RSS

KEMBALILAH KEPADA FITRAH

29 Aug

Salam Aidil Fitri untuk sahabat dan saudaraku, khususnya para pengunjung blog Gentararasa yang dihormati,

Maafkan saya kerana sudah agak lama juga tidak mengisi entri baru dalam blog ini. Pengisian jadual pada bulan ramadan tahun ini agak berbeza, jadi sekali lagi saya belum berjaya mengatur masa antara ibadah khusus dan umum, habluminallah dan habluminannas, membaca Al Quran dan menulis, berceramah dan bermuhasabah…

Harapan saya cuma satu… semoga kita istiqamah di jalan mujahadah ini. Apapun terjadi, kita terus mendaki. Tidak kira berapa kali kita jatuh, namun kita pasti bangkit kembali. Ramadan yang mulia telah pergi, namun rohnya tetap di sini. Di hati kita. kita akan terus berusaha  untuk mendidik diri. Marilah kita bersama saling kuat menguatkan, doa mendoakan, ingat mengingatkan, dengan sifat kasih dan mengasihi. Walau kita tidak pernah bersua, tetapi kesatuan cita-cita dan rasa… membentuk satu talian yang sukar diberi nama tetapi sangat tinggi makna. Apa lagi kalau bukan kasih mengasihi kerana Allah.

Hari ini hari raya… Hari kembali kepada Fitrah. Hari keluar daripada fitnah (ujian dunia dan manusia) untuk terus terikat dengan syariat. Itulah kemerdekaan yang hakiki. Fikiran dapat menjangkau Pencipta di sebalik penciptaan, nafsu bebas dari belenggu kehendak taraf bawah untuk melonjak ke taraf tinggi dan akhirnya hati bebas daripada sebarang cinta… kecuali cinta Allah dan cinta sesuatu kerana-Nya jua!

Marilah kitan klembali kepada fitrah… dengan mengatur  kehidupan dunia sebagai musafir yang sentiasa merasakan akan kembali kepada Allah. Mulakanlah langkah untuk membuat perubahan dengan berbekalkan dua keyakinan – keyakinan kepada Allah dan keyakinan kepada diri sendiri. Dua keyakinan ini sangat berkaitan antara satu sama lain. Setiap kita mempunyai potensi untuk menjadi orang yang bertakwa.

Potensi dalaman itu sebenarnya ada pada setiap umat Islam. Percayalah kita lebih kuat daripada apa yang kita sangkakan. Jika kekuatan ini benar-benar ‘dioptimumkan’, kita tidak akan terkesan oleh gangguan luaran. Maka hidup ini akan lebih selesa, ceria dan mesra kerana segala-galanya bermula dan terbina dari dalam diri. Kita tidak akan terlalu bergantung kepada keadaan, peraturan dan segala yang bersifat luaran.

Kata hukama, “Jika kita dapat menguasai diri kita, kita akan dapat menguasai dunia.” Ertinya, dengan menguasai diri kita sendiri, pengaruh kita untuk menguasai orang lain, mengubah keadaan dan mencorak suasana luaran itu akan meningkat. Itulah sebenarnya sifat orang bertakwa. Yang hati mereka hanya terikat dengan Allah. Ketika Rasululullah menerangkan tentang takwa, baginda telah bersabda sebagaimana yang dilaporkan oleh Abu Hurairah:

التَّقْوَى هَا هُنَاMaksud: Takwa itu di sini (sambil menunjukkan dadanya). (Muslim bin al-Hajjaj, Sahih Muslim, Dar Ihya’ al-Turath al-Arabi, Beirut, jil. 4, hlm. 1986, no. hadith: 2564)

Takut dan cinta mereka yang bertakwa hanya kepada Allah. Keyakinan diri mereka sangat tinggi hasil mengingati Allah, detik kematian dan hari Akhirat. Apa yang mereka takutkan jika mereka merasai Allah sentiasa bersama mereka? When Allah is your friend, who is your enemy? Mereka akan terasa ringannya ujian di dunia apabila mengenangkan azabnya mati. Dan mereka akan yakin menghadapi kesusahan hidup di dunia kerana menyedari itulah bekalan untuk hidup di akhirat nanti.

Bagi orang yang bertakwa, mereka tidak berpegang kepada prinsip ‘lihat dahulu baru yakin’ tetapi sebaliknya ‘yakin dahulu baru lihat’. Dengan keyakinan kepada Allah, syurga, neraka dan lain-lain rukun iman (yang tidak mereka lihat) serta mereka berusaha, bekerja dan berjuang di dunia – maka akhirnya mereka akan dapat melihat ‘wajah’ Allah di dalam syurga di akhirat kelak.

Inilah bentuk keyakinan diri yang sangat luar biasa. Manakala keyakinan yang terhasil oleh sikap ‘lihat dahulu baru yakin’ adalah keyakinan yang biasa-biasa. Keyakinan diri umat Islam adalah keyakinan yang luar biasa, justeru kita didorong untuk beribadah dan berjuang semasa hidup kerana mengharapkan pertemuan dengan Allah dan syurga selepas mati. Firman Allah:

وَاعْبُدْ رَبَّكَ حَتَّى يَأْتِيَكَ الْيَقِينُMaksud: Dan sembahlah Tuhanmu, sehingga datang kepadamu perkara yang tetap dan yakin. (Surah al-Hijr 15: 99)

Firman Allah lagi:

فَمَنْ كَانَ يَرْجُو لِقَاءَ رَبِّهِ فَلْيَعْمَلْ عَمَلا صَالِحًا وَلا يُشْرِكْ بِعِبَادَةِ رَبِّهِ أَحَدًا

 Maksud: Maka sesiapa yang berharap akan bertemu Tuhannya, hendaklah ia mengerjakan amal yang soleh, dan janganlah ia mempersekutukan sesiapapun dalam ibadatnya kepada Tuhannya. (Surah al-Kahfi 18: 110)

Para muttakin umpama ikan yang tidak akan masin dengan kemasinan laut. Sebab itu ingin ditegaskan bahawa keyakinan kepada diri sangat berkait dengan keyakinan kepada Allah. Maksudnya, siapa yang lebih kuat keyakinan kepada Allah, maka dialah yang paling kuat keyakinannya terhadap diri sendiri!

 Siapakah orang yang paling kuat? Daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لَيْسَ الشَّدِيدُ بِالصُّرَعَةِ ، إِنَّمَا الشَّدِيدُ الَّذِى يَمْلِكُ نَفْسَهُ عِنْدَ الْغَضَبِ

Maksud: Bukanlah orang yang kuat itu dengan bergusti, tetapi orang yang kuat itu ialah orang yang mengawal diri mereka ketika marah. (al-Bukhari, al-Jami’ al-Sahih al-Mukhtasar, Dar Ibn Kathir, Beirut, 1987, jil. 5, hlm. 2267, no. hadith: 5763)

Sayidina Umar Ibn Khattab pernah berkata: “Kalau meminum segelas air yang dingin ketika kehausan yang amat sangat boleh menjatuhkan maruahku nescaya aku tidak akan meminumnya.” 

Umar Ibn Aziz pernah berkata: “Aku tidak akan bercakap ketika aku terlalu ingin bercakap. Sebaliknya aku bercakap apabila aku terlalu berat untuk bercakap.”

Hukama pula ada berkata, “Kuasai diri kamu, nescaya kamu akan dapat menguasai dunia ini.” Rahsia kejayaan ‘orang besar’ itu terletak kepada kemampuan mereka menguasai diri sendiri. Dan dengan itu barulah mereka berjaya mengubah, mempengaruhi dan memimpin orang lain. Ini mengingat kita kepada satu madah yang berbunyi: “Jangan kamu marah jika orang lain tidak berubah sepertimana yang kamu kehendaki jika kamu sendiri tidak berubah seperti yang kamu kehendaki.”

Tegasnya, ‘kekuatan’ dalam diri ialah apabila kita dapat melakukan sesuatu yang perlu dilakukan dan meninggalkan sesuatu yang tidak perlu dilakukan. Kita ingin kuat. Kuat dalam erti kata dapat menentukan arah hidup dan jalan hidup kita sendiri. Kuat untuk menghadapi rintangan dan akhirnya meraih kejayaan. Kuat untuk mengakui kesalahan dan memperbaikinya.

Kuat untuk bertanggungjawab terhadap keputusan yang dipilih dan sanggup menanggung risikonya. Kuat untuk berhijrah dari ‘zon selesa’ tapi penuh kebekuan untuk menuju ‘zon mencabar’ yang penuh dugaan, tetapi di situlah letaknya kejayaan dan kecemerlangan.

Jadi, kita bagaimana? Ingin terus dalam zon selesa? Tidak mungkin. Jadi keluarlah menuju zon yang mencabar – dan bersiap sedialah menghadapi kata nista, cerca dan hina musuh-musuh kita. Jangan terus salahkan musuh. Apa mereka yang hendak kata, katalah… asalkan apa yang kita lakukan itu adalah halal, wajib, sunat atau harus di sisi Allah.

Siapa yang mengharap keredaan manusia, pasti akan kecewa. Nampak gah seketika, tetapi akhirnya merudum di telapak kaki manusia yang dipuja-pujanya itu! Itu lumrah orang berjuang. Yang penting binalah keyakinan diri. Dan kemudian ubahlah diri, nescaya dunia akan ‘berubah’ mengikut perubahan kita!

Kadang-kadang kita terkejut dengan ungkapan-ungkapan yang kedengarannya begitu aneh. Ungkapan yang bukan dilahirkan oleh orang yang biasa, tetapi manusia yang luar biasa. Mereka yang mengucapkannya adalah hukama, ulama dan bijak pandai yang begitu arif tentang kehidupan. Ada ungkapan yang berbunyi: “Barang siapa yang ingat mati, akan hidup… tetapi mereka yang ingat hidup, akan mati.”

Ah, aneh. Mengapa begitu ya? Mari kita telusuri apa makna tersirat di sebaliknya. Bukan sekadar untuk bermain dengan kata-kata tetapi dengan berpijak pada ilmu dan pengalaman yang nyata. Justeru kata-kata itu hanya membenarkan sahaja apa yang telah disabdakan oleh Rasulullah SAW menerusi sabdanya yang dilaporkan oleh Abdullah Ibn Umar:

كُنْتُ مَعَ رَسُولِ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- فَجَاءَهُ رَجُلٌ مِنَ الأَنْصَارِ فَسَلَّمَ عَلَى النَّبِىِّ – صلى الله عليه وسلم- ثُمَّ قَالَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ أَىُّ الْمُؤْمِنِينَ أَفْضَلُ قَالَ : « أَحْسَنُهُمْ خُلُقًا ». قَالَ فَأَىُّ الْمُؤْمِنِينَ أَكْيَسُ قَالَ: « أَكْثَرُهُمْ لِلْمَوْتِ ذِكْرًا وَأَحْسَنُهُمْ لِمَا بَعْدَهُ اسْتِعْدَادًا أُولَئِكَ الأَكْيَاسُ ».

Maksud: Aku bersama dengan Rasulullah, kemudiannya datanglah kepadanya seorang lelaki dari kalangan al-Ansar dan memmberi salam ke atas Nabi SAW, kemudian berkata: Wahai Rasulullah, siapakah mukmin yang terbaik? Nabi menjawab: “Mereka yang terbagus akhlaknya.” Dia bertanya lagi, “Maka siapakah mukmin yang paling cerdik?” Nabi menjawab: “mereka yang paling banyak mengingati mati dan yang terbaik ialah yang melakukan persediaan untuk selepas itu. Itulah orang yang paling cerdik.” (Muhammad bin Yazid, Sunan Ibn Majah, Dar al-Fikr, Beirut, jil. 2, hlm. 1423, No. hadith: 4259)

 Mari kita kembara seketika untuk mengungkap cebisan rahsia kematian dan kehidupan yang hakikat bahawa itu adalah ujian bagi setiap insan. Firman Allah:

الَّذِي خَلَقَ الْمَوْتَ وَالْحَيَاةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلا

Maksud:  Yang menciptakan mati dan hidup, untuk menguji kamu, siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya. (Surah al-Mulk 67: 2)

Apakah kaitan antara hidup dan mati? Apakah rahsia di sebalik kata-kata bahawa mati itu adalah ‘tunang’ kepada kehidupan? Justeru, marilah kita ‘kembali’ sebelum pergi menemui kehidupan yang abadi!

 

Ingat lagi kata-kata Sayidina Ali karamallahuwajhah yang telah disebut pada awal buku ini? Ya, katanya: “Manusia semuanya tidur, apabila mati baru mereka terjaga (tersedar).”       

 Kata-kata itu sungguh dalam dan tersirat maknanya. Ia bermaksud, hanya apabila seseorang itu telah mati barulah hakikat atau realiti kehidupan ini tersingkap dengan sejelas-jelasnya.

Pendek kata, mati adalah ‘program realiti’ yang benar-benar realiti. Setelah roh berada di alam barzakh (yakni alam kubur yang menjadi sempadan antara dunia dan akhirat), barulah kebanyakan manusia sedar apakah perkara yang benar-benar bernilai dalam hidupnya ketika hidup di dunia. Apabila mata yang ada hancur dimamah bumi, maka ketika itulah mata hati yang alpa selama ini tersentak dan terbeliak. Lalu ketika itu barulah terserlah yang mana ‘intan’ dan yang mana ‘kaca’?

Menjelang kematian, setiap diri akan akur betapa bernilainya kebaikan dan kebajikan. Itulah hakikatnya intan yang selama ini dianggap kaca. Dan pada saat itu barulah kita sedar betapa intan yang selama ini kita puja hakikatnya kaca yang tidak berharga. Itulah perbuatan dosa dan perkara yang sia-sia. Alangkah ruginya ketika hidup di dunia. Kita tersentak!

Manusia baru tersedar apakah hakikat kehidupan yang sebenar setelah kematian. Dan lebih malang lagi rupa-rupanya baru pada ketika itu manusia menyedari bahawa mati sebenarnya bukanlah satu pengakhiran, tetapi ia adalah satu permulaan kepada satu kehidupan yang tidak ada mati-mati lagi (hidup di akhirat kekal abadi).

 Manusia telah diingatkan bahawa di alam roh kita telah mengenal Allah. Firman Allah:

أَلَسْتُ بِرَبِّكُمْ قَالُوا بَلَى شَهِدْنَا

Maksud: “Bukankah Aku Tuhan kamu?” Mereka menjawab: “Benar, Kami menjadi saksi.” (al-A’raf 7: 172)

Bahkan telah mengakuinya sebagai Rabb yang sebenar (Tuhan kita). Mengenal Allah ertinya mencintai Allah. Kerana siapa sahaja yang kenal Allah, pasti akan jatuh cinta kepada-Nya.

Namun alangkah sedikitnya manusia yang benar-benar mengenal Allah. Kebanyakan manusia hanya ‘mengetahui’ tetapi tidak mengenali-Nya. Mengenal dan mengetahui itu jauh berbeza. Mengenal dengan hati, mengetahui dengan akal. Mengenal hanya memahami, tetapi mengenali akan merasai. Kebanyakan kita hanya mengetahui Allah Maha Melihat, tetapi tidak merasai Allah Maha Melihat. Justeru, kita masih tega dan tergamak melakukan kemungkaran walaupun kita tahu Allah Maha Melihat.

Bermula di alam roh dahulu hati kita telah mengenal Allah. Pendek kata, cinta sejati sejak mula ialah cinta Allah. Malangnya, ramai manusia dipisahkan daripada cinta sejati itu sebaik sahaja lahir ke dunia. Detik itu, bermulalah perpisahan cinta daripada cinta Allah seperti terpisahnya cinta anak daripada cinta ibu sejatinya. Kemudian tempat cinta sejati di hati mereka telah diambil oleh cinta palsu.

Siapa yang memisahkan kita daripada cinta Allah? Sedih, yang memisahkan manusia daripada cinta Allah kerap-kalinya ialah ibu bapa mereka sendiri. Ibu bapa tidak meneruskan peranan mengenalkan Allah kepada anak-anaknya. Benih cinta Allah yang sudah ada dalam diri terbiar. Tidak dibajai dan diairi… semakin bertambah usia, semakin jauh jarak perpisahan itu.

Pepatah Arab ada mengatakan, ‘Manusia menjadi hamba kepada apa yang dicintainya’. Jadi, apabila cinta itu sudah tersalah, maka tersalah jugalah manusia meletakkan sifat kehambaannya. Hidup beralih arah, daripada menghambakan diri kepada Allah kepada ‘menyembah’ hawa nafsu. Firman Allah:

أَرَأَيْتَ مَنِ اتَّخَذَ إِلَهَهُ هَوَاهُ أَفَأَنْتَ تَكُونُ عَلَيْهِ وَكِيلا

Maksud: Adakah engkau nampakkah orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhannya? Maka dapatkah engkau menjadi pengawas yang menjaganya? (Surah al-Furqan 25: 43)

Akibatnya, tujuan hidup telah tersasar. Ini kerana, hanya manusia yang menyedari adanya Tuhan dan memperhambakan diri kepada-Nya sahaja yang akan mempunyai tujuan hidup yang tepat dan jelas. Manusia tidak akan tahu apa tujuan hidup, kerana manusia tidak pinta dihidupkan. Allah yang menghidupkan kita, maka Allah jualah yang Maha Mengetahui untuk apa manusia dihidupkan. No God, no purpose! – tanpa Tuhan tidak ada tujuan.

Setelah terhantuk (mati), barulah dia terngadah (sedar). Rupa-rupanya apa yang diburu selama ini hanyalah kepalsuan manakala apa yang dihindari adalah kebenaran. Ah, betapa tersasarnya langkah hidup selama di dunia, setelah mati baru terjaga. Pada ketika itu jugalah ramai yang mengharapkan agar dapat pulang ke dunia semula. Minta untuk dipanjangkan umur supaya dapat menukar perbuatan yang buruk selama hidup di dunia dulu dengan amalan kebaikan. Firman Allah:

وَيَوْمَ الْقِيَامَةِ تَرَى الَّذِينَ كَذَبُوا عَلَى اللَّهِ وُجُوهُهُمْ مُسْوَدَّةٌ

Maksud: Dan pada hari kiamat, engkau akan melihat orang yang berdusta terhadap Allah dan yang menyatakan kesedihan itu muka mereka hitam legam. (Surah al-Zumar 39: 60)

Di alam kubur, ketika debu-debu tanah menjadi ‘bumi dan langit’ kepada kita, barulah kita terjaga daripada buaian ‘mimpi’ selama ini. Tiba-tiba arus kesedaran melanda. Cahaya ilmu menerpa dengan tiba-tiba. Lalu tersentaklah dia bahawa hakaikatnya hidup ini adalah untuk menghambakan diri kepada Allah – beribadah kepada-Nya. Rasa ingin bertaubat singgah dengan tiba-tiba. Terasa dosa yang dilakukan begitu banyak, bagaikan buih di lautan.

Sayangnya, segala-galanya sudah terlambat. Apa gunanya sedar di alam kubur kerana pada saat itu kita tidak boleh berbuat apa-apa lagi untuk memperbaiki keadaan. Jadi, kesedaran itu mesti dirasai semasa hidup di dunia lagi, barulah ia mempunyai makna dan berguna. Apabila hidup di dunia dilalui dengan penuh kesedaran akan hakikat kematian,  maka barulah seorang manusia akan berlumba-lumba melakukan kebaikan dan kebajikan.

Sebaliknya, sekiranya kesedaran itu hanya berlaku di alam kubur, maka segala-galanya sudah terlambat. Jadi bertaubatlah sebelum terlambat, kembalilah ketika masih sempat! Mereka yang ingat mati inilah hakikatnya orang yang bijak dan mereka yang ingat mati inilah hakikatnya orang yang hidup. Merekalah orang yang berani. Dan orang yang berani tidak pernah mati – the brave never die!

Bagaimana untuk mengembalikan semula manusia kepada asas dan teras jati dirinya yakni sebagai hamba Allah? Atau ringkasnya, bagaimana hendak mencapai ketenangan dalam hidup yang serba mencabar ini?

 Roh yang dekat kepada Allah akan tenang dan sihat semula. Hati yang tenang ialah hati yang mengingati Allah. Firman Allah:

…أَلا بِذِكْرِ اللَّهِ تَطْمَئِنُّ الْقُلُوبُ

Maksud: Ketahuilah! Dengan zikrullah itu, tenang tenteramlah hati manusia. (Surah al-Ra’d 13: 28)

 Inilah ubat hati. Namun jalan ke situ bukan mudah. Ubat sakit fizikal selalunya pahit. Rawatan sakit fizikal juga selalunya perit. Tetapi oleh kerana inginkan badan yang sihat, kita rela menelan kepahitan, kita rela menanggung keperitan berpantang. Menahan daripada makan makanan yang berkolestrol, lemak, manis, masin, berminyak walaupun itu semua itu enak rasanya. Kita ikut semua nasihat doktor. Berlari, bersenam dan mengawal stres… kita ikut dan patuh walaupun begitu ‘berat’ untuk mendapat sihat.

Maka begitulah jalan untuk ‘mengubat’ hati. Penawarnya juga pahit. Ubat hati jarang yang manis. Namun, semua itu perlu ditempuh jua. Apakah ubat hati? Mula-mula lazimilah menghadiri majlis ilmu. Ilmu adalah cahaya hati. Majlis ilmu adalah ‘taman syurga’ di dunia.

 Ulama sering mengatakan, “Sesiapa yang tidak menghadiri majlis ilmu selama 40 hari (sesetengahnya mengatakan 7 hari) maka hati seseorang akan keras.” Walaupun berat kaki melangkah, gagahilah juga sepertimana pesakit yang terpaksa menelan ubat yang pahit.

 

Hijrah bermula dengan diri sendiri. Jangan harapkan keluaraga, masyarakat, organisasi dan negara kita akan berubah (berhijrah) sekiranya diri kita sendiri tidak berubah terlebih dahulu. Perhatikan sajak di bawah untuk memahami kepentingan memulakan hijrah dengan diri sendiri:

Ketika lepas bebas di alam remaja,

impianku tidak mengenal batasan – aku ingin mengubah DUNIA.

 Apabila usia meningkat dewasa dan aku semakin matang,

kusedari… rupanya dunia tidak akan berubah.

 Lalu aku bataskan jangkauan.

 Memadailah jika aku dapat mengubah NEGARA,

namun ini juga tidak kesampaian.

 Di usia senja, pilihan terakhirku ialah untuk mengubah KELUARGA,

dan mereka yang terdekat,

malangnya… mereka juga tidak mampu kuubah.

 Kini, di perbaringan menanti maut,

baru ku sedari (mungkin buat kali pertama).

 Andainya dahulu yang pertama kuubah adalah DIRI SENDIRI,

dengan menunjukkan teladan yang baik,

pasti aku dapat mengubah KELUARGA.

 Lantas… dengan sokongan dan dorongan semangat mereka,

aku pasti mampu mengubah NEGARA.

 Dan siapa tahu… mungkin juga aku mampu mengubah  DUNIA.”

 Langkah perubahan mesti bermula dengan ilmu. Terangi hati yang gelap dengan cahaya ilmu. Dengan ilmu kita dapat mengetahui sifat-sifat Allah yang Maha Sempurna dan nama-Nya yang baik dan mulia. Ingat, ilmu wahyu akan menerangi hati, manakala ilmu dunia akan menerangi kehidupan. Hakikatnya ubat hati ialah ilmu-ilmu yang diambil daripada Al Quran.

 Dari sana, susuli langkah seterusnya. Ilmu imam, amal adalah makmumnya. Mulalah amalkan latihan-latihan asas dan teras untuk merawat hati. Ubat hati ialah zikrullah – ingat Allah. Dan cara mengingati Allah yang paling utama ialah mendirikan solat. Solat lima waktu adalah silah (penghubung) antara hamba dengan Tuhan. Fahami makna bacaan, hayati erti gerakan dan resapkan rasa-rasa daripada segala gerakan dan bacaan itu ke dalam hati. Walau susah sungguh, tetapi paksalah diri bersungguh-sungguh.

Sedangkan bisa boleh jadi biasa apabila dilazimi. Apatah lagi ‘penawar’ yang datang daripada Allah – Tuhan yang mencipta kita. al-Quran dan solat tentulah akan lebih mudah kita biasakan apabila dilazimkan. Ingatlah solat itu penawar. Walaupun sukar kita merasa kemanisannya di peringkat awal, tetapi kemanisannya pasti datang juga jika kita berterusan mengamalkannya. Ingat selalu kata-kata, mujahadah itu pahit kerana syurga itu manis. No pain, no gain. Sedangkan merebut cinta makhluk pun susah, apalagi mencari cinta Allah. Tentulah lebih susah. Tidak ada jalan mudah, itulah jalannya. Jalan mujahadah.

 Seperti sakit fizikal yang perlu ada pantang larangnya, begitulah juga ‘sakit hati’ yang ada pantang larangnya. Makan ubat tidak boleh diiringi oleh makan ‘racun’. Maksudnya, apalah ertinya kalau kita rajin makan ubat penyakit darah tinggi, jika kita terus makan daging, garam dan lemak secara berlebihan? Atau pesakit kencing manis yang rajin menyuntik insulin tetapi rajin juga minum teh tarik yang manisnya keterlaluan?  Penyakit tidak akan sembuh jika melanggar pantang. Bahkan, pengamal perubatan sering menegaskan bahawa berpantang lebih baik daripada berubat.

 Begitulah halnya dengan usaha penyembuhan ‘sakit hati’, ada pantang larang juga. Perlu ‘berpantang’ daripada perkara-perkara yang boleh menyuburkan nafsu. Misalnya, melihat, mendengar atau terlibat secara langsung dengan perkara-perkara yang diharamkan seperti pergaulan bebas, program hiburan yang merangsang nafsu, filem-filem lucah, dan lain-lain suasana yang boleh menyuburkan hawa nafsu.

Sebaik-baiknya carilah kawan yang seia sekata. Bentuk kumpulan kecil yang mempunyai satu fikiran, satu tujuan dan satu rasa – yakni sama-sama ingin mencari cinta Allah.

 Untuk buat baik, perlu ada kumpulan. Untuk buat jahat, perlu ada ‘geng’. Untuk buat baik perlu ada ‘jamaah’ – kumpulan yang bersatu untuk melakukan kebaikan. Apabila ada perkumpulan, usrah atau jamaah, maka tentu ada program-program yang tersusun dan berkala.

Program yang positif boleh dibentuk sebagai alternatif kepada program yang negatif. Membaca dan mengkaji buku-buku agama, meningkatkan ilmu fardu ain, mendengar kuliah tafsir, mendengar nasyid-nasyid atau lagu-lagu yang baik, program riadah, sukan dan rehlah yang Islamik adalah program-program soleh yang boleh diatur oleh perkumpulan itu.

 Ini adalah penebat kepada idea-idea nakal dan jahat yang boleh menggoda kita. Kita ada kawan, ada aktiviti dan akhirnya terbentuklah suasana dan persekitaran yang soleh. Masa lapang kita akan terisi. Ingat, musuh orang muda adalah ‘masa lapang’. Bahkan Rasulullah SAW sendiri pernah menegaskan bahawa nikmat yang sering memperdayakan manusia ialah masa lapang dan kesihatan tubuh badan.

Masa lapang ini perlu diisi dengan kesibukan belajar menuntut ilmu dan pelbagai usaha untuk memperbaiki diri. Dengan adanya program-program ini pantang larang dalam usaha menyembuhkan hati yang sakit dapat dijaga. Ada kawan mengingatkan. Ada program yang menyibukkan. Ada suasana yang mencorakkan. Mula-mula kita membentuk program dan akhirnya program akan membentuk kita. Inilah pentingnya program yang baik, kita akan terdisiplin melakukan kebaikan walaupun ada masa-masanya kita diserang rasa jemu, malas dan godaan-godaan jahat.

 Inilah sebahagian langkah untuk mengubat ‘sakit hati’ di kalangan para orang muda masa kini. Kata Sayidina Ali lagi: “Beramallah ketika di tempat yang tidak ada ganjaran tetapi hanya ada amalan (dunia), sebelum kita berpindah ke tempat yang hanya ada ganjaran tetapi sudah tidak ada amal (akhirat).”

Oleh itu adalah lebih baik kita terlebih dahulu sedar ketika hidup di dunia (kerana kita masih ada peluang untuk memperbaiki diri dan membetulkan kesilapan), daripada kita tersedar ketika berada di alam kubur, yang mana pada ketika itu segala-galanya sudah tidak berguna lagi.

Berjuanglah menghadapi kemalasan dan kejahatan diri sendiri. Malulah kalau kita kalah dengan diri sendiri. Jangan hanya malu jika  ‘kalah’ dengan orang lain. Biasanya orang yang menang dalam bertanding dengan dirinya sendiri akan menang juga dalam pertandingan dengan orang lain. Only me can beat me! – Hanya kita sendiri yang boleh mengalahkan kita!

Benar, anda sahaja boleh mengalah diri anda sendiri. Jadi bertandinglah dengan diri sendiri, dengan mengalahkan rasa malas, menundukkan sifat malu tidak bertempat, mengatasi rasa takut yang tidak kena pada masanya dan lain-lain sifat negatif. Jangan terkeliru dengan anggapan bahawa muda hanya sekali, lalu kita mesti ‘enjoy’ sepuas-puasnya.

Muda sebenarnya dua kali – satu di dunia, satu lagi di akhirat. Muda di dunia akan diakhiri oleh usia tua. Tetapi muda di akhirat kekal selama-lamanya (ahli syurga semuanya dalam usia remaja) – berita gembira untuk yang telah tua.

Gunakan masa di dunia untuk mencapai muda, bahagia dan keceriaan yang lebih bermakna di akhirat.  Kembalilah kepada fitrah!

SENDU DI AIDIL FITRI

Akhirnya Ramadan pergi jua

Tapi yang pergi hanya giliran purnama

Bukan kesan rasa dan kebesaran makna

Semua itu masih di sini… di jiwa

Yang sentiasa merindui

barakah dan maghfirahnya

(Apakah roh Ramadan ini

akan terus menerangi

… bulan-bulan seterusnya?)

Kini Syawal bertamu lagi

Bersama wajah seindah fitrah

Tasbih, tahmid dan takbir diucapkan

Meraikan satu kemenangan

Dari satu peperangan…

di dalam diri, di dalam sukma

(Apakah kita berjaya?

atau sekadar menumpang gembira…

di pinggiran kasih-sayangNya?) 

Ramadan akan pergi

Syawal pasti menyusulnya

Dan kita bagaimana?

Masih di pelabuhan alpa?

Masih di belenggu dosa?

Dan bahtera kita terus kelelahan

Dihempas ombak keresahan

(Akan tiba saatnya

Ketika Ramadan dan Syawal datang jua

Tapi kita telah tiada…

untuk menyambutnya!)

 
28 Komen

Posted by di 29 Ogos 2011 in Kemudi Hati

 

Label: , , ,

28 responses to “KEMBALILAH KEPADA FITRAH

  1. Azizah

    29 Ogos 2011 at 11:23 pm

    Assalamualaikum ustaz pahrol. Selamat Hari Raya. ‘Kullu a’min wa antum bikhair’ ‘Semoga sepanjang tahun ini, kamu berada dalam kebaikan’.🙂

     
  2. Hafizah Hussin

    30 Ogos 2011 at 12:03 am

    alhamdhulillah..moga tarbiah Ramadhan mendidik taqwa sbgi bekalan dan panduan pada bulan seterusnya. Tiada jalan lain tiada jalan mudah kerana kesenangan hanya akan datang selepas kita berusaha dan mengenal erti susah…. tanpa tahu erti pahit mana mungkin mengenal manis.. jazakallah…

     
  3. jaa

    30 Ogos 2011 at 1:27 am

    shahdu…

     
  4. barieah

    30 Ogos 2011 at 7:30 am

    alhamdulillah.. terima kasih ustaz, atas penulisan yg mmbantu merawat jiwa dan memberi panduan. semoga ustaz diberi kesihatan yg baik dan berbahagia di sisi keluarga. Doakan saya dan shbt2 lain utk menjadi pejuang agama seperti ustaz. amin.. selamat berjuang ustaz ^_^

     
  5. kesidang

    30 Ogos 2011 at 11:45 pm

    Salam,

    Jika sebelum Ramadhan, ternanti-nanti akan dapatkah aku mencapai Ramadhan. Apabila ia berlalu pergi terasa sayu di hati.Allah..andainya ini Ramadhan terakhir kami, berkati ia bagi kami.Andainya masih ada jodoh lagi dengan Ramadhan akan datang, rahmatilah kami.Biar apapun yang berlaku,jadikanlah roh Ramadhan sentiasa hidup dalam jiwa kami hingga ke akhirnya.Jadikan kami hamba yang benar-benar sedar dirinya sememangnya hamba kepadaMu..Amiin…Itulah fitrah kami. Salam Aidilfitri buat ustaz yang dihormati, famili serta muslimin dan muslimat.Maaf zahir dan batin.

     
  6. adnan

    31 Ogos 2011 at 4:14 am

    Pohon Allah panjangkan usia Ustaz untuk meneruskan penulisan yang sungguh baik buat mereka yang ingin kembali ke jalan benar iaitu jalan yang diredhai Allah.
    Amin….

     
  7. ana

    1 September 2011 at 4:47 pm

    syukran ust..huhu..berjuang menghadapi kemalasan & kejahatan diri sendiri..insyaAllah..hu

     
  8. iman

    1 September 2011 at 10:36 pm

    Assalamualaikum, ustaz, mohon share ilmunya ustaz.

     
  9. cahaya untukku

    1 September 2011 at 11:16 pm

    Assalamualaikum..
    Saya suka artikel ini..
    Selamat Hari Raya Aidilfitri Maaf Zahir & Batin

     
  10. ZACK

    2 September 2011 at 6:12 am

    Saya teringat kisah kisah seorang bayi dalam kandungan . Semasa dalam kandungan ,apabila ditanya apakah yang dia mahu . Dia menjawab tali pusat yang besar supaya dia mendapat makanan yang banyak dan oksigen yang mencukupi . Dia tidak mahu tangan dan kaki kerana baginya dia tidak perlukan semuanya itu dan ianya amat merimaskan . Tetapi dia lupa saat dia dilahirkan talipusatnya dipotong , dia tidak lagi memerlukan tali pusat yang dipujanya . Sekarang , yang diperlukan adalah tangan dan kakinya yang sebelum ini dirasakan tidak berguna . Begitulah kisah kita didunia , kita merasakan wang ringgit , harta amat diperlukan dan amalan utk akhirat amat merimaskan kita . Kita lupa ianya amat diperlukan kelak . Jangan kita menjadi seperti bayi dalam kandungan tadi . Insyallah

     
  11. zahraa Norhaliza

    2 September 2011 at 8:35 am

    Semoga Ustaz senantiasa dibawah rahmat ALLAH,diberi nikmat kemanisan iman,kesejahteraan hidup dunia dan akhirat dan.Terima kasih atas peringatan yang cukup bermakna ini…semoga kita semua tidak termasuk dalam kalangan orang yang rugi.Amin.

     
  12. khai-huda

    2 September 2011 at 9:10 am

    aSSalamualaikum w.b.t ustaz..

    Saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri Maaf Zahir $ Batin kepada ustaz sekeluarga.. Semoga sihat sejahtera hendaknya bersama keluarga tercinta..ameen =)

     
  13. Hazlinda

    3 September 2011 at 8:22 pm

    Terima kasih ustaz, tulisan yg sgt mengesankan…hanya Allah yg mampu membalasnya…

     
  14. sham

    3 September 2011 at 11:47 pm

    trma kasih ust artikal yg mnrik..mohon share ye

     
  15. joepmas

    4 September 2011 at 1:51 am

    assalamualaikum ustaz…selamat hari raya….mohon hidayah utk semua….

     
  16. zakimustaphaa

    4 September 2011 at 9:19 am

    selamat hari raya maaf zahir dan batin … minta kebenaran untuk share tq

     
  17. mummy 2010

    4 September 2011 at 4:56 pm

    Assalamualaikum Ustaz,

    Pengisian yang penuh peringatan. Biarpun Ramadhan telah berlalu, kekuatan yang cuba dibina sepanjang bulan barakah lalu mudah-mudahan terus teguh dan kita antara insan terpilih mendapat rahmatNya. Strive for live….. bertunjangkan taqwa, iman dan amal. Moga redhaNya sentiasa mengiringi langkah kehidupan dunia akhirat, insya-Allah.

     
  18. wan nor syaima

    5 September 2011 at 4:06 pm

    Assalamu’alaikum ustaz,saya minta izin copy artikel ini ntuk saya sampaikan kpd keluarga terutamanya adik beradik saya.terima kasih,sangat bersesuaian.

     
  19. mie247

    6 September 2011 at 7:57 am

    saya tak pernah jemu membaca tulisan abang dari zaman sekolah.buku nota hati seorang lelaki ada saya beli tapi masih bertatih untuk menghabiskannya😀 bila terdengar ruangan mukmin profesional semasa bulan puasa otw balik dari pejabat, I will make sure I will listen to the programme every week.teruskan bang…

     
  20. Nur SyafiQa

    6 September 2011 at 9:36 am

    Assalammualaikum w.b.t
    Sy mgambil kesempatan utk mengucapkan selamat menyambut hari raya aidilfitri maaf zahir & batin kpd ustaz & semua sahabat2 yg melayari blog ini.
    Semoga bidang penulisan ustaz terus berkembang & dapat membawa kebaikan kpd seluruh dunia…sy amat meminati buku2 ustaz..apa buku terbaru ustaz?

     
  21. gentarasa

    7 September 2011 at 7:08 pm

    Salam mie247,
    Syukran dik.

     
  22. Raihanatul Jannah

    7 September 2011 at 7:42 pm

    Ya Allah, rahmatilah insan ini yg darinya Engkau pancarkan hidayah-Mu buat insan2 yg mencari secebis cahaya dalam kegelapan. Amin…

     
  23. wASHbUrn

    8 September 2011 at 10:09 pm

    Salam Ustaz,
    Mohon kebenaran untuk share artikel ni dalam FB saya. Jazakallah.

     
  24. Nor Fadzilah Lebai Harun

    9 September 2011 at 12:32 am

    syukran ya ustaz, perkongsian ilmu & peringatan yg sgt bermanfaat tentang erti hidup, spt sgt bernilainya tulisan ustaz tajuk ‘aku lebih baik drpd kamu?’ dlm majalah SOLUSI edisi 21, SOLUSI memang majalah pendidik terbaik…pelaburan akhirat yg tidak akan sia2, insyaAllah… wasslm

     
  25. syed hafiz

    21 September 2011 at 3:16 pm

    terima ksih dgn perkongsian ini ya ustaz..

     
  26. math

    14 Oktober 2011 at 11:55 am

    Terima Kasih Ustaz… Hati saya tenang

     
  27. rabiah

    11 November 2011 at 1:05 am

    ustaz..penulisan ustaz sgt meresap ke dalam jiwa..moge diri ini dapat berubah ke arah yang lebih baik dari harii ke hari🙂

     

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: