TUAN DIREKTUR RELEVAN HINGGA KINI

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Saya ulang baca Tuan Direktur buat sekian kalinya. Buku yang saya baca sejak di sekolah rendah ini telah memberi makna dan pengajaran yang baru apabila dibaca masa kini – ketika usia hampir 60 tahun.

Sudah banyak pengalaman, pahit-manis, suka-derita, yang saya lalui dalam kehidupan. Berjuang dan bekerja dalam pelbagai lapangan dan organisasi telah membuka minda dan persepektif baru dalam menilai dan belajar.

Lalu membaca Tuan Direktur, karya Hamka ini menyedarkan saya betapa realiti kelicikan, ketamakan, dan sikap bermuka-muka Sang Kapitalis atas nama agama, bangsa, kebenaran, dan apa jua topeng, masih tetap ada, masih tetap sama.

Kita akan temui Tuan Direktur (pengarah syarikat) yakni Tuan Jazuli, yang awalnya sangat komited untuk membela agama dan masyarakat, lalu mendapat sokongan ramai teman setia yang rela berjuang bersamanya seperti Haji Nawawi (rakan sebaya yang punya prinsip dan sistem nilai yang kukuh), Fauzi (anak muda yang bercita-cita suci dan tinggi), Abdul Fatah (perkerja yang jujur) dan lain-lain lagi.

Dengan dokongan, dua orang figur dan para pekerja yang sama cita-cita inilah Tuan Direktur membina pernigaaannya. Daripada perniagaan bertaraf kecil, sederhana sehinggalah menjadi besar dan maju. Ketika itu, Tuan Direktur sudah mula lupa diri. Benarlah kata orang tua, semakin tinggi pokok yang kita panjat, maka semakin kuatlah angin yang menggoyang.

Dan pada ketika itu, muncullah para ‘pengampu’ seperti Haji Salmin, Margono dan paling berbahaya, watak ‘gunting dalam lipatan’, seorang yang bernama Kadri. Kadri, dianggap berjasa oleh Tuan Direktur. Dengan pandangan, ramalan-ramalan ghaib SiKadri itulah, Tuan Direktur banyak mendapat keuntungan dan perniagaannya semakin ‘menjadi’.

Padahal, Kadri hanyalah sokong yang membawa rebah. Daripada laporan-laporan yang tidak berpijak di bumi nyata, tanpa fakta, prasangka, itulah Tuan Jazuli terkesima. Tuan Direktur yang terpesona dengan rekod kejayaannya merasakan Kadri itulah ayam tambatan yang diberi sepenuh kepercayaan.

Akibatnya, Tuan Direktur dibenci oleh para pekerja secara diam-diam dan terang-terangan. Nasihat Haji Nawawi, pandangan Fauzi dan orang-orang yang jujur habis semuanya diketepikan. Tuan Direktor, terus merancang operasi perniagaannya untuk lebih jauh dan tinggi tanpa mengetahui dan menyedari betapa ramai para pekerja yang dizalimi dan dinafikan haknya. Padanya, perkerja dilihat sebagai ‘alat’ untuk mencetak keuntungan sahaja.

Tentang itu Hamka, melalui watak Pak Yasin menjelaskan:

“…iaitu tindasan majikan kepada buruh, buruh hanya sebagai alat perkakas untuk pengayakan majikan dan majikan memandang buruhnya tidak ada harga, kecuali untuk penambah kekayaannya. Tidak kecil hati jika keadaan itu kalau terjadi di tanah lain. Tetapi kecil hati bapa kalau terjadi di tanah yang dikongkong keislaman ini”

Rupanya, Tuan Direktur mendaki lebih tinggi hanya untuk jatuh lebih sakit. Kebatilan, walaupun usianya boleh jadi lama, tetapi akhirnya jatuh jua. Manakala kebenaran, perlu kesabaran untuk terbukti relevan dan signifikan apabila tiba waktunya. Allah itu ada. Allah itu Maha Adil. Kejayaan dan kebahagiaan yang dibina atas air mata dan derita orang lain, tidak akan mampu bertahan.

Apa terjadi kepada Tuan Jazuli dan konco-konconya? Siapa Pak Yasin, figur kaya jiwa dan kaya harta secara sederhana yang memberi harapan kepada marhein dan orang bawahan yang tertindas? Apakah nasib Fauzi, yang tercampak keluar tetapi terus hidup jiwa perjuangan dan cita-citanya? Apa pula yang diterima oleh para pengampu seperti Haji Salmin dan Margono? Dan paling tragis, apakah nasib Si Kadri yang licik, pandai bermuka-muka tetapi penuh kepentingan diri itu?

Sesungguhnya Hamka penulis yang memahami watak dan karektor manusia. Mungkin latar dan suasana berubah tetapi hati manusia tidak berubah. Manusia yang berhati serigala (walaupun berjubah agama atau berbaju bangsa) tetap sama. Akan terus ada insan yang bertaqwa, berakhlak dan itqan, tetapi rela menjadi ‘unsung hero’ – wira yang tidak didendangkan, di dalam masyarakat, organisasi dan negara.

Kita memilih watak yang mana? Tuan Direktur atau Pak Yasin? Kadri atau Haji Nawawi? Haji Mislan atau Fauzi? Tepuk dada, tanya iman. Bacalah Tuan Direktur, kerana dengannya anda membaca diri sendiri dan manusia!

One thought on “TUAN DIREKTUR RELEVAN HINGGA KINI

Tinggalkan komen

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.