RSS

TERIMA KASIH GURU KERANA MEROTAN KU

27 Jan

rotanSaya masih ingat ketika pertama kali dirotan. Saya dirotan oleh ustazah yang mengajar Al Quran. Walaupun hanya sekali tetapi itu cukup menyakitkan dan mengejutkan. Berbekas peha saya dibuatnya. Pulang ke rumah saya mengadu kepada bapa… Terkejut! Saya dipukul sekali lagi oleh bapa. Bukan sahaja bapa tidak menyalahkan ustazah, saya sekali dimarahi dan menerima rotan tambahan.

Sejak itu, saya tekad, serik dan tidak akan mengadu lagi kepada bapa kalau dimarahi atau dirotan oleh guru sekolah atau guru Al Quran.  Pada ayah, guru tetap betul, anak mesti yang salah. Walaupun bapa tidak berpelajaran, tetapi dia berpegang kepada prinsip: Untuk mendapat ilmu wajib hormati guru.

“Kita orang susah, hanya ilmu dapat membantu kamu dewasa nanti,“ begitu pesan bapa. Dalam kehidupan bersama bapa, sepanjang ingatan saya banyak kali (tidak terhitung) saya dirotan. Anehnya, kalau bapa memanggil saya ketika bermain dengan kawan-kawan dan di tangannya ada rotan (saya tahu saya bakal dirotan), saya tidak berani melarikan diri melainkan pasrah dan menyerah. Rotanlah beberapa kali pun saya hanya menangis.

Di sekolah menengah juga pernah saya dirotan. Saya dan beberapa kawan dirotan kerana tidak hadir kelas menelaah malam. Maklumlah, peperiksaan sudah tamat, kami memutuskan untuk ‘enjoy’ bermain kerom di dalam stor asrama. Namun peraturan tetap peraturan. Kami tertangkap semasa asyik bermain (kantoi, bahasa remaja sekarang) oleh Pengetua sendiri. Akibatnya, kami dirotan seorang sekali malam itu juga.

Rotan daripada pengetua itu tidak menyakitkan tetapi kesannya begitu dalam. Saya mula serius dengan peraturan dan undang-undang selepas itu. Daripada insiden itu saya mula mendidik diri menjadi orang yang menepati masa. Dan seingat saya kawan-kawan yang sama-sama menjadi ‘mangsa’ rotan ada malam itu sekarang, sudah pun menjadi doktor, jurutera an ahli perniagaan yang berjaya.

Jika rotan pernah mengajar saya, rotan itu jugalah yang saya gunakan untuk mengajar anak-anak. Seingat saya, pernah juga saya merotan anak-anak. Walaupun tidak nafikan kadangkala sebagai ibu-bapa, saya turut juga beremosi dan digugat rasa geram dan marah… tetapi motif merotan bukanlah kebencian, tetapi tetap kasih sayang.

Pepatah pun pernah mengingatkan, “sayangkan isteri tinggal-tinggalkan, sayangkan anak tangan-tangankan.” Semasa membaca buku Hikayat Abdulllah yang ditulis oleh Munsyi Abdullah, saya ada membaca hukuman guru terhadap pelajar-pelajarnya ketika itu. Dalam dunia Melayu ketika itu, sudah menjadi resam, apabila menyerahkan anak kepada guru, bapanya akan berkata, “daging untuk tuan, tulang untuk saya. Pukullah, asalkan jangan buta dan patah.” Begitu jujur dan tulus hati seorang ayah, begitulah juga dengan guru. Guru pada waktu itu sangat mengasihi pelajarnya seperti mereka mengasihi anak sendiri.

Berbicara tentang rotan dan pendidikan, saya teringat pertemuan saya dengan seorang bapa berketurunan ulama puluhan tahun yang lalu. Perbincangan kami sekitar masalah yang sedang dihadapi antara dia dengan anaknya yang akhirnya menyentuh juga soal rotan.

Saya masih ingat bagaimana ayah tersebut mengadu tentang anaknya yang suka mencuri. Aneh sungguh,  anaknya mencuri bukan kerana miskin. Di samping berketurunan ulama, mereka juga tergolong di kalangan orang yang berada. Sayangnya, anaknya suka mencuri. Malah sudah jadi semacam tabiat yang sukar diberhentikan. Pantang leka, anaknya akan mencuri.

“Entahlah ustaz, keturunan saya tidak ada yang menjadi pencuri… alih-alih anak saya pula jadi macam tu. Entah daripada dia mewarisi perlakuan buruk itu,”keluhnya.

Saya diam. Termenung, kemudian berkata, “bagaimana dengan mencuri masa?”

Siayah tersentak, “mencuri masa?”

“Misanya, mencuri masa di tempat kerja. Sepatutnya masa kerja digunakan sepenuhnya untuk bekerja tetapi digunakan untuk sembang-sembang, main-main…”

“Ah, kalau itulah, memang ada… sikit-sikit. Tapi apakah itu juga dikira mencuri?”

 

Saya mengangguk. Dia seperti tidak percaya.

“Masa itu emas, malah lebih daripada emas. Emas yang tergadai boleh ditebus, tetapi masa yang berlalu tidak kan kembali. Emas yang dicuri…boleh diganti tetapi bagaimana dengan masa yang dicuri? Mana mungkin boleh diganti.”

“Tapi dalam Islam mencuri masa tidak dipotong tangankan?” kilasnya.

“Saya tidak bercakap tentang hukuman. Tetapi saya bercakap tentang kesan kejahatan yang dilakukan oleh ibu-bapa  ke atas anak-anaknya.”

“Tetapi tercuri masa itu lumrah. Hampir semua orang melakukannya,” balasnya lagi.

“Jadi hampir semua ibu-bapa terpaksa menanggung akibatnya.”

“Maksud awak anak mereka juga akan jadi pencuri?”

“Mungkin ya. Mungkin tidak. Mungkin juga terjadi kejahatan yang lain…” balas saya.

 

“Awak percaya keturunan yang jahat melahirkan anak yang jahat?”

“Kurang percaya. Tapi teladan ibu-bapa yang jahat akan memberi impak buruk kepada anak. Saya mempercayai itu!”

“Kami keturunan baik-baik. Datuk saya seorang ulama!” ujarnya bangga.

“Apakah iman dan takwa itu boleh diwariskan?” balas saya mempersoalkan.

“Maksud awak, anak cucu ulama tidak boleh jadi baik?”

“Bukan begitu,  terpulang kepada didikan. Faktur keturunan memang punya pengaruh, tetapi faktor didikan lebih utama.”

“Kami sentiasa menjaga keturunan kami.“

“Tahniah. Ya, tentunya dengan menjaga kelakuan kita,” pintas saya.

 

“Saya rasa nanti anak saya akan pulih. Ini masalah sementara sahaja.”

“Kalau begitu apa perlu dikeluhkan? Tunggu sahajalah.”

“Selalunya, kalau kita daripada darah atau keturunan yang baik, akan jadi baik juga akhirnya.”

“Saya tidak fikir begitu. Kejahatan umpama bola ais yang bergolek, semakin lama bergolek semakin besar saiznya.”

“Maksud awak? Anak saya akan menjadi semakin jahat?”

“Maaf, bukan saya hendak bersangka buruk. Tetapi kejahatan anak-anak tidak boleh dibiarkan… asal mencuri daripada bercakap bohong. Kata orang tua kita, “siakap senohong, gelama ikan duri, bercakap bohong lama-lama jadi pencuri. Satu kejahatan boleh menjadi mata rantai pada kejahatan yang lain.”

 

“Saya tak percaya dengan pepatah lapuk!”

“Hadis pun ada menegaskan bahawa satu kejahatan boleh menjadi mata rantai pada kejahatan yang lain.”

“Contohnya?”

“Zina mata boleh membawa kepada zina yang sebenar. Arak menjadi ibu kejahatan. Begitu juga riba, meninggalkan solat dan sebagainya… boleh merebak menjadi kejahatan-kejahatan yang lain.”

“Awak masih tak percaya ulama akan melahirkan anak-anak dan cucu yang juga ulama? awak tak baca sejarah ke?”

 

Saya menggeleng-gelengkan kepala. Bukan menidakkan tetapi hairan dengan ‘kedegilan’ seorang ayah yang berketurunan baik-baik itu.

“Betul, ramai ulama yang melahirkan anak cucu yang ulama juga. Tetapi bukan darah keturunan itu yang menjadi faktor penentu utamanya.”

“Habis faktur apa?”

“Kerana ulama itu mendidik anak-anak dan cucunya dengan ilmu dan akhlaknya.”

Perbincangan itu mengingatkan saya kepada perbezaan pandangan saya dengan seorang sahabat tentang sifat Mursyid yang baik baru-baru ini. Agak lama juga kami berhujah. Baginya, seorang mursyid wajib mempunyai nasab yang baik. Jika hanya tinggi ilmu dan baik kelakuannya, tetapi nasabnya tidak jelas maka dia tertolak. Sebaliknya pula bagi saya. Asalkan ilmunya tinggi dan akhlaknya yang baik, maka dia mursyid yang wajar diikuti.

“Tidak mengapa peribadinya kurang sedikit, asal nasabnya jelas, “ ujar sahabat saya.

“Bagi saya soal akhlak tidak boleh dikompromikan. Itu lebih penting dari nasab. Jika terlihat sedikit sahaja kecenderungannya pada wanita, kuasa dan harta… terjejaslah kredibilitinya sebagai seorang mursyid.”

Akhirnya, kami bersetuju untuk tidak bersetuju. Berpeganglah kepada prinsip masing-masing tanpa menjejaskan ikatan persaudaraan.

Tiba-tiba lamunan saya dikejutkan. “Habis, awak rasa saya tidak mendidik anak saya? Datuk saya tidak mendidik saya?”

“Jawapan pada pertanyaan itu ada pada diri awak sendiri. Awak lebih tahu tentang datuk, anak dan diri awak sendiri.”

 

“Awak seorang ustaz kan? Bapa awak seorang ustaz?” bidas siayah.

“Ayah awak ulama, awak seorang ulama?”kilas saya kembali.

Siayah terdiam dengan soalan yang merupakan jawapan itu.

“Saya seorang jurutera…”  kata siayah bangga.

“Bapa saya seorang buruh. Saya bukan seorang ustaz, saya hanya seorang pendakwah,”balas saya terus terang.

“Pelik, sepatutnya saya jadi ulama seperti ayah dan datuk saya,” balas siayah.

“Dan saya pula terpaksa jadi buruh?” balas saya.

 

Kami sama-sama terdiam. Sama-sama berfikir.

“Tak mustahil cucu ulama menjadi pencuri…” kata siayah tiba-tiba.

“Dan tak mustahil cucu pencuri menjadi ulama…”  kata saya

“Terpulang kepada didikan yang diterima ketika kecil  dan usaha mendidik diri sendiri setelah dewasa.  Itulah bukti keadilan Allah,” tambah saya.

“Bukti keadilan  Allah?”

“Ya. Setiap manusia berhak menjadi baik atau sebaliknya tanpa mengira darah keturunan siapa yang mengalir di tubuhnya. Siapa sahaja layak  menjadi hamba Allah yang soleh atau solehah tanpa mengira keturunan.”

 

“Baiklah, jika diberi pilihan antara anak seorang ulama dengan anak seorang pencuri yang mana awak akan pilih sebagai menantu?” joloknya tiba-tiba.

“Saya tidak memilih bapanya. Saya memilih anaknya,” jawab saya spontan.

“Yalah, saya tahu… awak pilih anak siapa?”

“Awak tidak faham, maksud saya… saya tidak memilih kebaikan bapanya. Sebaliknya saya memilih kebaikan anaknya. Sekiranya saya lihat anak seorang pencuri lebih baik agamanya, maka saya pilih dia. Sekalipun dia seorang anak ulama, tetapi perangainya buruk… saya tolak.”

“Awak tidak teliti tentang keturunan…”

“Sekali lagi saya tegaskan, saya lebih teliti pada kelakuan…”

 

“Selalunya jika keturunan baik kelakuan pun mesti baik,” kata siayah. Masih  tidak puas hati.

“Hanya jika orang yang berketurunan baik itu mendidik diri dan keturunan mereka dengan baik.”

“Habis? Anak saya yang suka mencuri sekarang perlu didikanlah? “

“Ya, Sayidina Abu Bakar, Sayidina Umar Al Khattab pernah menghukum bahkan merotan anak mereka. Siapa yang tidak kenal kesolehan mereka berdua, tetapi mereka juga berpegang kepada faktor didikan bukan darah keturunan untuk memperbaiki akhlak anaknya.”

“Saya perlu rotan anak saya?”

“Awak anak ulama, sepatutnya awak lebih tahu!”

Saya tersenyum apabila mengenangkan isi perbualan yang berlaku puluhan tahun yang lalu itu. Terbayang juga betapa banyak kata-kata yang pernah saya dengar tentang kesolehan moyang, datuk, ayah yang dibanggakan oleh anak, cucu dan cicitnya. Pernah satu ketika ada seorang cucu yang membuka lebaran kitab lama tulisan datuknya kepada saya, tetapi apabila diminta membacanya, dia tidak tahu.

Ya, manusia menjadi baik, bukan kerana keturunan tetapi kerana didikan. Dan dalam proses pendidikan itulah merotan menjadi satu keperluan. Bukan untuk memberi kesan pada badan tetapi memberi impak pada hati. Merotan untuk mendidik berbeza dengan merotan untuk menyakitkan.

Rasulullah SAW, ‘pakar pendidik’ yang paling agung itu pun berpesan supaya anak yang berusia 10 tahun (tetapi masih enggan solat setelah puas dididik) perlu dirotan. Begitu juga di dalam masyarakat orang dewasa,  merotan itu juga masih perlu untuk mendidik penzina, peminum arak dan sebagainya. Rotan itu sunah dalam pendidikan asalkan kena pada kesnya, cukup pada hadnya, dengan cara yang terhormat dan tepat pula sasarannya.

Terima kasih ustazah, bapa dan pengetua yang telah merotan saya!

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 
Tinggalkan komen

Posted by di 27 Januari 2015 in Semasa

 

Label: , , , ,

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: