BAHASA CINTA AYAH…

Bahasa Cinta Ayah

“Alhamdulillah, saya berjaya ke universiti!” Luah seorang anak. Ibu segera memeluknya dengan erat. Air matanya gugur kegembiraan. Sebaliknya, ayah masih diam tanpa suara.

Tidak lama, dengan perlahan dia bertanya, “berapa biaya yang diperlukan untuk ke sana?”

Cintanya, dengan Tindakan

Bicara ayah selalunya singkat. Sekadar, “belajar baik-baik.” “Jaga solat.” “Ingat Allah.” Ibu, sebaliknya tidak seperti itu. Ibu mampu meluahkan bicara yang tidak menjemukan. Leteran, ingatan, dan kerisauannya boleh jadi berjela-jela panjangnya. Diulang-ulang lagi tanpa diminta.

Cinta ibu, diluahkan, diletuskan melalui bujukan, kemarahan dan belaian. Namun ayah tidak begitu. Ayah hanya berada di belakang tabir ibu. Kalau kita jauh, ayah jarang membuat panggilan. Ibu yang lebih kerap. Namun apabila diselidiki, selalunya ayahlah yang mengingatkan ibu supaya membuat panggilan. Sebagai anak kadangkala kita terlupa, kasih ayah tetap ada walaupun kadangkala tidak ketara.

Ayah kadangkala kelihatan keras. Dilepaskannya kita ke dalam sungai untuk belajar berenang. Tercungap-cungap kita hampir kelemasan. Kemudian barulah tangannya menyambut semula. Tidak lama, kita dilepaskan kembali. Begitulah dibuatnya berulang-ulang kali.

Di kejauhan ibu segera mengingatkan, “Jangan terlalu gopoh, anak kita nanti kelemasan.”

Namun, ayah tetap tega, sehingga akhirnya kita berjaya berenang. Ayah melatih tanpa letih. Kita dibimbing tanpa jerih. Padahal, jika ada orang yang paling risau sekiranya kita ditimpa bahaya ayahlah orangnya. Kita tidak faham di sebalik ‘kekejamananya’. Sedangkan atas kebimbangan itulah ayah bertindak begitu… agar ketika dia tiada nanti, kita mampu menyelamatkan diri sendiri!

Dalam Diam Seorang Ayah

Sewaktu kita pulang dari sekolah membawa laporan peperiksaan yang memberangsangkan, ayah menyambutnya dengan wajah selamba. Pujian yang kita harapkan tidak kedengaran. Dia meneliti buku laporan itu bersahaja. Kita seolah-olah tidak mencapai apa-apa.

Namun, hati kita kemudian terubat, apabila ayah membanggakan kita di depan ibu dan adik-beradik yang tanpa disedarinya kita mendengar pujian itu. Rupa-rupanya ayah memuji dalam sembunyi. Pujiannya bagai menyiram air ke atas benih yang sedang tumbuh … tidak terlalu banyak, nanti benih mati terhenyak. Tidak terlalu sedikit, nanti benih mati kehausan. Sungguh, ayah punya cara tersendiri untuk memuji.

Ketika tiba saat berpisah, kita perlu meninggalkan rumah untuk tinggal di asrama atau di perantauan. Ayah menemani kita di perhentian terakhir. Boleh jadi di stesen bas, perhentian kereta api, atau di tepi kereta sendiri. Kita lihat wajah ibu sudah mendung dan kemudian menitiskan air mata.

Namun ayah masih begitu-begitu jua… Dengan tenang dia menghulurkan tangan dan kita menciumnya. Ayah berpaling dan pamitan itu pun bermula. Ketika wajah ibu masih merenung di kejauhan dengan lambaian tangannya yang sangat sayu, pandangan ayah pula terus ke hadapan., fokus pada pemanduan, seolah-olah tidak tergores oleh perpisahan…

Namun berminggu-minggu kemudian, ibu membocorkan rahsia. Ayahlah paling kerap menjengah bilik tidur dan katil yang kita tinggalkan. Ayah jadi seorang perindu, kata ibu. Dia mula menyebut makanan yang menjadi kesukaan kita, mula merenung gambar kita dan mula berkira-kira mahu melawat kita walaupun usia perpisahan belum terlalu lama.

Itulah ayah, yang kesedihan dan kesayuan, tidak terpamer. Kanvas cintanya bukan dilukis oleh warna-warna yang boleh disentuh oleh mata… tetapi hanya dapat dibaca oleh rasa. Rindu ayah tidak kurang dahsyatnya dengan rindu ibu… tetapi ayah lebih mampu menyembunyikannya.

Ada Saat Senang dan Susah

Sewaktu kita hidup susah, ditimpa pelbagai masalah, ayah datang dan berada di sisi dengan pelbagai bantuan. Boleh jadi dengan wang, boleh jadi dengan semangat. Atau hanya dengan doa. Ayah tidak akan pernah meninggalkan kita.

Ketika semua orang seolah-olah sudah hilang keyakinan dan kepercayaan kepada kita,  ayah tetap berdiri teguh memberi sokongan dan dukungan serta tidak pernah meninggalkan. Dialah jeneral yang terus berpesan kepada kita; perwiranya, “Kau hanya kalah dalam satu pertempuran anakku, bukan dalam satu peperangan!” Dan dengan kata –kata itu, anakmu bangkit untuk mencipta kemenangan baharu.

Ketika diajak makan besar dalam restoran mewah menyambut kejayaan anak, tiba-tiba ayah mengingatkan kepada ikan kering, pucuk ubi dan pucuk paku yang menjadi juadah kami sewaktu di kampung dulu. Ketika kakinya melangkah ke banglo atau vila anaknya yang tersergam gagah, ayah bertanyakan tentang cangkul dan sabit untuk meratakan rumput dan menebas lalang yang tumbuh liar di luar pagar.

Mengapa ayah? Tidak suka dengan kejayaan anak?

Bukan… kita yang silap membaca peringatan ayah. Ayah mengingatkan tentang nilai kasih sayang, pengorbanan dan persaudaraan… Agar jangan dihakis oleh kemewahan duniawi. Rupanya, semakin tua ayah jadi semakin tersirat, mengingatkan kita tentang ukhrawi.

Selepas Dia Pergi…

Apabila ayah pergi, pentas kasih sayang itu menjadi kosong. Kita kehilangan suara yang jarang kedengaran itu. Kita kehilangan tangan kasar yang penuh kasih itu. Wajah budinya, renung mata tuanya, dan belitan urat di lengan kendurnya, sangat kita rindui. Rindu ini pilu. Ingin bertemu kembali.

Tetapi bilakah? Di manakah? Adakah? Tidak sempat segalanya kita balas, ayah pun pergi melepaskan beban yang digalas. Dia keletihan… Biarlah dia istirahat di sana. Sebagai anak, kita cuma berharap dan berdoa… semoga kita bertemu lagi ayah, di syurga!

Pada anak-anak yang masih punya bapa, hargailah dia sewajarnya. Besar mana pun kelemahan dan kekurangannya, lebih besar lagi jasa dan budinya. Dialah yang Allah pilih untuk menjadi ayah kita. Pilihan Allah, tidak pernah tersalah. Dia terbaik untuk kita, dan kita yang terbaik untuknya…

Sekalipun pahit yang diberi ayah, pahit itu hakikatnya adalah ubat yang merawat. Sekalipun pedih, itu bukan tanda benci… Itu kerana ayah punya cara tersendiri dalam mencintai kita. Bahagianya, sering tidak diucapkan. Pujiannya jarang diluahkan. Kebanggaannya adakalanya tidak bersuara. Anak, bersyukurlah kepada Allah dengan mengasihi ayahmu… selagi ayah mu masih ada.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

%d bloggers like this: