RSS

IBU-IBU DALAM HIDUP KITA…

04 Mar

ibuApabila aku diminta oleh anakku untuk bercerita tentang ibu ku, aku tidak jemu-jemu mengulangi kisah ini. Kisah aku dengan tiga ibu. Pertama, ibuku sendiri. Kedua, ibu kepada anakku dan ketiga anak perempuanku sebagai ibu. Mereka akan mendengar, akur dan diam. Terkesima. Aku berdoa, semoga cerita itu menginsafkan mereka tentang jasa manusia yang bernama ibu.

Waktu berlalu, aku kembali diminta bercerita tentang kesah itu. Berulang kali. Lalu kuringankan tangan, ku pertajamkan emosi, lalu ku tulis cerita itu: Kesah aku dengan tiga ibu. Aku mulakan dengan kesah pertama:

Aku mengayuh basikal itu laju-laju. Ingin cepat sampai ke destinasi. Masih terngiang-ngiang pesan emak sebentar tadi.

“Apabila bertemu misi sahaja terus serahkan kad merah itu. Katakan emak sudah sakit kuat,” kata emak lemah. Wajahnya berkerut-kerut menahan kesakitan. Umur ku ketika itu baru 12 tahun. Emak ‘sakit perut’ untuk bersalin.

Ayah ku yang bekerja sebagai seorang buruh telah keluar bekerja sejak awal pagi tadi. Di rumah tinggal aku dan dua orang adik perempuan.

“Emak nak bersalin ke?” tanya ku naif.

Emak tak bercakap banyak. Hanya mengangguk-angguk. Tubuh emak begitu kurus, lemah dan pucat. Aku jadi bimbang.

 

Tanpa berfikir panjang aku terus meminjam basikal jiran sebelah. Kebetulan tidak ada siapa orang lelaki yang boleh diharap kecuali aku. Kedua pak cik jiran sebelah menyebelah juga telah keluar bekerja. Klinik kesihatan yang juga pusat kesihatan daerah kami agak jauh. Tetapi pada tengah hari itu semuanya seolah hampir. Aku mengayuh basikal begitu laju dan cepat. Letih tidak terasa walaupun keringat membasahi muka.  

 

“Misi, emak saya nak bersalin. Ini kadnya,” kata ku tercungap-cungap sambil menyerahkan  kad tersebut. Misi itu, seorang perempuan Cina berusia lewat 40’an agak terkejut. Namun kemudian membelek dan melihat kad itu secara terperinci.

“Aiya, saya tak boleh jadi bidan emak lu. Dia punya darah dan jantung ada sikit “problem”. Saya tak boleh…”

 

“Habis macam mana?” tanya ku agak cemas.

“Lu call ambulan. Minta dia datang rumah lu!”

Aku panik. Dalam usia 12 tahun, manalah aku pandai menelefon. Ini cerita 40 tahun dahulu, ketika kemudahan telekomunikasi tidak seperti hari ini. Sekarang anak-anak sudah pandai mendail telefon bimbit seawal usia 6 atau 7 tahun lagi. Sedangkan pada ketika itu hanyalah seorang budak kampung yang naif. Mana hendak dicari telefon awam.

“Misi boleh tolong tak?” aku merayu.

Misi terdiam. Tak lama kemudian dia bersuara, “minta tolong call ambulan? Ya, ya. Lu tulis alamat rumah di sini,” katanya sambil menyerahkan satu carikan kertas. Syukur, walaupun berlainan bangsa dan agama, tetapi misi ini baik orangnya.

Selepas dia menelefon, aku berkejar balik ke rumah semula. Setiba ku di sana, sebuah kereta wagon ambulan telah sedia menanti.

“Boleh saya ikut?” pinta ku seakan-akan merayu kepada pemandu ambulan berbangsa India yang bermisai tebal itu.

“Tak boleh. Lu masih budak-budak lagi. Emak lu kena terus ke hospital!”

Aku sungguh kecewa.

 

Tidak lama kemudian, emak kelihatan turun dari tangga rumah kayu kami terhincut-hincut. Emak sempat merenung ku dan berpesan, “ emak dah masak nasi. Tapi tak ada lauk, tengok-tengokkan makan adik-adik ya?”

Aku mengangguk patuh. Dalam keadaan biasa pun itu memang sudah menjadi sebahagian rutin ku. Memasak dan menyediakan makanan memang tugas yang selalu emak amanahkan kepada ku.

 

Ya, semua itu masih segar dalam ingatan. Bagaimana gementarnya aku menunggu berita daripada emak. Malam, baru bapa pulang memberitahu yang emak telah bersalin. Aku begitu gembira… dapat adik baru!

 

Itulah kesah pertama. Betapa gementarnya seorang anak lelaki ketika ‘menguruskan’ ibunya yang hendak bersalin. Jika dahulu semuanya kulalui dengan sukar dan gementar tetapi kini ketika kurenung wajah emak dan adik yang lahir itu, aku rasa puas… syukur ya Allah kerana aku dapat berkongsi sukar seorang ibu ketika melahirkan.

 

Mari kita berkongsi kisah kedua. Kisah aku dengan isteri,  ibu kepada anakku. Begini kisahnya…

 

Saat itu, isteri ku berada di dalam bilik kecil di rumah mertua ku. Dia sedang bertarung dengan kesakitan. Sekali-sekala terdengar suaranya mengeluh lemah, “ Allah, Allah, Allah…” Tiba-tiba Mak bidan keluar diiringi oleh ibu mertua ku. Mereka berbincang sekejap. Aku memerhatikan sahaja dari jauh. Apa halnya? Hati ku tertanya-tanya.

 

Sejak subuh tadi isteri ku mengaduh sakit perut. Mula-mula sakitnya datang berselang-seli. Jarang-jarang, kemudian semakin kerap. Apabila “air ketuban” telah pecah, ibu mertua ku dengan segera menyuruh aku memanggil bidan berhampiran.

“Mak Cik, isteri saya nak bersalin,” kata ku sebaik sahaja memberi salam kepada orang tua itu. Dia begitu tua. Agak-agaknya telah berusia lewat 60’an. Tetapi dia sahaja harapan orang kawasan itu untuk membidani wanita yang bersalin.

 

“Bila sakitnya?” tanya bidan tua itu tenang. Begitu selamba, seakan-akan tidak dapat dijangkaunya gelora rasa dalam hatiku, seorang suami muda yang menanti kelahiran anak pertama. Perlahan-lahan, dia bergerak. Wajahnya yang cerah berseri, pakaiannya bersih serta mulutnya kumat-kamit berzikir. (Kemudian aku baru tahu rupa-rupanya bidan tua ini sedang berpuasa 6)… Ya bulan itu, bulan Syawal 28 tahun yang lalu.

 

Tidak sabar, aku terus mendekati ibu mertua ku.

“Kenapa emak?”

“Isteri kamu ada masalah. Budak tak mahu keluar. Bidan kata dia takut budak kelemasan…”

“Jadi?”

“Kita bawa ke klinik atau hospital dengan cepat.”

Yang terbayang di ruang fikiran ku hanya wajah isteri. Berkali-kali dia telah berpesan hendak “dibidankan” oleh bidan atau doktor wanita. Dia tidak mahu berbidankan doktor lelaki. Aku mesti menunaikan permintaannya. Aku mesti bertanggung-jawab.

 

“Kita cari klinik yang ada bidan wanita saja ya?” rayu ku kepada ibu mertua ku. Begitu ringan mulut ku meminta persetujuannya walaupun dalam tangan ku wang yang ada begitu sedikit. Aku tekad sahaja, kalau terpaksa berhutang. Aku akan berhutang. Semuanya ku terima seadanya kerana aku masih siswa yang menuntut di sebuah IPTA. Namun, untuk mempertaruhkan maruah isteri tidak sama sekali.

 

Dahulu, bukan senang untuk mendapat suasana Islamik di hospital-hospital biasa. Tetapi sekarang, syukurlah, keadaan sudah berubah. Doktor, jururawat dan bidan perempuan sudah ramai. Hasil kesedaran Islam rawatan dan perbidanan di hospital kerjaan pun sudah semakin Islamik, apalagi pusat rawatan Islam.

 

Bila teksi yang dipanggil datang, isteri, ibu mertua dan bidan tua itu pun segera masuk. Aku duduk di hadapan di sebelah pemandu teksi. Destinasinya? Sebuah klinik bersalin milik seorang perempuan Cina. Semuanya mengikut hasil perbincangan ibu mertua ku dengan bidan tua. Bidan tua itu “berkeras” untuk terus mengikut kerana hendak menjaga “suasana” bersalin secara Islam buat isteri ku. Dalam keadaan tubuh tuanya terketar-ketar aku masih dapat melihat semangatnya begitu kental. Kalau ikutkan lemah, elok dia berehat sahaja di rumah dan minta bidan berbangsa Cina itu sahaja mengambil alih.

 

Setelah berhempas pulas dengan teriak raung, zikir  dan rintihan, akhirnya terdengar suara tangisan. Begitu kuat, hingga mengejutkan aku di ruang legar klinik yang begitu sempit. Aku hanya mampu pasrah dan bermunajat di atas kerusi usang klinik yang serba daif itu. Tidak lama bidan tua itu pun melambai-lambai tangannya kepada ku.

 

“Alhamdulillah, anak kamu perempuan, cepat azankan…” katanya sambil tersenyum. Aku terlampau gembira hingga terasa ingin memeluknya. Tidak lama selepas aku selesai melaungkan azan dan berdoa, aku melihat bidan tua itu menjamah sedikit makanan dan meneguk air sejuk. Dia berbuka dan berjaya menamatkan puasa sunatnya dengan begitu tenang sekali.

 

Ku lihat wajah isteri tersenyum puas di sisi anak yang masih merah hasil “perjuangannya” sejak awal pagi itu. Tanpa disedari air mata mengalir. Sedih bercampur gembira, syukur wahai Tuhan, anak ku selamat dilahirkan walaupun dalam keadaan kami yang serba kekurangan.  Aku begitu gembira… dapat anak sulung!

 

Sesungguhnya, pengalaman itu mengajar aku bahawa sebesar mana pun pengorbanan suami, tidaklah sebesar dan setinggi pengorbanan isteri. Suami hanya berdoa dan berusaha ‘di tepi’ gelanggang, tetapi isterilah yang bertarung nyawa di dalam gelanggang. Ya, aku relakan duhai anak, sekiranya ketaatan dan kebaikan mu tiga kali kepada ibumu berbanding aku. Dia layak untuk dimuliakan kerana dengan izin Allah, dialah yang melahirkan!

 

Kini, tiba masanya untuk aku ceritakan kisah terakhir. Ingin aku kongsikan, rasa yang ku alami ketika menunggu detik kelahiran itu. Anak perempuan ku mula sakit pada malamnya dan melalui saat-saat cemas mula jam 7 pada paginya. Tuhan memberi mehnah seorang ibu kepadanya. Rasa sakit, rasa perit dan keletihan tahap tinggi, yang bakal menempa dan “mengeluarkan” segala keupayaannya untuk menjadi seorang ibu terbaik. Kesakitan yang hakikatnya satu “ijazah” yang melayakkan seorang ibu mendapat kebaikan  tiga kali ganda berbanding ayah.

 

Siapa lagi di sisi? Genggaman tangan seorang suami walau seerat mana tidak akan dapat bersama-sama berkongsi kesakitan. Ibu kepada bakal ibu (isteri ku), mengambil jarak jauh, berdoa, menangis dan merintih di luar kamar. Ketika pertarungan hidup dan mati itu… tidak ada teman, tidak ada sesiapa dapat berkongsi rasa, hanya dia dan Allah.

 

Rasai, rasailah wahai anak ku, detik melahirkan yang persis detik kematian… rasa ‘raja’ (harap) yang sewajarnya seratus peratus kepada Tuhan. Seharusnya tidak ada lagi rasa bimbang, bolak-baliknya hati…selamat atau tidak, pengakhiran buruk atau baik. Yakin, sangka baik, insya-Allah selamat, insya-Allah baik!

 

Ya, aku di mana? Aku pun rupanya tidak tega menunggu begitu. Mendengar seru dan desah resah, Allah, Allah, Allah. Jua kata semangat dan lonjak dorongan daripada para jururawat dan doktor. Lalu apa pilihan lagi buat aku selain meminggir sepi di satu sudut yang paling sunyi.  Ya, aku masih ingat lagi detik itu. Detik aku terperosok dalam bilik sempit yang dinamakan “surau” kecil itu.

 

Di situ seolah-olah tegaknya kamar sufi tempat ego dan takbur tersembam ke bumi. Ketika insan dipagut keresahan, kegelisahan dan ketidaktentuan, barulah semua berpaut kepada Allah. Lalu, aku merasakan saat resah ini hakikatnya satu anugerah, untuk aku kembali semula kepada Mu, ya Allah.

 

Ya, Allah… pengharapan ku pada mu terlalu tinggi. Tetapi aku sedar, aku berdosa. Terlalu banyak kesalahan dan kekhilafan ku kepada Mu. Namun mampukah aku berpaling dari Mu? Tidak, walau dosa ku setinggi gunung, tetapi pengampunan Mu jauh lebih tinggi. Lebih tinggi dari langit yang tujuh. Telah aku ungkapkan kata-kata itu melalui lirik-lirik nasyid yang ku tuliskan, namun seakan-akan baru kini aku merasakan. Aku kembali, aku kembali kepada Mu Tuhan…

 

Jam 11 pagi, tiba-tiba pintu surau kecil itu terkuak. Anak bongsu lelaki ku memberi salam dan berbisik, “kakak dah selamat bersalin!” Derai air mata ku tidak dapat ditahan lagi. Syukur, syukur, syukur ya Allah, Engkau masih sayang kepada ku, pada kami, pada semua insan yang terlalu banyak berdosa ini. Dalam sujud syukur ku di hujung duha, aku terdengar raungan tangis cucu yang pertama. Alhamdulillah, lahir cucu ku yang pertama!

 

Demikian ku kesahkan segalanya. Aku pasti, kamu dan kita semua ada kisah masing-masing. Yang unik dan istimewa tentunya. Ku tulis segala hanya untuk mengingatkan betapa besarnya jasa ibu kita. Ku tulis ‘aku’ hanya untuk mendekatkan rasa. Namun aku percaya ‘aku’mu begitu jua. Kisah, ibu yang melahirkan ibu, melahirkan ibu… dan seterusnya.

 

Tiga jasa ibu yang tidak mungkin ditandingi oleh seorang bapa – pertama, mengandungkan, kedua melahirkan dan yang ketiga menyusukan. Ketika berat hati kita untuk membalas jasa dan mendoakan ibu… kenangkanlah, betapa satu ketika kita telah berhutang nyawa kepadanya. Tidak kira betapa besar dan tingginya jasa kita, namun kita adalah insan yang hina jika melupakan jasa ibu!

 

 

 
20 Komen

Posted by di 4 Mac 2014 in Tarbiyah

 

Label: , ,

20 responses to “IBU-IBU DALAM HIDUP KITA…

  1. sahazati

    4 Mac 2014 at 1:08 pm

    subahanallah..jazakallahukhair ustaz atas peringatan ini…

     
  2. usam

    4 Mac 2014 at 1:16 pm

    Kasih IBU membawa ke syurga,kasih bapa abadi selamanya

     
  3. wan mazuan

    4 Mac 2014 at 2:40 pm

    sedih—

     
  4. anak hashim

    4 Mac 2014 at 2:46 pm

    Berkaca saat baca. Mungkin memori kembali kepada pngorbanan arwah ibu. Hargai yang masih ada, jangan biarkan hatinya terluka, penuhi segala permintaannya..Selagi kita masih punya masa..:)

     
  5. nissa

    4 Mac 2014 at 7:16 pm

    menarik ustaz. jasa ibu sudah cukup besar dengan melahirkan anak.

     
  6. Atmarasa

    4 Mac 2014 at 9:34 pm

    As salam Ustaz, saya adalah seorang isteri yang barangkali tidak ditakdirkan untuk menjadi seorang ibu. Selepas berbelas tahun melayari hidup berumahtangga akhirnya saya pasrah dan redha bahawa saya memang tidak lagi mungkin dapat merasai bagaimana debaran seorang wanita mengandungkan zuriatnya selama 9 bulan, sakit dan perih bertarung nyawa demi melahirkan seorang anak dan bagaimana rasa nikmat dan bahagianya seorang ibu dapat menyusu, membesar dan mendidik anak-anak yang dikatakan penyeri sebuah rumahtangga itu. Tahniah Ustaz kerana telah pun lengkap putaran hidup sebagai insan yang awalnya bergelar anak, membesar dan dewasa menjadi seorang bapa dan kini telah pun bergelar seorang datuk. Saya percaya setiap detik itu memberikan pengalaman yang sangat manis untuk dikenang….sekurang2nya sebagai bahan cerita bersama isteri ketika cuma tinggal berdua melewati hari -hari yang sunyi menjelang usia yang semakin tua besok. Suatu masa saya pernah merasa sangat sedih bila mengenangkan rumah saya akan sunyi dari riuh rendah anak cucu menjelang hari-hari tua saya. Lebih2 lagi bila mengenangkan siapakah yang akan menguruskan hidup saya tatkala saya sudah tua dan tidak berdaya lagi. Ketika itu saya lupa, mengapalah saya mengharapkan segalanya itu dari manusia sedangkan saya ada Allah yang Maha Segala. DIA yang menjadikan saya dan mengatur hidup saya seindah ini, justeru mengapa saya mengharapkan pada manusia yang lemah???? Butanya saya ketika itu dan bila saya sedari saya jadi sangat pasrah dan redha.Saya ada Allah yang maha bijaksana menguruskan hidup manusia, saya ada DIA yang maha tahu apa yang terbaik buat saya.Terima Kasih Ustaz di atas perkongsian ini, Walaupun saya tidak dapat menikmati segala yang diperolehi oleh seorang yang bergelar ibu namun saya masih mempunyai seorang ibu yang akan saya uruskan hidupnya sebaik mungkin. Insya Allah.

     
  7. Zuraina binti Ithnin

    5 Mac 2014 at 1:04 pm

    Assalamualaikum ust…terima kasih untuk kisah ini… mengalir jua air mata saya.. air mata seorg ibu… terima kasih ust kerana selalu mengingatkan kami kepadaNYA… Alhamdulillah dengan izin Allah ust adalah penguat dan dorongan untuk saya , suami dan anak2 … selalu memberi kekuatan…peringatan…. selalu mengingatkan kami betapa kerdilnya kami di bumi ini.. Terima kasih ust.. semoga perjuangan dan perjalanan dakwah melalui tulisan2 seperti ini diberi keberkatan Allah swt… Saya dan suami doakan ust sentiasa sihat …Kiriman salam juga dari suami saya…Hasli

     
  8. syed hafiz

    5 Mac 2014 at 2:11 pm

    allahuakbar..syukran ustaz..

     
  9. MAH

    7 Mac 2014 at 9:38 am

    As Salam Ustaz,

    Bagi anak-anak yang tidak sah taraf/anak-anak luar nikah, ketentuan Allah SWT ini, hikmah disebaliknya, logik akal tak terfikir. Barangkali anak-anak ini jika panjang umur, mereka tidak dibesarkan melalui susu ibu . Namun jika mereka diberi kesempatan ketahui siapa ibu sebenar mudah-mudahan mereka dapat terima seadanya…….

     
  10. yusoffnor

    7 Mac 2014 at 1:33 pm

    Subhanallah….maha suci ALLAH…pengorbanan mu duhai seorang ibu tak terbalas oleh setiap si anak…ya Allah jadikan lah kami anak 2 yang sentiasa berbuat baik kepada ibu juga bapa kami …aamiin.
    terima kasih ustaz mengingatkan kami akan pengorbanan seorang yang bergelar ibu…

     
  11. mohd

    11 Mac 2014 at 10:17 am

    betul ustaz, waktu isteri nak bersalin baru rasa betul-betul perlukan pertolongan Allah, sebelum tu diri sombong sentiasa….Allahuakbar…moga Allah ampuni kita.

     
  12. eastma

    17 Mac 2014 at 10:04 am

    Subahanallah, Syukran ustaz.
    Kak Atmarase, semoga ganjaran syurga menanti akk diakhirat atas kesabaran dan keredhaan akk terhadap ketentuan tuhan untuk akk.
    Terinspirasi membace cerita ustaz dan kak atmarasa.

     
  13. Ahmad

    18 Mac 2014 at 2:21 pm

    Assalamualaikum ustaz, saya mohon nasihat. Saya anak luar nikah, ayah dan ibu bkahwin utk menutup malu. Selepas bercerai saya dijaga oleh atuk dan nenek.Masa saya kecil, saya melihat ibu curang pada ayah.Saya diam.Saya bkahwin dengan pilihan sendiri sewaktu belajar, ibu saya menyuruh saya menceraikan isteri jika mahu terus sambung belajar, saya pilih utk bhenti belajar kerana saya rasa tindakan ibu tidak patut. Saya telah berbaik dgn ayah walaupun ibu halang.ibu sihir saya sampai gila.ayah juga disihir sebelum itu. Kami sembuh dengan izin Allah. Sekarang isteri dan ibu tiri saya juga disihir sehingga sakit dan menyebabkan mereka tidak boleh bekerja dengan sempurna.mohon nasihat dari ustaz.Amat berharap nasihat dari ustaz.

     
  14. hasimah

    20 Mac 2014 at 8:08 am

    Salam ustaz, terima kasih atas pencerahan ini….semoga Allah sentiasa merahmati kita semua..

     
  15. arieff

    21 Mac 2014 at 7:49 pm

    subhanallah, besarnya pengorbanan seorang insan yang bergelar ibu, namun mengapa masih ada insan durjana yang menderhaka kepada ibu….kalau mereka sedar semua ini,,, mereka insan yang paling rugi dan hina dalam dunia ini….

     
  16. Syahana Kamaruddin

    24 Mac 2014 at 4:52 pm

    Assalamualaikum ust, tika sy baca cebisan ni jujur saya katakan sy begitu sebak terutama bila mengenangkan keadaan ibu sy yang sedang uzur sekarang. Namun sy terlalu bersyukur kami anak-anak masih diberi kesempatan untuk menjaga ibu sebaik mungkin. Artikel ust menjadi pencetus bagi kami anak-anak untuk terus menghargai dan membalas jasa ibu walau tak mungkin terbalas.

     
  17. aisyah aman

    2 April 2014 at 1:22 pm

    Salam ustaz…satu perjalanan cerita yang amat mengagumkan..izinkan saya untuk compile tulisan2 ustaz sekadar untuk renungan dan panduan buat diri. Moga ustaz sentiasa diberkati dan dilimpahi dengan idea untuk terus berdakwah..aaaminn

     
  18. man man

    10 April 2014 at 8:34 am

    Aslm ustaz.

    Alhamdulillah bila seorang lelaki memahami dan mensyukuri Allah akan susah payah yg di hadapi ibunya, isterinya, anak perempuannya dan ibu ibu lain yg Allah ciptakan.

    Dan moga ibu yg mempunyai suami atau bapa yg hanya menghargai ibunya sendiri sahaja tetapi tidak isteri atau anak perempuannya kerana taksub dgn status dirinya sbg suami atau bapa yg mesti dihormati 200% jika isteri atau anak perempuan itu nakkn redha Allah, walaumacamana sedih pun isteri dan anak perempuan itu disakitkan hati atau fizikalnya; akan mendapat petunjuk dan rahmat Allah untuk melalui kehidupannya di dunia ini seterusnya.
    juga, ramai ibu di dunia ini yang sombong kerana merasakan hanya mereka berhak menentukan kebahgiaan anak lelakinya tanpa menimbangkan perasaan ibu kepada cucunya dan begitu juga sebaliknya, ibu pada cucu tadi lupa akan perasaan ibu pada bapa anaknya.

    Putaran dan sesawang kasih wanita dan lelaki dalam kehidupan sejak adam dan hawa sangatlah rumit yg hanya Allah maha mengetahui hikmah dan natijahnya. Wallahu alam

     
  19. natasya

    11 April 2014 at 12:05 am

    assalamualaikum.. adakah saya berdosa sekiranya menipu ibu saya mahupun merahsiakan sesuatu perkara yang penting di dalam kehidupan saya darinya untuk mengelakkan kemarahannya?

     
  20. Fariha Saibani

    24 April 2014 at 2:54 pm

    Alhamdulillah, kerana entry ini, saya nekad untuk melahirkan anak kami disini. Sedikit coretan pengalaman saya, semoga memberi manfaat:) http://fariha-saibani.blogspot.com/2014/04/pengalaman-bersalin-di-hospital-islam.html

     

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: