RSS

TUHAN ATAU HANTU?

09 Oct

Tiga unsur ini – pertama seks, kedua misteri (tahyul), ketiga gossip – jika dimasukkan ke dalam  filem, akhbar, buku atau apa sahaja media massa akan menjadi faktor pelaris. Justeru, demi mendapat keuntungan material, tiga unsur itulah yang sedang dieksploitasi dan dimanupulasi semaksimumnya dalam masyarakat pengguna.

Berbincang tentang buruk baik filem hantu dan seram (yang menjadi isu ketika ini), tidak akan menyelesaikan masalah tanpa merujuk kepada satu titik kebenaran. Apakah titik kebenaran itu? Ya, kita semua mesti akur bahawa Allah lebih mengetahui apa yang baik untuk manusia berbanding manusia itu sendiri. Bukan itu sahaja malah Allah itu Maha Pengasih, Maha Penyayang dalam apa jua ketentuanNya buat manusia samada takdirNya, hukum-hakamNya, ujianNya dan lain-lain.  

Jika hakikat itu ditolak… tidak akan ada titik pertemuan kerana akal dan hati manusia akan terus berbeza antara satu sama lain. Individu ini dengan logik dan rasionalnya, individu itu dengan hujjah dan pandangannya. Masing-masing ada ‘ego’nya. Mengapa tidak merujuk dan tunduk kepada Allah? Bukankah Islam itu cara hidup yang syumul?   

Saya yang kerdil ini ingin turut menyumbang bagi menjernihkan keadaan setakat yang terdaya. Sekadar ingin membuka ufuk fikiran termalah dua hasil tulisan saya yang ada kaitannya dengan isu filem hantu, seram dan berunsur seks sekarang. Dua tulisan ini telah saya terbitkan dalam buku BILA BEDUK DIKETUK...

Tulisan 1: TUHAN ATAU HANTU?

Secara sinis seorang sahabat berkata, “tidak ada hantu yang berkeliaran pada malam Jumaat.”

“Malam Jumaat, malam yang berkat. Esoknya, penghulu segala hari raya. Hari raya mingguan untuk umat Islam. Mungkin itu sebabnya,” balas saya.

“Bukan itu yang aku maksudkan,” katanya.

Saya senyum sambil bertanya kembali, “kenapa tiba-tiba kau bercakap tentang hantu?” tanya saya kembali.

Dia diam sebentar. Kemudian menyambung,  “semua hantu dah masuk dalam TV. Macam-macam hantu telah dimunculkan semula. Pemikiran orang kita kembali ke belakang,” ujarnya.

Saya senyum dengan sindirannya. Teringat kata guru penulisan saya, “ada tiga unsur yang menjadi bahan pelaris dalam media yang dikuasai oleh orang Melayu – seks, mistik atau misteri dan gosip. Benar, media cetak dan elektronik yang ada ketiga-tiga unsur ini akan mendapat sambutan.

“Aku bimbang, pemikiran anak-anak kita akan diracuni. Bukankah siapa kita lima tahun akan datang ditentukan dengan siapa kita bergaul dan oleh apa yang sering kita baca, tonton dan dengar? Kalau cerita-cerita hantu ini yang kerap mereka tonton dan baca, fikiran bawah sedar anak-anak kita akan terkebelakang!”

Saya diam. Memang ada kebenaran kata-katanya itu. Budak-budak sekarang jadi penakut tidak bertempat, hendak ke bilik air, hendak tidur, hendak bersendirian semua penakut. Apa tidaknya cerita-cerita hantu sarat dengan adegan hantu muncul tiba-tiba dari bawah katil,  dari sebalik pintu dan sebagainya.

“Aku bimbang melihat peranan ahli agama dan ayat-ayat Quran yang disalah tafsirkan dalam cerita-cerita hantu ini…” tambah saya untuk menyuburkan percambahan fikiran.

“Ada yang berhujah, tengok dalam cerita hantu ini kami memartabatkan ahli agama dan ayat-ayat Quran. Bila ahli agama datang dengan serban dan kopiah serta membaca ayat-ayat Quran, hantu akan cabut lari, terbakar, ghaib dan sebagainya. Apa pandangan kau tentang ini?”

“Al Quran ditujukan untuk difahami, dihayati dan diamalkan oleh manusia. Itu fungsi utamanya. Jika manusia tidak menghayati al Quran, manusia akan jadi hantu yang lebih ganas dan dahsyat!”

“Maksud kau?”

“Akibat meminggirkan Al Quran lahirlah hantu-hantu di kalangan manusia yang menjadi pembuang bayi, mat rempit, peragut, perogol, penagih dadah, perasuah, penjenayah, ahli politik yang putar belit, wanita yang mendedahkan aurat dan penggiat budaya hedonisme di kalangan orang Islam sendiri. Inilah hantu yang lebih dahsyat daripada polong, puntianak, penanggalan, pocong yang digembar-gemburkan itu.”

Saya teringat lagi pesan imam kampung saya dulu, katanya,” hantu ini ada dua, satu hantu di kalangan jin, dan satu lagi hantu di kalangan manusia. Hantu di kalangan jin lebih mudah dihadapi, baca ayat Quran dia akan lari. Tetapi hantu di kalangan manusia ni tak lari kalau dibacakan ayat Quran… “

“Betul kata kau. Ustaz-ustaz atau lebai-lebai dalam cerita hantu datang pada saat-saat akhir dengan kuasa  magisnya. Mereka baca ayat Quran yang lebih mirip mantera atau jampi dan hantu pun cabut lari!”

“Pada hal peranan ahli agama dan ayat-ayat Quran bukan sekadar sebagai penghalau hantu tetapi pendidik, pendakwah sekali gus profesional yang menegakkan ayat-ayat Quran dalam sistem hidup manusia secara keseluruhan. Kalau dulu ahli agama dijemput di permulaan majlis untuk membaca doa, kemudian majlis pun berjalan dengan pelbagai agenda yang membelakangkan syariat… Kini ahli agama digambarkan pula sebagai penghalau hantu yang datang di hujung cerita yang tidak memaparkan pun Islam sebagai cara hidup!”

“Islam mesti dimartabatkan sebagai cara hidup dalam keluarga. Itulah penghalau hantu yang paling “mujarab”. Jika sebuah keluarga menjaga solat, menjauhi riba dan rasuah, menutup aurat, mengelakkan diri daripada pergaulan bebas, rajin berusaha insya-Allah mereka tidak akan jadi hantu…”

“Dan hantu-hantu di kalangan jin pun akan takut kepada diri dan keluarga itu betul tak?” tambah teman saya itu.

“Kalau kita tidak jadi hantu, hantu akan takut kepada kita. Orang yang takutkan Allah, makhluk lain akan takutkannya!”

“Jadi cara menghalau hantu?”

“Jangan jadi hantu!”

Kami sama-sama tersenyum.

“Nilai-nilai Islam sentiasa menjadi tempelan. Ayat Quran kekadang dijadikan tema awal atau muncul di akhir cerita hanya untuk menghalalkan cerita yang sarat dengan nilai syirik dan mistik. Jika tidak ada asas agama yang kukuh, tidak mustahil kuasa hantu yang menjadi fokus utama dalam cerita itu akan menenggelamkan kuasa agama yang dipaparkan di penutup cerita. Penonton akan lebih takutkan hantu berbanding keyakinan kepada kekuatan agama dan roh Al Quran,” jawab saya.

“Aku bimbang, ayat-ayat Al Quran sudah tidak dijadikan lagi bahan untuk mendidik hati manusia. Lambat-laun ia akan hanya menjadi azimat, tangkal yang digantung di palang pintu untuk menghalau hantu. Atau ia hanya akan jadi bahan mantera atau jampi serapah ahli-ahli agama yang berimej dukun atau bomoh semata-mata.”

“Nanti orang menuduh kau tidak percaya yang ghaib…”

“Yang ghaib itu ada. Syaitan dan jin ada. Ada hikmahnya Allah ciptakan mereka ghaib dan tidak boleh kelihatan. Dan bila Allah ciptakan begitu, itu sesungguhnya lebih baik untuk manusia. Tidak payahlah susah-susah kita jadi “seekers” untuk berjumpa dengan mereka. Tumpukan sahaja tugas kita sebagai khalifah di muka bumi ini. Musuh yang kita tidak nampak ini pun akan gentar dengan kekhalifahan kita!”

“Kau nak nafikan juga ada ulama-ulama yang pakar dalam menghadapi jin dan umat memerlukan mereka?”

“Aku tidak katakan begitu. Rasulullah saw sendiri telah berdakwah kepada golongan jin. Dan ramai ulama-ulama yang hebat yang mampu melihat jin dengan mata hati mereka. Dan bila ada masyarakat yang diganggu jin, mereka muncul untuk membantu. Tetapi itu hanya tugas sampingan..”

“Tugas sampingan? Apa maksud kau?”

“Tugas utama mereka berdakwah dan mendidik masyarakat. Mereka murabi bukan bomoh atau dukun. Cuma dalam tigas mendidik, kepakaran menghadapi jin kekadang diperlukan. Rasulullah saw juga begitu. Sejarah perjuangannya dipenuhi dengan kesabaran, keberanian dan iltizam mendidik manusia. Puluhan tahun, dari era Makkah menuju era Madinah…”

“Daripada berdakwah, mentarbiah, bersiasah hinggalah memerintah negara. Rasulullah saw lebih banyak menghadapi manusia.  Sekali-skala sahaja baginda menghadapi kerenah jin. Kenapa agaknya ya?” giliran saya pula meminta pandangan balasnya.

“Sebab Rasulullah tahu jika manusia mengikut perintah Allah dan menegakkan cara hidup Islam dalam kehidupan mereka, jin tidak akan mengacau. Bahkan jin pun akan tunduk akur dan boleh menjadi hamba Allah yang soleh. Tetapi bila manusia jahat, menjadi hamba kepada hawa nafsunya, jin yang jahat akan mengganggu mereka.”

“Agak-agak kau mana lebih ramai, bayi yang dibuang oleh manusia yang tidak bertanggung jawab berbanding atau yang dilarikan puntianak? Berapa ramai remaja yang mati dan hilang anggota akibat merempit berbanding yang dicekik oleh hantu penanggal? Dan betapa dahsyatnya bahana yang menimpa hidup kita akibat makan rasuah dan riba berbanding termakan santau?”

Dia senyum.

“Ahli agama jangan muncul di hujung cerita dalam kehidupan sebenar manusia. Muncullah di awal, di tengah dan di hujung serta pada bila-bila masa sahaja. Jadilah pendakwah yang mengubat punca masalah. Bukan dukun atau bomoh yang hanya datang bila dijemput. Al Quran itu medium tarbiah bukan jampi serapah. Sedarlah bahawa bahaya hantu yang muncul di kalangan manusia sendiri lebih buruk dan meluas kesannya daripada hantu di kalangan jin.”

“Ayat Al Quran mesti dibaca oleh semua manusia untuk mengatur semua agenda hidupnya. Bukan dibaca oleh orang-orang tertentu hanya untuk menghalau hantu!”

“Dan pada malam Jumaat, jangan asyik terpaku di hadapan TV dengan pelbagai versi hantu yang dikutip semula daripada “mesin pemikiran kitar semula” yang dangkal dan rakus. Tetapi isilah program malam yang berakah itu dengan program membaca Al Quran, tahlil Yasin, qiamullail dan lain-lain aktiviti yang berfaedah.”

“Tidak salah untuk menonton TV, jika programnya memberi manfaat. Jika ada drama atau cerita yang mendidik jiwa apa salahnya?”

Saya terdiam. Ya, kita masih kekurangan penggiat seni yang berkarya atas apa yang diyakini, dialami dan dirasakannya. Hanya dengan itu hasil karyanya akan benar-benar mendidik jiwa. Penggiat seni yang mampu menghalau “hantu” dalam hati manusia bukan mereka yang dihantui oleh nilai-nilai komersial dan dunia “glamour” semata-mata.

“Apa yang mampu kita lakukan hanyalah percubaan mengetuk minda Melayu…”kata teman saya.

“Mengetuk bukan mengutuk… Dan kita mesti berusaha untuk menjadi bahu bukan hanya telinga dan mata pada masalah ini.”

Dan sahabat saya yang menjadi penulis skrip itu kini sedang menyiapkan karyanya berjudul: Hantu dalam hati manusia!

Tulisan : DIALOG DENGAN SENIMAN

“Jika halaman rumah kita dibiarkan begitu sahaja, akan tumbuh keledek atau lalang?” tanya saya kepada lelaki yang bergelar seniman itu.

“Pastinya lalang,” jawabnya, “kenapa?”

“Itulah perumpaannya hati manusia…”

“Maksud awak?”

“Mudah jadi jahat berbanding jadi baik.”

“Apa kena mengenanya dengan perbincangan kita ini?” tanyanya kehairanan.

Itulah antara dialog saya dengan seorang seniman sewaktu kami sama-sama hadir dalam satu muzakarah tertutup baru-baru ini. Muzakarah itu bertujuan mencari jalan terbaik bagaimana menangani masalah remaja masa kini melalui pendidikan dalam media massa.

“Begini, filem-filem kita sepatutnya memberi input yang lebih bagaimana nak jadi baik berbanding bagaimana nak jadi jahat…”

“Sekarang tidak?”

Saya mengangguk dan berkata“saya lihat adegan seorang jadi jahat lebih ditonjolkan bagaimana nak dia nak jadi baik.”

Saya terbayang filem-filem kita yang begitu stereotaip sifatnya. Bila ada masalah seks bebas, maka berlambak filem-filem bercorak itu di pasaran. Kemudian datang lumba haram, driff dan sebagainya. Kononnya untuk membantu menangani masalah-masalah tersebut. Sayangnya, hal sebaliknya pula berlaku. Filem-filem itu seperti memberi publisiti dan menggalakkan lagi gejala negatif itu.

“Kita perlu nilai komersial. Kalau khutbah orang tak tengok!” ujarnya tajam.

“Yang baik, khutbah? Yang jahat, ada nilai komersial?” balas saya.

Dia menjeling. Jelas tidak senang dengan “asakan” saya.

“Betullah kata saya. Kalau nak berkhutbah bukan dalam filem,” asaknya lagi.

“Penggiat filem perlu kreatif menyampaikan mesej yang baik melalui pendekatan yang menarik. Saya setuju dengan awak, jangan berkhutbah dalam filem. Masalahnya…”

“Masalahnya apa?”

“Masalahnya penggiat filem hanya kreatif dalam memaparkan bagaimana orang jadi jahat. Bila nak paparkan bagaimana orang jadi baik, mereka mula berkhutbah!”

Saya memulangkan paku buah keras kembali kepadanya.

Saya mengikuti filem-filem Melayu dari jauh. Begitu juga dengan drama-dramanya. Bagaimana elemen hantu, bohsia, bohjan, sumbang mahram, mat rempit dan lain-lain diadun untuk “makanan” minda dan jiwa orang-orang Melayu. Idea-idea yang sudah dicampakkan ke “Recycle Bin” pun sering dikitar semula untuk dinobatkan sebagai hasil seni. Usahkan di sudut autentik dan saintifiknya, nilai estetiknya pun kekadang lintang pukang.

Jalan pulang watak jahat menjadi baik kerap dipaparkan secara pra-matang dengan menafikan unsur sebab dan akibat secara logik dan netral.

“Kekadang secara tak sedar filem mengajar bagaimana orang jadi jahat, bukan sebaliknya!” tusuk saya lagi.

“Kenapa? Itu bukan maksud kami?”

“Adegan yang negatif dipaparkan begitu terperinci. “Reverse psicology” berlaku tanpa disedari. Nikmat jadi jahat kelihatan lebih menggoda berbanding tarikan menjadi baik.”

“Sekali lagi saya tekankan, penonton suka pergolakan. Mereka nak lihat pergolakan. Kalau cerita tenang sahaja mana laku?”

“Kalau begitu usah bercakap tentang akhlak dan moral. Beri sahaja apa yang masyarakat mahu. Penggiat filem jadi peniaga bukan pendidik. Tidak payah bermuzakarah sampai begini…” balas saya sinis.

“Kita hendak juga jalankan tanggung jawab sosial…” katanya perlahan.

“Selepas meraih keuntungan komersial?”

Itulah manusia. Tekadnya tidak bulat untuk Allah. Hakikatnya dunia pasaran adalah “Tuhan” baru sembahan manusia yang sudah ketandusan nilai Islam dalam dirinya.

 

 
30 Komen

Posted by di 9 Oktober 2011 in Semasa

 

Label: , , ,

30 responses to “TUHAN ATAU HANTU?

  1. BG

    9 Oktober 2011 at 2:52 pm

    Assalamualaikum,

    Media massa terutama pengiat seni tanahair sepatutnya kreatif menggalakkan/mendidik masyarakat terutama remaja (yang bakal menerajui pemimpin masa depan) berfikiran positif dan produktif. Bukannya menjadi penggalak kepada keruntuhan moral dan nilai masyarakat. Apa yang berlaku sekarang, masyarakat terikut-ikut berpenyakit sosial seperti yang ‘dididik’ dalam filem tahyul dan berita-berita negatif yang banyak disiarkan di media massa.

    Kita khuatir impak filem sebegini pada masa akan datang akan lahir generasi yang akan mempercayai suatu kuasa lain yang perlu ditakuti, selain kuasa Allah SWT. Ini lebih malang kerana ia membabitkan soal akidah yang mungkin tidak disedari oleh golongan karyawan filem atau mereka memang terlepas pandang kerana masa itu masih jauh sedangkan keuntungan materialnya bertimbun depan mata.

    Filem-filem tidak berkualiti sebegini memang saya elak, sebabnya bak kata Dr. Zulkiple Abd Ghani, “firman Allah dalam ayat 2 surah al-Maidah yang bermaksud; Hendaklah kamu bertolong-tolongan dalam kebajikan dan jangan bertolong-tolongan dalam perkara maksiat dan kejahatan, adakah kita akan menerima ‘saham’ dosa jika filem yang dihasilkan itu mendorong orang melakukan kejahatan? Jawapannya, apa sahaja yang kita lakukan akan dibalas oleh Allah, jika kita membuat kebaikan sebesar zarah sekalipun Allah akan membalasnya dengan kebaikan, begitu juga sebaliknya. Jika kita bercakap mengenai filem, semua orang ada ‘saham’. Daripada penulis skrip, juru kamera, pelakon, make up artis, juru lampu, editor, juru bunyi, pereka dan sampailah kepada hasilnya yang ditonton oleh penonton semuanya ada ‘saham’….”

    Suka saya komen Ustaz Zawawi, “Jangan jadi macam unta Arab!“.

     
  2. Husnul Khatimah

    9 Oktober 2011 at 3:26 pm

    Assalamualaikum ustaz,

    Saya setuju dengan penulisan ustaz yang menyatakan anak2 muda /remaja zaman sekarang lebih takut pada hantu daripada Tuhan. Kadang2 bila lihat mereka terlalu obses dengan filem2 hantu ini. Sejujurnya filem-filem pada zaman sekarang banyak terlalu banyak unsur-unsur negatif. Mungkin pada pandangan pengiat seni itu adalah sebagai pengajaran tetapi bagi anak2 muda/remaja ianya menjadi sebaliknya (menjadi ikutan). Keruntuhan akhlak/moral semakin berleluasa. Kes pembuangan bayi hampir setiap hari terpapar di dada2 akhbar. Anak2 muda/remaja zaman sekarang mudah terpengaruh dengan benda2 negatif. Teguran daripada ibu bapa dianggap sebagai halwa telinga yang masuk telinga kanan keluar telinga kanan. Siapakah yang harus dipersalahkan?

     
  3. hazwani

    9 Oktober 2011 at 4:42 pm

    Nilai sebuah kebaikan kekal mahal. Oleh sebab itu,nk jadi baik perlu mahar yang tinggi.. kebanyakkan tv di malaysia mempunyai unsur dan nilai yang sangat murah. Begitu juga pemikiran seseorang. Boleh dinilai daripada apa yang ditonton. Jika program tv yg dipilih tidak membawa apa-apa manfaat sesudah menontonnya bermakna dirinya tiada matlamat dalam hidup jugalah..wallahua’lam ustaz..

     
  4. Ana Sarina Abu Bakar

    9 Oktober 2011 at 5:44 pm

    saya setuju kata2 ustaz…” mmng benar kekadang sama ada sedar atau tidak filem mengajar kita menjadi jahat, bukan sebaliknya.. bila lakunan jahat ditayangkan lebih terperinci dan jelas kelihatan sesuatu watak.. lantaran itu bagi diri saya sebagai ibubapa kena bijak menitik beratkan nilai akhlak dan moral dalam pemikiran anak-anak, sebelum anak- anak terpengaruh dgn apa yg di tayangkan di filem-filem.

     
  5. Muzakkir

    9 Oktober 2011 at 7:30 pm

    ustaz cuba-cubalah bekerjasama dgn penggiat seni utk menerbitkan skrip bagi filem baru..IAllah mgkin filem tu nnt akan jadi benchmark kepada penggiat filem tanah air..mesti hasil kerja akan bermutu kalau bekerjasama dgn abang bob lokman,abang azmeer dan rmai lagi penggiat seni yg giat berdakwah..

     
  6. HELMI RASYID DI KOTA GORONTALO.

    9 Oktober 2011 at 11:25 pm

    saya sangat sepakat apa kata ustaz.
    karena di masa grobalisasi ini remaja hanya takut dengan adanya hantu dan mereka lupa dengan adanya Tuhan.
    karena media masa sekarang hanya memutar filim yg isinya negatif,yang hanya membuat para remaja lupa akan adanya tuhan.dan lupa betapa pentingnya mereka di masa-masa akan datang.
    dan media masa ke banyakan hanya untuk mengajak memikirkan ke belakang,dan menimbulkan para remaja lupa akan adanya masa depan mereka.
    contoh yang ada di dunia sekarang,para remaja-remaja yg membuang bayi dan tidak mau tanggung jawab.
    ini khan contoh yang sudah ada di indonesia.
    saya juga se orang remaja yang tdk mau nonton filim yang kayak gitu.
    yang hanya membuat orang jadi kafir.dan menjadi hatu.

     
  7. Mudim

    9 Oktober 2011 at 11:35 pm

    Assalamualaikum wbt.,
    Penyiaran bahan murah dan melemahkan akal seperti cerita berunsur seks, mistik dan gossip di media massa saban hari mendapat sokongan penuh pemerintah. Jika pemerintah bersungguh untuk membangunkan pemikiran rakyat secara positif, penyiaran bahan negatif seperti ini perlu ditangani dengan tegas. Jika boleh ditiadakan langsung. Para ilmuan terutama ulama perlu mendesak pemerintah supaya mengambil sikap dan tindakan menghalang penyebaran bahan yang tidak bermutu berleluasa seperti sekarang ini. Program radio dan TV serta bahan di media cetak yang bermutu dan membina pemikiran rakyat sahaja sepatutnya disebarkan. Bahan yang berunsur seks, mistik dan gossip hendaklah dibenteras dan dikawal sepenuhnya. Moralnya di sini pemerintah perlu bertanggungjawab dan bertegas dalam hal ini. Jika tidak, lihatlah apa yang sedang berlaku hari ini. Yang pasti kini segala keputusan pemerintah lebih kepada keuntungan komersial tanpa mengira keputusan itu mengancam dan memperbodohkan generasi kini dan generasi akan datang.

     
  8. afizol

    10 Oktober 2011 at 7:26 am

    Terima kasih !!!

     
  9. syed hafiz

    10 Oktober 2011 at 12:23 pm

    btul kata ustz.. saya penah bawa pelajar2 dlm kursus mtvsi, ktorg msuk dlm hutan wktu tgh mlm, dan saya tanya pd mereka apa yg kamu nmpk pd sebatang pokok besar tu,, seram seolah2 ada penunggu.. kata mereka.. nah, daripada sini kita dh bleh nmpak bgaimana pmikiran mreka tlah dpngaruhi krn apa yg mreka lihat hari2 mmg mpengaruhi pmikiran mreka.. sbb cite hantu dgn pokok besar mmg xdpt dipisahkn lgi.. saya pn kata pd mreka, allah cpta pokok itu untuk bzikir pd allah n kluarkn oksigen (scara rgkas).. hantu yg kamu nmpak pd pokok 2, adalah hntu dlm diri kamu… klakar la ustz bila ingt blik.. kata bijak pandai, jika kamu hndak lihat ngara kamu akn dtg, lihatlah remaja pd hari ini.. bagaimana remaja kita hari ini????

     
  10. ahmad anwar

    10 Oktober 2011 at 1:14 pm

    alhmdulillah..dari dulu saya tunggu perbincangan macam ni..betul hari ini..akibat dari filem2 seram.manusia lebih takutkan hantu(takut mati d bunuh hantu)banding takut pada ALLAH…kenapa ketakuatn dengan azab ALLAH itu patut di pertngahkan….wallahualam..

     
  11. Kay Lengzhai

    10 Oktober 2011 at 4:07 pm

    Bagaikan pucuk di cita, ulam mendatang. Buah fikiran yang bernas.

     
  12. ish

    10 Oktober 2011 at 4:59 pm

    saya lebih suka melayan sinetron indon seperti Para Pencari Tuhan, Ketika Cinta Bertasbih…tauhidnya lebih tinggi berbanding drama2 kita !!!

     
  13. math

    11 Oktober 2011 at 12:35 am

    Asalamualaikum ustaz,
    Saya bersetuju dengan pandangan ustaz… moga lebih ramai berminat menerbitkan filem berunsur dakwah dengan tidak ada dibawa unsur-unsur maksiat…

     
  14. zahraaAmalin Solehah

    11 Oktober 2011 at 4:30 am

    salam.begitu sukar mendidik jiwa insan khasnya anak2 yg dibangku sekolah untuk berkata TIDAK kepada filem berunsur seks,drift dan tahyul.Dibilik2 darjah,anak2 akan bercerita sesama mereka.Siapa dan siapa yg bertanggungjawab dlm pemupukan budaya biru yg pastinya melekat dlm jiwa ank2 kecil ini…yg hanya mampu menilai yg tersurat..drp apa yg ditontonnya saja.Sama2lah banteras…agar kita tidak mendapat SAHAM diakhirat nanti.

     
  15. khairulbarieah

    11 Oktober 2011 at 4:03 pm

    assalamualaikum. terima kasih ustaz, entri yg mmbuka minda.

    perenggan 9 dari bawah.. kalau x silap, perkataan tu tersalah eja. sepatutnya ‘neutral’ ya ustaz? atau ada maksud lain?wallahualam.

    wassalam.

     
  16. cilipadi

    11 Oktober 2011 at 7:46 pm

    Betul…betul.Anak-anak Melayu takut hantu sebab tengok cerita hantu.Anak-anak Melayu jadi hantu bila imaginasi lalut dan khayal tengok cerita cinta-cinta.Sekurang-kurangnya zaman dolu-dolu bebudak tengok cerita orang putih atau baca buku orang putih…dapat bahasa inggeris tapi tak terikut perangai hantu orang putih…sebab bagi orang dolu2,orang putih aje jadi hantu,kita tengok dan jadikan sempadan…Wallahualam.

     
  17. Radzi

    11 Oktober 2011 at 10:24 pm

    Salam.
    Betul, hantu tidak dapat dipisahkan dari ‘mulut’ anak2. Walau tidak pernah diperkenalkan, namun mereka sangat petah menyebutnya. Dari mana datangnya pengaruh kalau bukan tv (media termasuk yg cetak juga) dan rakan sebaya + diraikan pula oleh masyarakat sekeliling yg menguatkan lagi fahaman mereka betapa berkuasanya hantu. Mujur diajar mengaji tak liat. Namun rasa ‘takut’ ditempat gelap tetap menebal.
    Tapi, tak bolehlah salahkan ‘mereka’ saja. Sekurang2nya kekangan terhadap bahan2 yang menjadikan anak2 ‘bertemu’ hantu itu juga perlu dikuatkuasakan bermula dari rumah lagi. Kalau takde yg beli takkan ada yg jual. Paling tidak kita guna kuasa yg ada utk tidak memilih siaran hantu. Kita mesti berani, barulah hantu takut!

     
  18. Nur Halawatul Iman

    11 Oktober 2011 at 11:42 pm

    awesome shared… ^_^

     
  19. fadhli

    12 Oktober 2011 at 4:12 am

    Assalamualaikum ustaz,

    Saya bersetuju dengan pandangan ustaz diatas, cuma tidak tertulis saya. Jika saya bertanyakan bagaimana untuk mendidik masyarakat, pastilah jawapannya bermula dari diri sendiri, keluarga dan orang yang terdekat.

    Tapi saya nak tanya, kepada organisasi mana saya patut ikuti supaya saya dapat sama-sama mendidik masyarakat?

    terima kasih ustaz.😀

     
  20. Ashikin

    12 Oktober 2011 at 10:04 am

    this comment is going to be long, sorry ustaz ^__^

    dah lama saya x mengikuti perkembangan drama tempatan, mungkin sebab xsesuai dengan jiwa. saya lebih selesa mengikuti karya seni dari jepun(drama + lagu), yg mana saya rasa ianya sangat kreatif, genre & scope yg sangat luas, mempunyai unsur mendidik yg tinggi, dan yg agak penting bagi saya, ia tidak memerlukan kos beratus ribu untuk menghasilkan karya sebegitu. yg kurang enak juga banyak, tapi pilihan itu luas untuk penonton yg mahu berfikir, to choose which one they prefer. lebih islamic daripada karya orang islam. in most drama yg saya tonton, nak tengok pasangan pegang tangan pun payah ^__^

    although our local entertainment industry really doesn’t suit me well, but i just can’t put total blame on them.
    when i was asked few years ago; “Do you want to try writing script for drama? i know a person who is looking for a good islamic script.” i give it a no, simply because:
    1) media bukan bidang saya. nurtured by medical science background, such thing as writing script for drama is really not my thing.
    2) waktu dok dalam u dulu, mostly student yg aktif dengan student movement(esp islamic based) memang xtengok tv. xtengok sebab xda masa ataupun xtengok sebab pada kami menonton tv & mendengar lagu are not good. so, i don’t have good grasp in that kind of world, walaupun waktu sekolah dulu movie & lagu yg menjadi peneman setia, tp yg pasti bukan hasil karya tempatan.

    sedikit sebanyak, walaupun secubit…wujud perasaan bersalah dalam diri. i’d got the chance but i let it go. when things like this happened in our entertainment industry, i just can’t put total blame on them. part of the blame goes to people like me.

    kalau org2 yg ada pemahaman yg jelas tentang islam (jelas tentang keluasan ibadah islam dan yg haram dilakukan, based on quran & hadith sohih) enggan involve secara active dengan alasan itu dunia hedonism yg melalaikan, bila timbul kerosakan yg lebih besar dalam dunia hiburan dan bila kita ingin memberi cadangan apa yg sepatutnya dilakukan, tanpa pengetahuan yg basic bagaimana ‘dunia’ mereka beroperasi, pendekatan dah idea2 yg biasa kita berikan kedengaran sangat dangkal.

    tp, perbincangan ustaz dengan seniman tersebut, sedikit sebanyak melegakan hati saya. indeed, they need guidance, because they are producers/actors, not teachers or scholars. not all of them have good grasp of islam. because they lack in that part, that’s why scholars or educated people need to get involved. our perception surely differed in many ways, tp agak kedengaran janggal kalau kita xjumpa titik persamaan/persetujuan langsung antara kita jikalau kita berbincang dengan akhlak & respect towards each other yg tinggi, kan? your discussion with that person is a very good start untuk memahami mereka. well, it’s normal for people who have more knowledge to give extra effort. dengan ukhuwah yg wujud,vision yg jelas untuk mendidik masyarakat, serta kefahaman tentang perlunya usaha untuk berfikir dengan lebih kreatif, lebih dalam, lebih jauh, dan lebih luas untuk menghasilkan karya yg hebat…saya yakin industry dunia hiburan di negara kita mampu untuk make a radical twist and make bigger change in the future, insya allah.

    because of my experiences & interest, i build part of my goals & vision towards entertainment industry. But my target group & audience, and how i want to do thing is quite different from what being discussed. so, for that role i leave it to anyone who want and willing to take the challenge, while i do my part to fulfilled my vision, insya allah. let’s move on together. we just got to do something. just search & find our role.

     
  21. Dila

    12 Oktober 2011 at 2:13 pm

    Salam Ustaz, & blog fan,

    Saya lihat diluar sana lambakan bahan cetak (khususnya buku) dewasa ini byk memaparkan tentang hantu dan hal-hal yang seangkatan dengannya.Contohnya ayat-ayat penawar rasukan jin dan syaitan, panduan dan doa halau jin dsbnya. Maaf saya katakan byk yang menulis adalah juga dikalangan ahli agama. Apakah ianya juga merupakan impak dari banyaknya filem hantu kini? Seolah-olah ianya dicaturkan begitu dan semua yang ada mengambil kesempatan atas nama agama untuk diperdagangkan?

     
  22. Diana Aziz

    12 Oktober 2011 at 6:34 pm

    Salam,

    Saya lihat filem-filem, cerita di TV kebanyakkannya hanya mempamerkan perkara yang negatif sahaja. Jadi, saya ambil inisiatif dengan menghantar aduan saya kepada Kem. Penerangan dan komunikasi diruangan E-Aduan. Aduan tersebut telah dihantar kepada syarikat televisyen tersebut sebagai makluman. Namun demikian cerita yang ditayangkan masih diteruskan juga walaupun cerita tersebut mendapat banyak komen yang negatif dari ibubapa/masyarakat sehingga pernah dibincangkan di dalam akhbar utama.

    Jadi, apabila tindakan saya tidak mampu mengubah dunia hiburan keseluruhannya, saya mengambil insiatif lain dengan meningkatkan teras dan jati diri anak yang berumur 3 tahun. Memang sejak kecil lagi kami sekeluarga akan tukar cerita yang menunjukkan elemen ganas dan memberitahu kepadanya bahawa tersebut cerita tersebut ada elemen negatif, ganas dan sebagainya dan ia tidak sesuai serta boleh mempengaruhi fikiran.

    Juga, cerita-cerita hantu, kami katakan kepadanya bahawa “jangan takut, kerana Allah Maha Berkuasa”, hanya takut kepada Allah sahaja. Apabila 2 perkara ini kami ulang acapkali, akhirnya alhamdulillah anak kami akan meminta untuk menukar cerita ganas/negatif kepada cerita yang lebih positif, serta sering mengatakan “takut pada Allah sahaja” apabila iklan cerita tersebut ditayangan di TV. Saya harap para ibubapa peka dengan cerita di TV, filem mahupun carian apa yang dibuat oleh anak kita di Google, dan berikan panduan kepada anak cerita apa yang patut mereka tonton.

    *Ustaz, bagaimana harus kita selesaikan masalah ini, perlukah kita adakan satu perjumpaan/seminar berkenaan dengan input di TV antara rakyat/ibubapa dengan pihak yang terlibat dengan industri hiburan, kem.pendidikan, kem. penerangan dan sebagainya.
    Jika ustaz bersedia dan perlukan sukarelawan, saya tawarkan diri untuk membantu, Insya Allah.

     
  23. Mhedzrana

    13 Oktober 2011 at 1:55 pm

    Iya benar.

    Saya pun sangat setuju dengan gambaran nyata dalam arena perfileman yang telah diguna pakai di negara ini, terutamanya dalam melariskan sesuatu ‘karya seni’.

    Saya pun baru berjinak2 dalam kegiatan seni / sastera. Dan platform yang sesuai untuk kami (golongan muda) mengukuhkan langkah masih perlukan bimbingan daripada pihak2 yang berkaitan.

    Adalah besar harapan kami semoga karya seni / sastera yang menurut ajaran Islam dapat dijadikan santapan masyarakat sebagai antara jalan-jalan menuju keredhaan Allah. InshaAllah.

     
  24. Habib Ahmad

    13 Oktober 2011 at 2:18 pm

    Majlis Ta’lim Darul Murtadza pimpinan Habib Ali Zainal Abidin Alhamid akan mengadakan Kuliah Mingguan pada 14/10/2011 bertempat di Surau Al-Hidayah,
    Jalan 6/56, AU3 Keramat
    Kuala Lumpur, Malaysia

    ——————————————

    Semua Muslimin & Muslimat dijemput hadir

     
  25. pustakanurimam

    13 Oktober 2011 at 7:38 pm

    Beduk Diketuk sebuah buku yg boleh membuatkan hati kita ‘terketuk’

     
  26. Makbonda

    13 Oktober 2011 at 11:11 pm

    Betullah ustaz,bila tidak ada pihak yang menegur,semakin menjadi-jadi mereka muncul dan mempelbagaikan cara memperbodohkan ummah.Menampakkan kedangkalan ilmu mereka. Tapi saya tertarik drama-drama dari Indonesia yang memaparkan kesah menewaskan makhluk jin dengan kaeadah yang sebenarnya.Kenapa pengusaha filem kita tidak mahu belajar dari mereka.

     
  27. ana

    17 Oktober 2011 at 3:39 pm

    Sedih tengok filem Melayu. Drama Melayu ada jugalah yang berkualiti. Jika dibandingkan dengan negara jiran kita, Indonesia, kita jauh ketinggalan dengan filem-filem seperti Laskar Pelangi, Sang Pemimpi dan terbaharu karya Pak Hamka yang turut difilemkan, Di bawah Lindungan Kaabah telah tercalon sebagai pemenang anugerah Academy! Jika penggiat seni tiada ide yang bagus, mengapa tidak difilemkan sahaja novel-novel kita yang berkualiti? Saya rasa ada banyak karya yang bagus, ini yang difilemkan Karipap-karipap Cinta dan Lagenda Budak Setan(terpaksa sebut beberapa contoh)…haih~

     
  28. ana

    18 Oktober 2011 at 1:34 pm

    akibat byk lambakan cerita hantu, sikecil kerap bertanya, “mama, wujud ke hantu mcm dlm tv tu? tak pernah nampak pun”…jawapamn saya, “mmg iblis, jin, syaitan, hantu wujud sbb mereka pun makhluk ALLAH tp dlm bentuk lain kita tak nampak…tp jgn takut hantu, takutlah kepada ALLAH…cuma jgn carik pasal dgn hantu”…dan nampaknya sikecil lebih mudah faham dgn jawapan itu, ALHAMDULILLAH

     
  29. filwi

    30 Oktober 2011 at 11:41 pm

    saya print boleh?

     
  30. gentarasa

    2 November 2011 at 11:59 am

    Silakan filwi

     

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: