ANDAI DIA PERGI DULU SEBELUM MU…

Pandanglah wajah orang yang paling kita sayangi… samada ibu, bapa, suami, isteri, anak-anak atau siapa sahaja. Pasti kita akan berpisah dengannya satu hari nanti. Detik itu pasti datang. Itu janji kita sejak dulu… sanggup datang, sanggup pulang. Kita dan dia pasti berpisah oleh takdir yang dinamakan kematian.

Itulah detik yang paling menyedihkan. Sedih bagi mereka atau kita yang ditinggalkan. Dan lebih sedih bagi kita yang mungkin meninggalkan. Tidak kira siapa yang dahulu, siapa yang kemudian – ditinggalkan atau meninggalkan pasti menggetirkan.

Seorang isteri yang kematian suami… ketika seluruh dan sepenuh hati masih bersamanya. Masih banyak yang perlu diselesaikan – anak-anak, cita-cita dan harapan – tetapi ajal maut datang memutuskan segala dan semua yang kita inginkan. Ya, kita cuma hamba. Pada kita cuma tadbir, pada-Nya segala takdir.

Kekadang masih tak puas bermanja dengan ayah dan ibu… tiba-tiba sahaja mereka dipanggil pergi. Hingga lidah kelu dan hati sayu, tidak ada lagi insan yang boleh panggil ibu. Oh, sedihnya apabila ditinggalkan ayah… insan yang paling kita yakini sangat mencintai kita dan kasihnya yang tidak pernah berbelah, tetapi terpaksa berpisah! 

Sekiranya saat ini kita diuji dengan kematian… ditinggalkan oleh yang tersayang. Maka kenangkanlah hidup kekasih Allah, Rasulullah saw. Bukankah baginda telah dididik oleh mehnah paling getir yang bernama kematian? Bukankah ayahnya Abdullah pergi dulu sebelum sempat baginda dilahirkan? Ibunya Aminah menyusul beberapa tahun kemudian.

Tidak sempat bermanja lama dengan datuknya Abdul Mutalib, datuknya pula meninggalkannya. Lalu baginda yang yatim lagi piatu itu dipelihara oleh bapa saudaranya Abu Talib.

Kenangkan zaman kanak-kanak Rasulullah, tanpa ibu-bapa tetapi telah tega menjadi gembala kambing. Padang pasir dan angin kering menjadi sahabatnya. Lukisan alam itulah yang melakarkan jiwa suci dan akal tajamnya hingga mencari-cari makna kehidupan. Tidak sudi dia menjengah jahiliyah. Tidak rela dia dengan maksiat dan dosa. Hatinya berkata, bukan itu kebenaran dan kebahagiaan… lalu dia menyendiri di dalam gua. Jika tidak mampu mengubat, jangan dijangkiti. Lalu baginda lari… menyendiri.

Sejak baginda berkahwin dengan Khadijah, itulah srikandi sejati cintanya. Yang membawa bekal makanan ke gua Hira’. Yang menyelimuti tubuh dinginnya apabila digegar wahyu pertama. Yang memberikan jiwa dan harta untuk dia berdakwah, berjuang apabila digesa oleh surah Mudasthir (orang berselimut) – qum faanzir – bangun dan serulah!  Itulah Khadijah kekasih Rasulullah, insan terhampir ketika semuanya meminggir.

Namun tidak lama, di tahun dukacita itu… Khadijah pergi buat selama-lamanya. Baginda kehilangan dorongan – pada jiwa dan harta. Khadijah tiada lagi.  Pergi ketika kasih dan cintanya masih didambakan. Sudah hilang bisikan yang memberikannya semangat, kasih sayang, pembelaan dan kemesraan. Baginda berdukacita… Namun, selang hanya beberapa bulan satu kehilangan berlaku lagi. Abu Talib pula  pergi.  Sedihnya, dia pamit tanpa syahadah.

Tiada lagi perisai yang melindunginya daripada ancaman fizikal kaum Quraisy. Bila-bila masa sahaja pedang, tombak dan panah kaum jahiliah boleh menerjah. Jika dengan kematian Khadijah, baginda kehilangan dorongan. Dengan kematian Abu Talib baginda kehilangan perlindungan. Tanpa dorongan, tanpa perlindungan, Rasul keseorangan untuk meneruskan perjuangan.

Tidak cukup dengan itu, ketika Islam sudah bertapak di Madinah. Seorang ayah bernama Rasulullah, kehilangan  pula puteri-puteri kesayangannya Zainab, Ruqayyah dan Umi Khalsum… Subhanallah, tabahnya hatimu ya Rasulullah. Kematian demi kematian, tetapi kau terus hidup dengan hati yang berjuang. Seolah-olah kematian yang menyedihkan itu menjadi obor perjuanganmu menerangi hati umat yang mati ini!  

Ya, saudara-saudaraku. untuk apa semua ini dilakukan oleh Allah yang Maha Kasih kepada kekasihNya Muhammad? Ya, jangan bergantung kepada selain-Nya. Hanya bergantung kepada-Nya. Lalu jika kau kini sedang diuji dengan kematian suami, isteri, ibu-bapa, anak-anak, kenangkanlah hidup kekasih Allah, Rasulullah. Mari kita hayati dan mengambil ibrah dari setiap episod kematian yang telah dilaluinya.

Jika kita kematian ayah, ibu, datuk, isteri, ayah saudara, anak dan sahabat… kita kenangilah hidup Rasullullah yang telah melalui segaladan semua itu. Hinggalah di saat akhir ketika baginda pula yang dipanggil  pergi, ketika Siti Aishah, Fatimah, Ali dan lain-lain saudara serta sahabatnya berada di sisi, baginda sudah bersedia, mehnah Allah sudah sampai ke kemuncak… baginda pula yang akan pergi.  

Baginda sangat mencintai semua yang bakal ditinggalkan, tetapi baginda lebih cinta kepada Allah yang bakal ditemuinya. Lalu mulut baginda hanya mengucapkan, “rafiqil a’la. rafiqil a’la… teman daerah tinggi (Allah), teman daerah tinggi (Allah). ” Ya, baginda sudah pasrah meninggalkan cinta daerah rendah… untuk terbang ke syurgawi, menemui cintanya di daerah tinggi!

Kepada isteri-isteri yang kehilangan suami, dan mereka yang kehilangan orang tersayang, atau kita yang bakal kehilangan…yang menziarahi blog ini untuk mendapat sedikit cicipan ketenangan, aku yang daif ini cuma mampu menghadiahkan satu tulisan yang telah ku muatkan dalam bukuku ‘DI MANA DIA DI HATIKU” – tajuknya:

ANDAI DIA PERGI DULU SEBELUM MU… 

Andai dia pergi dulu sebelum mu, sepuhlah air mata dan teguhkanlah jiwa. Kita yang masih hidup perlu menyambung perjuangannya. Tidak mengapa bersedihlah seketika. Itu fitrah jiwa. Namun sederhanalah kerana esok kau mesti bangkit semula. Katakan pada diri, ya… kau telah pergi, pergi bersama doa ku. Kau tunggu di sana, pasti aku akan menyusul nanti!

Andai dia pergi dulu sebelum mu, tanyakan pada hati mu yang sebati dengan hatinya, apa yang dia inginkan jika dia masih di sisi? Renung wajah anak-anak mu, lontarkan fikir melampaui kesedihan. Anak-anak mu punya masa depan. Di tangan mu segala cita-cita dan harapan. Jangan sampai nestapa ini menjadi halangan. Apakah kau tega mengecewakan?

Andai dia pergi dulu sebelum mu, katakan pada diri, akan ku galas amanah ini. Sekiranya terpaksa bertongkat dagu pun,  aku  tidak akan lemas dipagut sendu. Berjuanglah, agar dia bisa senyum di Barzakh itu. Oleh nukilan doa anak yang soleh dan solehah. Kalau benar cinta itu setia, anak-anak itulah titiannya. Di jambangan munajat, di taman ibadat, tentu ada sungai pahala… yang mengalir selamanya..

Andai dia pergi dulu sebelum mu, walau pun dia tidak akan kembali lagi, tetapi itu akhir pertemuan. Dulu kita bertemu untuk berpisah.  Kini kita berpisah untuk bertemu. Inilah jalan takwa yang telah dilalui oleh Siti Aishah, Siti Habshah, Ummu Salamah, Mariah Qibtiyah bila ditinggalkan Rasulullah. Syukur kau terpilih untuk melalui jalan mujahadah. Mujur kau ditakdirkan merasai mehnah Ilahi – tradisi hidup Ummahatul mukminin yang ditinggalkan suami!

Andai dia pergi dulu sebelum mu, sibuklah diri mu. Beribadahlah sehingga kau letih untuk merasa sedih. Gembirakanlah hati mu dengan menggembirakan orang lain. Carilah peluang kebajikan dan kebaikan yang bertaburan. Bila sesekali kesedihan datang tanpa diundang, berwuduk dan bacalah Al Quran. Dirikanlah solat, sesungguhnya solat itu satu kerehatan. Begitulah setiap kali Rasulullah SAW bila terasa gundah… diadukan kesedihan kepada Allah.

Andai dia pergi dulu sebelum mu, bisikan ke dalam hati mu yang paling dalam. Dia bukan milik ku. Dan aku pun bukan miliknya. Pemilik segala ialah Al Malik. DIAlah yang memiliki dan menguasai segala-galanya. Pada kita hanya amanah, sampai masanya terpaksa diserah.   Jangan ada rasa dimiliki, dan jangan ada rasa memiliki. Bila terasa sepi, jangan katakan aku sepi… tapi katakan pada ku sentiasa ada pemerhati.

Apa lagi yang boleh menggugat kebahagiaan seseorang manusia yang lebih hebat daripada kematian? Kemiskinan, kesakitan, celaan, kekalahan dan lain-lain ujian hidup adalah kecil berbanding kematian. Kematian adalah “pemutus” segala kebahagiaan. Sama ada, kita ditinggalkan oleh orang yang kita sayangi. Atau kita sendiri meninggalkan mereka. Saat itu, adalah saat yang paling derita.

Jika kematian dikatakan boleh mencabut kebahagiaan, belajarlah daripada Rasulullah SAW. Baginda telah menghadapi kematian orang yang tersayang secara berturut-turut sepanjang hidupnya. Bermula dari alam rahim, baginda telah ditinggalkan oleh ayahnya Abdullah. Enam tahun kemudian, ibunya Aminah meninggal dunia. Tidak lama kemudian, semasa masih dahagakan kasih-sayang, datuknya Abdul Mutalib pula pergi buat selamanya. Tinggallah dia dalam pemeliharaan ayah saudaranya, Abu Talib.

Ketika masih perlukan perlindungan Abu Talib, Rasulullah SAW ditinggalkan lagi. Abdul Talib meninggal dunia ketika keislaman begitu didambakan. Sedangkan sebelumnya, Rasulullah saw telah kehilangan isteri tersayangnya Siti khadijah… Lalu tahun itu dinamakan tahun kesedihan!

Baginda diberi enam orang anak lelaki yang meninggal semuanya sewaktu kecil. Anak-anak yang ketiga dan keempat, meninggal dahulu di hadapan matanya. Alangkah rindunya untuk mendapat cahaya mata lagi, lalu Rasulullah SAW dikurniakan anak lelaki, Ibrahim. Kebetulan rupanya amat mirip dengan baginda. Tetapi Ibrahim juga meninggal dunia ketika sarat menyusu.

Lalu ditumpukan kasih sayangnya kepada cucundanya Hasan dan Husin. Sangat dimanjakan, sehingga pernah sujudnya sedemikian lama hanya untuk memberi waktu agar cucunya turun dari belakangnya. Namun, dari ilham Ilahi, baginda telah tahu bahawa ada peristiwa besar bakal menimpa keduanya. Baginda hanya memberitahu salah seorang daripadanya bakal mendamaikan perselisihan besar. Dipendamkannya tragedi pembunuhan yang bakal dihadapi oleh Husin di Karbala.  

Begitulah Rasulullah menghadapi saat perginya orang yang tersayang. Lalu bagaimana pula keperibadiannya ketika baginda sendiri pergi meninggalkan orang yang tersayang? Sejarah menceritakan bagaimana ketika baginda terbaring di hamparan yang telah tua, berselimutkan kain kasar manakala minyak pelita lampu rumahnya hampir kehabisan… ketika itulah baginda menyebut, “rafiqil a’la, rafiqil a’la – teman daerah tinggi (Allah), teman daerah tinggi!”

Dalam “kamus” kehidupan  para muqarabin (orang yang hampir dengan Allah), tercatatlah ungkapan bahawa mati itu adalah syarat menemui cinta. Ya, begitu rindunya baginda untuk bertemu Allah – cinta hakiki dan sejatinya. Itulah teman daerah tinggi yang sangat dirindunya. Perginya dengan tenang walaupun demam panas yang dihidapinya dua kali ganda yang dialami manusia biasa. 

Namun begitu,  di saat sakarat yang begitu hebat, masih sempat baginda berpesan tentang solat. Untuk siapa? Siapa lagi kalau bukan untuk kita… umat yang akan ditinggalkannya.

Semua orang mengakui hakikat bahawa mati itu datang tiba-tiba. Tetapi aneh, manusia yang pasti mati itu terus hidup sambil lewa.

Ketika segala tragedi dan ujian menimpa, Rasulullah SAW tetap bahagia. Bahagia inilah yang digambarkan  oleh pembantunya, Anas bin Malik dengan pengisahannya:

“Aku telah menjadi khadam Rasulullah SAW 10 tahun lamanya. Maka tidak pernah baginda berkata atas apa yang aku kerjakan: “Mengapa engkau kerjakan?” Tidak pernah pula baginda berkata atas apa yang aku tidak kerjakan: “Mengapa engkau tidak kerjakan?” Tidak pernah baginda berkata pada barang yang ada: “Mengapa ada pula barang ini?” Tidak pernah baginda berkata pada barang yang tidak ada:”Alangkah baiknya kalau barang itu ada.” Kalau terjadi perselisihan antara aku dengan ahli keluarganya, baginda akan berkata kepada keluarganya: “Biarlah, kerana apa yang ditakdirkan Allah mesti terjadi!”

Inilah bahagia yang dialami oleh Rasulullah SAW. Aku cuba mencungkil sekelumit rahsia kebahagiaan yang hakiki ini. Mudah-mudahan kita akan dapat menghayati kunci kata di sebalik model insan yang paling bahagia ini. Kunci kata itu tepat dan padat – ana abdullahi walan yudhi’ani – aku hamba Allah, DIA tidak akan mengecewakanku!”

KETIKA RASULULLAH PERGI…

Tengah hari  itu…

gugur butiran air mata di wajah mu

Hibanya hati melepaskan Rasul pergi

Bukan tidak reda,

Tapi itulah hati seorang isteri

pasti ada rasa cinta!

Pada akrab sekian lama yang terpisah

Bagai isi dan kuku…

Tapi hakikatnya kita semua hamba

Yang terpaksa akur dengan takdir-Nya

Jalan mujahadah menggamit kelangsungan budi

Setia seorang isteri tanpa teman menabur jasa

makam itu cuma semadi jasad…

Tapi dian batinnya terus menyala

Pada sebuah amanat di sisi isterinya

 

Wahai srikandi cinta Rasul yang masih hiba

Duhai srikandi budi yang masih lara

Sepuhlah air mata di usia muda

Melangkahlah semula dengan kukuh

kerna jalan ini masih jauh

 

Yang wafat cuma jasad

Bukan niat dan semangat!

 

Citra ini mengimbau sejarah ‘si merah’

– Umamahatul Mukminin Siti Aisyah

di usia remaja menjadi isteri Rasulullah

Teman Rasul ketika berjuang membela umat

Teman Rasul ketika di amuk sakarat

di ribaannyalah baginda wafat

 

Sepeninggalan Rasul…

Dialah gedung ilmu yang mendidik tanpa jemu

Dialah gunung budi yang berbakti tanpa henti

Dia hanya kehilangan suami

Tapi bukan kehilangan misi!

 

Sesekali ketika rawan diusik kenangan…

Berteduh di sejuk wuduk menawar gundah

Istirahat hati pada satu hakikat…

Cintaku hanya sedebu cinta-Nya

Relakanlah dia pergi…

Menemui temannya di daerah tinggi!

94 thoughts on “ANDAI DIA PERGI DULU SEBELUM MU…

  1. Subhanallah…! ustaz betul2 menyentuh perasaan. Bila mengingatkan/melihat anak yatim yang 2 orang kat rumah ini, saya pasti teringat Rassullullah. Bila mengingatkan diri sendiri selalu saya teringatkan Siti Aisyah dan Khadijah isteri Rasulullah. Pengalaman dan cabaran saya, sekelumit cuma jika di banding mereka. Untuk berjaya di akhirat pastinya akan ada ujian lain yang datang dan menanti. Saya bersedia/mencuba menghadapinya, asal saja selamat di alam sana yang kekal selamatnya. ameen…

  2. Terima kasih ustaz…. nak share di blog saya ye.. kebetulan saya baru lepas menulis entri ttg kematian.. dalam minggu ni ada rakan sy yg kehilangan mak, bapak.. dan bos besar di tempat kerja baru saya pon baru meninggal… terima kasih ya Allah.. kerana sering diberi peluang membaca tulisan ustaz yg memberi semangat dan pengajaran dan pelajaran baru utk sy….

  3. Mati itu pasti…Hidup InsyaAllah..
    Kematian merupakan pintu masuk ke alam kehidupan yang hakiki…

  4. Subhanallah.Tulisan Protaz sentiasa tepat mengenai hati sanubari.Memang ya kunci kata di akhir artikel ini…aku hambaNYA , Allah tidak akan mengecewakanku.Saya berharap ramai yang akan membaca artikel ini , terutama mereka yang sedang menghadapi pemergian ahli2 keluarga terdekat…ibu yang kematian 3 anak sekaligus di Ulu Bendul , ibu yang kematian 2 anak sekaligus di Seremban 2 , ibu yang kematian anak lemas di dalam kereta di sekolah ABIM seremban dll.
    Saya sendiri nanar tatkala kehilangan ayah sewaktu masih menuntut dulu…macam-macam ‘ubat’ yang saya cuba untuk merawat diri…hampir setahun baru saya kembali bersemangat.Betapa susahnya pencarian saya sewaktu itu.Saya bersyukur sekarang ada orang2 seperti Protaz yang bisa membantu dan saya amat bersyukur diberi umur oleh Allah untuk mendekatkan diri kpdNya.Ya Allah bantuku sediakan duniaku untuk nanti tibanya akhiratku…(memetik senikata lagu WALI)

  5. Salam…

    Thank so much for this great article ! Pergantungan kita hanya perlu pada DIA, bukan ibu, bapa, suami atau isteri. Baru sahaja saya menyepuh air mata ini……

  6. assalamualaikum…ustaz…terima kasih untukk semua penulisan dan entry2 yg telah ustaz titipkan… betul2 bermakna…hati kadang2 sukar disentuh….. tetapi dengan penulisan ustaz…. hati ni berjaya disentuh…. terima kasih kerana menulis…..terima kasih…

  7. assalamualaikum ustaz…rsenye artikel tu ade sedikit kesilapan…pada awal artikel ustaz menyebut khadijah pergi dulu kemudian disusuli dgn abu talib… kemudian pada satu perenggan pula…ustaz menyebut :
    “Ketika masih perlukan perlindungan Abdul Mutalib, Rasulullah SAW ditinggalkan lagi. Abdul Mutalib meninggal dunia ketika keislaman begitu didambakan. Tinggallah Rasulullah SAW dengan kekasih hatinya, Khadijah. Namun, tidak berapa lama Khadijah pula mengikut jejak bapa saudaranya. Lalu tahun itu dinamakan tahun kesedihan.”

    mungkin ada kesilapan teknikal di situ…ataupn sye yg tersalah baca…. 🙂

  8. Salam hamba Allah,
    Ya… benar, anda lebih teliti daripada saya. Saya telah betulkan. Syukran sesangat. Saya tersilap.

  9. Ketika masih perlukan perlindungan Abu Talib, Rasulullah SAW ditinggalkan lagi. Abdul Talib meninggal dunia ketika keislaman begitu didambakan. Sedangkan sebelumnya, Rasulullah saw telah kehilangan isteri tersayangnya Siti khadijah… Lalu tahun itu dinamakan tahun kesedihan!

  10. assalamualaikum ustaz..sanubari sy bnar2 tersentuh & tersentap mmbaca nukilan ustaz ini…perjuangan rasulullah mmg tiada tolok banding & taranya…harap kita semua umat baginda & hambaNya dpt memperteguhkan iman di dada..suka saya pada kata-kata ini “ana abdullahi walan yudhi’ani – aku hamba Allah, DIA tidak akan mengecewakanku!”… (pabila ku baca tentang kematian spt ini, teringat pd seorg shbt yg masih hidup, tp “mati” disebabkan perbuatan kejam saya..ya Allah, ampunilah dosa-dosa silamku)

  11. subhanallah,sgt menyentuh benak dan emosi…moga ianya bukan sekadar emosi ttp menjadi prktikal…terima kasih bnyk2 ustaz…..hebatnye rasulullah…..mari same2 kite mencontohinya dlam setiap perkara..insyaallah..

  12. Wahai hati, bergantunglah hanya pada Allah. Isteri akan mati, ibubapa akan mati, anak-anak akan mati, saudara mara akan mati, sahabat akan mati. Hanya Allah yg kekal HIDUP.

    Terimakasih Ustaz Pahrol.

  13. Slm…semoga ustaz sihat dan berbahagia…
    terima kasih….penulisan ini bebetul menyentuh jiwa..berderai air mata sy..sewaktu membaca.. ujian Rasulullah saw akan kematian org tersayang….teringat pulak akan insan tersayang disekliling sy….(adik, mak ayah, isteri anak..)..bile pula Allah swt nak menjemput mereka & sy ke alam slps dunia yg lain…sedihh…….

  14. Ustaz…terima kasih atas artikel tersebut…amat menyentuh hati…saya kehilangan ramai org yg saya sayang..dimulai dengan ayahanda tercinta…bapa saudara..datuk..nenek..ibu saudara yg memang agak rapat dgn saya..dan yang paling menyedihkan satu2 nyer adik lelaki saya yg telah meninggalkan kami selama-lamanya setahun yg lalu…kasihan isteri dan anaknyer yg baru 2 tahun mengecap bahagia…emak yang sabar dan tabah..berusaha menguatkan semangat…asrtikel ust membuatkan saya terasa…Rasulullah lebih hebat dugaannya…terima kasih ustaz…PERANCANGAN ALLAH PERANCANGAN TERBAIK…

  15. terima kasih ustaz……sy suka betul baca artikel-artikel yang ustaz tulis. Banyak memberi sy kekuatan untuk terus melangkah ke hadapan.

  16. alhamdulillah..agak banyak peringatan dan nasihat tentang kematian untuk saya semenjak dua ini..semoga Allah panjangkan usia saya supaya dapat memasuki Ramdhan kali ini sebelum dijemput pulang bertemuNya dan berpisah selamanya dengan insan tersayang..ya Rabb..kematian itu pasti. semoga pergi ku dalam redha dan rahmatMu..

  17. subhanallah:)…sgt memberikan erti. thnks alots ustaz di atas pengisian..alhamdulilah 🙂

  18. SubhanaAllah…. sesengguhnya saya betul2 tersentuh… Terima kasih ustaz atas titipan ini yang begitu menyedarkan saya…

  19. Salam.Subhanallah betul2 menyentuh perasaan..ustaz minta untuk dikongsi bersama kawan2 terutama pada seorg sahabat yg baru kehilangan suami agar dia kuat menghadapi apabila membaca artikel ustaz ni.terima kasih

  20. subhanallah ustaz, izinkan saya kongsikan bersama kawan2 saya yang suka ber”kelahi”/ bergaduh dengan ibu bapa mereka. Dengan harapan article ini mampu mencuit hati sanubari mereka dan akan timbul rasa insaf dalam diri mereka. Insyaallah

  21. Assalamualaikum ustaz.entri yg sgt menyentuh perasaan.hati mana yg tidak hiba jika kehilangan insan-insan tercinta.tdk dpt nk dibayangkn kesedihan yg dirasa.tetapi kematian itu pasti akan berlaku.Rasulullah model terhebat! =)
    mohon share ye ustaz.moga Allah merahmati segala usaha yg dilakukan.
    salam ramadhan al-mubarak.^__^

  22. Salam Kekanda,
    Tarikh 25 Julai 2011, adalah tarikh yang paling sedih bagi kami 12 adik-beradik termasuk bonda tercinta…Siti Khadijah. Kembalinya ayahnda tercinta Abdullah bin Imam Akob kepada PENCIPTA. Sesungguhnya tulisan ini sedikit sebanyak meredakan ‘genta rasa’ saya yang hingga saat ini masih dalam kesedihan. Namun kekuatan ‘akal’ dan ‘hati’ amat diperlukan sekarang apatah lagi kekuatan ‘ilmu’ dalam menghadapi saat ‘KEMATIAN’ ini. Terima Kasih atas coretan yang amat bermanfaat…Kuala Tembeling,Jerantut, Pahang

  23. terima kasih ustaz. mendidik bukan sekadar berkata kata… sentuhan ayat yg indah menyentuh jiwaku yg keras…. terima kasih ustaz

  24. subhanallah..terima kasih ustaz atas kesedaran yg ustaz berikan..mohon izin utk share ya ustaz…

  25. SubhanaAllah.. indah sungguh tulisan ustaz.. terima kasih kerana berkongsi, sy tenang membacanya.. Alhamdulilah.. akn sy simpan untuk bacaan ketika ujian menimpa..

  26. Subhanallah Maha Suci Allah yg menjadikan sekalian alam…
    syukran untuk entri ini ustaz..terlalu membantu untuk jiwa yg baru kehilangan seperti sy..
    jazaaka Allahu khairan..

  27. SYUKUR ALHAMDULILLAH…. Genta Rasa adalah satu solusi yg mendidik jiwa pda semua golongan terutama pda golongan pertengahan dan warga emas, ia memperingatkan saya bahawa kematian adalah satu kehidupan yg haqkiki, carilah jalan pulang, agar tak tersesat d penghujung jalan….

  28. Sebuah karangan yang benar2 menyentuh jiwa. Kerap kali kita terlupa untuk menghargai apa yang berada di depan mata hinggalah kita kehilangannya..di saat itu, kita mengharapkan masa diputar semula untuk kita memperbaiki kesilapan tapi apakan daya masa yang telah berlalu tidak akan berulang kembali. Apa yang mampu kita lakukan hanyalah berusaha untuk tidak mengulangi kesilapan lalu.

  29. assalamualaikum ustaz…sy memang mengikuti penulisan ustaz terutama dalam majalah solusi…mohon kongsi hasil tulisan ust di blog saya…boleh kan ustaz?

  30. assalamualaikum, ustaz.. mohon share entri ini. Sangat tertarik dan menyentuh hati..

  31. Alhamdulillah…semua penulisan ustaz memberi kesan di hati ini untuk merubah diri ke jalanNya…
    Sesungguhnya kepada Allaah jualah kita akan kembali~~ Terima kasih ustaz atas segala coretan ustaz membantu saya untuk terus bermujahadah menuju keredhaaNya…

  32. Hamba Allah.
    tq ustaz. Nukilan ustaz amat menyentuh sanubari seorang insan yang bergelar isteri. Amanah yang ditinggal arwah amat berat utk digalas esp. dalam mendidik anak2 . Pemergiannya kami redho & insyaallah kita akan bertemu lagi disana nanti.

  33. entry yg menyentuh hati, tiap kali membaca cerita berkisar saat kewafatan Rasulullah s.a,w.hati ini menangis hiba..selawat dan salam ke atas junjungan kita Nabi Muhamammad saw.

  34. assalamualaikum ustaz..entry yg betu2 memberi keinsafan dan kekuatan dlm hati ini untuk meneruskan perjuangan dalam mendidik amanah yang ditinggalkan..pemergiannya di redhai..inilah yang terbaik untuk dia dan kami anak beranak..

  35. …kau telah pergi, pergi bersama doa ku. Kau tunggu di sana, pasti aku akan menyusul nanti!Tersentuh hati tatkala membaca. Suami pergi meninggalkan saya bersama anak berusia setahun sebulan dan masih di dalam kandungan. Saya hilang arah, saya hilang kekuatan. Hari2 berlalu dengan tangisan, yang tinggal hanyalah kenangan. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atasnya. Saya redha andai itu yang tertulis…cinta sejati akan membawa ke syurga, insyaAllah…

  36. Ya Allah tabahkan hatiku, kuatkan semangat ku untuk menghadapi dugaan yg amat berat ini. Suami pergi meninggalkan sy sebulan yang lalu. Bagaimana untuk mengharungi hidup tanpa suami tersayang dengan ank sulung mempunyai masalah jantung yg kronik n ank kedua berumur 5 bln. Hanya Allah swt yg tahu bagaimana saat hiba itu, jantung bagaikan direntap pedihnya. Tp sy redha dengan ketentuan ALLAH swt, sesungguhnya setiap kesusahan akan ada kemudahan selepasnya. Semoga suami sy ditempatkan bersama orang2 beriman dan para solihin. Akan ku galas amanah yg ditinggalkan agar dia boleh tersenyum di barzakh sana…..Insyaallah….Al-Fatihah untuk arwah suami….

  37. semua yg bernyawa pasti merasai mati…cepat atau lambat sudah ditentukan oleh ALLAH di loh mahfuz…sesungguh kita manusia telalu hina…apabila kita diuji dengan ujian sedikit…kita tidak redha dan menyalahkan ALLAH ATAS UJIAN YG DIBERIKAN….tidak kah kita sedar nikmat yg diberikan tidak ternilai harganYA…’Nikmat tuhan mana yang kamu dustakan’…surah ar Rahman…..

  38. Alhamdulillah Allah temukan saya dgn karangan ustaz..suami saya pulang menemui Penciptanya pada 14 feb lalu..dia pulang meninggalkan saya, anak perempuan kami berumur 6 tahun dan bayi dlm kandungan saya berusia 2 bulan..alhamdulillah entry ini sedikit sebanyak membantu saya mendidik jiwa menerima segalanya dengan sepenuh redha insyaAllah..semoga suami saya damai di sana insyaAllah…alfatihah…terima kasih ustaz

  39. sesungguhnya arwah suami pergi dulu sebelumku 31 Mei yang lepas sehari selepas genap 11 tahun ulangtahun perkahwinan kami..al-fatihah

  40. Assalam,
    Al Fatehah. Sabarlah, semoga Allah berikan hati yang tabah untuk anda menjalani tarbiah ini. amin.

  41. alhamdulillah, enrty2 ustaz banyak membantu saya dan anak2 dalam menghadapi Takdir Illahi. . Arwah suami telah dijemput pulang 58 hari yang lalu. Kami redha. Kami bukan siapa-siapa, kami hanyalah hambaNya..

  42. Kau telah pergi meninggalkan ku Tatkala bahtera perkahwinan kita masih segar, sebulan ku rasa tidak cukup untuk ku palitkan bibit bibit bahagia bersama mu sayang..ketika inai ku masih merah dijari, kau pergi tinggalkanku buat selamaNya, menghadap yang Maha Esa. Ya Allah, sungguh besar dugaanMu tapi aku redha jika inilah ketentuan DariMu,semoga syg damai diSana..terima kasih ustaz kerana berikan saya kekuatan untuk teruskan hidup di muka bumi Allah ini. Cetusan ustaz ini saya jadikan dorongan untuk saya sentiasa kuat dan tabah, Insya Allah.Amin….

  43. Terima kasih…..alhamdulillah cetusan ustaz ini akan saya jadikan azimat untuk saya meneruskan hidup bersendirian tanpa suami tercinta yang telah pergi menghadap ilahi 14 hari yang lalu…..semoga Allah berikan hambanya ini kekuaatan iman …insyaallah…amin

  44. tulisan ustaz amat bermakna n menyentuh mata akal serta hati…sesungguhnya tiada yg kekal n pergantunggan yg sebenar adalah hanya untuk Allah SWT & cinta kasih serta rindu untuk rasul-NYA…mohon share

  45. salam..
    ustaz,… sy baru kehilangan suami pada 27 ramadhan yang lalu… sy dan suami sebaya sama2 berusia 26 tahun… suami meninggalkan cahya mata berusia 22 bulan dan bayi dalam kandungan berusia 4 bulan… sy hilang arah dan selalu menyalahkan takdir,tp sy kuatkan semangat juga dgn membaca al-quran dan alhamdulillah sy terjumpa penulisan ustaz yg mmg byk membangkitkan semangat sy untuk terus berjuang membesarkan amanahnya ini dan mencari redha ilahi untuk jumpa dia kembali disana…

  46. Ustaz, terimakasih …. artikel ini sgt sgt menyentuh hati saya yg baru kehilangan insan yg saya anggap sahabat dan saudara. Tak tertanggung kesedihan saya .. mood pun down sgt sgt … sampai nak sedekahkan Yassin pun saya tersekat sekat hiba . Bila terbaca artikel ini … saya mula sedar dan menerima perlahan lahan … … Sesungguhnya tiada yang kekal dan setiap kematian kehilangan adalah ujian dariNya … saya redha dlm kesedihan saya pasrah dlm kemurungan …

  47. Terima kasih ustaz… artikel ini sedikit sebanyak memberi kekuatan dan kesabaran menghadapi pemergian anak yang tercinta. Sesungguhnyanya saya juga akan kesana… akan menghadapi kematian… cuma masa dan ketikanya sahaja yang belum sampai….walaupun pada mulanya saya sukar untuk terima kenyataan tetapi saya redha… tak terfikir anak yang baru berumur 3 tahun ini pergi meninggalkan saya…tapi Allah mengetahui sesuatu yang tidak kita ketahui..kadang2 sesuatu yang tidak kita suka itu adalah yang terbaik buat kita…

  48. tatkala aku merasa akulah insan yg paling bertuah kerana memiliki segalanya, tiba-tiba segalanya hancur berderai. bagaimana aku nak meneruskan hidup tanpa suami tersayang, bagaimana aku nak membesarkan dua orang cahaya mataku yg belum mengerti apa-apa. yg sulong baru 8 tahun dan yg kedua 3 tahun, pada usia 29 tahun aku belum cukup kuat utk hadapi segalanya, aku menyalahkan takdir kerana merampas segala-galanya. selepas sebulan aku ditinggalkan. aku disahkan mengandung 2 bulan, satu tamparan yg hebat, bagaimana aku nak hadapinya. 2 org pun aku takut nak membesarkannya inikan 3. akibat kejahilan diri aku menyalahkan takdir dan org sekeliling. aku hidup dalam dunia kekecewaanku. ayah dan ibu menjadi mangsa, aku mengabaikan mereka sedangkan mereka sanggup tinggalkan rumah mereka utk bersamaku. kini setelah aku selamat melahirkan zuriat terakhirnya aku semakin semangat utk meneruskan perjuangan. aku redha akan apa yg terjadi, aku semakin ceria menghadapi hari mendatang. namun hatiku sekali lagi diuji dgn pemergian ayahku tersayang disaat aku baru ingin menebus kembali kesilapan ku selama ini. sekali lagi musibah menimpa. namun aku perlu kuat, yg berlalu telah berlalu, aku akan teruskan perjuangan demi anak-anak dan ibu tercinta. kepada ibu aku berjanji menjagamu selagi aku hidup dan tidak mahu engkau bersedih dgn sikapku. aku selalu mencari sesuatu untuk menguatkan semangatku yg kadangkala terusik, karangan ustaz benar-benar mengubat hatiku. terima kasih ustaz

  49. Slm us..entry ini byk mbntu sy utk redha dgn pemergian org trsyg..trdulunya sy kehilangan ayh ketika msih kecil..10 hri yg lps satu-satunya adik lelaki sy meninggalkn kami kerana kemalangan jln raya..dlm sekelip mata jer bnde ni brlaku…sy trtanya2 kenapa kami skluarga ditimpa ujian sedemekian namun trus memujuk hati untuk redha dgn pemergiaannya dan yakin bhw Allah lebih menyayangi arwah..hari2 kami berdoa supya arwah tenang di sana..melihat kwn2nye yg masih menikmati hidup hatk trsgt pilu mengenangkan arwah yg telah pg meninggalkan semua…namun tiada siapa dpt mlwn tkdir Allah…sbnyk mane air mata dan tangisan namun arwah ttp xkn kmbali..kdg2 sy brharap biar la ini adalah mimpi..bila trjaga dia masih di sisi..memohon ketabahan utk menruskan hidup

  50. Assalamualaikum buat pembaca Artikel yg indah ini.. Sy pula baru kehilangan suami yg amat2 sy cintai sepenuh jiwa & raga sy.. Takdir Allah siapalah yg tahu,baru 2tahun lebih hidup bahagia yg teramat sgt disisi suami sy yg amat sy kasihi,akhirnya tanpa diduga dia pergi juga meninggalkan sy & Puteri hati kami yg baru berusia 2tahun serta seorang lagi Permata hati kami yang baru 4bulan di dalam kandungan sy ini sekarang.. Setelan berbulan-bulan tabah & sabar dengan kesakitan yg terpaksa dilaluinya pada setiap saat,akhirnya pada malam 8November & juga 5hari sebelum tibanya harilahir Puteri kami yg ke-2tahun dia pergi juga meninggalkan kami..Suami Sy yg Tercinta,Mohd Syafiz bin Dahalan menderita Testicular Cancer & telah berada di tahap 4.. Gelap dunia sy rasakan & hingga skrg sy seolah tidak percaya dgn apa yg terjadi ini.. pada mulanya sy juga seperti segelintir dari anda yg menyalahkan takdir.. Kepala sy mula memikirkan macam-macam perkara negatif yg mungkin kalau tiada kesedaran pada masa itu boleh buat sy jadi Gila akhirnya.. Tapi selepas 2hari pemergian yg tersayang,sy mula bermuhasabah diri.. sy cuba mengikhlaskan apa yg berlaku ini.. sy perlahan2 cuba terima Qada & Qadar ini.. Sy mula cari sebanyak mungkin artikel mahupun Rencana berkaitan Erti kehidupan yg sebenar di sumber2 internet & lain2.. Sy juga ada mengajak ibu sy menemani sy mencari buku2 tentang Tujuan sebenar kita hidup di mukabumi Allah ini & juga buku mengenai Apa yg berkaitan Akhirat & Syurga.. Dari apa yg telah sy Fahami & teliti,ada beberapa perkara yg harus kita Pegang & Genggam atas apa yg telah terjadi pada kita ini.. Sesungguhnya Kita hanyalah hamba Allah di muka bumi ini.. Dalam kehidupan yg sebenarnya kita harus melalui 4fasa kehidupan.. iaitu kita harus menempuh pelbagai alam untuk menuju ke alam kehidupan yg kekal abadi..iaitu Alam Rahim,ALam Dunia,Alam Barzakh,&seterusnya alam Akhirat.. Tahukah kalian bahawa kematian orang yg tercinta sebenarnya bukan satu pengakhiran Dalam perhubungan Suami isteri.. Tahukah anda bahawa kita sebenarnya berpeluang besar untuk bertemu kembali dengan suami kita yg telah meninggalkan kita di dunia yg sememangnya fana(Sementara) ini.. Umum semua maklum bahawa semua yg hidup pasti akan merasai mati.. Tetapi sedari kalian semua bahawasanya kematian bukanlah suatu PENGAKHIRAN hidup,TETAPI adalah PERMULAAN hidup yg Kekal abadi(Alam Akhirat).. Bagaimana itu?.. Marilah kita berserah diri ke jalan Allah S.w,t.. Ubah diri dari segala sifat Negatif yg mungkin dah lama bersarang dalam diri kita ini.. Tujuan kita berada di dunia ini bukan untuk duduk & asyik menikmati kenikmatan dunia ini.. Sesungguhnya kita berada di dunia ini untuk di uji Allah Apakah kita hidup dengan melaksanakan perintah Allah ataupun kita lalai dengan segala kenikmatan yg diberikan Allah buat kita.. & sesungguhnya teman2,Kehidupan di dunia ini hanyalah bersifat sementara dan segala apa yg kita ada pasti akan hilang juga.. xkiralah Dari harta benda,keluarga,& segala2nya.. kita pasti akan pergi juga meninggalkan dunia yg sememangnya bukan milik kita ini.. Kehidupan yg Kekal sekekal2nya adalah kehidupan di Akhirat sana.. sy ingin sekala memujuk & mengajak saudari2 yg kehilangan suami tercinta agar bangun & jadikan tujuan kehidupan kita sekarang adalah untuk membesarkan anak2, untuk mendoakan kesejahteraan suami kita di sana & juga untuk hidup di jalan Allah dgn mengumpul bekalan untuk Kehidupan akhirat kelak.. Janganlah kita terlalu meratapi orang yg tersayang kerana dengan izin Allah jika betul cara hidup kita selepas ini iaitu hidup di jalan Allah insya’allah kita akan hidup kekal abadi bersama suami kita yg tercinta di Syurga jika ini Cita-cita kita hingga ke hembusan nafas kita yg terakhir..insya’allah.. Syaratnya mudah sahaja jika kita Tekad untuk bersama yg tersayang di dunia yg kekal itu nanti(Akhirat).. Jalannya ada dua,Jalan Allah & Jalan Nafsu.. Jalan Allah ialah kita mendekatkan diri pada Allah sehinggalah ajal menjemput kita.. setiap kali Solat 5waktu jangan berputus asa berdoa semoga mengampuni segala dosa2 Arwah suami kita dab dipertemukan semula suami kita di SYURGA kelak.. Memang bukan mudah untuk masuk ke syurga.. Tapi tepuk dada tanya selera.. Bukalah mana Rencana tentang kehidupan & juga buku2 ilmiah tentang Akhirat yg sememangya pasti itu.. setelah itu baru anda akan faham apa yg sy maksudkan.. Atau anda terus pilih jalan yg kedua,iaitu Jalan Nafsu.. iaitu anda teruskan kehidupan yg penuh kelalaian ini.. Usahlah tertipu dengan duniawi ini wahai Teman2ku.. Sesungguhnya di sana nanti anda akan menyesal dengan jalan yg anda pilih ini(Jalan Nafsu).. Sudahlah di hisab di padang Masyar dengan Timbangan Amalan yg belum tentu berat Timbangan Pahala Anda,anda juga mungkin akan kehilangan keluarga terutama Suami & Anak2 kesayangan Saudari BUAT SELAMANYA di neraka jahanam.. Ketahuilah buat anda sekalian bahawasanya Di Syurga nanti tiada yg Bujang.. ISTERI YG KEMATIAN SUAMINYA & TIDAK BERKAHWIN SELEPAS ITU ATAS KESETIAAN & KUATNYA CINTA TERHADAP SUAMINYA ITU AKAN BERSAMA SEMULA DENGAN SUAMINYA YG DIDUNIA DULU SEKIRANYA SUAMINYA ITU JUGA ADALAH AHLI SYURGA JUGA.. JADI Adalah besar Amanat kita agar teruskan hidup di dunia ini di jalan Alaah & jangan sekali2 putus asa mendoakan agar Diampun segala dosa suami kita & Dipertemukan semula kita & suami kita di syurga nanti..itupun jika betul cara kehidupan kita.. Sesungguhnya dinia ini hanya bersifat sementara & Beringatlah bahawasanya Akhirat juga kekal selama-lamanya.. Jika di dunia kita harus menempuh Alam Bayi,Kanak-kanak,Remaja,Dewasa,tua & pengakhirannya adalah kematian..Tapi di Syurga Besar Ganjaran yg Allah berikan iaitu Kita akan hidup bersenang lenang bersama pasangan kita,kita sentiasa muda,pelbagai nikmat yg xterkata,& hidup kekal selama-lamanya serta tiada lagi kematian yg memisahkan kita dgn yg tercinta..Cinta sejati sebenarnya membawa ke Syurga..ada juga pasangan suami isteri yg dapat hidup lama hingga ke tua tapi kehidupan mereka penuh dgn kelekaan & kelalaian dgn Nikmat dunia yg sementara ini yb akhirnya membawa hingga ke ajal mereka tapi akhirnya membawa kerugian di Akhirat sana yg membuatkan mereka dapat hidup bersama hanya di dunia sahaja kerana mungkin antara mereka ditempatkan di Neraka atau hanya salah seorang dari pasangan tersebut yg di tempatkan di syurga yg membuat mereka tidak dapat bersatu di Syurga tetapi dikahwinkan dengan ahli syurga yg lain.. tapi pastinya kita inginkan kehidupan hakiki dgn pasangan kita waktu di dunia dulu kan.. Renunglah kembali apa maksud yg tersurat & tersirat dari kata2 sy ini ya.. sekali lg sy katakan”Tepuk Dada,Tanya Selera”..segalanya atas pilihan kita sendiri.. Carilah ilmu Tentang akhirat & jgn terlalu mengejar duniawi yg akan kita tinggalkan juga suatu hari nanti.. Kesabaran atas ujian yg telah Allah beri pada kita sekarang ni,insya’allah akan terbalas jua di Syurga Nanti.. Sesungguhnya Allah Sayang pada kita yg ikHlas atas ujian yg diberi-NYA & pastinya dia akan memulangkan semula apa yg diambilnya dari kita waktu di dunia dahulu jika tempat kita di Syurga….Pujuklah hati anda dgn apa yg sy pesankan ini & semoga kita bertemu lagi di Syurga Allah bersama Suami kita yg tercinta.. Semoga kita akan tersenyum sahaja di sana di atas kesabaran penderitaan kita sewaktu di dunia ini.. Siapkanlah bekalan menuju ke akhirat mulai sekarang & Sentiasalah berdoa & kuatkan diri agar kita menjadi Isteri kepada Suami kita “ISTERI DUNIA & AKHIRAT”..iNSYA’ALLAH… Beringatlah bahawasanya Hidup akan MATI & Akhirat itu adalah PASTI!..

  51. t.ksih ustaz dgn penulisan ini…smoga Allah sentiasa mrahmati dan mberkati khidupn ustaz skluarga.

  52. Semangatku hilang…serasa hidup tiada arti..aku baru saja ditinggal pergi utk selamanya oleh anakku yg br berumur 5 tahun..sakit hati ini pedih rasanya tp semua sdh kehendak Allah..semoga Allah menempatkan anakku di surga’Nya dan arwahnya di trima di sisi Allah SWT..amiin.

  53. Semoga Allah swt mencucuri rahmat ke atas roh almarhum mustapah bin md said ayahanda tercinta, dan di tempatkan dikalangan orang2 beriman. Amin.

  54. Asalam..sy baru kehilangan suami yg dikasihi n dicintai..suami meninggalkan sy n 2 org anak yg msh kecil..pemergian suami sy redha..cuma Kdg2 air mata n prasaan rindu menggamit hati yg xdpt sy lawan..bile terlalu sedih sy akan bacakan yassin n al-fatihah pd arwah suami..alhamdulillah bile bace artikel ini lg membuat sy semangat n tabah utk harungi kehidupan yg mendatang..insyaAllah

  55. Assalamualaikum….tqvm ustaz…saya juga telah kehilangan suami tersayang….pada mac 2013…takdir Allah yang kita tak jangka…3 orang anak yang ditinggalkan adalah penyambung kasih kami…semoga mereka akan jadi anak yang soleh dan solehah….aminn..tulisan ustaz amat membantu untuk kami yg membaca ….dan boleh dimanfaatkan….Alfatihah….

  56. Subhaallohu….. Khususon illa ruhi (anandaku) Muhammad Bimoseno Widodo bin Agus Widodo…Bayiku “Bimbim…Bimo”:panggilan sayang kami,,,anak ke 2 ku…yang telah berpulang mndahului ku pada harinya sabtu, 18 Mei 2013….bayi mungil, tampan dan gagah bak cucuran wajah suamiku, ayahandanya (Agus Widodo) yang hanya dikenankan Allah SWT bersamaku selama 51 hari saja… berat sungguh beraatt manakala perih getir darah saat melahirkannya masih terasa begitu hebatnya, kala mengandungnya bersusah payah 9 bulan lamanya….. terlintas lalu, mengapa ini terjadi padaku..mengapa ini berat didiriku….aku berpayah mengandung, melahirkan hingga dpt bahagia tiada tara kala kelahirannya hari jumat 29 Maret 2013 jam 10.12 WIB. tp hanya boleh bersama 1,5 bulan saja…. tetes air susu (ASI) masih membuncahkan rasa pedih stlh kepergiannya… andai ada cara menghalangi malaikat maut itu….namun kini Allah sajalah yang mendekap memeluknya…. “hanya titipan….hanya amanah…krn semua milik ALLAH SWT” berulang kali pikir ini kucekokkan dipikiran dan hatiku. demikian jg rahimku..hanya titipan…anakku titipan…bahkan nyawa yang mnempel didiriku ini pula titipan…hari-hari galau msh kurasakan…berusaha bertatih meninggikan semangat dan motivasi diri utk bangkit dari kesedihan menjadi sahaja dan bahagia…Tolong hamba ya Rahman ya Rahiim….pertemukan hamba kelak bersama buah hati hamba di surgaMu…

  57. saya baru kehilangan bapa dua minggu lepas seminggu selepas majlis perkahwinan saya.. Gembira dan sedih silih berganti.. Arwah bagi saya amat kuat dan tidak sekalipun menunjukkan beliau lemah dalam menghadapi dugaan penyakitnya.. Hanya dua hari sebelum beliau kembali menemui sang Pencipta, Allah SWT, beliau barulah hendak ke hospital.. Doktor beritahu keluarga yang beliau terkena jangkitan kencing tikus dan bengkak hati.. Pada mulanya kami reda dan menerima sebab musabab kematian arwah akibat kencing tikus.. namun selepas beberapa hari arwah pergi, kami mula sangsi sebab kematian arwah.. Perkara yang tak pernah terlintas di hati kami semua, arwah pergi disebabkan terkena buatan orang.. Banyak tanda-tanda sihir yang kelihatan, cuma kami tidak perasan dan tidak pernah menyangka.. Saya reda abah pergi namun terkilan dan sakit hati apabila memikirkan sebab kematian beliau.. Satu perkara yang saya dan adik-adik pelajari adalah abah saya sudah sampai masa dan janji beliau kepada Allah untuk kembali ke alam abadi.. Dan sebab itulah tiada sesiapapun yang terfikir beliau terkena buatan orang yang hasad dengki terhadap keluarga kami.. Saya akui yang keluarga kami bukanlah keluarga yang taat menunaikan perintahNya.. Namun, alhamdulillah abah telah meninggalkan kami dalam hari mulia dan penuh barakah, berkat dari ilmu dan doa yang diucapkan oleh anak-anak murid abah.. Menyedarkan kami akan kewajiban menunaikan perintah Allah

  58. Saya baru 11 hari kehilangan suami tersayang,,,,sy rasa sgt sedih dan kehilangan,,,ditinggalkan berama dua orang nak lelaki yang masih kecil,,,ustazah sy perlukan seseorang untuk membantu saya kuat dan redha akan ketentuan tuhan ini,,,,,, xterkata kesedihan saya di ketika ini,,,,

  59. Hari ini genaplah18 hari arwah suami meninggalkan saya, seorang puteri, dua orang putera dan seorang lagi yang masih 8 bulan dalam kandungan. Suamiku pergi tanpa pesanan. Perasaan dan hati ini diuji dengan begitu kuat sekali…hati ini jadi perit bila melihat anak2 menagih kasih seorang ayah yang telah pergi meninggalkan dunia ini… tapi setelah membaca artikel dan komen ini tenanglah sedikit jiwa, hati dan perasaan. Rupa2ny bukan saye sorg yang kehilangan suami tercinta dalam usia muda.

  60. salam semua manusia akan mati juge ..hanye tunggu saatnye sahaje..selalu solat taubat untuk menghadapi kematian

  61. salam, saya juga antara yg diduga ALLAH swt dgn dugaan yg berat..kehilangan suami ketika bayi kami baru berusia 24hari..sedihnya tak terkata..saya sedih dan rindu kan arwah..setiap waktu saya doakan semoga suami saya sentiasa dicucuri rahmat oleh ALLAH swt. doa saya semoga jodoh kami berpanjangan sehingga ke akhirat nnt. bertemu kembali di syurga dgn izin ALLAH swt.. tulisan ustaz menguatkan lagi semangat dan iltizam utk jd isteri yg lebih baik buat suami saya yg jauh dimata namun dekat dihati, alam kami berbeza, cinta tetap sama..

  62. sesungguhnya perjalanan hidup dan ketentuan Allah tiada siapa dpt menduga…suami yg sgt d kasihi pergi meninggalkan saya dan 3 org puteri kami yg baru berusia 6thn,4thn dan 2thn pd 24.10.2013…saya akn berusha mjalan kn amanah utk mbimbing harta peninggalan suami iaitu ank2 kami mnjdi ank yg solehah yg sntiasa mndoakn kesejahteraan arwah suami d alam sana, mga dia lah suami sya d dunia dan akhirat dan kami sekeluarga akn btemu semula di Jannah..amiin

  63. Memang perit kehilangan orang yang kita sayang. Namun ketentuan Ilahi kita kena akur dan terima dengan redho. Hanya doa dan kesabaran yang dapat kita pohon pada Yang Esa. Kepada yang senasib berbanyaklah bersabar dan berdoa supaya orang yang kita sayang bersama-sama orang yang solihin. Saya juga diuji lg buat kali ke 2 kematian orang yg disayangi.

  64. Assalamualaikum. Amat tersentuh dengan nukilan ini ustaz. Ustaz saya baru sahaja kehilangan insan yang sngat saya cintai pada tanggal 3.2..2014. Amat berat dugaan ini, suami pergi meninggalkan saya untuk selama-lamanya. Tinggallah saya bersama 4 orang anak. Dia tinggalkan saya disaat-saat saya amat memerlukan kasih dan sokonggannya. Dia tinggalkan saya dengan lambang cinta kami iaiutu rumah yang masih belum disiapkan, dia tinggalkan saya dengan tanggungjawab yang sangat berat untuk saya pikul seorang diri.
    Ustaz, tidak dapat saya ucapkan dengan kata-kata kecintaan saya padanya, kerinduan padanya juga sering menyesakkan. Namun saya Redha dengan ketentuan Ilahi. Saya Redha. Saya tahu Allah hanya akan menguji seseorang itu selagi dia mampu menahannya.
    Selama 20 tahun hidup bersama hanya kemanisan yang saya rasai. Saya sering memohon kepada Allah agar saya akan kembali menjadi jodohnya di akhirat kelak. Saya akan setia pada cinta dan kasih saya terhadap arwah.
    Dia pergi dengan kemanisan iman. Sempat melafazkan ‘LA ILA HA ILALLAH’ sebelum menghembuskan nafas terakhirnya. Wajahnya manis tersenyum seperti tidur dimalam hari.
    Mungkin ujian ini untuk saya lebih bersedia menghadap Allah kelak, Sekarang saya lebih banyak mendekati Allah dan mempelajari lebih banyak ilmu Allah. Saya akan mendidik 4 anak kami agar menjadi anak2 yang soleh dan solehah. Saya akan meneruskan hidup ini untuk anak2 tercinta. Saya akan gagahkan diri untuk bangun semula walaupun hanya bertongkatkan paruh.
    Terima kasih ustaz, nukilan ini banyak memberi kekuatan kepada saya. Saya akan cuba menjadi seperti isteri2 Rasullullah yang begitu tabah dan setia terhadap Rasullullah.
    In Sha Allah apabila saya menghadap Allah kelak saya akan lebih bersedia dan lebih gembira kerana insan yang saya cintai menunggu saya disana.
    Wasallam

  65. Allahu Akbar… genap 20 hari almarhumah istri tercinta meninggalkan dunia, meninggalkan berjuta kenangan,harapan dan impian. terima kasih telah menguatkan dengan tulisan ini, semoga menjadi ilmu yang bermanfaat menjadi bekal ke alam akhirat…..:0

Tinggalkan komen

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.