RSS

TAKBIR KERANA MENANG PERANG

27 Jul

battle1TAKBIR KERANA MENANG PERANG

“Takbir raya ini buat aku sayu.”

Masih terngiang-ngiang luahan rasa seorang sahabat setiap kali kami berhari raya di perantauan. Apabila saya tanya puncanya, dia menjawab, “Aku teringat kenangan lama.”

Sebenarnya itulah rasa kebanyakan orang apabila terdengar takbir hari raya. Apabila ditanya mengapa? Terkenang kampung, ibu bapa, adik-beradik dan macam-macam lagi.

“Kenangan lama?” tanya saya kembali.

“Ya, kenangan lama… Terlalu banyak banyak kenangan lama yang menjelma apabila takbir bergema. Terbayang wajah ibu, ayah dan suasana harmoni kampung halaman. Ah, semuanya telah berlalu. Ayah, ibu dan kampung halaman yang indah sudah tiada lagi. Semuanya tidak mungkin kembali lagi,” ujarnya makin sedih.

Wajahnya sayu. Begitu emosi sekali.

Itulah yang akan diluahkan berulang-ulang sejak beberapa tahun kami beraya bersama. Kali ini hati saya telah tekad. Luahan hatinya itu akan cuba saya perbetulkan. Mudah-mudahan ada kebaikan buat kami menghayati sesuatu yang lebih bermakna daripada takbir hari raya ini selain kesayuan dan kesyahduan.

 

Takbir Laungan Kemenangan

“Kita selama ini tersilap…” Kata saya perlahan. Saya gunakan ganti nama ‘kita’ agar dia tidak terasa. Teguran menjadi lebih lunak.

“Kita tersilap kerana bersedih apabila mendengar takbir raya. Sepatutnya kita gembira,” sambung saya lagi.

“Eh, pelik? Melodi takbir itu sendiri memang mendayu sayu.”

“Bagaimana dengan maknanya?“ balas saya. Dalam hati saya cuba mengingat satu-satu makna tabir raya yang dikumandangkan pada setiap Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha.

Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, Allah Maha Besar,
Tiada Tuhan melainkan Allah dan Allah Maha Besar,
Allah Maha Besar dan segala puji-pujian hanya layak bagi Allah.
Allah Maha Besar Yang Teramat Besar, Segala Puji bagi Allah Yang Teramat Banyak,
Maha Suci Allah pada waktu pagi dan petang,
Tiada Tuhan melainkan Allah, dan Tidak ada lain yang kami sembah melainkan Dia,
Kami ikhlas kepada-Nya (mengikuti ajaran agama Islam) sekalipun dibenci oleh orang kafir,
Tiada Tuhan melainkan Allah Yang Tunggal,
Yang Menepati janji-Nya, Yang Menolong hamba-Nya,
Dan Yang Memuliakan tentera-Nya dalam mengalahkan tentera al-Ahzab dengan sendiri (Kekuasaan-Nya),
Tidak ada Tuhan melainkan Allah dan Allah Maha Besar,

Allah Maha Besar dan segala puji-pujian hanya bagi Allah.”

Semacam satu semangat baharu menusuk ke dalam jiwa. Lalu saya katakan,Takbir raya ialah takbir kemenangan bukan takbir kesedihan. Takbir raya sempena kemenangan Islam mengalahkan musuh-musuhnya. Jadi, orang menang mesti gembira bukan bersedih.”

“Kemenangan Islam terhadap musuh-musuhnya? Apa kena mengena dengan hari raya? Saya tak faham.” akuinya terus terang.

Saya mengangguk-angguk perlahan. Saya juga dahulunya tidak faham. Saya percaya masih ramai umat Islam Melayu tidak faham maksud tersirat di sebalik takbir raya. Malah, konsep Hari Raya juga dilihat lebih kepada adat berbanding ibadat. Lalu takbir menjadi amalan ritual yang kurang memberi impak spiritual kepada umat.

“Musuh Islam itu ada lima. Dua musuh batin dalam diri. Tiga lagi musuh zahir di luar diri,” saya memulakan penjelasan.

“Musuh batin? Musuh zahir?”

Tanpa berlengah saya menambah, “Dua musuh batin; nafsu dan syaitan. Tiga musuh zahir; orang kafir, munafik dan Muslim yang hasad dengki.”

“Hari Raya ni kenapa kita bercakap tentang musuh? Apa perlunya? Aku rasa janggal.”

Saya senyum.

“Sebab dalam takbir yang kau kata sayu dan syahdu itu ada cerita tentang musuh Islam.”

“Ya?”

“Sebenarnya takbir itu berkaitan dengan kejayaan Rasulullah s.a.w. dan para sahabat dalam perang Ahzab. Ahzab bermaksud sekutu. Pada waktu itu suku-suku Arab telah bersekutu untuk menghancurkan Islam. Dalam perang itu juga Rasulullah bersama para sahabat telah menggali parit untuk menahan serangan musuh. Parit yang lebar dan dalam sehingga tidak dapat dilangkah oleh lonjakan kuda. Daripada situ, perang ini dinamakan Khandak, ertinya parit.”

“Kaitannya dengan takbir raya?”

“Tentera Islam akhirnya menang apabila Allah datangkan angin yang kuat meranapkan operasi pengepungan mereka. Kemenangan itu disambut dengan takbir oleh Rasulullah dan dikuti oleh para sahabat. Itulah asal usul takbir raya,” jelas saya.

“Itu dulu. Masih ada perang. Sekarang kita aman damai. Rasanya tidak sesuai takbir raya dikaitkan dengan perang. Ini ada unsur militan!”

 

Siyam, Qiam dan Al-Quran

“Sekarang pun perang masih ada,” tegas saya.

Dia terkejut.

“Perang apa?”

“Perang melawan hawa nafsu. Dalam bulan puasa, kita berjuang melawan hawa nafsu,” jawab saya.

“Itu bukan perang…”

“Itu juga peperangan. Malah peperangan yang lebih hebat daripada melawan orang kafir dan munafik kerana peperangan itu berlaku dalam diri kita sendiri serta tidak pernah ada genjatan senjata. Setiap masa dan ketika kita berperang.”

“Kalau setiap masa kita berperang kenapa pula dikaitkan dengan hari raya?”

“Itu ada kaitannya dengan bulan puasa,” kilas saya lagi.

“Yalah, selepas berpuasa kita berhari raya.”

Saya senyum. Mudah sangat cara berfikirnya. Atau mungkin dia sengaja menggiat saya untuk lebih agresif melontarkan hujah.

“Pada bulan puasa berlaku perang besar antara kita dengan hawa nafsu. Selalunya nafsu yang menyerang kita tetapi pada bulan Ramadan kita yang menyerang hawa nafsu dengan siyam, qiam dan al-Quran.”

“Dengan siyam, qiam dan al-Quran? Wah, makin kompleks pula perbincangan kita ini.”

“Tidak serumit manapun. Siyam ertinya kita menahan. Kita tahan segala sumber yang boleh memberi kekuatan pada hawa nafsu seperti makan-minum, pendengaran dan penglihatan yang negatif.

Dia diam. Berfikir dan memberi ruang untuk saya meneruskan penjelasan.

“Qiam ertinya mendirikan. Jika siang kita siyam, malamnya kita qiam. Kita mendirikan malam dengan ibadah-ibadah wajib dan sunat. Hawa nafsu yang ditahan sumber kekuatannya tadi dibebankan pula dengan ibadah. Jadi dia semakin lemah. Daripada liar menjadi semakin jinak.”

“Al-Quran?”

“Apabila sudah jinak maka mudahlah nafsu diarahkan kepada petunjuk al-Quran. Nafsu yang liar umpama kuda liar sudah bertukar mejadi kuda tunggangan untuk kita pacu ke arah kebaikan dan kebajikan.”

“Oh… begitu.”

“Ekoran itu, apabila hari raya tiba kita layak bergembira kerana menang melawan nafsu. Apabila menang, maka kita pun bertakbir. Takbir kemenangan dalam peperangan melawan hawa nafsu selama sebulan!”

“Jadi langsung tidak ada kaitan dengan kampung halaman, orang tersayang, baju raya, kuih raya dan duit raya…”

Giliran saya pula tersenyum.

“Takbir ialah ucapan Allahuakbar. Ertinya, Allah Maha besar. Maka besarkanlah Allah berbanding dunia dan manusia.”

“Oh, itu bezanya antara takbir ibadat dengan takbir adat.”

 

Antara Dua Perang

“Ada kaitankah antara perang melawan orang kafir dengan perang melawan nafsu?” soalnya tiba-tiba.

“Mengapa?” pancing saya untuk mengetahui ke arah mana hala pemikirannya.

“Sebab hari raya tahun ini bertepatan dengan serangan Zionis terhadap umat Islam Palestin di Gaza.”

“Bukan ini kali pertama. Tetapi sudah banyak peperangan yang dihadapi oleh umat Islam berlaku pada bulan puasa. Antaranya Perang Badar, Perang Ahzab, Perang membebaskan Sepanyol, perang menyekat kemaraan Monggol di Ain Jalut, Perang Oktober 1973 antara Mesir dengan Israel dan banyak lagi.”

“Wah, Ramadan penuh dengan cerita perang. Bukan sahaja perang dengan nafsu tetapi juga perang melawan orang kafir. Mesti ada kaitan antara dua bentuk perang ini,” ujarnya mengingatkan soalan yang dikemukakan sebelumnya.

“Siapa yang berjaya mengalahkan musuh batinnya, insya-Allah akan dapat mengalahkan musuh zahirnya. Mari bertakbir penuh semangat untuk mengimbau kemenangan lama untuk mencipta kemenangan baharu. Kita tolong apa yang terdaya untuk memerangi Zionis Israel.”

“Ya. Salurkan dana, kirimkan doa, boikot perniagaan konco-konco Yahudi laknatullah,”  tambahnya dengan bersungguh-sungguh.

Alhamdulillah, syukur. Mudah-mudahan takbir raya akan jadi pembakar semangat untuk terus tegar memerangi musuh Islam dan hawa nafsu, bukan lagi didominasi oleh kenangan-kenangan sayu yang layu.

 

 

 

 

 

 

 

 
1 Komen

Posted by di 27 Julai 2014 in Tarbiyah

 

Label: ,

One response to “TAKBIR KERANA MENANG PERANG

  1. zara

    27 Julai 2014 at 10:08 pm

    Terima kasih Ustaz. Terubat hati saya. Saya kurang gembira pd ramadhan dan syawal kali ni. Saya tak buat yg terbaik pd tahun ni. Moga akan ada ramadhan lagi utk saya. In sya ALLAH. Selamat Hari Raya.

     

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: