RSS

MAZHAB YANG PALING POPULAR

29 Oct

KELUAR DARI MAZHAB KING MIDAS!

Berkrisis tentang mazhab? Entahlah, kerana hati kita yang kotor agaknya, perbezaan yang sewajarnya menjadi rahmat bertukar juga menjadi bencana. Padahal bukan semua perbezaan adalah satu pertentangan, jika kita pandai menguruskan perbezaan, ia akan menjadi satu keindahan dan kesempurnaan. Telah berkali-kali ditegaskan bahawa berbeza pendapat bukan masalah tetapi SIKAP kita dalam berbeza pendapat itu yang sering menimbulkan masalah.

Padahal jika diamat-amati, terlalu banyak hal yang kita telah sependapat. Hanya sedikit yang berbeza. Yang sama itu pun kekadang tidak atau belum lagi dilaksanakan, diamalkan dan diperjuangkan. Contoh, riba, tutup aurat, pergaulan bebas, arak, judi dan lain-lain… sudah sepakat kita yakini haram. Tak kira apa mazhab, tidak kira apa aliran, salafi, suni, wahabi dan segala macam… tidak ada yang mengatakan itu halal. Tetapi bagaimana pelaksanaan kita?

Begitu juga perkara-perkara yang halal dan wajib. Ambil contoh sahaja solat…semua aliran dan mazhab menetapkan itu WAJIB. Tetapi bagaimana pelaksanaannya? Sedih, mengikut kajian (yang dikemukakan oleh Datuk Fadillah Khamsah) sudah 80% umat Islam Melayu Malaysia tidak sembahyang. Sepatutnya, pada perkara-perkara yang telah disepakati HARAM dan HALAL inilah yang kita fokuskan untuk berdakwah, mendidik dan akhirnya mengamalkan atau mencegahnya.

Mengapa ini berlaku? Ya, ini gara-gara penangan satu ‘mazhab’ lagi yang menjadi pegangan kebanyakan manusia Islam tidak kira dia itu dari mazhab Maliki, Safie, Hanbali, Hanafi, Sunni, Wahabi, Salafi dan sebagainya… ya mazhab KING MIDAS. Inilah ‘mazhab’ yang menjadi penyebab kepada penyakit Al Wahan – cinta dunia dan takut mati, yang sangat dibimbangi oleh Rasulullah saw kepada umat Islam akhir zaman.

Justeru, pada hari Jumaat yang mulia mari sama-sama kita renungi satu tulisan yang telah saya paparkan dalam buku Nota Hati Seorang Lelaki. Tulisan yang bertajuk: Keluarlah Dari Mazhab King Midas!

Sewaktu memberikan penjelasan tentang persoalan nilai dalam kursus ‘Mukmin Profesional’, saya sering mulakan dengan sebuah cerita – perihal King Midas seorang raja yang tamak. Dia mementingkan harta daripada segalanya. Apa yang dibuat, apa yang dinilai, semuanya dari kaca mata ringgit dan permata. Lalu, bila satu ketika diajukan apa permintaan utamanya, dia menyatakan keinginannya agar apa yang disentuhnya menjadi emas. Seorang tukang sihir telah ‘memperkenankan’ permintaannya. Dia sangat gembira. Habis semua yang disentuhnya menjadi emas. Namun kegembiraannya tidak lama.

Sebaik sahaja berasa lapar dan dahaga, alangkah terkejutnya bila makanan dan air yang disentuhnya turut menjadi emas. Dia mula kebingungan. Emas, walaupun sangat berharga masakan boleh menghilangkan lapar dan dahaga. Dan yang paling menyedihkan ialah bila puteri tersayangnya datang untuk bermanja… Puteri itu turut bertukar menjadi emas apabila dia menyentuhnya. King Midas, terkejut… sedih. Pada waktu itu tersedarlah dia bahawa emas bukanlah segala-galanya.

Mungkin ramai beranggapan, cerita King Midas ini hanya dongengan. Ya, benar itu cerita dongeng, tetapi pengajaran daripada cerita itu sangat signifikan dan relevan. King Midas adalah lambang manusia yang sudah kehilangan ‘nilai’ dalam dirinya. Realitinya, betapa ramai manusia yang semazhab dengan King Midas – dari dahulu hingga kini. Bukankah ada di kalangan masyarakat yang sanggup berbuat apa sahaja untuk mendapatkan ‘emas’ walaupun terpaksa mengorbankan saudara?

Berebut harta pusaka, saudara sendiri dizalimi. Justeru, tamakkan pangkat dan kedudukan, sahabat sendiri rela dikorbankan. Mengapa demikian? Apakah harta itu lebih utama daripada saudara dan sahabat? Semuanya gara-gara ramai manusia yang beranggapan bahawa nilai dirinya bergantung kepada ‘barang-barang’ bernilai yang dimilikinya. Soal ‘siapa saya?’ ditentukan oleh wang bertimbun yang dimilikinya. Seolah-olah ‘aku’ adalah kereta, vila, jumlah saham dan segala aset yang dimiliki. Pendek kata, nilai dirinya diletakkan pada barang-barang bernilai kepunyaannya.

Benar kah nilai kita terletak pada barang-barang bernilai? Hingga dengan nilai itu kita akan mendapat harga diri dan status sosial yang tinggi di mata sendiri dan orang lain. Jika benar, siapa diri kita apabila segalanya itu hilang? Jika rumah terbakar, siapa kita ketika itu? Jika kereta dicuri, apakah harga diri kita turut juga dicuri? Aneh bunyinya bukan? Tak mungkin, harga diri kita terletak kepada semua itu. Tapi, itulah praktik majoriti manusia masa kini – ramai yang menilai diri sendiri dan orang lain berdasarkan pemilikan barang-barang bernilai. Al hasil, kita jadi semakin materialistik dan individualistik.

Pernah saya mendengar sebuah cerita sufi dari Turki – seorang yang bernama Nuruddin Khoja. Dia yang berserban dan berjubah besar pada suatu ketika menaiki keldai memasuki sebuah kampung. Orang kampung mengalu-alukan kedatangannya dan melaung, “ulama, ulama, ulama… ulama sudah datang. Mari kita belajar daripadanya.” Dia hairan lalu bertanya, “mana kamu semua tahu yang aku ini ulama?” Orang kampung itu menjawab, “daripada serban dan jubah yang kamu pakai.” Lalu Nuruddin meletakkan serbannya di atas kepala keldainya dan berkata, “ayuh, belajarlah daripada keldai ini.”

Orang kampung kehairanan dan bertanya, “mengapa kami perlu belajar dari keldai ini?” Nuruddin secara selamba menjawab, “bukankah kamu semua beranggapan bahawa aku seorang ulama hanya kerana aku berserban? Jika demikian keldai ku sekarang telah berserban, maka kamu belajarlah daripadanya.” Sindiran sinis daripada Nuruddin ini sesungguhnya membuktikan bahawa pakaian luaran bukan petunjuk kepada nilai diri kita. Nilai ulama pada ilmu dan akhlaknya, bukan pada serban dan  jubahnya. Tetapi begitulah selalunya, nilaian orang terhadap kita dan nilaian kita terhadap diri kita sendiri. Jika tidak masakan timbul ‘konflik’ kopiah putih vs songkok hitam satu ketika dulu.

Ibn Qayyim Al Jauzi pernah berkata, “tanda seorang mengalami sakit jiwa ialah apabila dia lebih mempercayai kata orang lain daripada suara hatinya sendiri.” Mungkin kata-kata itu terlalu falsafah dan tersirat maknanya. Biarlah saya cuba memudahkan dengan mengaitkannya dengan realiti kehidupan sehari-hari. Sebagai contoh, betapa ramai pasangan suami-isteri yang sudah ‘tidak sehati dan sejiwa’ lagi tetapi bila berdepan dengan masyarakat umum kelihatan begitu romantis. Mereka berpegang tangan, berkepit seiringan, kononnya nanti masyarakat akan menyifatkan mereka pasangan yang bahagia.

Masyarakat yang tidak tahu hakikat sebenar akan berkata, “oh, beruntungnya mereka kerana punya rumah tangga yang bahagia.” Bila komentar yang sedemikian sampai ke telinga pasangan yang ‘tidak bahagia’ itu mereka pun rasa bahagia (walaupun mereka sebenarnya berpura-pura). Alangkah anehnya manusia. Ramai yang rela hidup dalam berpura-pura atas nilai yang mereka tidak ada.

Akibat tersalah pandang tentang nilai yang sebenar, ramai juga yang hilang harga diri tanpa disedari oleh mereka. Apa tidaknya, saya sendiri pernah berdepan dengan seorang ‘isteri kecewa’  sewaktu mengendalikan satu kursus dengan sebuah institusi korporat di Sabah. Seorang suri rumah secara terus terang berkata, “saya rasa perkahwinan memang satu penghambaan.” Ketika ditanya, “mengapa?” Dia berkata, “apa tidaknya? Sekian lama saya bertugas sebagai isteri dan ibu, saya rasa tidak dihargai oleh suami. Sedangkan nilai saya begitu tinggi…”

Pendek cerita, si isteri mula mengeluarkan senarai panjangnya –  menjaga anak sebulan 500 RM, memasak 500 RM, mengemas dan menjaga rumah 300 RM dan macam-macam lagi. Itu baru sebulan, sedangkan dia telah menjalankan tugas itu sudah lebih 20 tahun. Bayangkan berapa ratus ribu RM yang perlu dibayar oleh suaminya jika dia menuntut. Itulah harga dirinya. Saya sedih, melihat dia disia-siakan oleh suaminya. Tetapi dengan cara yang sedemikian dia juga telah mensia-siakan dirinya sendiri. Bukankah sebaik sahaja dia menilai tugasnya mengikut ukuran RM dia hakikatnya sudah menjatuhkan nilai dirinya daripada seorang isteri dan ibu kepada seorang babu dan orang gaji!

Hanya babu atau orang gaji sahaja minta dibayar atas tugas-tugasnya, kerana dia memang bekerja untuk upah. Sebaliknya seorang isteri berbakti kepada suami atas dasar kasih-sayang, tanggung-jawab, amanah dan nilai-nilai lain yang lebih murni dan tinggi. Seorang ibu menjaga dan mendidik anak-anaknya kerana cinta, kasih dan naluri keibuan yang dibekalkan oleh Allah. Begitulah dengan kerja-kerja yang lain, bukan kerana ganjaran tetapi kerana tujuan. Apabila kita digerakkan oleh tujuan, maka tercapailah nilai-nilai yang lebih utama dan suci (end value) berbanding nilai yang rendah dan murah (meen value).

King Midas akhirnya sedar bahawa anak lebih utama daripada emasnya. Jangan pula kita bermati-matian mencari harta hingga terlupa mendidik anak-anak. Ironinya, bila ditanya kenapa mencari harta? Kita akan menjawab, demi anak-anak. King Midas juga sedar bahawa emas tidak akan dapat menggantikan makanan dan minuman. Hendaknya, jangan pula kita sibuk mencari duit hingga terlupa ‘menikmati’ duit. Siang malam berjaga, stres dan tension melanda … demi menimbunkan harta. Bila ditanya untuk apa? Untuk bahagia. Bahagia kah bila sakit menimpa? Jadi, pastikanlah yang mana alat, yang mana matlamat? Mana tujuan, mana keperluan? Jangan hanya memburu nikmat hingga terlupa Pemberi nikmat. Keluar dari mazhab King Midas!

 

 

 
26 Komen

Posted by di 29 Oktober 2010 in Kemudi Hati

 

Label: , , , , ,

26 responses to “MAZHAB YANG PALING POPULAR

  1. Walimastur

    29 Oktober 2010 at 8:33 am

    Syukran kasir…

     
  2. peluncur Islam

    29 Oktober 2010 at 8:52 am

    macam pernah baca…
    tapi dimana ya…

    ooo dari buku ustaz sendiri…

    jazakallah ustaz…

     
  3. شلح

    29 Oktober 2010 at 9:30 am

    Salam Ustaz Pahrol.. Suka Frasa ini “jangan pula kita sibuk mencari duit hingga terlupa ‘menikmati’ duit.” Kekadang duit banyak kalau hidup tenteram pun tak guna.. Ade yang di mudanya hebat tapi di akhir usianya terpaksa habis banyak duit untuk berubat kerana pelbagai penyakit yang singgah seperti stroke,kenying manis dan sebagainya.. Ini kerana di mudanya hanya tahu bekerja, haram dan halal dah tak peduli.. Yang penting “money” is everything… Masa untuk Ilahi pun bukan saja kurang malah tak ada da.. (bukan menuding jari tapi buat muhasabah diri)

     
  4. Mohd Nadzri Mustakim

    29 Oktober 2010 at 10:19 am

    Assalamualaikum…
    Kupasan yang menarik ustaz… Jazakallah…

    Saya quote…
    “Nilai ulama pada ilmu dan akhlaknya, bukan pada serban dan jubahnya. Tetapi begitulah selalunya, nilaian orang terhadap kita dan nilaian kita terhadap diri kita sendiri.”

    Bagaimana jika ayat ini digunakan bagi mereka yang belum ‘sampai seru’ menutup aurat….?

     
  5. amir

    29 Oktober 2010 at 11:05 am

    assalamualaikum wrhmatuhi wbrkth ya ustaz…

    salam ziarah. tulisan ustaz menyentuh sanubari mana2 pembaca ‘abad materialis’ ini. semoga menjadi bahan tarbiah yang berterusan buat diri dan umat kita insyaAllah.

    jazakallahu khair ustaz.

     
  6. Saborjelah

    29 Oktober 2010 at 2:16 pm

    Ustaz..

    Keje siang malam tu sebab terpaksa.. bukan nak timbun harta.. Sebab kerja yang dibuat waktu pejabat tak siap2 jugak.. Bosan x? dateline dah due tak siap kang kene sembur..Terpaksalah bersengkang mata .. stress la.. Mcm mana?.. Harta tak bertimbun jugak.. Kalau boleh tak nak wat keje sampai malam.. tapi kalau x buat lagilah tak bahagia asyik dalam ketakutan sebab keje x siap2 ..Lagi sengsara .. makan tak kenyang /mandi tak basah/tidur x lena.. Bahagia derita.. i don’t know.. bestlah kalau badan kita banyak horman tenang, aman.. walau datang segala stress tenang dan chill..tak perlu resah, gelisah.. tension..

    Lagi satu kalau keje x sungguh-sungguh, x sanggup sacrifice masa dan tenaga.. nanti dikata perkerja yang tak cemerlang pulak.. entahler.. Memang banyak dugaan untuk mengisi sesuap nasi dalam perut..Itulah akhirnya kita berharap semoga Allah permudahkan dan beri jalan keluar kerana semua yang susah mudah bagiNya..

     
  7. Saborjelah

    29 Oktober 2010 at 2:30 pm

    Ustaz..

    Percanggahan antara mazhab ni kadangkala memeningkan orang yang bukan dalam ahlinya. Tu yang menimbulkan krisis dan polemik? Yelah dah biasa dengan mazhab A yg kata perkara sedemikian boleh dilakukan.. tetiba mazhab b kata bidaah.. eh mcm mana pulak tu.. takkanlah nak baca yassin malam jumaat pun bidaah. banyak membaca al quran kan bagus.. bila ckp mcm tu lagi orang terus tinggal.. so i dont get it la..But i dont bother sangat..

    Cuma saya hanya rasa hairan kenapa perbezaan mazhab di indonesia dan malaysia begitu beza.. especially tentang halal haram.. contohnya bagi mereka di sana binatang yang halal boleh dimakan walaupun tidak di sembelih. Dan boleh makan makanan yang disembelih oleh ahli kitab. And if pergi oversea boleh makan makanan yang bercampur dengan makanan yang tidak halal?

    Selepas kedatangan nabi muhamad dan islam masih ada lagi ke golongan yang dikatakan ahli kitab.. Bukankah lebih betul if ahli kitab ni masuk islam dan mengaku nabi muhamad itu nabi akhir zaman?

    Juga kekeliruan mengenai fatwa.. Mengenai kopi newark dari najis binatang.. haram oleh fatwa malaysia dan halal oleh fatwa di Indonesia?
    Kalau orang nak berbalah ini pun boleh jadi krisis.. but then what’s the point? Hormat jelah fatwa indonesia.. dan indonesia sila hormat je lah fatwa Malaysia..

    But to wrap it up.. manusia sentiasa akan bermusuhan/berselisihan/berkrisisan.. it will never end.. becoz pendapat berbeza-beza.. kehendak dan rasa juga berbeza..

     
  8. Saborjelah

    29 Oktober 2010 at 2:52 pm

    Oh ya ustaz..

    saya mengomen banyak pulak ari ni.. takpe ye ustaz.. yang ni tentang pura-pura pulak.. kadang-kadang kita sedih ada byk masalah, rasa nak nangis.. tapi tak kan kita nak tunjuk muka kita sedih, tak happy, tak ceria, nanti kang orang kata kita monyok (ha lagilah sedih..malu).. Nak x nak terpaksalah pura-pura ..terpaksalah pakai topeng ceria dan senyum sedangkan dalam hati air mata lebat je nak keluar.. kadang-kadang pura-pura lebih baik..elakkan orang mengata, elakkan terima komen yang menghiris jiwa..

    Sebabnya jika ada pekung didada dan tak tutup dengan baju.. orang sedap je nak mengutuk mengata menyampai berita.. bertiup sana sini lelama singgah kat telinga kita, lukalah lagi hati .. luka yang sebelum ni tak baik lagi..bertambah lagi..

    well life is not an easy straight foward.. dan betullah hebat mana manusia pasti memerlukan pertolongan tuhan untuk mengamankan seketul daging di dalam dada..There is no such thing that manusia tu hebat sangat.. walau apa ciptaan wonder yang dia boleh buat dan capai lam hidup.. akhirnya tersungkur dan menemui sang pencipta yang maha kuasa..

    well i wonder how if we have hati yg putih bersih.. berkilau .. datanglah segala ribut melanda.. always on the right path takan tersasar..

    but we as hamba yang biasa-biasa ni.. pasti akan tersasar perkiraan/persangkaan/tingkahlaku bila berdepan dengan situasi yang menyedihkan/mengecewakan/malang .. itu tindak balas biasa dari hamba allah yang biasa-biasa.. mcm saya dan mungkin dua tiga org lain..

    Luahan perlu juga..untuk mengurangkan beban didada. dalam peluahan tu mesti ada some buruk sangka, perluahan rasa kecewa, perluahan pemikiran negatif..nak wat camne kita manusia biasa.. Itulah bahagialah orang yang jiwanya aman je 24 jm.. but hati sentiasa berbolak dalik.. adaker orang yg aman 24/7/365 till death? Untungnyaaa..

    Tulah istighfar je lah banyak-banyak.. semoga allah mudah perjalanan hidup dan semoga allah luluskan kita dalam menempuh ujian hidup..

     
  9. ummi

    29 Oktober 2010 at 5:16 pm

    salam ustaz,
    Buku “nota hati seorang lelaki”, baru saja habis dibaca. terima kasih atas perkongsian ini..wlaupun dah baca 2 kali.. tulisan ustaz jarang yang mengecewakan..buku-buku ustaz juga.. menunggu kedtangan buku yg terbaru..saya setuju dgn saudara/i saborjelah..berkenaan dengn komen yg terakhir ..tak akan kita nak pura2 buat gembira walhal dalam hati tengah berkecamuk sedih pilu sayu gundah macam2 ada. Macam mana tu ustaz?..Orang kata walau sedih mcmana sekalipun kita kena sentiasa ceria bila jumpa dengan org, tak perlu pamerkan kesedihan itu..tapi kita tengah betul2 sedih..tak boleh nak senyum nak buat lawak or nak gelak kawan buat lawak..mcm mana nak atasi masalah ni..penat dah asyik berpura2 depan org…(hati tengah sedih ni..rasa tak mampu dah nak menanggungnya)..
    maaf ustaz, berkongsi cerita dgn saudara/i Saborjelah..

     
  10. anasyahidah

    29 Oktober 2010 at 10:37 pm

    Syukran ustaz, ana mohon share ustad

     
  11. hamba

    30 Oktober 2010 at 7:56 am

    Berlapang dada..itu sebaiknya..di samping cuba memahami dan bertoleransi dengan perbezaan yang timbul.Pendapat ana, kita sering kali terpisah dalam menemukan titik persamaan adalah kerana kurangnya HIKMAH dalam perbincangan MALAH yang dicari adalah keMENANGan terhadap pegangan sendiri semata….tanpa kita sedar, kita menjauh dari berSATU…

     
  12. Nur adrenalin

    30 Oktober 2010 at 8:23 am

    1) bukan sedikit kita jumpa ppuan yg mengungkit pengorbanan yg dilakukan sbg isteri & ibu. Syg sungguh… pd waktu dia berkata begitu, segala amal perbuatannya menjadi sia2 sahaja..tiada pahala diperolehi hanya penat saja… Hatinya penuh sifat2 mazmumah ~ punca mengungkit & tak puas hati… ppuan kena bijak & sentiasa kreatif utk mcari jln spy suami mrk mhargai mrk… Mulakan dgn mhargai suami dahulu… (utk ndpt cinta, kita kena mberi cinta, utk difahami, kita harus memahami dahulu, semai benih dulu kmdian blh tuai hasil)… baca sirah Rasullullah @ buku “7 habits for highly effective people” by Dr Steven Covey
    2) Kbanyakan isteri rajin bertanya bila mrk ada masalah bbanding suami yg suka pendam. Tetapi kbanyakan isteri juga sukar terima & amalkan cara pnyelesaian yg diberi oleh pakar rujuk mrk krn mrk susah berubah (change/transform) & akhirnya kekal dgn sifat biasa. Org lelaki pula mudah menerima & mlakukan changes secara senyap apb menerima input baru. Kebijaksanaan isteri diperlukan menangani masalah bila “memahami” karektor suami masing2. Kbanyakan isteri bmasalah selalu mdabik dada mdakwa mrk faham sgt perangai suami mrk tapi sebenarnya tidak. Kalu mrk faham mrk juga tau cara menanganinya.
    3) Ini benar krn lelaki dilahirkan lebih bijak & lebih byk beramal bbanding ppuan. 1 org saksi lelaki = 2 saksi ppuan, org lelaki juga tidak ada sebab utk tinggal solat 5 kali sehari bbanding ppuan yg “off” seminggu setiap bulan.
    4) Isteri selalu salah tanggapan bhw suami tu hak & milik mrk. Sedangkan suami, isteri, anak, ibu bapa, kta semua milik Allah.. Kita cuma diberi pinjam sja didunia ini. Begitu juga harta yg dimiliki bkn kita punya, kita cuma pmegang amanah sahaja. maka uruskan dgn berhemah & bijak. “Suami milik kita bila berada di rumah kta, apabila suami melangkah keluar dari pintu rumah utk urusan dunia mcari rezeki dsbgnya, kita tidak lagi memilikinya”. Doakan saja suami selamat pulang semula ke rumah apb selesai urusannya diluar rumah. Kita tak mampu nak halang suami dr menipu, “flirting” dsb krn wlaupun ketika suami “bersama tidur sebantal dgn kita”, kita tak tau dia mungkin mbayangkn kita adalah org lain.Hati, imaginasi, keikhlasan suami kita tak tau. Yang tau hanya Allah, maka mohonlah & berpautlah pd Allah sentiasa….

     
  13. Nisha

    30 Oktober 2010 at 10:02 am

    Assalamualaikum semua,
    Dah lama tak mengomen kat blog ustaz ni. Tapi tak pernah lupa berkunjung.
    Dek kerana komen dari “saborjelah”, tergerak hati ni nak menulis sesuatu. Saborjelah, kita serupa tapi kita kena usaha sendiri mencari jawapannya dan berusaha mengatasinya. Itulah “perjuangan” namanya.
    Perbanyakkan mendekatkan diri dengan Allah dengan banyak membaca Quran, menuntut ilmu agama dan pelbagai lagi yang berkaitan dengan Islam. Tapi kalau setakat 2/3 hari, atau 2/3 bulan atau 2/3 tahun kita buat, rasanya masih tak berjumpa jawapannya.

    Lagilah akan kita kata, ” tak rasa apa-apapun, tambah teruk lagi adalah”.

    Kalau pergi kelas agama dan kita utarakan masalah kita, pas tu ustaz/zah beri jawapan yang rasanya tak boleh kita terima. Selalunya akan kita cakap dalam hati, “Ustaz/zah tak rasa bolehlah cakap, dah rasa baru tahu susah atau senangnya”.

    Jadi kena sabar dan teruskan dengan perjuangan kita mencari keredhaan Allah. Kalau dah tahu dan berjumpa jawapannya pun bukan bermakna kita tak de masalah. Masalahnya mungkin lebih besar lagi tapi yang pastinya kita boleh bertenang dengan ujian dan dugaan.

    Semua orang pasti ada dugaan dan ujiannya cuma berbeza cara dan keadaan, mungkin juga keberatan. Semuanya ada hikmah dan rahmah di sebaliknya.

    TERUSKAN PERJUANGAN DEMI MERAIH CINTA ALLAH UNTUK KEHIDUPAN KITA YANG LEBIH PANJANG.

    Wallahua’lam.

     
  14. Nur adrenalin

    30 Oktober 2010 at 10:48 am

    Kekuatan “KepadaMu ku berserah”, cerita diambil dari kisah benar terjadi kpd kakak saya (dipetik dari blog generasisailan.blogspot.com) utk dikongsi bersama.

    Saya singkap2 diari/catatan lama, jumpa cerita ni yg bule juga dikongsi:

    3/1/2008;

    Kira2 9.30 pagi ke Pejabat Tanah nak bayar cukai. Mak oii ramainya orang. Jam 11.00 belum tentu selesai. Pulak tu saya ada urusan agak penting di tempat lain kira2 jam 10.30. Macam mana ni!!
    Dlm hati berdoa: “Ya Allah! beri lah aku jalan. Robbi Yassir Wala Tu ‘Assir Yaa Kariim..”

    Kemudian saya berbual2 dgn beberapa org lelaki yg lebih muda yg berhampiran dgn membahasakan diri ‘kak’. Salah seorg berkata “Kak bule minta tolong org yg nombor dekat, seorang bule bayar sampai 5 bil” . Sy jawab: “kak segan lah”.
    Dia jawab: “Tak pe, saya ni dah cukup 5 bil, klu tak saya bule tolong akak”. Baiknya!

    Lepas tu saya senyum kat seorg wanita Melayu yg agak jauh, berbual2 & kemudian tanya no giliran dia. Nombornya nak dekat!! Dia bersetuju menolong bayarkan bil saya.

    Kemudian, entah kenapa tergerak hati nak menanyakan wanita Cina di sebelah kami. No giliran dia lama lagi. Saya pun cadangkan wanita Melayu tu tolong bayarkan bil Cina tu. (1 Malaysia..hihi..) Alhamdulillah dia bersetuju. Tapi wanita Cina tu gunakan cek pula.

    Last2, ini le hasilnya: Yang tukang bayar si Cina tu, guna nombor giliran wanita Melayu tu, saya pula? Tumpang semangkuk kerana mencadangkan (banyak mulut..peramah le tu..)
    Betapa cantiknya perancangan Allah yg ku panjatkan doa padaNya . Tak sampai 1/2 jam urusan selesai.

     
  15. ramsiah

    30 Oktober 2010 at 5:47 pm

    salam tuan,
    hanya dengan mengingati Allah, hati-hati akan menjadi tenang. Malangnya inilah yang sukar kerana ada kalanya dlm solat juga kita tidak kusyhuk ingat Allah tambahan pula di luar solat. Certain things are easier said than done. Semoga kita sama-sama dapat terus bermujahadah, kerana seperti kata tuan mujahadah itu pahit(sukar) namun hasilnya(syurga) itu manis.

     
  16. Furqan

    31 Oktober 2010 at 2:13 pm

    Salam Ustaz Pahrol Mohd Juoi,

    Ana dengan rasa kerdilnya ingin meminta kebenaran Ustaz untuk berkongsi entri ini bersama rakan/sahabat/umat manusia yang lain ya.

    Syukran Jaziran Ustaz.

     
  17. Norman Fat-hium

    31 Oktober 2010 at 8:27 pm

    Alhamdullilah>>fat-hi faham ^^…

     
  18. humairazulkarnain

    1 November 2010 at 11:17 am

    Assalamualaikumwbh Uzstaz, saya mohon kongsikan penulisan ini. Syukran wa jazakallah.

     
  19. Hamba Allah

    1 November 2010 at 11:52 am

    hati yang berbolak-balik, tapi masih kukuh bersandar pada janji Ilahi insyaAllah sentiasa dalam ketenangan.
    Ambillah dugaan itu sebagai pengajaran. Jika tiada perubahan pada kehidupan tentunya ‘niat’ kita bermasalah.

    Terima Kasih Ustaz kerana share tentang Mazhab King Midas. Ironi yg mudah tapi sangat berkesan. Semoga terus dapat memberi ilham dan tunjuk ajar dalam memperkenalkan tauhid Ilahi yg indah ini.

     
  20. armadrafar

    2 November 2010 at 10:54 am

    sifat berpuak-puak menyebabkan islam semakin lemah…
    semoga turun nya Mahdi pemimpin seluruh umat…

     
  21. Salam

    2 November 2010 at 11:45 am

    Sikap mementingkan kebandaan seperti King Midas yang menular di kalangan masyarakat ini adalah hasil dari didikan penjajah bermula dari ratusan tahun dahulu.
    Nilai murni yang di ajarkan oleh Islam telah sedikit demi sedikit hilang dari jiwa ummatnya sehingga gagal untuk menilai sesuatu perkara mengikut landasan yang benar iaitu Al-Quran dan Sunnah.
    Sangat membimbangkan kini adalah dengan kemunculan teknologi canggih yang di pelopori Barat, di khuatiri akan lebih membawa kerosakan akidah dan nilai murni umat Islam secara keseluruhan. Wallua’lam.

     
  22. Hafriz

    2 November 2010 at 2:20 pm

    Semoga di sana ada penyatuan…

     
  23. theufo

    3 November 2010 at 3:48 pm

    slm, ustaz..
    terima kasih dengan artikel tersebut, kite selalu lupa diri dengan kebendaan duniawi sehingga lupa kepada tanggungjawab kite yg utama..

     
  24. AHLITAFQIR

    4 November 2010 at 4:26 pm

    salam..
    ustaz, ana mtkizin copy artikel ini..
    harap dihalalkan semuanya..

     
  25. Taufiq Razif

    11 November 2010 at 11:06 am

    indahnya dunia andai ilmu dan kata-kata mampu diubah menjadi perbuatan yang nyata..ayuh sama-sama jadikan diri kita kata-kata kepada dunia..

     
  26. elil husna

    29 Disember 2010 at 3:17 pm

    ustaz sy mohon izin untk b’kongsi artikel ini dgn rakan2 sy ye,sbgai suatu pkngsian dan pngjaran untk masing kite smsama umat islam….
    (:

     

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: