RSS

HATI EMAS

24 Sep

Ramai orang yang punya akal tetapi malangnya ‘tidak berakal’. Maksudnya, mereka tidak menggunakan akal untuk berfikir. Padahal fikir itu ialah pelita bagi hati. Justeru di dalam Al Quran Allah sering mengingatkan manusia agar selalu berfikir, menggunakan akal untuk tadabbur akan ayat-ayatNya dan mengambil ibrah daripada segala kisah yang daripada Al Quran.

Malangnya, sedikit sekali ‘orang yang berakal’ walaupun ramai yang mempunyai akal. Hingga dengan itu ramai manusia yang tidak terasa kebesaran Allah, terlindung oleh keegoaan dirinya. Tidak mahu bersyukur kepada Allah kerana terhijab oleh kudrat dirinya.  

Itu sekadar renungan awal. Seperti mana ada orang yang punya akal tetapi tidak berakal, maka begitulah ramai ‘orang agama’ tetapi tidak beragama. Maksudnya, dia punya latar belakang pendidikan agama – mahir dengan segala wahyu dan sabda, tetapi segala-galanya tidak memberi impak kepada perilaku dan akhlaknya.

Kita sering bertemu dengan orang yang sedemikian. Kita kagum dengan latar belakang kelulusannya, cakap-cakapnya, malah kekadang ceramah-ceramah serta kuliahnya tetapi apabila kita mula mendekatinya… hati kita tertanya-tanya, apakah ini teladan beragama yang sebenarnya?

Kekadang kita terkesima dengan individu-individu yang sederhana dan latar belakang pendidikan agamanya sangat minimum (bukan tidak ada langsung), tetapi lebih warak, istiqamah dan jujur dalam pergaulan. Dia tidak ‘berminyak air’. Apa yang dipaparkannya di hadapan dan di belakang orang sama.

Saya kagum dengan beberapa orang individu yang saya kenali dalam kehidupan ini yang begitu teliti dengan makanan yang hendak diambilnya, wang yang pernah dia berhutang, komen yang hendak dilontarkannya kepada seseorang, sangat menjaga lidah dan tawaduk dalam pergaulan.

Ilmu agamanya tidak tinggi tetapi apa yang ada itu benar-benar diamalkan dan membekas (memberi impak) kepada peribadinya. Ilmu yang banyak tentulah penting. Tetapi bukan semua orang berkesempatan dan punya peluang untuk belajar di peringkat sarjana, master mahupun doktor apatah lagi profesor.

Ramai yang hanya di tahap ‘lepas fardu Ain’… Namun Allah Maha Penyayang, kekadang ada manusia yang diberi ‘hati yang bercahaya’ berbanding ‘otak yang bergeliga’, hingga dengan itu sedikit ilmu yang ada mampu dimanfaatkan seoptimumnya.

Sepanjang kembara dalam usia mencecah 50 tahun, saya temui figur-figur yang bercakap bukan dari kepalanya, tetapi dari hati. Orang yang begini bercakap tulus dan telus. Tanpa bunga-bunga kata, tanpa kilasan bahasa. Cakapnya sungguh bersahaja.

Kekadang dia tidak punya kelulusan atau jawatan yang tinggi. Namun body language – bahasa badannya (yang lebih jujur dan asli) – memancarkan cahaya keyakinan, keikhlasan dan kematangan. Jika orang lain hanya menyampaikan ilmu, tetapi dia menyampaikan hikmah. Pada saya mereka inilah ‘orang-orang kecil’ yang begitu besar dalam arena pendidikan.

Memang ada ilmu yang tidak boleh diajar, tetapi hanya boleh dipelajari. Guru yang sebegini selalunya bukan mengajar dengan huruf dan angka tetapi dengan gerak hati dan rasa. Mereka hanya mengamalkan apa yang mereka tahu. Dan ‘murid-murid’ tidak rasminya belajar daripada teladan yang dapat dilihat. Bukan dengan mendengar, menulis atau membaca. Dewan kuliahnya luas, seluas bidang kehidupan. Ketika para profesor atau doktor mendefinasikan, mencirikan dan mengupas ilmu rumah tangga secara ilmiah, mereka secara ‘simple’ menyampaikan ilmu itu secara amaliah.

Rajin-rajinkanlah menajam pandangan mata hati untuk mencari orang yang begini. Kehidupan mereka adakalanya sungguh sederhana tetapi sangat bahagia. Kejernihan wajah mengukir senyuman menjadikan kita tertanya-tanya apakah rahsia ketenangan mereka. Orang sibuk membeli katil dan tilam empuk, mereka puas dengan tidur yang lena. Orang lain sibuk dengan makanan lazat dan berzat, resipi itu dan ini, mereka makan seadanya tetapi sungguh berselera. Mereka punya ‘harta’ yang tidak akan dapat dirompak. Mereka juga punya kekayaan yang tidak mengundang caci-maki dan hasad dengki manusia.

Mereka ini bukan selebriti yang tersohor atau produk program realiti agama yang semakin banyak ketika ini. Mereka ini terselit di tengah-tengah masyarakat tanpa ‘glamour’ dan gelaran. Mereka juga tidak diuar-uarkan dalam kitaran strategi promosi dunia pasaran kontemporari yang bernuansa Islam .Tegasnya,  mereka ini  tidak ada nilai komersial – tidak , cukup pakej, kata orang sekarang. Mereka ini hanya produk ‘universiti kehidupan’ – yang mendapat ijazah melalui mehnah dan mujahadah. Ya Allah, temukan kami dengan orang ini, manalah tahu mereka itulah pewaris hati Uwais Al Qarni yang doanya mustajab dan kata-katanya mujarab untuk merawat mazmumah yang masih bersarang dalam jiwa ini.

Sahabat-sahabat ku (pengunjung gentarasa), kekadang terlalu banyak untuk ditulis sehingga tidak mampu dituang oleh kata-kata dan bahasa. Makna kadang-kadang tercari-cari kata-kata kerana sering diungkapkan sesuatu yang indah hanya dapat dirasa tetapi sukar untuk diungkapkan. Ya, tiada kata secantik bahasa… untuk mengungkapkan segala perasaan. Namun, keindahan itu bukan hanya untuk dirasa, tetapi untuk dijelmakan dalam bentuk perbuatan dan tindakan. Ya Allah, jangan jadikan kami orang yang terhijab oleh rasa-rasa yang tidak keruan, disangka kebenaran rupa-rupanya bisikan syaitan!

Untuk mu sahabat-sahabatku, aku tinggalkan sedikit catatan… di nota hati yang ‘bergenta’ beberapa minggu yang lalu. Ini adalah kesah protes hatiku terhadap orang agama yang tidak beragama. Yang tanpa sedar mereka (atau kita juga?) telah menjadi umpama ulu kapak (yang terbuat dari kayu)  untuk menebang kayu. Pinta dijauhkan agar janganlah ‘orang agama’ menjadi fitnah terhadap agama.

Namun, aku tidak mahu mencoret kisah marah. Justeru, menyedari bahawa diri ini juga acap kali  terperangkap dalam tipuan yang sama. Lalu kupintal-pintal rasa marah menjadi kisah kagum, harmoni bernada muhasabah. Ya, akhirnya ku coretkan catatan ini. Cuma kisah sekeping hati..          

HATI SEORANG PEMANDU TEKSI…

Aku melihat dirinya sangat sederhana. Seorang pemandu teksi yang acap kali singgah untuk solat Subuh di masjid berhampiran dengan rumah ku. Kekadang aku berpapasan dengannya lewat solat Asar – jika kebetulan pulang awal dari kerja. Wajahnya jernih walaupun jelas telah berusia. Umurnya, sekitar 65 tahun, mungkin.

“Kenapa masih bekerja Pak cik?”

“Kenapa? Pak Cik dah nampak tua?” tanyanya kembali.

Aku tersenyum. Senang dengan kemesraannya.

“Anak-anak masih kecil?” tanyaku lagi, mencungkil sebab sebenar dia masih bekerja walaupun selayaknya pada usia begitu dia berehat.

“Ah, Pak Cik dah bercucu. Alhamdulillah anak-anak semuanya dah bekerja. Ada juga yang berniaga,” kilas Pak cik itu bersahaja.

“Kenapa Pak cik masih bekerja?” tanyaku lagi sambil memegang bahunya mesra.

“Bukankah bekerja itu satu ibadah? Ibadah mana ada pencen,”jawabnya pendek.

Aku terdiam. Inilah inti pati kuliah ‘Penghayatan Kerja Sebagai Satu Ibadah’ yang selalu aku sampaikan dalam program-program latihan dan ceramah. Terasa malu, aku yang selalu menyampaikan ilmu tetapi Pak Cik ini yang menghayati dan mengamalkannya. Ya, kalau kita bekerja kerana ganjaran dan imbuhan, kita akan berhenti sebaik sahaja kita mendapatnya. Tetapi kalau kita bekerja kerana Allah, atas dasar ibadah, kita akan terus bekerja walaupun telah mendapat imbuhan. Selagi ada tenaga. Walaupun aku kira Pak cik ini telah mendapat bantuan daripada anak-anaknya tetapi dia tetap bekerja kerana dia bekerja bukan kerana wang. Dia bekerja kerana Allah.

“Pak Cik gembira dengan kerja ni?”

“Gembira. Pak Cik tak ada kepandaian lain. Inilah sahaja kepandaian Pak Cik. Bawa teksi. Dengan cara inilah sahaja Pak cik memberi khidmat kepada manusia lain,” akuinya terus-terang. Hebat, inilah yang dimaksudkan oleh hadis Rasulullah s.a.w. yang selalu disampaikan oleh para ustaz,  sebaik-baik manusia ialah manusia yang memberi manfaat kepada manusia lain.

“Awal Pak Cik dah keluar? Lepas Subuh terus bekerja?”

“Pagi-pagi ni murah rezeki. Pak Cik suka mula awal tetapi habis awal. Malam boleh tumpukan kerja lain.”

“Malam pun Pak Cik kerja juga?”

“Bukan kerja… Pak cik ikut kuliah-kuliah agama, belajar tajwid semula dan kadangkala ikut dalam majlis zikir. Itulah kerja Pak Cik yang dah berumur ni.”

Subhanallah, sekali lagi Pak Cik ini mengamalkan apa yang disebut dalam Al Quran ‘fa iza faraghta fan sab’ – maka apabila engkau telah selesai (dari satu urusan) tetaplah bekerja keras (untuk urusan lain), maksudnya selesai satu ibadah, kita sambung terus dengan ibadah yang lain pula. Tidak ada istilah rehat yang hakiki di dunia. Kita beribadah ‘around the clock’ – sepanjang waktu. Rehat hanya di syurga.

“Pak Cik dulu mengaji agama di mana?” aku terus mencungkil.

“Pak cik tak pernah mengaji agama secara rasmi. Dulu sekolah kebangsaan sahaja. Apa yang Pak cik dapat hasil mendengar sahaja. Mengaji dengar-dengar, kata orang. Kadangkala di masjid, di surau, dalam radio atau melalui perbualan-perbualan biasa.”

“Apa yang Pak Cik cari  semasa mengaji secara dengar-dengar tu?”

“Pak Cik pegang satu sahaja, bila dapat kita terus amal. Baru ilmu tu berkat.”

Aku senyum. Memang luar biasa Pak Cik yang kelihatan biasa-biasa ini. Aku mendapat berita Pak Cik ini pernah memulangkan wang berjumlah RM 5 ribu yang tertinggal oleh penumpang dalam teksinya. Pernah juga dia bergelut dengan lelaki yang cuba merompak teksinya. Keberanian, kejujuran dan istiqamahnya menjaga solat jemaah sangat aku kagumi.

“Sekarang ni mudah dapat pelanggan?”

“Ada kala mudah, ada kalanya payah. Tak menentu. Sekarang ni susah nak jangka.”

“Kalau pelanggan tidak da bagaimana?”

“Tu, CD kuliah-kuliah agama. Pak Cik habiskan masa dengan dengar kuliah agama. Kalau letih mendengar Pak Cik cubalah zikir sedikit-sedikit. Rezeki tetap ada. Tidak dalam bentuk duit, kita dapat dalam bentuk ilmu.”

“Pak Cik sihat? Tak da sakit-sakit?”

“Sakit tu mesti ada. Badan dah tua. Lenguh-lenguh, sakit urat. Tetapi yang berat-berat tu tak adalah. Alhamdulillah.”

“Pak Cik makan makanan tambahan? Food supplement?” jolok aku.

“Tak da. Pak Cik cuma jaga makan dan joging. Tubuh kita ni bukan kita punya… kena jaga baik-baik.”

“Eh, Pak Cik, sepatutnya yang kita punyalah kita kena jaga baik-baik.”

“Tak tahulah Pak Cik. Tapi Pak Cik anggap tubuh kita ini amanah Allah. Bila amanah, kita perlulah jaga baik-baik.”

Terkedu aku dengan jawapan itu. Dalam hati aku mengagumi orang seperti Pak Cik ini. Orang tua yang ‘simple’, tenang dan punya prinsip yang tepat dan jelas dalam hidup. Dia bukan sahaja memandu teksi tetapi dia benar-benar memandu kehidupannya. Individu yang dianggap marhaen ini rupanya punya ‘hati emas’. Isi cakap dan sikapnya semuanya Al Quran dan Al Hadis, walaupun dia tidak petah menuturkan ayat Al Quran dan lafaz hadis. Sesungguhnya, dia jauh lebih baik daripada para ustaz mahupun orang yang digelar alim, yang mulutnya berbuih dengan ayat Quran dan Al hadis tetapi praktik, hati budi serta gaya hidupnya berbeza dengan ayat Quran dan Al hadis yang menjadi perhiasan lidahnya!.

Kisah Pak Cik pemandu teksi ini mengingatkan aku kepada budak gembala kambing yang diuji oleh Amirul Mukminin Sayidina Umar Al Khattab di tengah padang pasir. Apabila Sayidina Umar mengatakan bahawa tuan punya kambing tidak akan tahu jika budak gembala itu menjual seekor kambing secara senyap-senyap, budak itu lantas berkata, “kalau begitu di mana Allah?”

Begitu juga dengan kisah seorang gadis yang tidak mahu mencampurkan air ke dalam susu yang dijualnya walaupun disuruh oleh ibunya berbuat demikian.

“Kita tidak boleh mencampurkan susu ini dengan air ibu. Amirul Mukminin Sayidina Umar telah melarang perbuatan ini.”

“Ah, kita di dalam rumah kita. Bukankah ini waktu malam? Umar tidak akan tahu,” balas ibunya.

“Tapi Tuhan Umar tahu! Allah tahu ibu.”

Kata-kata budak gembala kambing, “kalau begitu di mana Allah?”  dan gadis penjual susu, “tetapi Tuhan Umar tahu,” sesungguhnya bukan Al Quran dan bukan hadis tetapi rohnya, isinya dan mesejnya sejajar dengan Al Quran dan hadis. Itulah natijah pemikiran dan jiwa yang telah dibentuk oleh iman, lafaz kebenaran boleh jadi diluahkan dalam bahasa pertuturan yang biasa-biasa sahaja tetapi jika dicari dalil dan hujahnya dalam Hadis dan Al Quran, pasti ditemui.

Kembali kepada cerita Pak Cik pemandu teksi yang menjadi teman bual aku di serambi masjid selepas sama-sama mengerjakan solat Asar tadi.

“Pak Cik, apa yang paling susah sewaktu bekerja sebagai pemandu teksi ni?”

“Nak balas kejahatan dengan satu kebaikan. Itu yang paling susah. Pelanggan maki kita, kita balas dengan senyum. Orang herdik kita, kita minta maaf. Orang cuba tipu kita, kita mengelak dengan baik.”

“Mengapa begitu Pak Cik?”

Dia terdiam. Setelah merenung agak panjang beliau berkata,  “ itulah ujian yang menentukan kita ikhlas atau tidak… Kalau kita buat kerana Allah, Insya-Allah, kita boleh balas kejahatan dengan kebaikan. Atau sekurang-kurangnya tidak membalas. Kita diam sahaja..”

Sekali lagi Pak Cik pemandu teksi ini telah menuturkan hikmah yang pernah disampaikan oleh Sayidina Ali. “Tanda ikhlas itu…, kata Sayidina Ali, “ialah apabila pujian tidak menyebabkan kau menambah amal. Dan kejian manusia tidak menyebabkan kau mengurangkannya. Di hadapan dan di belakang manusia, ibadah mu tetap sama.”

Dan sesungguhnya itulah juga inti pati ayat Al Quran, surah Fussilat: 34 yang bermaksud, “ tolaklah kejahatan yang ditujukan kepada mu dengan cara yang lebih baik; apabila engkau berbuat demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadap mu dengan serta-merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib.”

Setelah bersalaman, Pak Cik pemandu teksi itu menuju teksinya.

“Ada janji dengan pelanggan. Assalamualaikum,” katanya, terus memandu teksinya dengan ceria. Aku? Aku terus duduk di tangga masjid sambil menghitung diri. Bolehkah aku meneladaninya? Bolehkah aku membalas kejahatan dengan satu kebaikan? Atau aku akan terus sibuk mencari dalil dan fakta untuk bahan tulisan atau ceramah sedangkan ada insan lain yang jauh lebih ikhlas telah mengamalkannya dalam kehidupan? Ya, alangkah dungunya kita kalau hanya sibuk menghafal nama makanan sedangkan orang lain telah memakannya? Begitulah perumpamaannya…

 
74 Komen

Posted by di 24 September 2011 in Iktibar Kisah

 

Label: , , ,

74 responses to “HATI EMAS

  1. Megat Marwan Megat Nizar

    24 September 2011 at 8:31 am

    Terima kasih ustaz..penulisan yg jujur..dari hati ke hati..akan saya jadikan iktibar..untuk menilai diri ini..ya Allah, kurniakan kami hati emas yang memancarkan Hikmah Al Quran dan Sunnah Nabi saw dalam tiap2 perilaku kami..tutur kami dan keseluruhan hidup kami….

     
  2. Wan Zayuhisham Wan Yusoff

    24 September 2011 at 8:56 am

    Semoga Allah reda dan berikan kekuatan untuk kita semua. Saya terkesan dengan setiap entri ustaz dan dijadikan panduan hidup. Insya-ALlah. Saya tidak menjadi orang-orang yang lalai dan lali dengan dosa dunia.

     
  3. tetapkn hatiku...

    24 September 2011 at 9:01 am

    sgt terkesan dihati saya…..semoga kita boleh mencontohi pak cik itu…

     
  4. Aishah

    24 September 2011 at 9:05 am

    Posting Tuan sentiasa membuat saya termenung & sering melihat kepada diri-sendiri. Alhamdullillah, setiap patah perkataan tuan, saya rasakan Allah Taala berbicara dengan saya. Terima kasih.

     
  5. R3alfarhha

    24 September 2011 at 9:47 am

    berbekas di hati.

     
  6. ujie

    24 September 2011 at 10:56 am

    saya pun rasa risau dgn ‘tokoh agama yg tidak beragama’..ia boleh mengelirukan masyarakat.

     
  7. zahraa Norhaliza

    24 September 2011 at 11:06 am

    tulisan yang cukup memberi kesedaran…terima kasih ustaz

     
  8. ummufirnas

    24 September 2011 at 12:42 pm

    Ustaz yang dicintai ALLAH,

    Moga ALLAH kuatkan kita untuk terus kuat menyampaikan tiap syiarNYA disamping kuat pula bertabah untuk menyulamnya sebagai amal di dalam diri sendiri, aameen…

    ~Faaqeeroh Haaqeeroh ilallah~

     
  9. Mujahid Sulaiman

    24 September 2011 at 3:43 pm

    Subhanallah!!!
    ternyata ramai yang menyampaikan apa yang MAHU bukan apa yang TAHU…menyampaikan apa yang TAHU itu adalah menyampaikan HIKMAH,menyampaikan apa yang TAHU itu mungkin hanya ilmu yang belum diamalkan….

     
  10. ahmad kamal

    24 September 2011 at 3:51 pm

    Assalamualaikum wbt. Terima kasih tuan, satu pengisian yang seiring dengan rasa hati saya sendiri. Kenapalah saya asyik melihat sahaja makanan sedangkan orang lain sudah menikmatinya. Cuma satu sahaja soalan yang luar skop tulisan ini. Tuan kenalkah siapa tuan nama pena Abu Aqil yang termuat dalam majalah tahun 80 dan 90 an. Jika kenal, sudikah tuan maklumkan kepada saya melalui emel chegu.kamal@gmail.com. Wassalam.

     
  11. Hafizul Faiz

    24 September 2011 at 3:54 pm

    Iktibar kisah, lintasan hati dan sebuah rasa yang kadang kala hanya singgah menumpang teduh, ianya begitu bermakna bagi kita. Saya terketuk dengan nukilan ustaz, apatah lagi -Allah Maha Penyayang, kekadang ada manusia yang diberi ‘hati yang bercahaya’ berbanding ‘otak yang bergeliga’. Terima kasih atas perkongsian ini ustaz. Ibrahnya, begitu mempesonakan.

     
  12. Muhammad Mujahid

    24 September 2011 at 3:55 pm

    Ternyata ramai yang menyampaikan apa yang mereka MAHU tidak menyampaikan apa yang mereka TAHU…Menyampaikan apa yang TAHU itu adalah HIKMAH,sebalikya menyampaikan apa yang MAHU mungkin berasal daripada ilmu yang masih belum diamalkan…SUBHANALLAH!!!

     
  13. MamaSofea

    24 September 2011 at 5:55 pm

    MasyaAllah… teringin sungguh berjumpa orang sebengini… ayat2 dituturkannya biarpun ringkas, tapi menusuk tepat ke hati.

    Ditempat kerja saya juga banyak berjumpa dengan “islam tanpa muslim”… dari segi etika kerja, jujur (tidak rasuah), menepati masa, dan sebagainya… kebanyakan perkara baik ini dilakukan oleh non-muslim dan non-malay… adakala nya terasa malu sebagai melayu islam bila ramai yang sebangsa dan seagama pula mengamalkan sikap sebaliknya….

     
  14. nurul huda*

    24 September 2011 at 7:44 pm

    salam.
    Alhamdulillah….
    setelah membaca kisah nie,saya teringat apa yang pernah belajar dalam kuliah dulu;
    – dalam prinsip eko.islam: Allah adalah pemilik mutlak dan manusia hanyalah pemegang amanah.
    – ilmu tanpa amal, ibarat pohon tanpa buah.
    kisah tentang pakcik teksi nie menyedarkan saya..bercakap dan menulis tentang seuatu teladan memang mudah..tetapi yang dilihat adalah penghayatan serta pengamalan dalam hidup.
    syukran jazilan ustaz…

     
  15. Cahaya hidup

    24 September 2011 at 10:08 pm

    Ya Allah, temukan kami dengan orang ini, manalah tahu mereka itulah pewaris hati Uwais Al Qarni yang doanya mustajab dan kata-katanya mujarab untuk merawat mazmumah yang masih bersarang dalam jiwa ini.

     
  16. Hamizat Hashim

    25 September 2011 at 1:45 am

    Sukar untuk menemui orang yang mendengar lantas mengamalkan,pagi tadi semasa menunggu anak menjalani latihan teakwando saya minum sambil menatap akhbar dihadapan saya 2 orang pakcik sedang bersembang saya pun pasang telinga sungguh sedih hati saya bualbicaranya hanya bab snooker dan karaoke sahaja tanpa merasa malu untuk menunjuk teladan yang baik? Dikala penghujung usia bukakah lebih afdal melupakan keseronokan dunia dan mengingati hari kembali menemui ILLAHI cukukah bekalannya,basakah lidah meingati Allah,banyakkah sedekahnya,rugi sungguh rezeki yang Allah kurniakan dileburkan membeli keseronokan,saya pohon kepada Allah agar diberi taufik dan hidayah kepada pakcik ini dan Allah menjauhkan kita dari kelalaiyan dipenghujung usia.

     
  17. Azam Farhan

    25 September 2011 at 3:21 am

    Nice entry. Entri yang penuh dengan nasihat dan pengajaran. Jzkk.

     
  18. amirul izwan

    25 September 2011 at 3:28 am

    alangkah indahnya kejahatan dibalas kebaikan..kekadang hati keliru ikhlaskah aku??? tapi bila direnung ingin dipuji…bila dilihat ingin populariti…Ya Allah hati ini lemah untuk bermujahadah..kuatkanlah ia…terima kasih di atas artikel yang terkesan…Ilmu tanpa amal ibarat pohon tidak berbuah..begitulah perumpamaannya…

     
  19. nadia

    25 September 2011 at 4:43 am

    Allah… bagaimana dengan amalan kita selama ini, bagaimana dengan keikhlasan kita? Astagfirullah hal ‘azim.

     
  20. gentarasa

    25 September 2011 at 7:20 am

    InsyaAllah.

     
  21. sot

    26 September 2011 at 10:09 pm

    Alhamdulillah, banyak kebaikan & pengajaran dapat dikutip pada kisah pemandu teksi yg bertakwa ini. TQ Ustaz atas perkongsian ini.

     
  22. syed hafiz

    27 September 2011 at 11:44 am

    susahnyer nk dapat hati yg ikhlas… kdg2 dapat tp ada saje gangguan bisikan yg ganggu.. ya allah yg mbolak-balik hati kami, tetapkan hati kami diatas ketaatan n agamamu..

     
  23. cik tik

    27 September 2011 at 1:30 pm

    Sgt Terkesan dihati..Membacanya menjadikan diri termalu sendiri….Semoga dapat mencontohi prinsip pak cik tersebut..Amin..

     
  24. Nurul Farhana (@nurulfmohtar)

    27 September 2011 at 1:36 pm

    terkesan dengan penulisan ini.

     
  25. Zamri Ab Rahman

    27 September 2011 at 2:59 pm

    seakan diri yang sudah kecil ini makin kerdil apabila membaca nukilan tuan…

     
  26. safraa

    27 September 2011 at 4:38 pm

    benar-benar meninggalkan kesan dihati yang naif ini.. subhanallah…

     
  27. Nur

    28 September 2011 at 2:34 am

    tersentuh dihati…tq ustz..

     
  28. Nur

    28 September 2011 at 2:36 am

    mohon share ustz..tq

     
  29. Tasneem Sayorwan

    28 September 2011 at 7:05 am

    Terbekas. Terima kasih ustaz.

     
  30. iqbal

    28 September 2011 at 11:25 am

    Ya Allah,sungguh malu aku padaMU…Allahumma sabbit qulubi ala di nik..tahniah ustaz.

     
  31. Fiza

    28 September 2011 at 1:15 pm

    alhamdulillah…sy sentiasa mencari ruang & peluang utk baca blog ustaz… terlalu banyak & beratnya dugaan yg menimpa. sy menginsafi diri.cuba redha dgn ketentuan Allah. Semoga segalanya ada hikmah yg menanti…sy pasrah. sentiasa berzikir tuk mencari ketenangan hati.~ Fiza~

     
  32. Azila96

    28 September 2011 at 1:57 pm

    Salam.Sungguh indah entri ustaz ini.Terkesan dihati dan sanubari yang paling dalam.
    Di dunia ini sukar menjadi insan yang punyai hati emas. Manusia sering memandang harta, jawatan dan kedudukan, sedangkan ada insan yang ‘biasa’ tapi semua orang yang berurusan dengannya akan terkesan di hati dan tidak dapat diterjemahkan pada mata kasar, TAPI MATA HATI. Moga kita dikalangan insan yang punyai ‘Hati Emas’. w’alam.

     
  33. balqisjb

    28 September 2011 at 3:26 pm

    Subhanallah terkesan membaca artikel Ustaz.. Fenomena manusia akhir zaman, nak mendapat Hati yang tulen, tulus ikhlas, sukar Ustaz. Termasuk lah diri sendiri. Bila sesuatu perkara tidak menjadi seperti yg kita hajati, suka buat tafsiran sendiri. Astaghfirullah al a’zim. Ampunkan dosa perkataan2 kami Ya Allah. Kami berusaha memahat sifat “hati emas” di dlm kalbu kami. Insya allah.

     
  34. Basirah Mohd Mydin

    28 September 2011 at 4:59 pm

    terima kasih ustaz!

     
  35. Haniff Ismail

    28 September 2011 at 5:46 pm

    Mohon share ye ustaz

     
  36. afizol

    28 September 2011 at 11:50 pm

    TERIMA KASIH🙂

     
  37. mahamad bokkhari

    29 September 2011 at 10:56 am

    salam ustaz,

    Sungguh tersentuh hati dan terharu baca posting ini…Mohon share dan memanjang posting ini diblog ana yang tidak sepertinya…Semuga di rahmatiNya…Jazakallahu khairan

     
  38. kamarjhan

    29 September 2011 at 10:59 am

    Assalam Ustaz,

    Alhamdulillah satu kisah tauladan yang saya hargai dan mahu ikuti dalam routine harian untuk mencari keredaan Allah. Doa moga Allah memberi hidayah pada kita untuk menghayati perintahNya. Subuhan Allah

    Untuk melakukan kerja dengan ikhlas memang susah, rasa nak buat dengan ikhlas, dalam beberapa saat fikiran terganggu …ikhlas atu riak kah aku…

    Salam hormat
    kamarjhan

     
  39. Rashidah Sulaiman

    29 September 2011 at 12:39 pm

    Assalamulaikum Ustaz.

    Salam sejahtera dan terima kasih dengan perkongsian Ustaz…dan mohon izin untuk dikongsikan dengan mereka yg dekat dgn saya. Banyak cabaran dalam pencarian untuk mendapatkan Hati Emas ini..Ya Allah bantulah kami,..hambaMu yang serba kekurangan ini. Amin..

     
  40. Haslina Binti Musa

    29 September 2011 at 1:25 pm

    mohon izin dari ustaz..utk share dalam FB saya..

     
  41. Mimi Nora

    29 September 2011 at 1:33 pm

    ” alangkah dungunya kita kalau hanya sibuk menghafal nama makanan sedangkan orang lain telah memakannya “…

     
  42. Aneeqa

    29 September 2011 at 2:26 pm

    Assalam Ustaz,

    Pertama kali berkunjung ke blog tuan, saya tersentak sebab buku yang di pinjamkan oleh kawan saya “Di Mana Dia Di Hatiku?”, penulis nya ada lah tuan. Alhamdulillah.

    Saya berterima kasih kepada kawan saya yang meminjam kan buku ini dan saya juga berterima kasih kepada teman yang sorang lagi kerana memberi link ini.

    Terima kasih.

    Hati Emas ada lah sesuatu yang begitu payah kita dapati di akhir zaman ini. Hanya segelintir yang memiliki nya. Kita berdoa semuga akan ada insan insan seperti pak cik itu. Orang macam ini lah yang patut di cari dan di jadi tauladan.

     
  43. redhaku

    29 September 2011 at 10:59 pm

    tq ustaz. menusuk hati..

     
  44. Norzulwati Zulkifli

    29 September 2011 at 11:39 pm

    Semoga kita mampu memiliki hati emas

     
  45. ZACK

    30 September 2011 at 6:49 am

    saya pernah menonton TV rancangan berita jam 8 malam tidak lama dahulu , dipaparkan kisah ibu tua yang menjaga anaknya berusia 40 an yang terlantar kerana penyakit stroke .Si ibu ini dengan kudrat yang tidak seberapa , badan sudah bongkok , dengan keadaan rumah yang tidak seberapa , tekun memberikan susu melaui tiub kepada anaknya . Yang menakjubkan wajah ibu tua ini sentiasa tersenyum , ketika ditemuramah langsung tidak ada tanda keluhan dari dirinya . Dia redha , dia ikhlas Sudah tentu ianya terpancar dari hatinya yang suci . Hebatnya siibu ini . Moga tuhan menempatkan ia ditempat orang yang beriman .

     
  46. shahima

    30 September 2011 at 11:29 am

    salam….
    terdiam..terpana…terpaku dengan setiap bait kisah ini…
    akan aku jadikan teladan dan pedoman…insyaAllah
    trima kasih ustaz….smoga ustaz sentiasa berada dibawah rahmat Allah SWT…

     
  47. hasrul

    30 September 2011 at 11:54 am

    assalamulaikum ustaz..mintak share yea

     
  48. ira aisyah

    1 Oktober 2011 at 9:09 pm

    (◕‿◕)…. tersentuh hati… bgtu tggi nilai hati emas seperti itu… :’) syukran ustaz..barokallah…

     
  49. hafizah

    3 Oktober 2011 at 1:16 pm

    saya selau mengikuti penulisan ust..dalam majalah solusi.dan genta rasa teruskan berkarya..tahniah ustaz

     
  50. mazlidahassan

    3 Oktober 2011 at 1:57 pm

    rasanya terlalu jauh untuk memiliki hati perak atau gangsa,apa lagi emas,namun begitu terima kasih atas peringatan,yakin boleh,pasti boleh,insya Allah boleh,tq

     
  51. khairulbarieah

    5 Oktober 2011 at 8:31 pm

    Assalamualaikum,

    “Atau aku akan terus sibuk mencari dalil dan fakta untuk bahan tulisan atau ceramah sedangkan ada insan lain yang jauh lebih ikhlas telah mengamalkannya dalam kehidupan?”

    Terima kasih ustaz.. amalan2 baik yg saya lihat dilakukan oleh org lain, bila ditambah dgn penerangan, dalil dan fakta daripada tulisan ustaz- ia lebih berkesan, lebih difahami dan lebih mudah diamalkan..

    Semoga Allah memberi kekuatan kepada ustaz terus menulis, dan kepada kami juga utk memahami dan mengamalkannya. insyaAllah.

    Wassalam

     
  52. Ummu Humaira

    6 Oktober 2011 at 11:27 am

    Salam ustaz, berhubung dengan kenyataan ustaz dlm entiri di atas, “Rajin-rajinkanlah menajam pandangan mata hati untuk mencari orang yang begini.”

    Soalan saya, kenapa kita nak kena cari mereka ustaz?

     
  53. akashah

    6 Oktober 2011 at 1:47 pm

    TQ ustz..

     
  54. Amani Syazwani

    6 Oktober 2011 at 7:29 pm

    mohon share ustaz,,tq

     
  55. nas

    11 Oktober 2011 at 7:55 pm

    ASSALAMUALAIKUM……………
    TERDIAM SEBENTAR MEMBACA TULISAN INI…………KECIL DAN DAIF RASA SAYA NI………..APAPUN…TERIMA KASIH KRN PERKONGSIAN INI………..

     
  56. Farizah Jaja

    13 Oktober 2011 at 7:58 am

    istifar terus dalam hati, mohon diberi kekuatan dalaman untuk meluahkan apa yg tersirat di hati…ya Allah.. sekadar perkongsian rasa dalam bicara ilmu.. bilamana jari meniti otak ligat berfikir tentang sesuatu yg bermanfaat utk dikongsi… “hati bercahaya” vs “otak bergeliga” subahanallah.. pencipta yang maha hebat menciptakannya dengan sempurna, diberikan pula kepada mereka2 yg dipilihnya… alhamdulillah. Tentu ada harga yg perlu dibayar, namun bukan wang sebagai ganjaran pulangan, sebaliknya.. perlu ditanya kemana perginya kelebihan yg dikurnia dimanfaat sebaiknya kejalan menuju redhaNya atau dimanfaat sebaiknya ke jalan menuju kepada azab yg menanti dihujungNya… istifar terus sahabat-yg membaca ruangan ini. Bagaimana nak memiliki hati yg bercahaya?(pilihan yang membawa bahagia dunia, bahagia akhirat) otak yang bergeliga (pilihan di tangan orang yg menggunakan akalnya dalam menuju RedhaNya… semua yg ada adalah miliknya, kepadanya akan dikembalikan setelah tiba masa dan ketika.. bila diri rasa dipinjamkan maka berusahalah utk mengembalikan diri lebih baik dari dipinjamkan…Amin ya Rabb..

     
  57. Zuraida bt ibrahim

    19 Oktober 2011 at 1:58 am

    Ustaz Pahrol Juoi….semoga tuan akan menjadi hamba Allah yang semakin bersyukur pada Yang Maha Pemberi…diatas limpah kurniaNya utk tuan…yg bijak berkata-kata…pandai mengulas dan menghurai ilmu sehingga jelas dan mudah difahami…tulisan dan kata-kata tuan…sangat menyentuh jiwa-jiwa yg kehausan dan ketandusan….Akhir kata…teruskanlah perjuangan yg mulia ini…lebh-lebih lagi di zaman..manusia yg semakin hari semakin jauh dari Allah…….

     
  58. Mohamad Ismail

    30 Oktober 2011 at 11:27 am

    Terima kasih ustaz, tulisan dan cerita yang disampaikan cukup menyentuh perasaan. semoga Allah memberi kekuatan kepada ustaz untuk terus berdakwah melalui pena seperti ini, kerana ianya cukup memberi kesan kepada pembaca, khususnya saya. terima kasih dan pohon untuk copy sebagai bahan bacaan pada masa akan datang.

     
  59. pyan

    12 November 2011 at 12:29 pm

    Amin, supaya saya dan teman2 dpt iktibar dr keikhlasan ilmu ini…alangkah mantap, ilmu yg ada terus diamali…knp lemah nya saya ini, Ya Allah, permudahkan jln utk hambamu ini, menuju keredhaanaMu.

     
  60. Nor Farahan Shaari

    15 November 2011 at 1:35 am

    nawra
    subhanallah.

     
  61. ana

    1 Disember 2011 at 5:46 pm

    Ya Allah…terkesan di hati. Memang susah nak tengok orang yang ‘cakap serupa bikin’. Kebanyakannya hanya tahu bercakap, berhujjah…tapi diri sdri tak laksanakan..

     
  62. mas

    17 Disember 2011 at 6:49 pm

    subhanallah…
    tq ustaz atas pkongsian ini. mohon share

     
  63. nik

    1 Januari 2012 at 5:39 pm

    subhanallah..terima kasih ust atas perkongsian ini..sungguh tersentap hati sy membacanya..sy ni mudah terasa hati orgnyer,,dn bla sy terasa hati susah skali utk sy senyum atau memaniskn muka kpd org tersebut..muka sy akn automatik akn menjadi “badmood” dpn org yg mengecilkn hati sy tersebut,muka sy langsung xleh nk senyum,sy xdelar bgtau dye sy kecik hati dgn dye,tp sy pendam perasaan kecik hati dn marah tersebut kat dlm hati je,,tp perlakuan sy dkat dye trus dingin,sy melayan nyer dgn sikap acuh x acuh dsebabkn kecik hati dgn dye,,org yg selalu sy terasa hati adalah dgn kwn2 sy dn jga dgn ibu bapa sy sendiri(org yg telah bersusah payah membesarkn sy)..klau sy kecik ati dgn kwn2,mmg sy xleh langsung nk ckap dgn dye,klau brcakap pn sy akn ckp dgn dingin,tp cuma sekejap je sy dingin,pd masa 2 je,mgkn sy memendam perasaan marah,,lpas sehari dua tu sy cuba lupakn kecik hati sy 2,dn cuba layan kwn sy dgn baik kembali,,ade sesetengah kwn 2 agaknyer dye tau sy kecik hti dgn dye,jd dye xtegur sy sgt pd masa 2,ade sesetengah kwn yg xtau yg sy sdg berkecik hti dgn dye,,dye akn tny “period ke?”sy jwb x lar,nape?nmpak badmood je muka”..sy pn tertanya dlm hti nmpk sgt ke aku mcm badmood,,sbb kecik hati dgn hang lar,tp sy xgtaular dpn2 dye sy terasa hati dgn dye,sy pendam je dlm ati n then lpas 2 sy akn cuba lupakn,lgpn sy xnak merosakkn persahabatan sy dgn kwn2 tersebut..hemm..klau sy kecik hati dgn ibu bapa,,lagi teruk..muka sy akn 100% masam,,smpai mak sy pn pernah tegur serabut rasanyer tngok mka sy yg masam..dn kdg2 2 sy akn merajuk,berkurung dlm bilik,xbercakap langsung dgn mak ayah sy..ade satu ketika 2 sy keci ati dgn mak sy,lansung sy xbercakap dgn sume org termauk adi beradik,,sampai ayah sy msuk blik tny,,knapa dgn sy?ada masalah apa?duk pendam perasan sorg2 dlm bilik…hemmm…ble fkir2 balik perbuatan yg sy lakukan sy rasa sy ni anak yg sangat2 teruk,sy nk jd ank yg solehah,menjadi ank yg penyejuk d hati kedua ibu bapa,,tp smpai ari ni sy masih lg gagal dlm mengawal emosi sy..bila sy duk jauh dari ibu bapa ni(asrama),kdg2 sy menangis sorg2 teringat perangai sy dkat kedua ibu bapa sy yg selama ini telah bersusah payah melahir dn membesarkn sy..sy bukan ank yg baik…banyak kali sy melukakan hati kedua ibu bapa sy….

     
  64. gentarasa

    4 Januari 2012 at 10:04 am

    Salam,
    ALLAH sayang kita. Sebab itulah diberi rasa kesal dan menyesal setelah terbuat satu kesalahan. Itu bekal kita untuk taubat dan baiki diri. Doa selalu untuk ibubapa sebaik sahaja selesai solat. Itu waktu yang paling sesuai untuk menangis dan merintih atas segala kesalahan kita. Ya Allahberilah kekuatan kepada anakku ini untuk berubah. Amin.

     
  65. yuyun

    7 Januari 2012 at 10:20 pm

    subhanallah, terimakasih atas infonya, sangat menyentuh, semoga membawa berkah bagi umat

     
  66. bambang

    7 Januari 2012 at 10:21 pm

    selamat, semoga sukses selalu

     
  67. bambang

    7 Januari 2012 at 10:22 pm

    artikel yang menarik, salut, selamat, semoga bermanfaat bagi pembaca.

     
  68. bambang

    7 Januari 2012 at 10:24 pm

    ditunggu informasi adan ertikel seperti ini yang menyejukkan hati, wassalam

     
  69. wad abdullah

    8 Januari 2012 at 8:08 am

    salam…artikel ustz cukup memberikan suatu pengajaran baru kpd sy…mhon share artikel ini ustaz…trma kasih.

     
  70. haimasleha

    4 Mac 2012 at 4:24 pm

    Sangat memberikan pngajaran.slepas mbaca terasa dada ini sgt luas…

     
  71. siti nahar

    29 Mei 2012 at 2:32 pm

    Salam.ustaz,seronok jika mmiliki hati emas…moga Allah kurniakn kita hati emas ini…sungguh mnyentuh hati…terima kasih ustaz….

     
  72. Aisyahumayrah

    13 Julai 2012 at 10:04 pm

    assalamualaikum ustaz..
    alhmdulillah saya sgt2 suka penulisan ustaz..kata2 ustaz sgt berjaya menyentuh hati sy..
    terima kasih ustaz kerana kata2 ustaz berjaya menyendarkan manusia..insyaAllah
    semoga Allah mengurniakan kita sekeping hati emas ini…terima kasih ustaz

     
  73. SITI SAFURA BINTI ABDUL RASHID

    23 Mei 2013 at 5:18 am

    Assalamualaikum ustaz.
    Semuga perkongsian ilmu ini menjadi amal jariah yang memberi menafaat dalam kehidupan dunia dan akhirat.
    Jazakallah hu khairan kathiro

     
  74. zye

    3 Julai 2013 at 8:44 am

    tq ustaz..pesanan yang sngat bermakna..suka cara penulisan ustaz..simple tapi mudah difahami..mohon share ya ustaz..

     

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: