RSS

APABILA DITIKAM DARI BELAKANG

26 Jun

”Walaupun ustaz jarang up date, tetapi saya tetap mengikuti perkembangan Gentarasa.” Begitulah suara seorang peserta program KEPIMPINAN MUKMIN PROFESIONAL yang diadakan di Desa Ru hujung minggu lalu. Saya tersenyum, kata-kata itu mempunyai dua makna – pertama, dia meminati input Gentarasa. Kedua, dorongan untuk saya selalu meletakkan entri baru. Terima kasih, atas peringatanmu peserta dari Singapura itu…

 

Insya-Allah, saya akan berusaha menunaikan harapan daripada pengunjung. Saya akan mengatasi masalah sever di tempat saya yang selalu tergendala, masa menulis selepas Subuh yang selalu dipinggirkan kerana berkejar bagi mengelakkan ’trafic jam’ atau mengantuk yang kerap menyerang mata tua saya sebaik sahaja jarum jam mencecah jam 10 malam.

 

Buat pengunjung, saya hanya mengharapkan doa dan nasihat kerana dua itu juga yang saya mampu berikan untuk saudara/i. Buat kali ini, mari kita kongsikan sebuah nukilan rasa yang saya kutip daripada masalah-masalah yang sering dikemukakan oleh pengunjung. Ada yang berdepan dengan masalah suami, isteri, boss atau ibu-bapa sendiri. Ya, begitu sakit…   

 

 APABILA DITIKAM DARI BELAKANG…

 

Bagaimana rasanya jika anda ditikam dari belakang? Maksudnya, anda dikhianati oleh orang yang anda percayai, hormati malah sayangi. Apakah perasaan anda jika anda ingin perkara seumpama itu tidak berlaku (malah tidak pun menyangkanya) tetapi ia berlaku juga dalam episod hidup yang singkat ini? Ya, anda, saya dan kita semua pasti melalui episod yang sedih dan tidak disangka itu dalam hidup. Jika tidak berkali-kali, pasti sekali kita mesti ’terkena’.

Saya ingin tegaskan… mesti ada rasa takut, jeran dan kecewa. Malah kadangkala anda menjadi curiga dan berprasangka buruk dengan semua orang. Insiden pahit yang sekali itu menjadi trauma dalam jiwa yang menyebabkan kita sukar mempercayai sesiapa lagi. Ya, jika dia yang begitu akrab dengan kita, mungkin begitu tinggi ilmunya, mungkin telah banyak budi dan jasanya…  pun tergamak melakukanya, apatah lagi orang lain? Begitu getus rasa kita.

Jika itulah akibatnya, hidup kita akan hilang bahagia. Kita tidak akan ceria lagi. Bila kita sudah tidak ceria, apa yang dibuat pasti tidak menjadi. Hari-hari yang indah bertukar gundah. Kita rasa malas melangkah dan segala potensi diri pudar tidak menyerlah!

Jika itulah yang berlaku, kita sebenarnya sedang memberi kemenangan total kepada orang yang mengkhianati kita. Dia akan berjaya memporak-perandakan kehidupan kita berkali-kali. Jangan biarkan dia menang. Sebaliknya, berhentilah mengenang perbuatannya. Jauhkan diri dan berhati-hati dengan ’gunting dalam lipatan’ ini.

Tetapkan satu jarak yang jauh tetapi jangan memutuskan. Sekiranya tidak mampu melupakan, tidak mengapa, tetapi belajarlah memaafkan. Jangan membalas. Jangan kita mengkhianati diri sendiri hasil pengkhianatan orang kepada kita!

Bersabar atas karenah pergaulan dengan manusia adalah tuntutan agama. Kita tidak hidup dalam masyarakat malaikat – yang tidak alpa dan tidak berdosa. Tarik nafas dalam-dalam dan helakannya panjang-panjang. Cubalah bermuhasabah dengan diri sendiri penuh berani dan jujur. Acapkali, kita dikhianati kerana pernah mengkhianati. Atau kita berdiam diri apabila orang lain dikhianati dan dizalimi. Padahal, membela dan bersuara atas kebenaran itu satu tuntutan. Jangan dayus, penakut dan peangpu… itu umpama syaitan bisu.

Sudah lumrah dalam hidup ini, kita terpaksa hadapi perkara yang tidak kita inginkan. Kita tidak mampu mengawal semua yang berlaku agar sentiasa cocok dengan keinginan dan kemampuan kita. Justeru, selalu berlaku perkara-perkara yang kita sendiri tidak inginkan berlaku. Lantas kita akan mengalami ketakutan – takut sakit, takut gagal, takut dicerca orang dan sebagainya. Kita tidak boleh lari daripada hakikat ini.

Itu semua adalah realiti dan basahan dalam hidup yang terpaksa kita hadapi. Soalnya, bagaimana kita dapat menangani semua itu dengan cara yang sebaik-baiknya? Hingga dengan itu bukan sahaja kita dapat mengatasinya, malah dapat memanfaatkannya untuk terus mencapai kejayaan. Salah satu caranya ialah dengan membesarkan cita-cita. Ya, cita-cita yang besar akan mengecilkan kritik, pengkhianatan dan sabotaj oleh musuh dalam selimut!

Bayangkan dalam perang Khandak yang hebat itu. Musuh – tentera-tentera Ahzab mengepung di luar kota Madinah, manakala Yahudi menikam dari dalam kota Madinah. Ditambah oleh tipu daya licik para munafik. Bekalan makanan pun kekurangan. Bagaimana Rasulullah menghadapi ya?

Ya, dengan menanamkan satu berita dan cita-cita besar – Rom dan Parsi – dua kuasa besar dunia ketika itu akan tersembam di telapak kaki umat Islam. Jika difikirkan mana logiknya? Sedangkan tentera gabungan puak Quraisy dan pengkhianatan pihak Yahudi sedang mencengkam pada saat yang sangat kritikal itu. Namun itulah Rasulullah… penderitaan dunia yang  sedang dihadapi diperkecilkannya dengan janji syurga, ancaman musuh di peringkat ’local’  dipermudahkannya dengan kejatuhan musuh besar di peringkat internasional.

Jangan trauma dengan pengkhianatan masa silam. Jangan bimbang dengan pengkhinatan masa akan datang. Tetapi binalah cita-cita besar yang mampu ’meremehkan’ semua itu. Dengan cita-cita besar kita akan menjadi raja. Bukan raja untuk berbangga tetapi raja yang mempunyai keyakinan diri dan kemurnian reputasi. Biarlah anjing menyalak bukit. Bukit tidak akan runtuh. Begitulah orang yang menikam kita dari belakang… kerana dia hakikatnya  lemah, penakut dan tidak punya keyakinan diri untuk bertarung secara berdepan!

Tidak ada orang yang mahu menendang anjing yang telah mati. Maka begitulah kita, selagi ada tenaga, upaya dan keinginan yang menyala-nyala maka akan sentiasa ada ’musuh’ dalam selimut  yang ingin mengacau kita. Kritik yang tidak adil adalah pujian yang tidak rasmi. Tikaman dari belakang petanda kita gagah dan digeruni untuk dihadapi secara berdepan.

Yang penting, bermusabah diri. Jaga hati agar sentiasa lurus dan tulus. Jaga perlakuan agar sentiasa diikat oleh syariat. Jika itu telah dapat kita usahakan… pengkhianatan akan dapat kita hadapi dengan senyuman. Strategi liciknya akan membelit dirinya sendiri. Dan dia akan terjerumus dalam lubang yang digalinya sendiri!

Kita? Biarlah tetap menjadi hamba Allah. Tetapi menjadi raja kepada diri kita sendiri!

Nikmatilah tulisan ini:

JADILAH SEORANG RAJA!

“Berapa lama awak dalam bidang ini?” Begitu kadang-kadang anda ditanyakan orang. Kemudian yang bertanya akan membandingkan pencapaian itu dengan pencapaian si polan itu, si polan ini. Silap-silap anda akan terasa kerdil bila si penanya akan meletakan ‘orang besar’ dalam bidang tersebut sebagai penanda aras kecapaian. Aduh, terasa anda masih jauh. Anda masih merangkak ketika orang lain telah berjalan, berlari dan melompat. Anda kalah, kalau jika sebaik sahaja perbualan itu tamat, anda mula merasakan, oh, malangnya nasib ku!

“Berapa ramai anak di universiti?” Sebaik sahaja anda menjawabnya, si penanya akan bertanya, “dalam bidang apa? Doktor, jurutera, farmasi atau arkitek?” Jika anak anda berada di bidang-bidang lain, yang tidak dianggap ‘prestij’, si penanya akan menerangkan betapa ‘rendahnya’ nilai profesion anak anda itu jika bidang pengajiannya ‘biasa-biasa’ sahaja. Jika tidak berhati-hati, rasa rendah hati akan tersuntik tanpa disedari. Alangkah bertuahnya dia, alangkah ruginya aku…

Itu belum lagi anda bertemu dengan ‘pak lawak’ yang merasa besar hanya kerana punya kenalan di kalangan ‘orang-orang besar’. Anda seperti hendak ketawa bila dia bercerita tentang Tan Sri itu, Puan Sri ini, Datuk ini, Datin itu, yang kononnya sangat akrab dengannya. Padahal dia hakikatnya hanya ‘pecacai’ sahaja kepada orang besar yang diuar-uarkannya itu. Keinginannya menjadi besar menyebabkan dia ‘kecil’ bila hilang harga diri dan suara hati sendiri ketika bergaul dengan ‘orang besar’nya. Angguk-angguk, tunduk-tunduk… Ya, Tok! Yes, Tan Sri!

Perkara-perkara yang saya sebutkan di atas, mengingatkan saya kepada perbualan bersama Mat (bukan nama sebenar) seorang sahabat yang sangat akrab dengan saya.

“Bagaimana rasanya bila tidak dihargai?” tanya Mat. Nadanya sedih.

“Mengapa?” tanya saya simpati.

“Mereka masih melihat jawatan, harta dan nama.”

“Kau tidak perlu penghargaan mereka yang seperti itu.”

Dia merenung jauh.

“Kalau kita dihargai kerana berpangkat, berharta dan bernama, penghargaan itu hakikatnya bukan untuk kita tetapi untuk pangkat, harta dan nama.”

“Tetapi aku sedih… Setelah sekian banyak yang aku lakukan.”

“Jangan mengharap terima kasih Mat. Nanti kita sakit jiwa. Hakikatnya, majoriti manusia yang hidup di dunia ini tidak pandai berterima kasih. Jika kepada Allah pun hanya sedikit manusia yang mampu bersyukur, inikan pula kepada sesama manusia,” kata saya seakan memujuk.

“Aku sedih, itu sahaja…”

“Lupakan Mat. Aku kenal kau sejak dulu. Kau tak perlukan penghargaan kerana kau sememangnya berharga. Kata bijak pandai, jangan sedih kalau kita tidak dihargai tetapi sedihlah jika benar-benar kita tidak berharga.”

Mat mendongakkan mukanya yang sejak tadi tunduk.

“Apa maksud kau?”

Melihat Mat mula tenang saya mula bercerita. Ada dua cerita, secara santai saya mula bercerita:  Pertama, cerita tentang Nasiruddin seorang Sufi yang ketika dia masuk ke sebuah kampung, seluruh kampung mengalu-alukan kedatangannya.

“Selamat datang ulama, selamat datang orang alim… Ajarkan kami, ajarkan kami,” sorak penduduk kampung.

“Mengapa kamu semua merasakan aku orang alim?”

“Kerana serban besar yang tuan pakai.”

Nasiruddin pun membuka serbannya dan dipakaikan ke kepala keldai yang ditunggangnya.

“Nah, sekarang kau semua belajar daripada keldai ku. Dia alim sekarang, kerana telah memakai serban besar!”

Mat ketawa mendengar cerita saya.

“Kau tahu, Nasirudin tetap Nasiruddin walaupun tanpa serbannya. Yang lebih penting ialah diri kita bukan pakaian, gelaran dan harta yang kita miliki. Dan kita sebenarnya tidak perlu penghargaan orang asalkan kita pandai menghargai diri kita sendiri.”

“Betul ke?”

“Ini hasil kajian pakar psikologi Mat… Menurut mereka penilaian kita terhadap diri sendiri jauh lebih penting berbanding penilaian orang lain terhadap kita.”

“Jadi, jangan sampai penilaian orang lain mempengaruhi penilaian kita terhadap diri kita sendiri, begitu maksud kau?”

“Kau lebih tahu Mat. Lagipun apa gunanya penghargaan daripada orang yang sebegitu. Hidup terlalu singkat untuk kita berikan masa bagi mereka yang semacam itu.”

Cerita kedua: Seorang bijak pandai telah dijemput ke satu majlis jamuan makan. Dengan pakaian yang sangat sederhana bijak pandai itu pun pergi ke sana. Malangnya, setibanya di majlis itu dia tidak dijemput langsung untuk makan. Tuan rumah mengutamakan orang-orang kenamaan yang lain. Si bijak pandai pulang semula ke rumahnya lalu menukar pakaian yang mahal dan gemerlapan dan pergi semula ke majlis tersebut. Kali ini dia disambut dengan mesra dan dihidangkan makanan yang lazat. Si bijak pandai lantas menuangkan lauk-pauk dan makanan yang terhidang ke pakaiannya.  “Mengapa?” tanya orang ramai. Si bijak pandai menjawab, “tuan rumah hendak menjamu pakaian ku  bukan diri ku!”

Sekali lagi Mat ketawa.

“Mat, orang pandai kenal orang bodoh. Tapi orang bodoh tak kenal orang pandai. Life is to ‘complete’ not to ‘compete’ – hidup bukan satu pertandingan, tetapi satu perkongsian. Tinggalkan mereka yang asyik nak bertanding dengan harta, nama dan jawatan. Kita teruskan dengan perkongsian ilmu, iman dan kebajikan. Yang penting ikhlas. Memberi bukan untuk menerima. Berjuang bukan kerana nama!”

Kemudian, giliran  Mat pula bercerita – betapa ramai anak yang begitu ‘admire’ dengan Ibu Mithali yang dinobatkan oleh pihak itu dan ini sehingga mengecilkan jasa ibu sendiri. Kononnya, ibu Mithali itulah yang lebih baik daripada ibu mereka sendiri. Dan betapa ramai pula ibu yang impikan anak seperti mereka yang dianugerahkan ‘Pelajar Cemerlang’, ‘Remaja Dedikasi’ dan sebagainya… hingga merasakan anak sendiri kurang ‘harga’nya.

“Apa pesan awak untuk anak dan ibu seperti itu?”

“Aku katakan, ibu kita mungkin bukan ibu yang terbaik… tetapi sebagai anaknya, kita mesti nampak di mana kebaikan ibu kita sendiri.”

“Tepat Mat. Begitulah juga dengan diri sendiri. Kita ini bukan orang terbaik, tetapi kita mesti menghargai ‘kelebihan’ atau ‘kebaikan’ kita sendiri. Kita akan memajukan diri kita ke tahap maksimum selaras dengan kelebihan itu.”

“Ertinya kita bertanding dengan diri sendiri?”

“Betul tu, bertanding dengan diri sendiri, berkongsi dengan orang yang lain.”

Oh, alangkah tenangnya diri jika berpegang kepada prinsip sendiri daripada terpaksa hidup bermuka-muka dengan topeng yang dipakai oleh kepura-puraan manusia… hanya untuk mencari nama, harta dan jawatan. Saya teringat cerita seorang Raja bertanya kepada seorang petani miskin, “siapa kamu?”

“Saya raja,” jawab petani.

“Raja?”

“Ya, raja pada diri saya sendiri!”.

 
32 Komen

Posted by di 26 Jun 2011 in Iktibar Kisah

 

Label: , , , ,

32 responses to “APABILA DITIKAM DARI BELAKANG

  1. semuthitam

    27 Jun 2011 at 9:49 am

    masyaAllah..

     
  2. theufo

    27 Jun 2011 at 12:30 pm

    Salam…ustaz..
    semoga ustaz sekeluarga sihat berbahagia…
    terima kasih di atas nasihat ustaz….
    masalah di tikam dr belakang, perasaan tidak dihargai..disisihkan memang wujud dlm masalah kita seharian..cuma kekuatan hati (dalaman) untuk mengatasi semuanya…

     
  3. Lyd

    27 Jun 2011 at 2:09 pm

    Subhanallah…

    Terima kasih banyak-banyak Ustaz!😉

     
  4. Yuri

    27 Jun 2011 at 2:24 pm

    Assalamualaiku wbt Ustaz,

    Ustaz, blog ustaz ni adalah blog yang memberi inspirasi kepada insan2 yang mencarinya. Ia adalah dakwah. Saya harap, kalau tak sempat menulis panjang lebar, seperenggan kata2 nasihat sudah memadai, ramai yang ternanti2 untuk menyuap makanan jiwa ini untuk memulakan hari dengan segar…segar jiwa dan minda. Terima kasih ustaz.

     
  5. wan adli

    27 Jun 2011 at 8:46 pm

    kebanyakan manusia pasti kecewa dengan apa yg terjadi setelah dikianati..sudah lumrah manusai pasti akan membalas semula kerana bisikan syaitan..kerana umat akhir zaman ni kebanyakannya sudah lari dari apa yg Islam ajarkan..sifat maaf memaafi kian pudar…
    Semoga apa yang dituliskan ustaz dapat memberikan iktibar kepada semua pembaca…

     
  6. Makbonda

    27 Jun 2011 at 8:52 pm

    Alhamdulillah,banyak jawapan yang saya dapati dari perkongsian di atas.Semoga Allah terus memberi kekuatan untuk ustaz menzahirkan rungkian permasalahan ummah di sini..

     
  7. syafiyyah

    27 Jun 2011 at 9:56 pm

    assalamualaikum,alhamdulillah, satu insprasi utk cara fikir yg tepat dlam hidup ini..semoga kite besyukur dgn apa yg kite ada dan belajar menghargai yg kite ada….semoga kite saling mencari ilmu allah dan sering mencurahkan kebajikan kpd segenap makhluk allah..ianya sebagai bekalan dalam kite menuju perjalanan yg seterusnya..amien….

     
  8. Atifah

    27 Jun 2011 at 11:06 pm

    “Tepat Mat. Begitulah juga dengan diri sendiri. Kita ini bukan orang terbaik, tetapi kita mesti menghargai ‘kelebihan’ atau ‘kebaikan’ kita sendiri. Kita akan memajukan diri kita ke tahap maksimum selaras dengan kelebihan itu.”

    Ustaz..ini la kata2 semangat utk diri sy. Kata2 motivasi utk diri sy sejak dr U lg.
    Walaupun kita ada kekurangan dlm diri, kita cr apa kelebihan kita. Kerana kelebihan yg kita ada akan mengatasi kekurangan yg ada.

     
  9. gentarasa

    28 Jun 2011 at 6:32 am

    Salam Makbonda,
    Saya ziarah ke blogmu. Alhamdulillah, banyak pengajaran yang saya dapat dari pengalaman Makbonda. Tahniah. Kisah-kisah yang memberi kesan. Buat pengunjung Gentarasa… sila ziarah mak kita ni. InsyaAllah, baik sekali.

     
  10. gentarasa

    28 Jun 2011 at 6:34 am

    Salam wan,
    Kita layak disakiti… berapa ramai orang lain yang kita sakiti. Allah didik kita agar jangan buat apa yang kita tidak suka orang lain buat pada kita, kepada orang lain. Begitulah. Saya dah 50 tahun… masih membina kematangan dalam perhubungan berbekalkan kesilapan silam. Yang penting kita tidak putus asa untuk belajar… terutamanya belajar memaafkan dan melupakan.

     
  11. nadia

    28 Jun 2011 at 7:48 am

    terima kasih ustaz. Moga Allah memberkatimu, teruskan memberi nasihat kerana ia adalah ubat untuk dosa di hati saya, InsyaAllah~

     
  12. Habib Ahmad

    28 Jun 2011 at 9:35 am

    Majlis Bersama Syeikh Muhammad bin Ibrahim al-Kittani di Masjid al-Falah, USJ9

    Pengajian/Diskusi Kitab Bersama Syeikh Muhammad Nuruddin Marbu al-Banjari al-Makki (Bulan Julai)

    Jadual Program Syeikh Muhammad Fuad Kamaludin Al-Maliki (Rejab – Syawal)

    Jadual Am Pengajian Bersama Al Habib Ali Zeinal Abidin Al Hamid

     
  13. Nadia

    29 Jun 2011 at 10:27 am

    terima kasih ustaz, perkongsian yang amat bermakna!

     
  14. Siti Khadijah

    29 Jun 2011 at 12:57 pm

    Assalamualaikum Ustaz,

    Bagaimana pula kalau saya tidak melakukan apa yang di fitnah. Apa yang saya lakukan atas dasar arahan majikan tetapi yg di siasat ialah seorang yang boleh di katakan rapat dengan saya tetapi telah melakukan kesalahan menyalahgunakan asset syarikat utk kepentingan peribadi dan saya sebagai kakitangan di bahagian kewangan di minta menyiasat dan melaporkan ke pihak pengurusan. Sebaliknya yang di siasat telah mencanangkan ke satu pejabat bahawa saya memfitnah beliau dan sengaja memburukkan credibiliti beliau sedangkan setiap penemuan yang saya perolehi berdasarkan laporan bertulis dan di sahkan oleh pihak2 yang terlibat.

    Yang menyakitkan ialah bila dia cuba merosakkan pemikiran semua orang di pejabat ni dan juga di cawangan.

    Ada kalanya memang terasa malas dah kaki nak melangkah ke pejabat tapi bila di fikirkan kita lakukan apa yang kita sepatutnya lakukan dan rezeki itu adalah dari Allah barulah hati itu tenang.

     
  15. Nani Ismail

    29 Jun 2011 at 1:10 pm

    Ustaz, saya dari Singapura. Saya mengenal blog Ustaz melalui iluvislam. Byk sungguh penulisan Ustaz yg membuat saya muhasabahkan diri. Dan saya bersyukur akan bakal membaca buku Ustaz “Di mana DIA di hatiku?” yg dibelikan oleh sepupu di KL. Payah cari buku ini di Johor. DI Kuantan tempoh hari tak dpt jumpa jugak. Boleh tak saya tahu jika ada cara membeli bukux2 Ustaz yg lain secara online dan dipos ker Singapura?

     
  16. 'abduh

    29 Jun 2011 at 3:40 pm

    salam ustaz,
    mg afiah dan sejahtera dlm rahmat kasihsayang Allah..
    tajuk yang cukup dekat dengan kehidupan kita..sptmana saya sndiri,pernah bbrp kali melalui pengalaman ini. mmg cukup pedih dan sakit..lg2 bl datangnya dari org yang sangat kita sayang dan kadangkala kita tak mampu melupakan dan buang rasa sayang tersebut.wlubgmanapun,saya belajar utk positif dgn keadaan,saya yakin ada sebab Tuhan aturkan dan izinkan perkara tersebut berlaku..

     
  17. suffi saffi

    30 Jun 2011 at 5:13 am

    salam ustaz , info yang berguna . syukran jazilan

     
  18. gentarasa

    1 Julai 2011 at 10:44 am

    Salam Nani Ismail,
    Syukran kerana sokongan anda. saya sangat menghargainya. Jika sukar mendapatkanya saya cadangkan hubungi sahabat saya En Ahmad di talian 0193783100. Semoga kita dekat melalui jembatan buku dan talian ilmu. Amin.

     
  19. gentarasa

    1 Julai 2011 at 10:46 am

    Salam Siti Khadijah,
    Memang… sakit. Tetapi itu ujian. Rasakan itu tarbiah dari Allah melalui lidah dan perlakuan manusia. InsyaAllah jika kita dapat hadapinya dengan baik, kita akan dapat hadapi apapun ujian yang lebih berat pada masa akan datang. Hidup untuk diuji… Dan kita patut diuji bagi membersihkan dosa kita dentgan Allah dan sesama manusia.

     
  20. Siti Khadijah

    1 Julai 2011 at 11:14 am

    Waalaikumussalam. Terima Kasih Ustaz. Sungguh mendamaikan bila kita dapat mendengar atau menerima kata2 perangsang dari ustaz. Semalam satu kejutan bila satu message ugutan di terima. Saya yang tidak terlibat pun terkena tempiasnya. Mula saya terfikir kenapalah manusia itu tak mahu Muhasabah diri sebaliknya menyalahkan orang lain. Saya pasrah dan Redho dan hanya pada Allah saya mengadu, biarlah apa yang beliau dan isterinya nak mengugut tapi saya yakin Allah maha mengetahui.

     
  21. Nursa'idah Mohtar

    1 Julai 2011 at 12:42 pm

    Salam Ustaz,

    Masya’Allah…tersenyum saya dibuatnya tatkala membaca mukaddimah artikel ini. Moga Allah permudahkan Ustaz untuk terus berkongsi dan berkarya. Amin.

    Teringat dengan kata-kata seorang guru Fizik saya, “You cannot always be the best. But you can always be at your best”.

    Oleh itu, percaya pada keupayaan diri sendiri dan sentiasa berikan YANG TERBAIK…Insya’Allah BAHAGIA…

    Moga blog ustaz terus menggenta rasa setiap pengunjungnya.

     
  22. cilipadi

    2 Julai 2011 at 10:55 am

    Alhamdulillah,protaz masih mampu luangkan masa utk menulis.Artikel yang evergreen,peneman untuk waktu2 diuji dan pengingat untuk waktu2 berada dalam nikmat.Betul kata protaz…kena ada cita-cita yang besar…apalagi kalau bukan …untuk redha ALLAH semata-mata.Semua jadi mudah.
    Saya suka istilah ‘syaitan bisu’…tak terfikir selama ini.Sering disogokkan dengan istilah’malaikat bisu’…hinggakan saya dan ramai kenalan tertipu…kami anggap diam itu bagus dan terpuji.Ampunkanlah dosa-dosa kami ya ALLAH,tanpa sedar kami zalim,dayus,dsb.

     
  23. ananabilah

    4 Julai 2011 at 1:29 pm

    salam ustaz

    terlewat saya membaca entri yang ini..sedangkan 5 hari sebelum ustaz pos entri ni..saya sangat ‘berasa ‘ditikam dari belakang atau dikhianati oleh orang yang sangat dekat dengan saya. merana dan berduka saya seketika..sedihnya dan sakitnya terasa sangat hebat..Alhamdulillah saya merasai lebih pulih..

     
  24. shahima

    5 Julai 2011 at 12:25 pm

    salam ustaz…..
    terima kasih atas sgala pengisian yg bermakna ini…
    benarlah idup ini sentiasa d uji…pengkhinatan berlaku dimana-mana…
    dan sgalanya hanya mampu diserahkan pada Sang Pencipta….

     
  25. Jelita105008

    13 Julai 2011 at 2:21 pm

    Assalamualaikum ustaz,

    Terima kasih diatas nukilan ini. Memang sakit apabila kita ditikam belakang. tapi semua itu hanya sementara sahaja. ada hikmah disebaliknya.

     
  26. Hanim

    17 Ogos 2011 at 6:26 pm

    salam ustaz…blog ustaz sentiasa memberikan insrirasi & ‘hidup baru’ buat saya…..saya mohon share entry ustaz di blog saya…syukran

     
  27. md sazali

    8 September 2011 at 11:34 pm

    as salam ustaz..mohon share ye.moga allah merahmatimu..amin..

     
  28. suriya majid

    30 September 2011 at 11:04 am

    salam ustaz pahrol, sangat berterima tas artikel yang menenangkan jiwa ini. saya rasa ini adalah ubat yang baik untuk saya pulihkan rasa sakit di dalam hati.

    semoga terus diberikan idea & kudrat untuk dikongsikan bersama. insyaallah…..

     
  29. zia

    3 Oktober 2011 at 10:32 am

    thanks for sharing ustaz

     
  30. ummu ammar

    2 Disember 2011 at 5:11 pm

    Subhanallah..saya terasa sangat lapang selepas membaca entry ustaz ni, alhamdulillah..terima kasih ustaz🙂 semoga diberi kesihatan yang baik untuk terus berkarya, mengisi hati2 kami, insyaAllah..

     
  31. mutiara

    17 Februari 2012 at 9:05 pm

    salam ustaz…. saya agak terlewat mengikuti perkongsian ustaz…. namun saya tetap rasa bertuah dpt membaca setiap tulisan yg ustaz kongsikan. Saya dibekalkan kekuatan dan ketenangan slps menemui ustaz. Alhamdulillah, slps pertemuan ini saya lebih mendekatkan diri pd Allah, saya bersyukur kerana diberikan petunjuk dan hidayah sblm terlewat. Terima kasih kerana mendoakan kebahagiaan saya. Benar…. bahagia adalah ketenangan jiwa. Bahagia dgn cinta pd Allah, ia sedang saya burui…Saya sedang bertatih ke arah itu. Ustaz telah membimbing saya menjadi wanita yg sedang berusaha menjadi muslimah solehah. Saya perolehi apa yg saya cari, jawapan terhadap segala ujian hidup saya. Saya bersyukur….Saya amat terhutang budi pd ustaz, hanya Allah sahaja yg dapat membalas kebaikan ini. InsyaAllah saya akan terus belajar dan belajar ustaz…. bimbinglah saya

     
  32. Hazel_terluka

    17 Mac 2014 at 1:49 pm

    salam ustaz…sy terbaca blog ustaz…sebenarnya sy google utk ” bos tidak adil tidak menghargai”..n terjumpa blog ustaz…actually sy sering rasa tidak diadili oleh bos dan tidak dihargai…dan ada pula teman setugas yang diibaratkan seperti gunting dalam lipatan – dan saya juga pernah rasa ditikam dari belakang…sakit nya perasaan ini…bos sering tidak berlaku adil…walaupun saya telah berusaha untuk menjadi pekerja yang terbaik dan saya jalankan tanggungjawab tugas saya dengan baik dan iklhas hati saya…namun seperti ada sahaja yang tidak kena pada nya..pada hatinya…saya tidak mengerti ustaz.. saya sering diperlakukan secara tidak adil…kkdg kala sya merasa sedih dan saya menangis sendirian. Hanya kepada Allah saya mengadu…tapi saya selalu tabahkan hati dan pujuk ati sendiri..mungkin ini dugaan tuhan pada saya…tp kkdg sebagai insan biasa saya juga tewas pada emosi saya..saya akan sedih….bagaimana menghadapi bos yang tidak adil dan rakan yang ‘tikam belakang’…bantu sy ustaz…

     

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: