam missi perjuangan mereka ialah mereka sentiasa mendapat bantuan dari Allah. Untuk itu mereka berusaha melalui dua dimensi. Pertama, dimensi lahiriah yakni dengan memerah tenaga, fikiran dan menyediakan kekuatan material dan fizikal. Kedua, dimensi rohaniah dengan yakni dengan melakukan amalan taat dan meninggalkan maksiat. Hasilnya, mereka dapat mengalahkan musuh yang lebih ramai, kuat, dan kaya daripada mereka.

Firman Allah:“Berapa ramai golongan yang sedikit dapat mengalahkan golongan yang ramai dengan izin Allah.”

Ujian demi ujian yang menimpa umat Islam kini  sesungguhnya membawa hikmah yang besar apabila dilihat dengan matahati. Pada zahirnya, negatif tetapi secara tersirat ia membawa seribu satu hikmah dan pengajaran. Dalam apa jua keadaan, susah mahupun senang, orang yang beriman akan mendapat kebaikan. Rasulullah s.a.w. bersabda, “perumpamaan orang yang beriman apabila ditimpa ujian, bagai besi yang dimasukkan ke dalam api, lalu hilanglah karatnya (tahi besi) dan tinggallah yang baik sahaja!”

Rasulullah s.a.w. bersabda lagi: “Amat menarik hati keadaan orang beriman, semua pekerjaannya baik belaka, dan itu ada hanya pada orang beriman: Jika memperoleh kesenangan, dia bersyukur. Dan itu memberikannya kebaikan (pahala). Jika ditimpa bahaya (kesusahan), dia sabar dan itu juga memberikannya kebaikan. – Al Hadis.

Ya, kepada saudara Muslim kita di Indonesia, Myanmar, Syria, Palestin dan lain-lain, kami saudara Islam kalian di Malaysia sentiasa mendoakan kebangkitan kita bersama. InsyaAllah, Islam akan kembali gemilang. Tragedi demi tragedi ini merupakan ubat dan penawar yang akan menyembuhkan ‘sakit’  kita selama ini. Kita akan bangkit, insyaAllah. Amin.

Mudah-mudahan, sama-sama kita ingat hakikat ini: “… it’s not what happens to you, but it’s what you do about it. It is not how low you fall but how high you bounce back!”

2 thoughts on “ISLAM AKAN BANGKIT DI ATAS TRAGEDI INI

Tinggalkan komen

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.