RSS

GURU PENULISAN KU YANG PERTAMA

20 Jan

kerja-keras-300x204“Siapa guru pertama penulisan ustaz?” tanya seorang siswa sewaktu kami berbual secara santai usai sebuah program tentang penulisan.

Aku terdiam. Satu soalan yang mudah, tetapi tidak semudah itu menjawabnya. Setelah agak lama termenung, aku pun menjawab, “ayah saya.”

“Wah, ayah ustaz pun seorang penulis!”

Aku menggeleng-gelengkan kepala. Menafikan.

“Seorang ulama!”

Aku menggeleng lagi.

“Tidak, tidak. Ayah saya seorang buta huruf. Seorang buruh,” jawab ku perlahan.

“Betul ni ustaz? Pelik. Macam mana boleh begitu, boleh kongsikan dengan saya?” pintanya.

Aku bertanya semula, “betul-betul anak nak tahu?”

Dia mengangguk. Kelihatannya, bersungguh-sungguh.

“Tolong ceritakan ustaz, saya nak jadi penulis macam ustaz.”

“Jangan jadi macam saya. Jadi penulis yang lebih baik. Saya hanya pendakwah biasa,” ujar ku.

“Tolong ceritakan ustaz…”

“Baiklah, saya harap anak sabar mendengarnya…”

Lalu aku pun bercerita:

Ayah ku seorang buruh pengutip dan penyapu sampah. Dia tidak tahu menulis dan membaca. Kehidupan ayah sangat susah sejak kecil lagi. Bayangkan, ayahnya meninggal dunia sewaktu dia dalam kandungan lagi. Ayah menjadi petani sejak berumur 6 tahun. Pada usia 10 tahun dia merantau sehelai sepinggang dari tanah seberang. Datang membawa diri ke Tanah Melayu untuk mencari rezeki. Tanpa harta, tanpa pelajaran.

Di Malaysia, ayah membuat bermacam-macam kerja. Dari tukang kebun, pemandu kereta dan akhirnya menjadi seorang buruh. Kehidupan ayah dilingkungi oleh marhein dari pelbagai bangsa, India, Cina, Serani dan sebagainya. Bahasa dan tingkah laku ayah jadi kasar, sekasar tangan dan kulitnya. Itu semua impak pergaulannya dengan golongan bawahan yang tidak berharta dan berpelajaran.

Namun, suatu yang pasti (yang sejak kecil sudah ku perhatikan), ayah sangat cintakan ilmu. Dia seakan tidak sabar menunggu aku (anak lelaki sulungnya) mampu membaca. Tetapi apakan daya, kemiskinan menyebabkan aku tidak dihantar ke sekolah Tadika. Pada akhir tahun 60’an, ibu-bapa yang berwang sahaja mampu menghantar anaknya belajar ke sekolah Tadika sebagai persediaan ke sekolah rendah.

Namun, masuk sahaja aku ke darjah satu, ayah mula membawa helaian surat khabar lama yang dipungutnya sewaktu bekerja untuk ku baca di rumah.

“Baca!” katanya.

Aku pun membaca merangkak-rangkak. Walaupun pada mulanya terkial-kial, tetapi itulah yang dibanggakan ayah kepada rakan-rakan sekerjanya.

“Anak aku sudah pandai membaca surat khabar,” katanya.

Aku masih ingat, satu hari ayah membawa aku ke sebuah kedai Cina di pekan berhampiran. Urus niaga itu memerlukan tanda tangan. Lalu ayah berkata kepada ku, “kamu tanda tangan!” Itulah tanda tanganku yang pertama dalam hidup. Huruf ‘P’ yang dilengkarkan separuh bulatan. Maklumlah baru darjah satu.

“Tengok, anak gua pandai sain,” kata ayah kepada tauke kedai Cina itu. Aku lihat tauke itu mengangguk-angguk, ya tak ya, sahaja.

Selain itu, ada lagi yang ayah minat. Dia paling suka siaran berita daripada radio. Malangnya, kami tidak punya radio. Jadi, setiap kali siaran berita ke udara, ayah akan membawa aku mendengarnya di rumah jiran sebelah. Kami hanya menumpang duduk di tepi tangga dan ayah minta jiran kami meninggikan kadar suara radio untuk kami tumpang mendengarnya.

“Dengar berita, kita tahu tentang dunia,” kata ayah.

Pernah satu ketika aku memberanikan diri bertanya, “ayah, kenapa ayah tak sekolah?”

“Nak sekolah apa, nak cari makan pun susah.”

Aku diam.

Ayah paling minat dengan buku-buku teks sekolah ku. Pelajaran Bahasa Melayu pada waktu itu punya buku khas yang penuh dengan cerita-cerita teladan. Begitu juga dengan buku bacaan Jawi, penuh dengan kisah-kisah nabi. Maka setiap malamlah aku akan membacakannya untuk ayah. Cerita yang paling ayah sukai ialah kisah Nabi Musa AS hendak melihat wajah Allah dan panglima Islam Nu’man bin Muqarrin yang syahid di tangan tentera Parsi. Ya, aku masih ingat. Selalunya, dua bab itu ayah minta aku membacanya berulang-ulang kali.

Tidak hairanlah, jika buku-buku teks sekolah rendah itu telah habis ku baca walaupun sebelum tamat tahun tersebut. Kemudian ayah minta aku pinjam buku di perpustakaan sekolah. Macam-macam buku telah ku pinjam. Dari buku cerita klasik seperti Sang Kancil, Sang Kelembai, Mengelilingi Dunia Dalam Masa 80 hari, Buaya Mati Dua Kali, Hercules (sekadar menyebut beberapa tajuk), sehinggalah buku karangan Marah Rusli, Boestamam, Hamka dan lain-lain.

Di sekolah, hampir tidak pernah aku diberi wang belanja. Jadi, sebaik sahaja loceng rehat berbunyi aku akan segera ke bilik air, minum dua tiga teguk air sejuk dari paip dan terus ke perpustakaan kecil di tepi bilik guru. Aku selalunya yang paling awal. Jadi aku dapat memilih buku yang baik-baik untuk dipinjam, untuk dibaca bersama ayah.

“Tangan kamu kurus, kecil… mana boleh pegang cangkul. Mesti pegang pen,” kata ayah. Jadi, aku jarang diajak membuat kerja-kerja berat. Semasa kecil aku selalu sakit-sakit. Tetapi ayah selalu mengajak aku membonceng naik basikal ke tempat kerjanya. Kerja ayah memang berat. Membersih, mengumpul dan membuang sampah. Dalam perjalanan pulang, baru ayah menyampaikan mesejnya, “tengok kerja ayah, kotor, berat dan orang pandang rendah. Kamu jangan jadi macam ayah. Cari ilmu!”

Aku masih ingat, ketika aku meminta ayah berikan raket badminton. Maklumlah ketika itu badminton menjadi sukan yang popular di Malaysia. Wira badminton seperti Rudi Hartono, Punch Gunalan, Tan Aik Huang dan lain-lain menjadi pujaan kanak-kanak dan remaja ketika itu. Anak-anak jiran sebelah rumah sudah mendapat raket masing-masing.

Sebagai kanak-kanak, aku kecewa. Ayah terus membawa helaian surat khabar dan buku-buku yang ditemui di tempat sampah apabila pulang ke rumah. Aku ingin raket, jerit aku dalam hati.

“Ayah tak da duit!” jerkah ayah apabila aku mengulang permintaan untuk mendapatkan raket. Aku masih ingat detik sedih itu, sambil membaca buku untuk ayah pada petang itu, aku menangis. Aku sudah merasa malu ‘mengendeng’ untuk meminjam raket kawan-kawan.

Minggu demi minggu berlalu. Aku tidak ingat lagi tentang raket idaman hati. Hati kanak-kanak mudah melupakan. Apabila kawan-kawan bermain badminton, aku menawar diri untuk jadi pengadil. Kadangkala kalau mereka keletihan, mereka memberi pinjam raket tanpa aku memintanya. Tidak aku sangka sama sekali, pada satu tengah hari itu ayah pulang kerja dengan raket baru!

Gembiranya aku. Aku melompat memeluk ayah. Walaupun raket itu hanya raket kayu dan murah hanrganya (berbanding raket besi yang lebih mahal kepunyaan kawan-kawan) tetapi aku sangat sukakannya. Ada kawan yang mencemik dengan raket ‘Made in China’ yang berjenama ‘Pioneer’ itu. Tapi aku masih ingat pesan ayah, “yang penting pandai bermain bukan raket yang mahal…”

Ayah mengajar aku tentang kekuatan kemahuan. Apabila keputusan peperiksaan aku merosot sedikit sahaja, ayah akan menghukum aku dengan keras. Ayah tidak pandai berdiplomasi dan memberi motivasi secara lembut. Itu, kadangkala membuat aku hampir ‘patah’. Mujur ada emak tempat aku mengadu. Apabila aku sedih mulalah emak mengajar aku beberapa kalimah Arab – makan, minum, tidur dan sebagainya. Tergeliat lidah aku menyebutnya. Kemudian emak akan bercerita. Kami pun ketawa!

Watak emak yang lembut dan ayah yang keras mencorak warna yang pelbagai dan kontras dalam diri aku. Mudah simpati, marah, sedih, empati, keras, berang, berani, mengalah, degil,  adalah warna-warni unik yang membentuk zaman kanak-kanak dan remaja aku. Mujur, dengan ilmu dan tarbiah yang aku terima kemudiannya (sama ada secara resmi atau tidak resmi) dapatlah sedikit sebanyak aku membentuk diri ke arah yang lebih stabil. Ku akui proses mendidik diri itu terus berjalan hingga kini, walaupun usia diri telah melampaui separuh abad.

Seingat ku, pernah sekali sahaja ayah membeli buku cerita untuk ku. Itu pun ketika tangan ku patah dan terpaksa dirawat di wad hospital. Ayah sangat sedih. Aku tahu ayah sangat sayangkan aku walaupun akulah anak yang paling banyak dimarah dan dihukum. Sedar sahaja daripada dibius, aku sangat gembira kerana di sebelah bantal ku ada buku cerita berwarna warni. Cerita Tarzan!

Namun, kegembiraan ku sebentar cuma. Buku cerita itu dalam bahasa Inggeris. Ayah tidak dapat membezakan tulisan Inggeris dengan tulian Melayu. Maka merangkak-rangkaklah aku membacanya. Seingat aku waktu itu aku masih di darjah tiga. Namun melihat lukisan hutan, pokok-pokok, gunung ganang, harimau, singa, yang menjadi latar belakang cerita Tarzan itu aku jadi sangat terhibur. Ya, aku sangat sukakan hutan dan binatang.

Nostalgia itulah yang ku imbau semula ketika diminta oleh Editor Buku ‘Di mana DIA di hatiku’ menulis sedikit sebanyak tentang profil diri di muka belakang buku tersebut.  Aku menulis begini:

“Sejak kecil saya dididik secara keras oleh ayah memandang dia seorang yang buta huruf. Saya juga dilatih oleh ayah untuk bekerja dengan ‘akal’ dan ‘pena’. Sekali skala diajak mencangkul. Paling kerap, saya dibawa menjala dan menangkap ikan di sungai berhampiran kampung. Saya sangat enjoy kalau dilepaskan di hutan – melihat pokok menghijau dan burung berterbangan. Itu sentiasa menjadi mimpi indah saya sehinggalah kini.”

Ya, apabila menoleh semula ke belakang, tanpa disedari rupa-rupanya Allah mentakdirkan aku menjadi seorang penulis menerusi tangan seorang hambanya yang tidak pandai menulis – bapa ku! Kecintaan terhadap buku dan sikap suka membaca, kepekaan tentang alam dan haiwan, dan kepelbagaian sikap dan sifat ayah, itulah yang menjadikan aku seorang penulis.  Tentu sahaja dia bukan manusia terbaik, tetapi aku yakin,  dialah ayah terbaik kurnian Allah buat diri ku.

Kekerasannya, mengajar aku erti tidak berputus asa apabila manuskrip buku-buku ku pernah ditolak berkali-kali oleh pelbagai penerbit.Kemarahannya, menjadi sumbu kemarahan jiwa ini ketika berdepan dengan pelbagai penzaliman dan kemungkaran yang menjadi sasaran tulisan. Kemiskinan dan ketegaran ayah, menjadi semangat untuk aku terus menulis walaupun berbulan-bulan sewa rumah ku pernah tidak berbayar.

Namun, kasih sayangnya jugalah menyebab air mata ini mengalir deras sederas tinta yang mengalir, apabila aku menulis memohon hidayah untuk terus tabah di jalan mujahadah demi keselamatan diri dan ummah.

Demikian. Cerita ku tentang ayah.

“Nak kau masih mendengar?” tanya ku pada siswa tadi.

Dia merenung wajahku. Aku pula merenung jauh…

Ayah telah pergi namun semangatnya masih di sini. Muga dizinkan Allah, jika ada, pada kebaikan yang lahir daripada setiap guris tulisanku… mengalir juga sebagai sungai keampunan dan sumur pahalanya di Mahsyar nanti.  Terima kasih ayah… kau guru penulisanku yang pertama!

 

 
57 Komen

Posted by di 20 Januari 2014 in Kemudi Hati

 

Label: , , ,

57 responses to “GURU PENULISAN KU YANG PERTAMA

  1. Hamba Miskin

    20 Januari 2014 at 11:38 pm

    Ayah

    Segarang-garang kamu… aku bisa menjadi orang dengan taqdir Dia.Syukur pada Dia,Terima kasih ayah,terima kasih ustaz Pahrol.

     
  2. Aftiey Nazmi

    20 Januari 2014 at 11:47 pm

    Ustaz. Saya cuma menangis. Terima kasih diatas tulisan motivasi kecil ini. Namun, saya akui ianya dari insan (Ustaz Pahrol) yang berjiwa besar!

    Allah rahmati ustaz dan kehidupan. Amin.

     
  3. wan mazuan

    20 Januari 2014 at 11:54 pm

    what a good story, from a son…and of course he there, in jannah will ‘read’ this. lucky to have u as his son, and more lucky he was ur father..
    tuhan, ampuni mereka, moga kau fahami perjuangan mereka, hati kami telah tersentuh, dia hambamu ini kau redha penanya menyentuh hati kami..one of d best daie malaysia ever had

     
  4. nur idayu

    21 Januari 2014 at 12:01 am

    Terima kasih ustaz share dis story!menyentuh perasaan n fikiran!

     
  5. norlia

    21 Januari 2014 at 12:07 am

    salam ustaz.

    apa nasihat ustaz untuk mereka yang minat untuk menulis, tetapi tidak tahu dari mana harus bermula.

    jzkk🙂

     
  6. Wan Zayuhisham

    21 Januari 2014 at 12:09 am

    Allahu Akbar. Saya terkesan dengan kisah kali ini. Semoga tuan terus diberikan kekuatan dan kesihatan yang baik oleh-Nya. Doa saya. Insya-Allah.

     
  7. norizan binti long

    21 Januari 2014 at 4:29 am

    Assalamualaikum ustaz, tersentuh hati membaca tulisan ustaz. Moga Allah memberi kesihatan yang baik untuk terus menulis.

     
  8. Zoila

    21 Januari 2014 at 7:38 am

    Greetings! Very helpful advice within this article! It is the little changes that make the largest changes.
    Many thanks for sharing!

     
  9. kak ngah

    21 Januari 2014 at 7:55 am

    Assalamualaikum Ustaz……
    Semoga Allah SWT memberikan kekuatan dan ketabahan untuk ustaz terus berkarya. Terima kasih, kerana telah banyak mendidik saya.

    alhFatihah buat arwah ayahanda Ustaz…….

    Wassalam…

     
  10. Hajah Hasnah Bt Hj Yunus

    21 Januari 2014 at 8:37 am

    Salam ustaz….membaca kisah ini seolah-olah mengimbau kembali kisah silam saya….juga berasal dari keluarga miskin….ayah seorang yatim piatu dihamba-abdikan orang semasa kecilnya….. sekolah setakat darjah 3 itupun selepas membajak sawah dahulu sebelum ke sekolah…di sekolah kena rotan sebab lambat….peringatan ayah yang tidak akan saya lupakan “hidup aku susah, anak-anak jangan jadi seperti aku, aku tiada harta untuk diwarisi cuma ilmu yang dapat aku beri”

     
  11. rozita

    21 Januari 2014 at 8:46 am

    assalamualaikum ustaz.. menitik airmata saya..perjalanan hidup kita lebih kurang sama..tapi saya jauh lebih beruntung..ada ibu yg mengenal huruf walau ayah buta huruf.. terima kasih kerana penulisan ustaz.. siapa pun kita.. alhamdulillah.. masih dikurniakan ayah dan ibu terbaik untuk kita..semoga ayah ustaz dan semua ibu bapa dicucuri rahmat Allah hendaknya..amin..

     
  12. sally

    21 Januari 2014 at 8:47 am

    Assalamualaikum wrbt.
    Motivasi yang begitu memberansangkan dan amat sesuai untuk anak-anak kita mengambil contoh dari pengalaman kehidupan ustaz. Mohon dikongsi ya ustaz. terima kasih. Semoga Allah memberkati ustaz sekeluarga.

     
  13. amyliana

    21 Januari 2014 at 8:52 am

    Allahuakbar..saya sgt2 terkesan degan semua tulisan2 ustaz baik dalam blog ataupun buku..semoga Allah memberi ustaz kesihatan yang baik untuk terus menulis..insyaAllah..amin :’)

     
  14. yani ismail

    21 Januari 2014 at 9:09 am

    Allahuakbar…mengalir air mataku. Moga ustaz diberi kesihatan yang baik & ilmu yg bermanfaat

     
  15. farah

    21 Januari 2014 at 9:32 am

    Thanks kerana berjaya menyentuh hati sy..

     
  16. syed hafiz

    21 Januari 2014 at 9:41 am

    syukran jazilan ya ustaz.. mengalir air mata terkenang arwah ayah saya..

     
  17. Rosidah

    21 Januari 2014 at 1:49 pm

    Subhanallah..menitis airmata saya..Terima kasih Ustaz atas perkongsian..terfikir untuk berkongsi artikel ini dengan insan-insan yang saya sayang..

     
  18. sepohon kayu

    21 Januari 2014 at 1:51 pm

    Assalamualaikum ust..
    ..T_T.. Kisah pnh hkmah..

     
  19. Hayati Haji Abdullah

    21 Januari 2014 at 2:05 pm

    Pengalaman adalah guru yang tidak bercakap tetapi sangat mendidik..Mungkin disebabkan pengalaman ustaz banyak membantu dan memotivasikan orang lain..Tahniah ustaz, semoga menghasilkan banyak lagi nukilan2 yang membimbing dan mendidik hati ini🙂

     
  20. kak chik

    21 Januari 2014 at 2:45 pm

    Sedih sgt.. Teringat arwah bpa, smga setiap kebaikkn yg ku contohi dr arwah mengalir menjadi sungai keampunan & sumur pahala buatny d akhrt nnt, Ameenn.. Al-fatihah..:-(:'(

     
  21. mariah

    21 Januari 2014 at 10:40 pm

    Terimakasih ustaz…menyentuh hati saya…saya sgt2 berterimakasih dgn ustaz…byk ilmu dan panduan saya perolehi dr ustaz sehingga menjadikan saya spt skrg…penuh semangat dan sentiasa berusaha menjadikan 24 jam saya adalah ibadah kpdNya…saya stiasa berdoa moga2 Allah memanjangkan usia ustaz…moga saya dpt bertemu dgnustaz suatu hari nanti…amin…

     
  22. Julkifli(KefliPahlawanJawi)

    22 Januari 2014 at 5:18 pm

    tak terkata.

     
  23. wardah

    23 Januari 2014 at 3:44 pm

    subhanallah..terlalu indah bait-bait tulisan ustaz sehingga tak sedar air mata mengalir..

     
  24. atika isa

    25 Januari 2014 at 11:10 am

    Terima kasih ustaz. Terima kasih tak terhingga.

     
  25. SuHaiL

    25 Januari 2014 at 8:20 pm

    Barakallahu ‘alaika! Ya ustaz

     
  26. mankuala

    26 Januari 2014 at 3:27 pm

    menangis saya ustaz..jiwa lelaki saya terusik…bila kita menjadi ayah..baru kita tahu akan kasih sayang ayah kepada kita. dititipkan bacaan al-fatihah untuk “abah’ disana.

     
  27. Hasimah hashim

    27 Januari 2014 at 10:40 am

    Subhanallah, terima kasih ustaz atas perkongisian ini. Teringat saya pada ayah saya yang telah kembali ke rahmatullah, semoga rohnya dalam rahmat Allah. Dia juga tegas tetapi sangat penyayang…..

     
  28. harold

    28 Januari 2014 at 4:29 pm

    Suatu kisah yang benar2 meruntun akal dan jiwa insan kerdil ini. Semoga terus diberkati dan dirahmati.

     
  29. Hang Kasturi

    29 Januari 2014 at 12:56 pm

    Syahdu bila terkenang! Sayu melayang-layang!

     
  30. Khaulah masriani

    29 Januari 2014 at 8:08 pm

    Subhanallah.. Sy dapat Hayati apa yang ustaz Cuba sampaikan. Benarlah, manusia yang lahir Dari kesusahan, selalunya berjiwa besar. Teruskan menulis ustaz.

     
  31. Salumah Salam

    30 Januari 2014 at 1:46 pm

    Alhamdulilah dan terima kasih ustaz. Saya percaya tulisan ustaz adalah dari hati, oleh itu yang sampai pun akan ke hati dan memberi kesan dalam kehidupan. Semoga ustaz terus dapat berkarya dan menulis untuk membuka mata hati insan-insan yang membaca hasil tulisan ustaz. Moga usaha dakwah melalui pena ini akan diberkati dan dirahmati dalam menyampaikan dakwah sebagai seorang dae’i.Alfateha jua untuk arwah ayah ustaz, kagum dengan semangatnya, semoga diberkati dan dirahmati, Ameen.

     
  32. Husni Omar

    30 Januari 2014 at 4:18 pm

    Hati saya tersentuh membaca tulisan ustaz ini. Kehebatan penulisan ustaz dimulakan dengan banyak kali kegagalan. Namun, sifat tidak mudah putus asa dan semangat yang diberikan oleh ayah kepada anaknya itu yang menjadikan ustaz seorang penulis terkemuka ketika ini. Subhanallah… Terima kasih ustaz kerana berkongsi cerita dan pengalaman…

     
  33. Khairudin Maliki

    5 Februari 2014 at 7:54 am

    Ustaz… teruskanlah “usaha” menulis biar apa pun “ujian” yang mendatang. Ramai yang suka baca tulisan Ustaz. Moga2 dengan tulisan Ustaz akan menghasilkan ramai lagi “Pahrol Mohd Juoi” untuk generasi akan datang. Jika diizinkan-Nya seperti diberi peluang mengikuti Kursus Penulisan bawah seliaan Ustaz, saya teringin sekali mengikutinya supaya dapat menghasilkan tulisan yang lebih baik lagi daripada Ustaz. Bukan untuk bersaing apatah lagi untuk bermegah. Hanya niat nak berkongsi ilmu2 yang Allah S.W. anugerahkan kepada diri ini.

     
  34. Erni

    5 Februari 2014 at 8:03 pm

    Sedih saya baca tulisan ustaz.. Biarpun sedih, tapi banyak tauladannya..

     
  35. Liya

    8 Februari 2014 at 7:04 pm

    sekali dah mula membacanya..pasti akan baca hingga ke akhirnya.
    hebatnya kuasa Allah memberi akal fikiran kepada manusia.

     
  36. siti zalehar sulaiman

    10 Februari 2014 at 1:25 pm

    ustaz..sepanjang saya mengikuti penulisan ustaz..ini kali pertama saya mencoretkan komen..tahniah ustaz..satu penulisan yang cukup menyentuh..

     
  37. shima skw

    15 Februari 2014 at 5:11 pm

    Mohon share. Begitu terkesan dihati dgn tulisan ustaz. Terima kasih.

     
  38. mawar

    19 Februari 2014 at 1:46 am

    Hanya tangisan menjadi teman kala aku membaca karangan realiti hidup yg indah ini. Teruskn ustaz setiap kali sya sedih blog ustaz adalh tempat sya mencari suatu yg sukar sya jelaskn…..

     
  39. Amin Aziz

    22 Februari 2014 at 10:19 pm

    Artikel dari hati yg mampu menyentuh ke hati.
    Subhanallah. Semoga Allah merahmati Ustaz dan ayah yg hebat.

     
  40. Maznah Ismail

    25 Februari 2014 at 9:37 am

    Salam 25 Rabiul Akhir 1435H ustaz Pahrol yang dirahmati ALLAH,

    Alhamdulillah..terima kasih ustaz atas perkongsian yang sangat bermakna bagi diri ini saat dan tika ini.
    “Guru penulisan ku yang pertama” yang pastinya lahir dari hati AlhamduLILLAH sampai ke hati kami juga. Menjadi vitamin jiwa dan suntikan semangat untuk terus menulis dan menulis dan pastinya semuanya kerana Dia Yang Maha Agung dengan izin dan mahuNya Dia.

    “Nun, demi qalam dan apa yang mereka tulis.” (68:1)
    “Yang mengajar (manusia) dengan perantaraan qalam.” (96:4)
    “Dia mengajar kepada manusia apa yang tidak diketahuinya.” (96:5)

     
  41. Fikri

    25 Februari 2014 at 8:51 pm

    Reblogged this on Fatamorgana Kehidupan and commented:
    Guru penulisan ku? Nikmat pancaindera barangkali, dengan melihat, mendengar, dan menyentuh.

     
  42. mama zahra

    1 Mac 2014 at 6:42 pm

    jazakallahu khairan kathira…semoga ustaz sentiasa dlm rahmat & kasih sayang Allah serta dilimpahi idea2 utk meneruskan dakwah melalui tinta indah ini. saya memang ‘jatuh cinta’ dgn hasil karya ustaz….

     
  43. Nani

    3 Mac 2014 at 5:06 pm

    patut lah terlahir insan mulia yang dihadiahi Allah pengamatan yg amat indah tentang sekolah kehidupan seperti ustaz ini rupanya adalah buah yang telah masak ranum kerana dibajai realiti kehidupan yang penuh bererti dari kasih dan sayang ayah dan ibunya suatu masa dahulu…chewah..saya pun nak cuba2 menulis hehe..saya terharu sebenarnya ustaz..

     
  44. hafiz

    7 Mac 2014 at 9:46 am

    ala..masuk habuk mata aku nih

     
  45. Honey Solehah

    8 Mac 2014 at 7:45 am

    SubhanAllaah. .
    Sekarang saya faham mengapa hati saya sentiasa tersentuh setiap kali saya baca penulisan & penyampaian Ustaz…
    Cinta pd Allah. .
    Cinta pd Rasul..
    The credit goes to u..
    Ustaz adalah di antara Da’i yg sentiasa menjadi sanjungan saya..
    Harap saya juga boleh jd Da’ie sehebat Ustaz..

    Ya Rahmaan. .
    Grant Ustaz Pahrol Mohd Juoi Your Jannatul Firdaus. .
    Aameen Ya Rabb

     
  46. Alhakir

    9 Mac 2014 at 7:03 pm

    Assalam

    Kita meletakkan ayahnada di takah yang sewajarnya. Betapa besar pengorbanan yang telah dilimpahkan ke dalam hidup kita. Teringat kepada ayahanda sendiri yang terpaksa menggadaikan tanah bernailai RM1900 seekar kerana kerasnya hati ini untuk bersekolah. Kini kita hanya mampu mendoa dan beersedekah bagi pihaknya. Semoga roh mereka dilindungi dalam kasih dan rahmat Allah.

    Amat sedih dalam kehidupan hari ini yang begitu ramai ibu dan ayah disandarkan di rumah kebajikan, dibiarkan bergelandangan dan disisihkan keseorangan. Apakah yang berlaku kepada diri manusia masa kini ??? Sedang mereka telah diazankan semasa menjengah dunia, dididik dengan ilmu sepanjang usia muda dengan tatangan minyak yang penuh.

    Tahniah ustaz, cerita itu pernah saya dengan secara live di kampung ustaz…. kita perlu terus menulis begitu. Sayangnya mereka yang baik sahaja membaca catatan sedemikian. Sasaran sepatutnya semakin jauh dan semakin jauh.

     
  47. Nurul Syazwani

    14 Mac 2014 at 5:06 pm

    Allah..Allah,,bila bca kisah ustaz,,hati terusik tringat ayah kat kmpg..wlau tahap pndidikan xlah smpai ke menara gading,,tpi,,semangat dan kasih sayang ayah x kan dilupakan..yeaa…mmg betul tulisan ustaz dalm solusi baru2 ini,,bahsa cinta ayah adlah dri prbuatannya sndiri..wlau dia brsikap kasar dan tegar pd diri seorang anak,,tpi itulah tarbiyyah utk anknya kenal erti hidup yg pelbagai rintangannya..mga ustaz trus dberi kekuatan utk berkarya melalui tulisan2 tarbiyyah ini..mga roh arwah ustaz trmasuk dlm klgan org2 mukmin..ameen…

     
  48. arieff

    21 Mac 2014 at 8:07 pm

    as salam,… kisah nie sangat menusuk kalbu saya… pertamanya saya baru menyedari bukan mudah untuk menjadi penulis.. saya sangat berminat untuk menjadi penulis… tapi tak pernah berpeluang untuk menjadi menghasilkan karya….hasrat itu hanya tersimpan dalam hati…… namun saya tak akan berputus asa untuk merealisasikan impian ini…… saya sanagt kagum dan mencontohi ketabahan ustaz serta ayah ustaz… saya sangat memahami jiwa seorang insan yang buta huruf atau kurang bernasib baik untuk melalui alam persekolahan untuk memahami jiwa kita yang persitaran yang berbeza… namun yang pasti merekan tetap mahu melihat kita berjaya walaupun cara yang di tunjuk agak sukar untuk kita terima… kadang- merasakan mereka tak pernah memahami apa yang kita lalui…

     
  49. arieff

    21 Mac 2014 at 8:09 pm

    terima kasih atas perkongsian yang amat bermakna………

     
  50. Sue Hatta

    21 Mac 2014 at 9:07 pm

    ASM Ustaz, saya amat terkesan dgn lyrics lagu Bintang Syurga..terima kasih di atas karya sumbangan Ustaz selama ini..

     
  51. Muniroh Ibrahim

    24 Mac 2014 at 7:36 pm

    Terima kasih kerana sudi berkongsi cerita.

     
  52. Muhammad Syafiq

    28 Mac 2014 at 4:57 pm

    Terima Kasih Ustaz atas perkongsian yang dicurahkan.Andai badai terus bertamu,sahutlah ia dengan bimbingan ilmu…Insyaallah,suatu hari nanti,saya akan berusaha menjadi seperti ustaz,walaupun hakikat ini,terus dibelenggu dosa kejahilan..

     
  53. alias

    4 April 2014 at 8:07 am

    Subhanallah.Tiada kalam yang dapat dinukilkan untuk mu wahai hamba Allah yang saya hormati kerana Allah. Semoga Allah merahmati tuan sekeluarga dan kesejahteraan kepada arwah ayahanda di sana. semoga sentiasa dalam rahmat Allah swt….Doakan saya juga agar mengikut jejak langkahmu tuan…Insya Allah..

     
  54. hanimisba67

    22 April 2014 at 3:59 pm

    inilah yang tengah di lalui oleh anak sulung lsaya ( lelaki ) cumanya ayahnya tidak buta huruf tapi zikirnya kurang, kekutan hanya di tangannya tidak ditangan Allah. semoga dengan cerita ini dapat menjerninkan keadaan.terima kasih ustaz , semoga akan lahir lebih ramai ayah seperti ayah ustaz ,ustaz sendiri sebagai ayah,dan anak lelaki yang bakal menjadi ayah hebat,amin.

     
  55. Nurul Shuhada Ramli

    30 April 2014 at 1:22 am

    Assalam alaik Ustaz. Bertakung air mata saya membaca kisah yang Ustaz paparkan. Segalanya menjentik hati saya untuk terus meninggikan nilai syukur kepada Allah atas segala nikmat yang telah dikurniakan oleh-Nya. Ya! Semoga segala yang telah Ustaz kongsikan dalam setiap naskhah, akan menjadi pahala buat Ibu dan Ayah yang telah banyak mendidik. Sesungguhnya, semua karya Ustaz menyentuh hati saya dan saya yakin ramai juga insan lain yang menyukainya. Alhamdulillah, Allah beri kesempatan saya untuuk membaca entri Ustaz yang ini. Mudah-mudahan semangat yang telah saya peroleh ini akan terus berkekalan untuk membantu saya mengejar cita-cita saya. Berbekalkan doa dan ingatan tulus ikhlas, semoga Ustaz dan insan-insan yang Ustaz sayangi dilindungi dan dirahmati Allah Subhanahu Wata’ala. Insya-Allah.

     
  56. cilipadi

    2 Oktober 2014 at 6:30 am

    Saya pun nangis…Bijaknya ayah Protaz…seperti juga ayah saya…Cuma ayah saya susah semasa kecil tetapi udah senang bila saya lahir…Saya cuma dengar cerita kesusahannya tapi tidak melihat sendiri…Dia titipkan kecintaannya kpd buku dengan menghadiahkan set buku cerita Nabi2 yang ditulis oleh rakan beliau semasa saya mula bersekolah…Hingga kini saya belum habis2 membaca dan membaca…Walaupun dia dah tiada,semangatnya membara dalam jiwa saya…seperti Protaz juga…Protaz juga menyemarakkan lagi kecintaan saya…I love your books…

     
  57. rohanaghazali85

    25 Oktober 2014 at 11:19 am

    pengalaman itu adalah tarbiyah dari allah.

     

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: