RSS

Cara mencntai Islam ialah dengan memperjuangannya

13 Feb

SUBURkanimanBG-1Cara mempertahankan Islam ialah dengan mengamalkannya. Cara mencintai Islam ialah dengan memperjuangkannya. Inilah hakikatnya.

Namun, berapa ramai orang Islam yang mengaku mempertahankan Islam tetapi tidak mengamalkan ajaran Islam secara sepenuhnya dan menyeluruh.

Mana yang dirasakan sesuai dengan kehendaknya, diterima dan diamalkan. Manakala yang dirasakan merugikan dan mengancam kedudukan, dipinggirkan.

Sebab itu, kita lihat ramai yang begitu marah dengan Zionis kerana menyerang Islam, tetapi tingkah laku dan cara hidup mereka persis musuh yang mereka benci itu.

Betapa ramai pula yang mengaku mencintai Islam tetapi membiarkan Islam dihina dan dipersenda.

Apalagi menyerang balas, mempertahankannya pun tidak mahu. Sedangkan, kata Hasan al-Banna, “Kemanisan beragama hanya dapat dirasai oleh orang yang memperjuangkannya.” Bagaimana kita boleh mencintai Islam sekiranya kita tidak merasai kemanisannya dan bagaimana pula kita akan dapat kemanisannya tanpa memperjuangkannya?

Islam untuk diamalkan, bukan untuk dislogankan. Islam untuk ditegakkan dalam realiti masa kini, bukan hanya untuk dikenang sebagai nostalgia masa silam. Islam perlu keluar dari “kandang orang salah” yang terpaksa menjawab pelbagai dakwaan dan mula mencabar musuh yang selama ini memomokkannya. Namun, jawapan terbaik ialah tindakan bukan lisan. Malah tindakan yang paling berkesan ialah akhlak yang baik.

Perangi musuhmu dengan senjata kasih sayang. Dengan kasih sayang kita bukan sahaja menawan fikiran tetapi yang penting dapat menawan hati. Betapa ramai, orang yang menang hujah, tetapi tetap ditolak kerana hati orang yang dihadapinya tidak tertarik dengan akhlaknya. Berapa ramai pula orang yang kalah hujah tetapi menang pengaruh kerana akhlaknya yang menawan.

Melalui sejarah perjuangan Rasulullah SAW kita boleh melihat dan merasai betapa indahnya praktik Islam dalam menghadapi pelbagai situasi dan kondisi. Islam tidak perlu disesuaikan mengikut zaman kerana Islam memang sesuai untuk sepanjang zaman.  Realiti budaya, bahasa dan bangsa yang berbeza bukan alasan untuk menolak Islam. Islam itu mesra budaya, bangsa, bahasa dan warna kulit.

Komputer dicipta agar bersifat “user friendly”. Bentuk, sifat dan cara pengendaliannya memang untuk memudahkan. Manusia tidak kira apa latar belakangnya, mudah belajar mengggunakannya. Bayangkan, itu hanya komputer yang dicipta oleh manusia yang punya pelbagai kelemahan. Sedangkan Islam ialah ciptaan Allah, Yang Maha Sempurna. Islam tidak ada sebarang cela dan kecacatan. Percayalah, jika Islam dilihat tidak indah, maka mata hati yang melihat itulah yang tidak indah.

Adalah mustahil jika seseorang berasa Islam tidak sesuai dengannya. Yang sebenarnya dialah yang tidak sesuai dengan Islam. Apa gunanya cincin yang cantik dan berharga jika diberikan kepada si tangan kudung. Maka begitulah Islam yang indah dan sempurna diberikan kepada orang yang di dalam hatinya ada penyakit.

Islam merupakan pasangan hidup manusia untuk mencapai kejayaan di dunia dan akhirat. Tanpa Islam, akan berlaku kepincangan dan kekosongan. Hidup beragama tidak boleh diganti dengan hidup berharta dan berkuasa.

Adalah wajar umat Islam meniru dan belajar strategi Rasulullah SAW dalam perjuangan Baginda menegakkan Islam. Di tahap pertama perjuangannya (di Makkah) Baginda terlebih dahulu membina kekuatan iman dan takwa di dalam diri pengikutnya. Di peringkat ini, fokus Baginda hanyalah pada pembinaan kekuatan dalaman. Ketika ini walaupun ada serangan dalam bentuk fizikal hingga ke peringkat membunuh, Rasulullah tidak melawan walaupun ada sahabat yang terkorban.

Apabila penyeksaan sudah keterlaluan, Baginda mengarahkan beberapa orang sahabat berhijrah ke Habsyah dan kemudiannya Baginda sendiri berhijrah ke Madinah. Pada peringkat awal di Kota Madinah, Baginda memperkukuhkan tali persaudaraan dan kekuatan perpaduan dengan pembinaan masjid dan membina suasana aman dengan memeterai Piagam Madinah. Kekuatan ekonomi mula dibina dan sistem hidup yang memerlukan pelbagai kepakaran mula diterokai.

Apabila kekuatan Islam mula terserlah dan musuh terus mencabar, barulah Rasululah  mengangkat senjata dan berlakulah beberapa siri peperangan. Mula-mula peperangan Badar, kemudian Uhud dan akhirnya Khandak. Keberanian dan kepakaran dalam bidang ketenteraan tidak menggangu kecintaan Rasulullah  kepada perdamaian. Lalu berlakulah perjanjian Hudaibiyah.

Rasululah  berani berperang dan berani berdamai. Malah dalam kedua-dua keadaan tersulam satu kebijaksanaan, kejujuran dan kekuatan yang tidak dapat ditandingi. Akhirnya, dengan hati yang bertakwa, pemikiran yang strategik dan persediaan fizikal yang mantap, Makkah berjaya dibebaskan dan Islam tersebar di seluruh Jaziratul Arab.

 

Islam telah pernah menukar umat Arab jahiliah yang ganas, mungkar dan tidak berketerampilan menjadi satu bangsa yang agung dan bertamadun. Tetapi dengan syarat, Islam yang diyakini ialah Islam yang sebenar dan sempurna, bukan Islam yang terserpih dan tercemar. Islam yang mampu memberi kekuatan ialah Islam yang tergabung secara bersepadu antara persoalan akidah, syariah dan akhlak.

Jadi, untuk menambah kekuatannya, umat Islam mesti serius dengan agamanya. Keunggulan Islam tidak sepatutnya diterima dari sudut teori tetapi mesti diamalkan sebagai satu cara hidup yang merangkumi seluruh bidang kehidupan dan sistem hidup. Hasil pengamalan Islam secara total ini akan melahirkan hubungan yang lebih akrab dengan Tuhan (takwa), hubungan yang rapat sesama manusia (akhlak) dan kecemerlangan dalam seluruh bidang kehidupan (itqan). Takwa, akhlak dan itqan ialah tiga kekuatan rohaniah yang perlu diterokai dan dicapai oleh umat Islam masa kini.

Ini ialah satu kekuatan yang bukan sahaja telah mengubah bangsa Arab, tetapi juga bangsa Mongol, Turki, Kurdi dan Parsi. Umat Melayu khususnya, telah pernah mencapai mukadimah awal kepada kejayaan ini dengan tertubuhnya empayar Islam Melayu Melaka pada akhir kurun ke-14. Sayangnya, kejayaan itu terencat dan pupus apabila sultan, pembesar dan rakyat jelata negeri Melaka menjauhkan diri daripada Islam. Akibat kerapuhan iman dan takwa pada mulanya, kemudian merebak kepada perpaduan dan akhlak yang akhirnya menjejaskan prestasi dalam bidang pentadbiran, kewangan, peperangan dan lain-lain lagi.

Selain kekuatan rohaniah, dunia Islam juga punya kekuatan dari segi ekonomi. Hampir semua negara pengeluar minyak utama dunia terdiri daripada negara-negara Islam. Sumber alam ini jika digunakan dengan berhemat sudah pasti akan menjana kekuatan ekonomi dalam kalangan umat Islam. Negara Islam yang kaya tetapi kurang kemahiran dari segi ilmu dan teknologi boleh mendapat bantuan daripada negara Islam yang mempunyai bijak pandai dalam bidang-bidang yang diperlukan. Arab Saudi misalnya, boleh mendapat tenaga-tenga pakar dari Pakistan, Mesir dan Malaysia yang selama ini lebih banyak mendapat peluang pekerjaan di negara-negara Barat.

Begitu juga Negara Islam yang mempunyai jumlah rakyat yang ramai boleh membekalkan tenaga kerja yang mahir kepada negara-negara kecil seperti Brunei, Bahrain, Emirets Arab Besatu dan sebagainya. Sumber tenaga manusia yang ramai ini sepatutnya dibangunkan dari sudut rohaniahnya dan kemudian dibekalkan dengan pelbagai kemahiran sesuai dengan bakat, minat dan kecenderungan masing-masing. Manakala negara-negara Islam yang sudah mempunyai kepakaran dalam bidang pengurusan, pentadbiran, perancangan ekonomi dan kemahiran teknologi seperti Malaysia boleh memindahkan pengalaman itu kepada negara-negara Islam yang lain.

Itulah antara kekuatan yang perlu dikenali, digunakan dan ditambah oleh umat Islam. Jika benar-benar dimanfaatkan akan terbinalah dua kekuatan yang sangat diperlukan oleh sesuatu umat untuk berjaya yakni kekuatan dalaman (iman, perhubungan dan keintelektualan) dan kekuatan luaran (ekonomi dan teknologi).

Usaha menggembleng kekuatan ini bukanlah sesuatu yang mustahil, justeru dunia Islam telah pun memiliki platform dan program ke arah merealisasikannya. Badan-badan seperti OIC misalnya, boleh dijadikan sebagai gelanggang untuk membincangkan, menyatukan seterusnya melaksanakan usaha ini secara bertahap-tahap bermula dengan agenda yang paling mudah hinggalah kepada yang paling rumit.

Umat Islam juga mesti mengenal apakah kelemahan mereka. Rata-rata umat Islam mengalami kelemahan dari sudut rohaniah dan juga lahiriah. Dari sudut rohaniah, walaupun umat Islam menjadi penganut agama yang diakui dan diredai Allah, tetapi keruntuhan akhlak turut berlaku dalam kalangan mereka. Akhlak ialah perisai kekuatan sesuatu bangsa atau umat. Apabila akhlak runtuh, maka rapuhlah kekuatan sesuatu bangsa walau sekuat mana pun teknologi dan ekonominya.

Empayar Rom dan Yunani runtuh apabila kemungkaran berleluasa dalam kalangan kaum bangsawan dan rakyat jelatanya. Al-Quran menceritakan bagaimana keruntuhan yang dialami oleh kaum Aad, kaum Tsamud, Firaun, kaum Lut dan lain-lain justeru mereka telah melanggar tatasusila dan prinsip akhlak. Jadi, apabila umat Islam lemah akhlaknya, maka usaha mesti dibuat untuk membina kekuatan ini semula.

Kelemahan akhlak ini adalah masalah utama yang perlu diatasi. Usaha mengatasinya mestilah setara malah jika boleh mengatasi usaha kita untuk memajukan ekonomi, teknologi dan lain-lain. Jika tidak, kita akan menghadapi masalah yang bukan sahaja datang daripada musuh-musuh Islam bahkan daripada umat Islam sendiri. Orang yang tidak berakhlak ialah perosak bangsa dan agama walaupun mereka kaya, berilmu dan mempunyai kepakaran yang tinggi. Malah kerosakan angkara orang jahat yang berilmu dan berharta lebih meluas dan buruk akibatnya daripada kerosakan yang boleh ditimbulkan oleh orang jahat yang bodoh dan miskin. Masalah akhlak tidak boleh dipandang sebelah mata dalam membangunkan kekuatan sesuatu bangsa.

Dari segi lahiriah, umat Islam masih ketinggalan dalam bidang ekonomi, persenjataan, sains dan teknologi. Kelemahan ini perlu disedari agar umat Islam tidak tersilap “meledakkan” kekuatan sebelum tiba masanya. Pencapaian kita masih jauh dan perjuangan ke arah itu sebenarnya masih panjang. Tindakan meledakkan kekuatan sebelum tiba masanya bolehlah disifatkan sebagai menjolok sarang tebuan.

 

Jangan menafikan realiti bahawa kekuatan persenjataan yang masih rendah hanya oleh keberanian dan semangat yang meluap-luap. Justeru, keberanian tanpa kebijaksanaan pada hakikatnya satu kebodohan yang menempa kebinasaan. Sekalipun negara Islam, Pakistan misalnya mempunyai kemampuan senjata nuklear tetapi lebih banyak lagi negara bukan Islam yang mempunyai kemampuan yang sama malah lebih canggih lagi. Di mana letaknya Pakistan dan Iraq berbanding Amerika, Eropah dan Israel dalam peta pensenjataan dunia?

 

Jadi, umat Islam perlu beringat, perang senjata bukanlah “medan jihad” yang relevan dan signifikan untuk membuktikan kecemerlangan dan keunggulan masakini. Namun, ini bukan bermakna umat Islam tidak perlu membangunkan kekuatan senjata dan kuasa ketenteraan tetapi sekarang bukan masanya untuk melawan pengkhianatan musuh Islam dalam perang terbuka.

 

Benarlah apa yang diucapkann oleh al-Hasan al-Basri bahawa, “Bukanlah iman itu dengan berangan-angan, bukan juga dengan perhiasan tetapi adalah sesuatu yang menetap di dalam hati dan dibenarkan dengan amalan….”[1] Umat Islam bukan umat “kambing gurun yang bertanduk panjang” – menempah tragedi dengan kelemahan dan kebodohan tetapi umat yang meniru strategi Rasul-Nya yang penuh kebijaksanaan (fatanah) dan keberanian (syaja’ah). Bukan sahaja berani tetapi bijak dalam menilai, membuat pertimbangan dan akhirnya bertindak.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 
Tinggalkan komen

Posted by di 13 Februari 2015 in Tarbiyah

 

Label: , ,

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: