RSS

PUASA ITU REVOLUSI HATI

14 Aug

REVOLUSI HATI

Puasa ialah peperangan untuk mengalahkan hawa nafsu yang sentiasa mengajak diri kepada kejahatan. Peperangan yang tidak pernah ada ‘gencatan senjata’ ini sentiasa berlaku dalam diri manusia dan ia menjadi semakin hebat pada bulan puasa. Pada bulan ini, Allah memberi kita pelbagai ‘senjata’ tambahan untuk mengalahkannya. Bukan itu sahaja, ‘mentor’ nafsu yang utama yakni syaitan telah dibelenggu dan tidak boleh membantu nafsu dalam usahanya mengalahkan akal bagi menguasai hati.

Apabila sumber kekuatan nafsu (makan minum) disekat, dan ia diserang bertubi-tubi oleh pelbagai jenis ibadat, sewajarnya hati akan bertambah bersih dan fikiran menjadi semakin jernih. Inilah yang akan membentuk seorang manusia yang baik.      Rasulullah s.a.w. telah menegaskan bahawa di dalam diri manusia ada seketul daging, jika baik daging itu maka baiklah  manusia tersebut. Sebaliknya jika jahat daging itu, maka jahat pulalah orang tersebut. Daging itu ialah hati.

Itulah peranan utama hati. Ia umpama raja di dalam kerajaan diri manusia. Jika raja baik, rakyat akan jadi baik. Maka begitulah bila hati baik, secara automatik tangan, kaki, mulut, hidung dan lain-lain pancaindera akan melahirkan kebaikan. Al-Quran memberikan informasi yang sangat banyak tentang hati ini.

Justeru, usaha untuk melahirkan diri, keluarga, masyarakat, negara bahkan dunia yang lebih baik mestilah dimulakan dengan membersihkan hati manusia dan langkah itu boleh dioptimumkan dalam bulan puasa. Kejayaan Rasulullah s.a.w. mengubah masyarakat jahiliah adalah kerana Baginda berjaya mengubah hati manusia. Inilah yang dikatakan oleh Profesor Dr. Hamka, “Nabi Muhammad berjaya melakukan satu revolusi jiwa yang hebat dalam sejarah manusia.”

Rasulullah s.a.w. berjaya mengubah sikap manusia kerana Baginda berjaya melakukan revolusi hati. Walaupun umat Arab Jahiliah ketika itu sedang berdepan dengan kegawatan politik (mereka sentiasa berbalah sesama sendiri), kegawatan ekonomi (ekonomi mereka dimonopoli oleh orang Yahudi) dan kegawatan sosial (perzinaan, perogolan, minum arak dan membunuh anak perempuan menjadi tradisi), tetapi Rasulullah s.a.w. tidak mengubat “penyakit-penyakit” itu pada akibat-akibatnya tetapi terus kepada puncanya – yakni hati. Baginda yakin kegawatan-kegawatan yang bersifat lahiriah itu ialah hasil daripada “sakitnya” hati.

Tiga belas tahun Rasulullah s.a.w. menangani persoalan hati manusia dengan wahyu-wahyu di peringkat Makkah. Ayat-ayat al-Quran peringkat itu pendek-pendek dan kebanyakannya sarat dengan persoalan iman. Semuanya berkisar pada kepercayaan kepada perkara-perkara ghaib. Ayat-ayat itu menerangkan tentang keesaan, keagungan, kebesaran dan keindahan Allah juga menggambarkan keadaan dan balasan nikmat di syurga dan seksa di neraka.

Iman di hati ialah kunci utama ke arah perubahan sikap. Ia secara automatik akan mengubah manusia secara bertahap-tahap. Transformasi, reformasi, evolusi, revolusi atau apa sahaja istilah yang dikaitkan dengan perubahan, mesti berlandaskan soal hati. Apabila soal hati ditangani dengan iman, ia memberi satu kekuatan yang luar biasa dalam diri manusia yang biasa. Tauhid ialah sumber kekuatan untuk melakukan perubahan kerana ia mengungkai semua halangan dan godaan luaran yang mengganggu usaha ke arah perubahan.

Soal hati, bukan hanya penting pada peringkat awal perubahan tetapi ia perlu terus dijaga sepanjang usaha manusia untuk menjadi individu yang baik dan mampu memberi kebaikan.

Rasulullah s.a.w. pernah mengingatkan bahawa setiap amalan bergantung kepada niat. Sabda Rasulullah s.a.w.: “Sesungguhnya setiap amalan bermula dengan niat.” (Riwayat Muslim)

Maknanya, jika niat baik, maka amalan pun akan baik. Sebaliknya jika niat jahat, amalan yang baik sekalipun akan bertukar menjadi jahat. Bagaimana natijah atau kesan sesuatu amalan sering bergantung pada mukadimahnya. Jika mukadimah amalan itu ialah niat yang baik, maka amalan itu akan memberi kesan yang baik.

Kualiti amalan bergantung pada kualiti hati pelakunya. Setiap kali kita melakukan satu perbuatan, maka hati akan menentukan itu amalan baik atau sebaliknya. Berderma misalnya, ialah amalan yang baik tetapi sekiranya dilakukan dengan niat untuk menunjuk-nunjuk, ia bertukar menjadi riyak dan hukumnya berdosa.

Begitu juga solat. Pada zahirnya ia memang amalan yang mulia. Namun sekiranya hati orang yang melakukan solat kerana ingin “membesarkan” dirinya bukan membesarkan Ilahi, maka solat itu bukan lagi amalan yang mulia.

Maka berhati-hatilah menjaga hati kerana amalan yang sebesar gunung sekalipun tidak akan bernilai walau sedebu pun, sekiranya diamalkan tanpa ikhlas.  Hati bukan sahaja menentukan kualiti amalan seseorang, bahkan nilai orang itu secara keseluruhan. Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Sesungguhnya Allah s.w.t. tidak melihat kepada rupa paras kamu dan harta kamu tetapi melihat kepada hati-hati kamu dan amalan-amalan kamu.” (Riwayat Muslim)

Pernah diberitakan bagaimana seorang yang rajin bersolat pada waktu malam dan berpuasa sunat pada siang harinya, tetapi Rasulullah s.a.w. mengatakan dia ialah ahli neraka, kerana lidahnya yang suka mencela jirannya. Mengapakah lidah suka mencela? Jawabnya kerana hatinya masih kotor, walaupun ibadahnya banyak.

Dalam konteks yang sama, Rasulullah s.a.w. pernah menegaskan bahawa tidak akan lurus keimanan seseorang, sehingga lurus hatinya. Dan tidak akan lurus hati seseorang, sehingga lurus lidahnya.

Sebaliknya, pernah Rasulullah s.a.w. memberitakan bagaimana seorang lelaki menjadi ahli syurga walaupun amalannya hanya “biasa-biasa” sahaja dibandingkan dengan para sahabatnya yang lain. Setelah diselidiki oleh Abdullah bin Umar, beliau dapati kelebihan lelaki ahli syurga yang dimaksudkan oleh Rasulullah s.a.w. itu ialah dia tidak pernah menaruh rasa hasad dengki kepada orang lain. Sekali lagi ini membuktikan bahawa kualiti hati menjadi penanda aras kelayakan seseorang manusia untuk memasuki syurga.

Firman Allah yang bermaksud: “(Hari kiamat ialah) hari yang mana tidak berguna harta dan sekalian anak pinak kecuali orang yang membawa hati yang sejahtera.” (Surah al-Syu’ara 26: 88-89)

Semua amal ibadah adalah untuk mem­bersihkan hati. Manakala dosa mengotori hati. Hakikatnya, hidup ialah satu perjalanan menuju Allah untuk mem­persembahkan hati yang bersih kepada-Nya. Keuntungan atau kerugian hidup manusia ditentukan oleh usaha yang membawa kebersihan hati atau sebaliknya. Firman Allah:“Dan beruntunglah orang yang mem­bersihkan dan merugilah orang yang mengotorinya.” (Surah al-Syams 91: 9-10)

Hati yang bersih penuh keimanan, ke­takwaan dan sifat-sifat mahmudah. Hati ini mempunyai kuasa yang cukup hebat dan luar biasa. Hati umpama magnet. Ia mempunyai kuasa “menarik” sesuatu yang di luar diri kita. Apa yang bersemi di hati, menentukan apa yang diterima sebagai pantulannya. Hati yang baik di dalam diri menarik kebaikan dari luar diri.

Sebab itu Islam sangat menekankan betapa pentingnya kita bersangka baik kerana sangka baik itu menghasilkan kebaikan. Rasulullah s.a.w. mengingatkan kita agar selalu bersangka baik kepada Allah untuk mendapat kebaikan daripada-Nya. Dalam sebuah hadis qudsi, Rasulullah s.a.w. bersabda: “Aku (Allah) mengikut sangka hamba-hamba-Ku.” (Riwayat Muslim)

Sekalipun ketika berdosa dan menyesali­nya, namun kita diajar agar tidak bersangka buruk dan putus asa daripada rahmat serta pengampunan-Nya. Kata Syeikh Ibn Ata’illah:“Jangan sampai terasa bagimu kebesaran satu dosa itu, hingga merintangimu daripada bersangka baik kepada Allah Taala, kerana siapa yang benar-benar mengenal Allah akan merasa kecil dosanya apabila dibandingkan dengan keluasan rahmat-Nya.”   

Jadi, sematkanlah rasa bersangka baik dalam hati kepada Allah, kerana itu akan “menarik” rezeki, rahmat dan pengampunan-Nya kepada kita.

Larangan berprasangka bukan hanya kepada Allah tetapi jua kepada sesama manusia.  Jauhi sifat prasangka terhadap orang lain, kerana itu akan menarik “kejahatan” mereka sebagai balasannya. Firman Allah:“Jauhilah prasangka kerana prasangka itu adalah sebahagian daripada dosa.” (Surah al-Hujurat 49: 12)

Untuk mendapat kebaikan, Islam mendidik kita agar memulakan sesuatu interaksi dan komunikasi sesama manusia dengan kebaikan, bermula dengan bersangka baik, memberikan senyuman dan memberi salam.

Hati juga umpama kebun, semaikanlah “benih” rasa yang baik-baik, pasti kita akan menuai “buah” kebaikan. Ramadan yang semakin tiba ke penghujungnya ini ialah saat yang terbaik untuk membersihkan hati. Bayangkan apabila diri kita mendapat rahmat Allah, kemudian kita berusaha untuk meraih keampunan-Nya dan akhirnya dengan hati yang bersih itulah kita akan bebas daripada seksa api neraka. Insya-Allah.

 
12 Komen

Posted by di 14 Ogos 2011 in Tarbiyah

 

Label: , , ,

12 responses to “PUASA ITU REVOLUSI HATI

  1. nurul hidayatul

    16 Ogos 2011 at 11:23 am

    salam,slmt berpuasa ustaz..Hanya Allah yg bleh mnilai hati sbenar manusia.mnusia biasa akn samar2(kdg2 buta)untuk mnilai hati org(or hati sndiri)dek trpengaruh dgn prwatakan luaran ssorg n prsekitaran.em hati yg cemerlang adalah hati yg ikhlas dan bebas drpd pnykit2 riak,ujub,tkbbur,hasad dgki dll.Ttapi dlm usaha mmbangunkn hati sebegitu,seringkali rs terlalu mudah untuk trgelincir.situasinya seolah2 mcm kta bwa keta skiranya trlalai,trngantuk or x fokus sket mmang mudah terbabas.kdg2 rsa liat sgt nk melenturkn hati yg sering terbabas nie.Moga kseluruhan hdup sy n sume trutama d pgakhirannya 6ti hati kta akn berada di landasan kebenaran yakni dgn mmiliki hati yg cemerlang utk dinilai Allah SWT!insyaAllah..amin….:)

     
  2. Nisha

    16 Ogos 2011 at 2:09 pm

    Assalamualaikum,

    Ya saya setuju…, hati juga perlu dibajai supaya sentiasa subur/segar/kuat/istiqamah ke arah kebaikkan agar mampu membuahkan hasil yang bernilai/baik iaitu kurniaan/pemberian/keredhaan dari Allah.

     
  3. nor faizah

    17 Ogos 2011 at 11:49 am

    Syukran laka ya Ustaz..sungguh post ini pengisian hati yg tulus pada bulan Ramadhan ini.mhon share ustaz.tq.jazakaAllah.

     
  4. rine

    19 Ogos 2011 at 8:05 am

    subahanalah..terima kasih ustaz🙂..slmt bpuasa..

     
  5. Fiza Omar

    22 Ogos 2011 at 4:18 pm

    Alhamdulillah..dalam diri yang kerap tersandung dan tersunjam untuk menjadi seorang muslimah yang sebenar-benarnya..Ramadhan tahun ini, saya rasa cukup berbeza, tidak seperti sebelum ini..terasa nikmat dan cukup membahagia saya yang sedang berhijrah menuju perjalanan menemui cinta yang hakiki..catatan Ustaz, saya hirup dan membenarkan ia menyeinap ke segenap belahan hati..Syukran jazillan Ustaz..Jazakallah khairan kathira..

     
  6. cilipadi

    22 Ogos 2011 at 6:24 pm

    Masalah hati…kesan2nya hari-hari kita lihat di dada-dada akhbar terutama akhbar-akhbar tabloid.Macamana nak selesai kalau kita tak sedar punca sebenar?Revolusi hati gaya Rasulullah memang kita perlukan dgn segera untuk menangani masyarakat M’sia sekarang.Tapi kalau tak mengaku,macam mana nak berubat?

     
  7. ernie conan

    23 Ogos 2011 at 10:24 am

    sgt suka dgn tulisan beliau… ^_^

     
  8. saipollizan saad

    25 Ogos 2011 at 3:41 pm

    Terima kasih ustaz..

     
  9. syed hafiz

    21 September 2011 at 3:35 pm

    benda yg paling keras didunia adalah HATI…..
    LEMBUTkannya dgn zikir..

     
  10. wazir

    20 Julai 2012 at 4:21 pm

    salam ustaz sya mohon izin ambil isi artikel ini untuk digunakan dalam tazkira sya..mohon maaf

     
  11. Azhari Ab Rahman

    12 November 2012 at 12:35 pm

    Bismillahi arrahman arrahim, Assalamualaikum ya ustaz, Ana dapat me rasa ketenangan dengan article ini, Sukran ya ustaz, doa kepada Ana supaya dapat memiliki hati yang benar2 bahagia Dan membahagiakan orang lain. Amin.

     
  12. Azhari Ab Rahman

    12 November 2012 at 12:36 pm

    Izinkan Ana forward ke fb ana

     

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: