RSS

MERDEKAKAH KITA?

31 Aug

download

Setelah lima puluh enam tahun merdeka…

Setelah lebih lima dekad Melayu memerintah

merancang dan melaksanakan pembaharuan

mengapa katanya Melayu masih ketinggalan?

menjadi ‘penumpang’ dengan gelar ketuanan

menjadi ‘pengemis’ dalam watan yang kaya-raya

menjadi ‘miskin’ di kepuk bumi sendiri

menjadi ‘melukut’ dalam gantang peribumi

Ah, melayukah Melayu ini?

yang melarat di pertiwi sendiri?

 

Tahap ekonomi masih jauh dari sasaran DEB

Takah 30% kabur,

langkah mencapainya sering terbentur

usahawan kecil lemas dalam bantuan

korporat ‘instant’ tenggelam dalam pinjaman

Lahir segelintir elit ekonomi yang lupa jati diri

kaya raya oleh label bumiputera, tapi sudahnya melupakan bangsa

Lahir pula usahawan marhein yang miskin

Walau ilmu ditabur modal dihulur,

tapi bisnes tak ‘betul-betul’

‘berniaga buluh kasap’

modal habis untung lesap!

bankrap terlalu kerap – itu bukan lagi sesuatu yang hina

tapi satu strategi penuh rencana

 

Dasar Pelajaran Kebangsaan masih impian

Bila pelajar Melayu terus ketinggalan

Di IPTA atau di IPTS  –  dari segi kuantiti atau kualiti

bilangan mahupun kelulusan… siswazah Melayu masih pinggiran

soal kuota tak terisi atau kantung ibu-bapa yang tak berisi?

bahana idealisme atau bahang hedonisme?

kata seorang pengkaji: Itu gara-gara makanan Melayu tidak bergizi

kata media Melayu: Itu angkara sikap yang terlalu dimanjakan

kata pemimpin: Itu akibat malas, lembab dan tak mahu bersaing

ah, ketika begini teringat pula lagu lama – lagu Melayu

‘bangau, oh! bangau…’

bila  semua pihak saling menuding jari

demi menyelamatkan maruah diri

 

Jenguk-jenguk pulalah ke Pusat Serenti

(sekarang sudah ditukar nama tetapi tidak bertukar isi)

tanyakan apa ‘khabar’ orang di sana

atau singgah sahaja di lorong sempit di belakang  Chow Kit

sapalah remaja harapan bangsa yang telah menjadi mangsa

jangan bicara soal patriotisme,

‘perut’isme pun mereka sudah lupa

bukan ratus, bukan ribu, tetapi ratus ribu

itu belum dikira bohjan dan bohsia

belum dicampur penjenayah juvana

perogol, liwat dan penzina

judi, arak, mencuri, merompak

ah, tidak perlu data statistik dan angka-angka komputer

cukup sahaja dengan mata dan telinga

untuk memastikan siapakah mereka?

ya, siapa lagi… Melayulah jua

 

Lebih kronik konflik politik

diantara parti dengan parti

dan sesama sendiri dalam satu parti

sama-sama nekad, sama-sama dahsyat

musim pilihanraya – ajak kawan lawan parti lawan

musim pemilihan – ajak kawan makan kawan

riuh sejak lama tentang politik wang

heboh sampai sekarang tak hilang-hilang

bergaduh soal nyamuk membakar kelambu

bertikai soal ‘cara’ mengorbankan ‘hala’

terlupa nilai adat dan tatasusila bangsa

terpinggir prinsip akhlak dan hukum agama

kuasa jadi ‘komiditi’ yang menjanjikan laba

bukan lagi amanah yang berisikokan dosa

ah, semakin ramai Melayu yang ingin memimpin

sedangkan ada yang tak layak… walaupun sekadar untuk dipimpin

tak mahu jadi gerabak, bertolak-tolak  nak jadi kepala

akhirnya ‘keretapi’ bangsa  terhenti…

perjalanan bangsapun tergendala!

 

Kembalilah ke sejarah, belajarlah dari Rasulullah

bagaimana baginda membina satu bangsa bermaruah

sedangkan awalnya terkenal barbar dan jahiliyah

lihat apa yang disuburkannya di peringkat Makkah

lihat apa yang digemburkannya di peringkat Madaniah

bukankah apa yang dihadapinya penuh persamaan

dengan nasib kita yang sering ditimpa kehinaan

justeru Arab jahiliyah itu cermin sejarah

bagi setiap bangsa yang bermasalah…

belajarlah dari Arab jahiliyah

 

Politiknya kacau-bilau – perang saudara tak pernah aman

antara kabilah, bani dan suku sentiasa bercakaran

sebab yang sedikit, perangnya berkait-kait

Ekonominya tenat – monopoli Yahudi mencengkam nadi

telaga, pasar dan kebun dimonopoli

terpaksa menjadi ‘hamba’ di bumi sendiri

Sosialnya parah – zina, arak, tenung nasib, bunuh bayi

bangsa hilang maruah, umat hilang arah

Rom dan Parsipun tak sudi menjajah!

 

Itulah gambaran bangsa yang sangat tenat

gersang, kontang, lemah, kalah

menunggu saat untuk dicampakkan ke longkag sejarah!

Tiba-tiba datang Rasulullah membedah masalah

‘first thing first’ – operasi di dalam diri, diselesaikannya ‘soal hati’

disingkirkannya syirik dicantasnya berhala meterialistik

lalu diperkenalkan Allah – agar cinta dan takut hanya pada-NYA

dikenalkannya  Akhirat – agar ghairah syurga dan gundah neraka

lihat alam, lihat semesta… bukti kewujudan-Nya

jangan nafikan penciptaan kedua (akhirat)…

ketika penciptaan pertama (dunia) sudahdi depan mata!

 

Walaupun ekonomi, politik, sosial jahilyah menghadapi masalah

tetapi Rasul mendahulukan akidah

diperhebatkannya dakwah, dipertingkatkan tarbiah

disemai iman, dituainya persaudaraan

justeru ekonomi sakit  sebab iman sedikit

justeru  politik tersasar apabila ukhwah melonggar

justeru sosial hancur akibat iman dan ukhwah meluntur

bukan menafikan keperluan ilmu, kepakaran teknologi

Tapi jangan sekali-kali diremehkan soal hati

kerna ini bukan hanya soal pengetahuan

tapi sebenarnya soal kemahuan

bukan masalah kurang harta tapi masalah ‘miskin’ jiwa

bukan kekuatan luaran tapi kekuatan dalaman

kerana bangsa tanpa kekuatan iman…

bagai kapal hilang pedoman

 

Indahnya bila iman menjadi teras kepakaran dan pengetahuan

gagahnya bila  iman menjadi asas pembangunan dan kemajuan

itulah langkah susulan selepas iman di  Makkah

Rasul membina sosial, ekonomi dan siasah…

dengan roh iman di Madinah

bukan seperti Arab jahiliyah…

yang memisahkan kehidupan daripada akidah

 

Belajar daripada sejarah menangnya Rasulullah

Belajarlah daripada sejarah kalahnya Arab Jahiliyah!

Aduhai bangsa ku,

Jangan hanya merdeka geografi, tapi hati terjajah…

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 
22 Komen

Posted by di 31 Ogos 2013 in Semasa

 

Label: , , , ,

22 responses to “MERDEKAKAH KITA?

  1. puterirasu

    31 Ogos 2013 at 8:08 am

    Reblogged this on PUTERI RASUL….. and commented:
    MERDEKAKAH KITA?

     
  2. Norrashidah Musuroh

    31 Ogos 2013 at 8:12 am

    Selamatkan anak kita, dari padang jerangkap samar…
    Selamatkan anak kita, order baru politikus usang

     
  3. Fitri Saari

    31 Ogos 2013 at 8:43 am

    Terbaik Ustaz Pahrol🙂

    Membina Malaysia yang baru, ia patut bukan imaginasi namun misi dan visi kita semua!

     
  4. Abdilah Ahmad Mudus

    31 Ogos 2013 at 1:15 pm

    Rasulullah SAW telah pun menunjukkan kita bagaimana cara untuk membebaskan diri daripada belengguh CINTA DUNIA dan menjadi manusia yang MERDEKA dunia dan akhirat dengan menjadi HAMBA ALLAH yang sebenar dengan mengerjakan semua PERINTAHNYA dan menjauhi punca-punca perkara yang DILARANGNYA.

    Dan salah satu perintah ALLAH yang paling utama dalam hidup Baginda ialah SOLAT 5 WAKTU hanya dengan benar-benar mendirikan solat sahaja barulah kita bebas dan merdeka dari hasutan SYAITAN dan NAFSU yang tidak pernah mengenal erti puas dalam hidup ini. Oleh itu jika kita semua benar-benar SAYANGKAN DIRI suami, isteri dan anak-anak kita marilah kita mendirikan solat 5 waktu secara berjamaah mulai sekarang!

     
  5. wan mazuan

    31 Ogos 2013 at 2:58 pm

    well said ustaz,, belajar dari menangnya Rasulullah, belajar dari kalahnya kafir:)

     
  6. aimi syamimi

    31 Ogos 2013 at 9:07 pm

    Tahniah!..luahan hati yg sgt jujur..moga ramai yg terbuka hati merubah diri dn keluarga.keluar dr jajahan hati yg sering terbelengu dik kesibukan duniawi

     
  7. cilipadi

    1 September 2013 at 9:18 pm

    Sedihnya baca gurindam Ustaz….Terasa sangat sepinya perjalanan menuju yang Haq…Riuh-rendah rasanya dunia yang ustaz gambarkan…Moga ramai yang mahu merdeka dan mengambil nasihat/petunjuk jalan yang ustaz iktibarkan drp sejarah perjuangan Rasulullah SAW.Merdeka jiwa dengan membebaskan hati drp dunia dan menghadapkan hati(muka) kepada Yang Maha Esa…Idealistik kata ramai orang;itulah keyakinan/beriman dgn janji Allah…

     
  8. mudahtakaful

    2 September 2013 at 9:13 am

    Bahasa yang indah, penuh makna, lagi bermakna..

     
  9. fazlirda

    2 September 2013 at 11:50 am

    bangsa kita terjajah, anak Melayu lupa daratan, bila ditegur mulalah mengamuk, betullah ‘bangau oh bangau’, marilah bermuhasabah diri termasuklah diri saya sendiri.

     
  10. Amir Amjad B Ariffin

    2 September 2013 at 12:06 pm

    mohon dikongsi utz

     
  11. abu

    2 September 2013 at 3:18 pm

    insyaAllah semoga saya anda semua dapat menjaga solat di awal waktu n berjemaah walau di mana pn dan bagaimana pn kerja kita..

     
  12. MAH

    2 September 2013 at 4:18 pm

    As Salam Ustaz,

    Adakah saya akan membaca perkara-perkara yang sama 5 atau 10 tahun dari sekarang? Allah SWT sahaja Yang Maha Mengetahui

     
  13. ikan puyu

    2 September 2013 at 11:03 pm

    Akhirnya..ustaz pun perasan benda ni..betapa lemahnyer kita..betapa malasnya kita..betapa bodohnya kita..betapa mundurnya kita… Kita merdeka dalam terjajah..kita melukut ditepi gantang..kita cuma busa2 buih yang hilang dipermukaan..ustaz2 semua bantulah..dakwahlah supaya kita jadi org mukmin yg hebat..ekonominya..pelajarannya..jadi billionaire dinegara sendiri..boleh ke ustaz..atau kelemahan ini satu takdir ilahi

     
  14. noormala

    3 September 2013 at 7:20 am

    Penuh dengan makna tersirat dan tersurat…perlu difahami dan dijiwai oleh semua jiwa-jiwa yang mengaku dirinya merdeka…

     
  15. Alice Zuzartee @ Shafiqah

    4 September 2013 at 2:10 pm

    Saya paling suka part ni :

    ‘first thing first’ – operasi di dalam diri, diselesaikannya ‘soal hati’

    disingkirkannya syirik dicantasnya berhala meterialistik

    lalu diperkenalkan Allah – agar cinta dan takut hanya pada-NYA

    dikenalkannya Akhirat – agar ghairah syurga dan gundah neraka

    lihat alam, lihat semesta… bukti kewujudan-Nya

    jangan nafikan penciptaan kedua (akhirat)…

    ketika penciptaan pertama (dunia) sudahdi depan mata!

    Terima Kasih Ustaz !🙂

     
  16. Norbaiti Ridzuan

    4 September 2013 at 3:46 pm

    Ya…. hakikatnya….😥

     
  17. Mohd Rosli Khalid

    4 September 2013 at 5:04 pm

    Pemimpin main cantas tunas….maka ra’ayat pun cantas hang Nadim…last sekali Jebat yg datang.was Salaam.

     
  18. Huraizah Zakaria

    7 September 2013 at 6:56 am

    Hanya dengan pemimpin muslim akur untuk pelaksanaan pentadbiran, secara Islam, merdeka dan kemajuan akan boleh dicapai dengan setiap persoalan ada jawapannya. Setiap isu ada jalannya. Wallahua’lam.

     
  19. Larna

    10 September 2013 at 8:57 am

    forwarded to all my friends…thank u ustaz! keep on posting!!

     
  20. iman naim

    13 September 2013 at 12:27 am

    tq ustaz…. kata penuh tersirat penuh berkat…

     
  21. ija

    23 September 2013 at 6:29 pm

    Terbaik… baru ada masa nak baca..huhu

     
  22. Ina Nurie

    26 September 2013 at 9:47 am

    merdeka yg membinasakan…sebenarnya kita takkan pernah merdeka andai kita sedar yang kita ini hambaNya…segala apa yang kita lakukan mesti berpandukan kepada perintah & laranganNya…kita tidak boleh tersasar…akibatnya seperti yg kita dengar, lihat & rasa pada hari inilah…pegang satu prinsip…hidup untuk Allah, insyaaAllah kita akan merdeka di syurga nanti.

     

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: