RSS

DATIN OH DATIN!

28 Sep

Minggu ini ada terasa ingin rehatkan pemikiran pembaca dan saya dengan sesuatu yang santai. Insya-Allah, mingggu depan kita boleh berkongsi satu kertas kerja yang telah saya bentangkan pada hujung minggu lalu – DAKWAH KONTEMPORARI DAN CABARANNYA di USIM.

Cerpen Datin Oh Datin ini juga saya tulis lebih 20 tahun yang lalu. Latar dan settingnya, dah lama. Sudah tidak sesuai lagi pada masakini. Dan ketika menulis pun usia saya  masih dalam lingkungkan 20 ‘an. Masih terlalu mentah dan emosi. Tetapi saya ketengahkan juga… mudah-mudahan boleh dijadikan aspirasi dan insprasi baru untuk generasi muda. Pesan saya cuma satu: TUAKAN FIKIRAN ANDA!

DATIN OH DATIN!

Bangun pagi hari itu,Datin Mazidah riang sahaja.Mak Mah dapat melihat jelas kegembiraan itu dari wajah Datin yang berumur awal lima puluhan. Riak-riak gembira membuak-buak, terpancar melalui senyuman yang sentiansa menguntum di bibir bersalut gincu itu. Datin masih dibuai-buai bangga kerana kemampuan dan sanjungan yang diterimanya di Seminar Wanita Kebangsaan dua hari yang lalu. Nama dan isi ucapannya masih diulas di akhbar-akhbar tempatan pagi itu. Dengan teks ucapan yang disiapkan berhari-hari di pejabat eksekutifnya, Datin berjaya memukau para peserta dengan hujah dan pandangan yang serba advance.

Datinlah Women Of The Day pada hari itu. Dari mulut merah menyalanya bersembur butir-butir kata yang mebayangkan dialah yang paling alim dengan segala firman dan hadis, segala falsafah dan pendapat. Perasaan bangga, hebat dan seronok terus membunga dalam diri Datin Mazidah, tokoh dinamik terkenal, contoh wanita yang progresif dan dinamik.
“Mak Mah, tolong tengok-tengokkan makan Suzie.Jangan biarkan dia keluar rumah,”arah Datin kepada orang gajinya.
“Baik Mak Encik,”sahut Mak Mah pendek.
“Saya ada seminar penting tengahari ini.Mungkin sampai malam baru saya balik. Jika Datuk balik,suruh makan sendiri. Jangan tunggu saya.”

Mak Mah angguk. Patuh. Arahan itu dah lali didengarnya pagi demi pagi. Istilah seminar, simposium, kursus, kolakium dan lain-lain program Datin memang sudah basah di telinga Mak Mah. Cuma erti dan maknanya sahaja yang tak pernah difahaminya. Memang dia tak pernah ambil tahu. Mak Mah wanita kolot, orang gaji yang dunianya di celah sempit dapur. Lainlah Datin Mazidah,pemimpin wanita maju yang terbang dari gawang ke gawang. Bergelanggang dalam dunianya yang maha luas.

Kucing Parsi kesayangannya datang mengelus-ngelus hujung kakinya.
“Tinggal dulu Suzie sayang!Main baik-baik.”
Suzielah buah hatinya. Satu-satu yang masih menambat hatinya di rumah. Makan minum Suzie dan sakit demam Suzie lebih dijaganya daripada makan-minum, sakit demam Datuk Murad. Anak-anak dah besar-besar. Sheril dah berumahtangga. Shassa pun begitu. Hanya Dila dan Didi sahaja masih menuntut di luar negera. Datuk Murad? Ah,apa tahunya…Dia dah tua. Datuk hanya mampu menggongong batang-batang kayu golf pagi dan petang. Nak bekerja? Datuk Murad tak larat lagi. Dah pencen.

Datin Mazidah menuju ke bilik tidur terus membuka almari pakaiannya. Mana satu patut dipilih untuk sesuai dengan mood dan taraf majlis yang dihadirinya nanti? Kepala Datin ligat berfikir sambil memerhatikan deretan bajunya yang berbagai fesyen,berwarna-warni dan berbagai-bagai gaya. Dari fesyen Lady D hinggalah fesyen tradisional Cik Siti Wan Kembang atau baju lagenda Puteri Saadong.Almari baju Datin punya ratusan fesyen Timur dan Barat. Dari budaya Timur Jauh hinggalah ke pakaian Barat dan Timur Tengah.Itulah sarung sesumpah untuk menyalut tubuh anggunnya demi menjelmakan berbagai watak. Watak Timur…pilih baju kurung atau kebaya.ke majlis Maulidin Nabi…tentu jubah Mesir atau kain kerudung Indonesianya.

Kalau ada ball dan tari-menari,Datin akan muncul fesyen Joan Collins atau Linda Gray dalam filem Dynasty dan Dallas. Waktu itu Datin Mazidah akan jadi orang Barat pula dengan pakaian yang paling up-to-date. Wah!Hebat Datin Mazidah.Pandai menyesuaikan diri.Masuk kandang kambing,jadi kambing. Masuk kandang lembu…dia mengemboh macam lembu.

Datin Mazidah sudah siap. Bedak-bedak biru ,hijau,merah dan berbagai warna sudah menempel-nempel pada wajahnya. Bulu kening palsunya lentik macam penyabit rumput tukang kebunnya.Wangi-wangian Christian Diornya mengaum hebat hingga Mak Mah di dapur pun tercium keharumannya.

“Pergi dulu Mak Mah. Jangan lupa Suzie,ingat pesan saya pada Datuk.Dan kalau ada orang telefon katakana saya menghadiri ‘Simposium Wanita Dunia Ketiga’di Continental Hotel KL.”
“Baik, Datin,”jawab Mak Mah walaupun lidahnya hampir tergeliat kalau nak menyebut nama Continental tu nanti.

Entahlah, ketika di kampung dulu orang jadi geli-geleman bila disebut nama hotel.Terasa macam ada sesuatu yang jahat dan buruk bila menyebutnya. Hati tua Mak Mah masih curiga dengan sesuatu yang baru dan moden. Dia masih mengekal ciri-ciri tradisional dalam hidupnya. Padanya yang moden penuh palsu dan pura-pura. Tak percaya? Lihatlah bedak,eye shadow dan rough yang terpalit di wajah Datin.Nampak dari jauh cantik. Dari dekat…Eiii, ngeri!  

Deruman BMW 732i menderu keluar dari pintu pagar banglo di atas Bukit Permai itu dengan Datin Mazidah tersandar mengembangkan dada di sebelah kiri belakang pemandunya.Kereta megah memecut gagah membelah pagi menuju pejabat Datin di tengah Kota KL.
“Selamat pagi Datin.”
“Selamat sejahtera Datin.”

Itulah muqadimah kata yang meluncur dari mulut kakitangannya sebaik sahaja Datin melangkah masuk ke pejabat. Datin senyum-senyum. Pejabatnya berseri dan bersih. Cantik digilap oleh budak pejabatnya-seorang lelaki staf. Staf-staf lelaki lain tunduk.Semua hormat kepadanya-seorang pemimpin wanita.
“Siapa kata perempuan tak boleh memimpin. Tengok aku mentadbir. Lelaki pun tunduk akan kewibawaanku dan kredibilitiku. Jangankan lulusan SPM dan diploma, lelaki yang berijazah pun tak mampu menandingiku!” Kembang- kuncup perasaan Datin Mazidah bila mengenangkan kejayaannya. Kejayaan yang bukan sahaja diiktiraf ramai orang dengan Anugerah “Tokoh Profesional Wanita Terbaik”,yang diterimanya tahun lalu.

“Datin,ini teks ucapan Datin pada hari ini. Segala pembetulan dan tambahan yang Datin minta telah saya masukkan,”kata Mariam,setiausaha peribadinya. Datin Mazidah mengerut keningnya sambil meneliti kertas bertaip rapi yang telah diletakkan di atas mejanya.

Datin Mazidah dijangka memberi teks ucapan pentingnya dalam simposium kali ini. Teks ucapannya bertajuk ‘Peranan Wanita Dunia Ketiga: Cabaran dan Halangan’ itu akan berlangsung di Dewan Prima Hotel Continental petang nanti. Pemimpin wanita dari pelbagai badan dan kelab dari negara-negara dunia ketiga telah berhimpun di KL untuk menghadiri simposium itu dalam rangka mengubah putaran roda sejarah ke arah menonjolkan wanita sebagai tenaga yang efektif dan berkualiti sebagai agen pembangunan. Gah bunyinya kan? Dan Datin punya sebab yang solid untuk berbangga kerana dia dipilih sebagai pembicara utama yang ucapannya akan dijadikan ‘lead’ dalam simposium tiga hari itu.

Datin Mazidah telah mengharumkan nama negara. Bahkan jika kena gayanya Datin Mazidahlah akan mampu menjadi ketua negara wanita seperti Cory Aquino di Filipina, Margaret Thatcher di Britain atau macam mediang Indira Ghandi di India atau Benazir Butto di Pakistan.

“Saya rasa para ini perlu dikuatkan. Nanti saya baca…” kata Datin Mazidah sebaik meneliti teks ucapan yang telah tersedia itu. “…Wanita dunia ketiga harus membebaskan diri dari kepercayaan dogmatik dan orthodoks yang mengongkong mereka sama ada yang datang dari adat resam timur ataupun kepercayaan agama yang sempit…”patah-patah ayat terluncur dari mulut wanita ini bila membaca kembali ucapannya.
“Ucapan ini masih kabur dan perlu diberi contoh. Mariam, sila catit…”Datin mengarah.

Mariam, setiausha sulitnya membetulkan tempat duduk serta mengirai-ngirai rambut perangnya yang dicelup ala Farah Fawcett. Cuma sayang…hidungnnya tetap pesek, macam pelepah kelapa seperti kebanyakan orang Melayu.
“Ya, saya sedia Datin.”
“Tambah begini.Wanita mesti bergelanggang dan gigih bersaing dengan lelaki di setiap bidang sama ada di bidang keintelektualan mahupun di bidang professional.Wanita dunia ketiga mesti berani menceburi bidang-bidang baru seperti wanita Barat. Lima atau sepuluh tahun lagi kita mesti melahirkan wanita yang mampu memandu kapal terbang, menjadi pemimpin negara ,menjadi ketua–ketua dalam bidang journalist, tokoh koprat dan perniagaan besar-besaran dan lain-lain bidang yang selama ini dimonopoli oleh orang lelaki. Kita mesti siap dicabar dan mencabar. Jangan terperuk lagi di rumah, dibelit kepercayaan tradisi dan kuno yang sudah lapuk. Bebaskan diri dari diikat oleh fesyen-fesyen pakaian yang mengganggu keaktifan bekerja yang diwarisi dari padang pasir…”

Mariam tergesa-gesa mencatit. Mulut merah Datin terkumat-kamit selaju goresan pen Mariam. Datin menyambung lagi, “Apakah kita mahu mempertahankan fesyen-fesyen itu ketika wanita-wanita Arab telah pun membukanya? Jangan menjadi hamba lelaki ‘chauvinistic’. Jangan biarkan kita menjadi alat pemuas nafsu lelaki semata-mata dengan merelakan diri untuk dipoligami…pertahankan hak kita.Kita wanita dilahirkan untuk bebas menikmati udara kemajuan dan kebahagiaan!” suara Datin mazidah lantang dan bersemangat sehingga lupa bahawa dia sebenarnya sedang berdepan dengan Mariam dalam pejabatnya bukan para peserta simposium di Dewan Prima.

Mariam mencatit terus walaupun dalam hatinya lucu bagai digeletek melihat muka tua Datinnya yang bersalut bedak dan gincu mengacung-acungkan tangan macam watak artis bangsawan Cina di pentas terbuka.
“Macam mana,bernas tak?”Datin Mazidah menyoal.
“Bernas, bernas sungguh!”kata Mariam seperti mengepam belon, melambung-lambung ego majikannya terawang-awang. Datin Mazidah puas hati dan terus menyemak para demi para dan akhirnya berhenti pada ayat terakhir.

Menunggu tibanya pukul dua petang hari itu sangat menjemukan. Tidak sabar hati datin dibuatnya. Betul kata orang; penantian itu satu penyiksaan. Manusia memang tidak sabar menunggu saat-saat untuk dijulang ke puncak megah.Inilah rasa hati Datin Mazidah semasa menghabiskan masa dengan kerja-kerja rutin di pejabatnya hari itu. Bayang-bayang wajah Datuk Murad langsung tak terlintas dalam kepalanya.

Bagaimana suaminya pulang ke rumah dengan wajah lesu dan letih akibat menghayun batang golf macam petani menghayun tajak di sawah. Bezanya petani membersihkan tanah untuk menanam padi. Datuk Murad terkial-kial memasukkan bola sebiji ke dalam lubang bagi mematuhi nasihat doktor untuk penawar sakit darah tingginya.

Tidak terlintas dalam fikiran Datin Mazidah bagaimana Datuk Murad mendambakan kasih dari seorang isteri. Kasihnya dan keinginan untuk mendapat belaian kasih sayang. Kulit boleh kendur kerana ia adalah soal lahiriah. Tetapi kasih adalah soal rasa, soal jiwa yang tak akan luntur jika pandai membelainya. Namun Datin Mazidah mengecewakan. Gelagat Datin Mazidah leka dengan kepimpinan dan aktiviti sosialnya menghancurkan gunung cinta yang terbina selama ini.

Bayangkan, sudah sepuluh tahun dia merasa kesepian. Yakni semenjak Datin Mazidah membina karier dari seorang AJK persatuan wanita sehinggalah sekarang sebagai tokoh besar dan pemimpin wanita tanah air. Hati tuanya menangis, namun tidak pernah bersuara. Arah dan bentak isterinya sahaja yang kerap meresap ke ulu hati.

® ® ® ®

Pukul dua.

Semangat Datin Mazidah terbakar.Sekali lagi BMWnya membalah hiruk-pikuk kota menuju destinasi idaman para pemimpin wanita yang akan membuahkan berbagai resolusi dan ketetapan yang bakal memeningkan kaum lelaki.Majlis bermula,gemuruh dengan tepukan–tepukan hangat. Datin Mazidah disambut meriah dan diberi posisi khas yang layak atas kedudukannya yang sangat penting.Kata-kata aluan tamat. Pengerusi naik ke pentas semula. Dan kini tibalah masanya Datin Mazidah, M,(Sociology) di Harvard untuk meletupkan kata-katanya. Butir-butir ucapan dalam Bahasa Inggeris yang fasih itu akan tersembur sebentar lagi.

“Kaum wanita! Bangunlah! Kita jangan biarkan lelaki terus memonopoli semua bidang.Rebutlah segala bidang.Rebutlah segala peluang. Di setiap kejayaan lelaki mesti dibayangi oleh seorang wanita.J adi apa gunanya kita terus menjadi bayang-bayang. Sebodoh-bodoh wanita boleh memperdayakan sepandai-pandai lelaki. Kalau begitu kuasa wanita pandai tentu lebih hebat, lebih kuat.”
Bunyi tepukan bergema.Hati Datin Mazidah kembang.

Dia langsung tidak ingat mungkin di rumah Datuk Murad sedang menghadapi makan tengahari tanpa dilayan sesiapa. Tanpa dapat menceritakan bagaimana kepalanya bagai diketuk-ketuk oleh penyakit darah tingginya.
Ucapan Datin Mazidah berubah arah. Topik ucapan berubah arah.T opik ucapan beralih kepada soal ekonomi.
“Dalam bidang industri dan perdagangan kaum wanita mesti menjadi penggerak dan perancang. Tenaga dan fikiran wanita perlu dalam bidang industri berat, teknologi mesin, sains pemakanan, bahan-bahan elektronik sehinggalah kraftangan. Berani menyumbangkan hasil barangan tempatan untuk dieksport dan bersaing dengan hasil barangan dari negara-negara maju.Namun semuanya bermula dari kita. Kita mesti membeli barangan tempatan terlebih dulu,”sembur Datin Mazidah bertalu-talu.

Mariam yang berambut perang tersenyum di celah tepukan gemuruh orang ramai. Dia terbayang apa yang dilihatnya sewaktu ke banglo Datin ketika ada sesuatu majlis. Kerusi mewah yang menghiasi ruang tamu banglo Datin diperbuat daripada kayu mahogany tempahan Kanada. Kusyen empuk tempat Datin dan tetamunya melabuh punggung dari jenis yang terbaik diimport dari Denmark. Fesyen-fesyen baju up-to-date Datin jangan dikatakan lagi…semuanya diimport dari Perancis. Mungkin belacan kegemaran Datuk Murad sahaja buatan anak tempatan. Itu pun sebab tidak ada belacan Made in England, kalau tidak belum tentu dibelinya belacan tempatan.

“Kaum wanita jangan jadi khemah bergerak. Berpakaianlah mengikut trend yang ada, asalkan sesuai dengan karier masing-masing. Jangan wanita dikurung di rumah,ini membazir tenaga!” selar Datin Mazidah terus menerus.

Tamat. Ucapan berakhir dan tepukan tangan sekali lagi bergema. Kini,tetamu-tetamu ke hormat bergerak meninggalkan dewan syarahan menuju dewan jamuan. Muka tua Datin dijilat-jilat flash kamera. Rantai emas dengan buah intan berlian menghias lehernya jadi berkilau-kilau. Rambut Datin yang dihias dua tiga jam sejak semalam mula jadi tumpuan. Datin dikerumuni orang. Dan mereka terus mengeruminya ketika ia bergerak ke meja jamuan.

Ketika itulah Pak Mamat pemandu Datin Mazidah menyelit dengan penuh takzim di celah-celah tetamu menuju majikannya. Melalui ketua protokol ia meminta Datin bertemunya di satu sudut dalam dewan jamuan itu.
“Ada apa?”Tanya Datin Mazidah,kurang senang kerana diganggu di tengah tokoh-tokoh wanita yang mengeruminya.

“Ada hal penting, Datin. Mari kita ke belakang sekejap,”rayu Pak Mamat.
Ketika sampai di tempat yang agak terpencil, Pak Mamat bersuara, “Datin,…er…er…Datuk Murad…”
“Kenapa? Kenapa?”Tanya Datin lagi.Tak sabar.
“Datuk kahwin.Datuk dah kahwin.Datuk kahwin lagi!”
“Apa???” meletus suara Datin Mazidah terkejut.

Mata Datin Mazidah berkunang-kunang.Tak sangka dalam diam-diam suaminya atur strategi.Datin macam nak menjerit tapi suaranya tertahan.Dia terhuyung-hayang.Semua tetamu terkejut dan hairan melihat Datin Mazidah dipapah oleh Pak Mamat keluar dari dewan jamuan.
Tidak sangka, tak padan, dalam sakit-sakitnya diam-diam Datuk Murad mengatur dan bertindak melaksanakan strateginya.

Kasihan…Datin…Oh…Datin.

 
38 Komen

Posted by di 28 September 2010 in Kemudi Hati

 

Label: , , , ,

38 responses to “DATIN OH DATIN!

  1. mnaz

    28 September 2010 at 8:52 am

    Salam ustaz,

    Anti klimaks betul Pak Mamat tu. Mcm tak de masa lain nk sampaikan berita pasal Datuk. Apapun, w/pun persekitarannya dh lebih 20 thn, ceritanya masih relevan dgn suasana semasa. Terasa santai sebentar.

     
  2. azman abdillah

    28 September 2010 at 12:39 pm

    Ust,apa yg datin tu kehendaki dan perjuangkan 20 thn yg silam kini dah jadi kenyataan: “Wanita dunia ketiga mesti berani menceburi bidang-bidang baru seperti wanita Barat. Lima atau sepuluh tahun lagi kita mesti melahirkan wanita yang mampu memandu kapal terbang, menjadi pemimpin negara ,menjadi ketua–ketua dalam bidang journalist, tokoh koprat dan perniagaan besar-besaran dan lain-lain bidang yang selama ini dimonopoli oleh orang lelaki. Kita mesti siap dicabar dan mencabar. Jangan terperuk lagi di rumah, dibelit kepercayaan tradisi dan kuno yang sudah lapuk. Bebaskan diri dari diikat oleh fesyen-fesyen pakaian yang mengganggu keaktifan bekerja yang diwarisi dari padang pasir…” kenapa jadi sedemikian? dakwah dan tarbiah sudah hilang dimana2,yg ada hanya sekadar kuliah & ceramah yg ala kadar, langsung tidak membawa apa2 faedah dan kesan pada si pendengar. 20 tahun dulu,susah kita nak dengar kes salahlaku,buang bayi,dan pergaulan bebas melampau. tapi kini hasil dari doa dan saranan Datin yg inginkan kebebasan bersuara serta hak sama rata,semua itu sudah menjadi kudis dan nanah yg membusung dlm masyarakat kita. apakah kita masih mau berpeluk tubuh,cukup merasa aman dan tenteram dgn berdakwah ditempat2 yg berhawa dingin dan selesa tanpa perlu memikirkan nasib masyarakat marhain yg gersang dari dakwah & tarbiah islamiyah? mana dia cerpen2 yg membina seperti ini lagi dipersada tanahair. bila kita sudah hilang semangat & kekuatan utk merubah fenomena ini,tunggulah akan tiba masa & ketikanya,anak isteri cucu cicit kita bakal diracuni malah dirosakakan serta dikeronyok oleh dakyah2 musuh Islam yg tidak pernah jemu dan putus asa semacam kita!

     
  3. nur misnan

    28 September 2010 at 12:46 pm

    salam ustaz…
    Datin Oh Datin…
    Pak Mat oh Pak Mat…
    masing2 ada cerita sendiri.. =)

     
  4. Muhammad Qayyum

    28 September 2010 at 4:44 pm

    Cerpen yang sungguh memberi kepuasan hati kepada pembaca kerana pengakhirannya yang ringkas itu dapat memadamkan sakitnya hati melihat kebongkakan seorang datin.

     
  5. bintun amin

    28 September 2010 at 5:14 pm

    salam..
    tak nampak seperti hasil 20 tahun dahulu.. isinya masih relevan.. itu menunjukkan kematangan ustaz ketika itu.. masya Allah., harus mencontohi itu.!

     
  6. wardah

    28 September 2010 at 9:20 pm

    =) bernas n pedas menusuk jiwa gaya bahasanya..isunya masih relevan sampai sekarang..bahkan itulh yg berlaku sekarang..

     
  7. laila

    28 September 2010 at 10:13 pm

    Assalamu`alaikum.

    Cara penulisan ustaz masa skrg & 20 thn dulu sgt lain.
    20thn dulu, penulisan ustaz (berdasarkan cerpen di atas & cerpen2 20 thn lepas) menggambarkan sesorg dgn intonasi bahasa yg ekstrem, keras, dan sinis. Mmg seperti gaya org berdarah muda! Dan cerpen itu juga tak membuatkan saya berfikir dan isinya vertical(kurang mencapah)

    Sekarang, gaya bahasa & intonasi penulisan ustaz sederhana, sindir dgn bahasa yg lembut tp tepat maknanya & sungguh menyentuh hati. Dan yg paling penting, ia membuatkan saya berfikir & muhasabah diri. Alhamdulillah, Allah menemukan saya dgn blog ustaz yg dpt mentarbiyyah diri saya secara tak langsung.

    Bagaimana agaknya penulisan ustaz 20thn akan dtg? Adakah akan berubah lagi?

     
  8. umairahshafei

    29 September 2010 at 3:00 am

    assalamu’alaikum.

    watak yang diwarnai dengan aksesori yang pelbagai saja, sudah cukup untuk menggalas makna tersendiri.

    penuh satira.

    subhanallah.
    syukran, ustaz.

     
  9. Iman

    29 September 2010 at 9:45 am

    Salam,

    Menarik penggunaan ‘sarung sesumpah’. Wanita setinggi mana pun kerja, tidak akan pernah hilang kewajiban terhadap rumahtangga dan syurganya tetap pada redha suami. Kejayaan wanita berbeza dengan lelaki. Kejayaan wanita diukur pada kejayaannya mengurus rumah tangga. Semua garis panduan tentang kewajiban yang Allah berikan kepada seorang ibu, bapa, anak perempuan dan anak lelaki hanyalah untuk kebaikan masing2 dan seluruh dunia jika dipandang dengan hati yang bersih. Namun semua atau kebanyakannya adalah kongkongan dan ketinggalan zaman jika dipandang dengan hawa nafsu.

     
  10. gentarasa

    29 September 2010 at 10:46 am

    Salam laila,
    Wallahua’lam. masihkah saya ada lagi di dunia ini? Ya Allah, kami akan kembali. Semuanya dalam ilmu Mu.

     
  11. Ridhwan Bin Abdullah

    29 September 2010 at 12:01 pm

    Asalamualaikum,
    Kekanda PMJ, Datin yang hampir pengsan itu sudah terkena penyakit ‘batin’ yang hampir 10 tahun dirasai oleh suaminya. Datin oh Datin, kenapa diabaikan makanan ‘batin’ dengan mendahulukan ego ‘kebatinan’ yang ada pada setiap manusia. Allah Maha Mengetahui.

     
  12. aaris

    29 September 2010 at 5:30 pm

    Salam,

    Setuju dengan laila ttg cara penulisan ustaz pahrol dulu dan kini.🙂

     
  13. nur

    29 September 2010 at 8:11 pm

    Assalamualaikum Ustaz,
    Tulisan yang bersahaja dan penuh dgn sindiran, tapi komen ikhlas saya tulisan ustaz 20 tahun selepas tulisan datin oh datin lebih membuat saya berfikir dan selalu membuat saya berfikir, terasa banyaknya yg telah saya abaikan dalam hidup yg singkat ini.
    Betul kata ustaz tak usahkan 20 tahun akan datang, 2 minit selepas inipun blm pasti samada kita ada lagi atau tidak di alam maya ini. Pemergian seseorang yg amat saya kasihi dengan secara tiba-tiba dlm usia yg amat muda amat menginsafkan saya, tidak semestinya yang tua itu akan pergi dulu, bila2 masa sahaja boleh dipanggil pulang. Terima kasih diucapkan untuk artikel bertajuk “Andai dia pergi dulu sebelummu…” keluaran majalah Anis Oct 2009, antara kata2 yang berjaya mententeramkan saya “Jangan ada rasa dimiliki dan jangan ada rasa memiliki”, bermula dari tulisan tersebut, Alhamdulillah saya dipertemukan dengan blog ustaz ini. Terima kasih ustaz untuk setiap ilmu yg disampaikan.

     
  14. mawarlarangan

    30 September 2010 at 12:24 am

    salam ustaz..
    Alhamdulillah, cerita yg santai, tapi penuh dengan makna tersurat dan tersiratyg patut direnungi.
    Walau cmne pun hebatnya wanita itu dlm mengejar kejayaan dan populariti, syurgamu tetap dibawh redha Allah dan suami.

     
  15. nieza

    30 September 2010 at 7:05 am

    salam,
    saya suka membaca karya-karya lama ustaz.. isinya masih relevan dengan dunia sekarang…walau gaya bahasa berbeza.. oh Datin… kasihan padanya.. Datuk kahwin lagi..🙂

     
  16. hatijerneh

    30 September 2010 at 8:06 am

    Salam harmoni;
    Kelakar pulak pila membaca komen pembaca ni yg menulis “Cerpen yang sungguh memberi kepuasan hati kepada pembaca kerana pengakhirannya yang ringkas itu dapat memadamkan sakitnya hati melihat kebongkakan seorang datin.”

    Bukan apa.. adakah puas hati apabila tengok seorang perempuan dipoligamikan??? Adakah dimadukan bermakna “Padan Muka?” .. Dimadukan bermakna “the justice is done?”walaupun benar sakit hati dgn sikapnya… Lagipun tak ditonjolkan pula adakah suaminya seorang yg mithali sebelum ini yg mampu mendidik datin menjadi isteri yg solehah ..

    Yup mmg ada trend sekarang ni kalau geram dgn isteri .. mari kita kawin lain!! hehe.. Maaf bukan marah , hanya terkilan.. walaupun tak tahu kenapa terkilan.. mungkin kerana saya perempuan yg merasakan didikan, bimbingan & kebahagiaan keluarga perlu bermula dr sang suami😉 PEACE!

     
  17. senjakala

    1 Oktober 2010 at 8:50 am

    Salam,
    Saya setuju kesimpulan hatijernih.
    Tapi apapun ini cerpen sahaja dan tulisan ustaz sekarang ini telah banyak membantu wanita untuk tidak menjadi seperti “datin” atau pun untuk transform ciri ciri datin dahulu kepada datin yang lebih relevan beriman dan bertakwa serta menjadi datin solehah disisi Dato masing masing2.
    So saya cadang ustaz boleh tulis satu entri…nota hati seorang Dato.

     
  18. Nik Shikin

    1 Oktober 2010 at 11:06 am

    saya sudah membaca cerpen ini ustaz….saya lupa dlm majalah ape cuma rasanya dlm majalah Muslimah kot….

     
  19. humairah

    1 Oktober 2010 at 3:17 pm

    ustaz, kurang puas la baca cerita ni..

     
  20. Nur adrenalin

    2 Oktober 2010 at 3:14 pm

    Salam ustaz,
    Cite sebegini sudah terlalu klise.. cuba beri idea baru bgm spatutnya seorang Dato soleh & Datin solehah mbawa watak masing2 selaras dgn kehendak Al Quran & Hadis dgn mengambil contoh tauladan dari baginda Rasullullah… Barulah nampk cantik agama islam itu ditunjukkan oleh penganut & pengamalnya… sehingga ttarik org bkn islam kpd islam…

    Teramat bosan ditonjolkan ciri2 Datin yg materialistik, cinta dunia, abai ttgjwb pd rmhtangga & suami & keluarga, yg sombong etc….
    Ending cite mesti dato kawin lain & datin pengsan terkejut… Boringnya…

    Cuba kita ambik konsep reverse psychology @ reverse engineering @ think opposite (yg merupakan salah satu tip dlm KAIZEN di Jepun~ continuous improvement) di mana mungkin ending cite, datin berusaha mengajak dato ke suatu function di mana di situ telah bersedia pak imam & saksi utk menikahkan dato dgn seorng ibu tunggal yg dipilih sendiri oleh datin sbg madunya krn datin tahu dia tak mampu melayan dato krn kesibukan urusan politik @ bisnesnya…
    Alangkah cantiknya ending tersebut ditambah pula dgn skrip disusuli ayat2 quran dlm masa sama mendidik masyarakat spy bukak al-quran serta menyemak surah apa & ayat apa berkaitan isu2 tertentu dlm khidupan…..
    ~ islam is way of life & so beautiful….

     
  21. mizarifai

    4 Oktober 2010 at 4:21 pm

    cerpen ini membuatkan saya tersenyum sendirian..

     
  22. Muhammad Qayyum

    4 Oktober 2010 at 8:19 pm

    Nur adrenalin, dah nama pun cerpen 20 tahun lepas. Memang la klise.

     
  23. cilipadi

    5 Oktober 2010 at 6:25 am

    Asm.Setuju dengan nor adrenaline…Poligami bukan solusi untuk perkahwinan yang sebegini.Jangan jadikan ia escape route untuk suami2 yang pengecut.Rosaklah sesuatu yang sepatutnya indah.Dato tak dapat mendidik seorang isteri,macamana nak didik seorang lagi.Kelayakan untuk mengamal poligami perlu disemak .

     
  24. gentarasa

    5 Oktober 2010 at 10:07 am

    Salam cilipadi,
    Saya setuju. Datuk pun tak betul. Hi, hi. Sampai sekarang, masih banyak berlaku satu kesalahan cuba dibaiki dengan satu kesalahan. Hanya mengusik minda. Insya-Allah, saya akan menulis soal poligami dari hati nanti. Doakan.

     
  25. hanna

    5 Oktober 2010 at 5:25 pm

    Salam semua,
    Walaupun saya adalah seorang isteri dan juga seorang ibu, saya tidak merasakan poligami adalah ancaman kepada wanita/isteri…telah banyak contoh di tempat keje, isteri yang membenarkan suaminya berkahwin lain, dan REDHA dengan ketentuan Ilahi merasa lebih bahagia..menurut rakan2 saya yang menjadi isteri pertama, jika hati redha, insyaallah kemanisan bermadu akan dirasa..
    pada saya, selagi kita masih punyai anak2 dan kerjaya untuk menyara diri dan anak2, seharusnya berkongsi itu tidak perlu dipersoalkan..kalau Allah swt membeanrkan lelaki untuk berkahwin 4, siapa kita untuk menidakkan nya…dan sy menyeru diri saya sendiri agar tidak bersangka buruk kpd Yang Maha Agung…insyaallah..

     
  26. farah liyana

    10 Oktober 2010 at 6:11 pm

    saya setuju dengan kebanyakkan komen

     
  27. kasih abzar

    13 Oktober 2010 at 2:15 pm

    assalamualaikum…
    tahniah ustaz… cerita yang tenang., bersahaja dan tersirat….

     
  28. spirit_soul

    25 Oktober 2010 at 6:08 pm

    setinggi-tinggi kaum wanita dijulang,
    namun tempatnya tetap di sisi seorang suami…
    itulah y perlu disedari oleh setiap kaum isteri

     
  29. Norazimah Akmadis

    26 Oktober 2010 at 9:22 am

    السلام عليكم
    ust…ceritanya menarik.. memang tidak seperti 20 thn yg lalu.. kalau boleh, buar cerita ini dipanjangkan agar sesuai dgn senario masa kini.. nafas baru ust..

     
  30. izan

    4 November 2010 at 7:30 pm

    Salam, cerita yg menarik🙂

     
  31. Taufiq

    7 November 2010 at 11:59 am

    Assalamualaikum w.b.t….
    Bila membaca kisah ni, saya tersenyum sendirian, memikirkan betapa dunia hari ini dapat dilihat secara jelas memalui kisah ini semakin jadi tidak keruan dan berantakan…. Apakah tidaknya, apabila wanita seolah-olah ingin menjadi ‘lelaki’, yang ingin melakukan dan menceburi segala bidang yang dahulunya diceburi dan didominasi oleh kaum lelaki….
    Islam tidak pernah ingin menghalang kaum wanita untuk mencapai kemajuan, malah jauh sekali Islam menganjurkan kaum wanita supaya hanya duduk terperuk di dapur semata…. Islam malah menganjurkan lebih daripada itu…. Namun, realitinya sekarang, kaum wanita yang telah dipengaruhi oleh propaganda-propaganda barat seolah ingin melupakan status mereka sebagai kaum hawa yang dibekalkan oleh Allah s.w.t dengan sifat-sifat kelembutan dan kesopanan…. Kini, bermegah-megah dengan apa yang sebenarnya dikurniakan oleh Allah s.w.t, dan bertindak ingin melebihi kaum lelaki…. Setinggi manapun kedudukan, pangkat dan darjat seorang wanita itu, janganlah pula sampai ia lupa, bahawa semua itu harus untuk disyukuri, bukannya untuk dibangga-banggakan dan untuk bermegah-megah hinggakan timbul sifat riak dan takbur serta kesombongan dalam hati…. Kedudukan, pangkat dan darjat yang dianugerahkan oleh Allah s.w.t itu bukannya sebagai bukti bahawa kini wanita boleh melakukan sesuka hati mereka sesuai dengan arus zaman moden dalam dunia yang melalaikan…. Kerana anugerah Allah s.w.t pada hambanya itu boleh jatuh kepada dua keadaan, yakni nikmat dan rahmat-Nya kepada para hamba-Nya, dan juga merupakan ujian kepada para hamba-hambaNya, sama ada disyukuri atau tidak akan nikmat yang telah dianugerahkan itu….
    Kepada para wanita di luar sana, atau yang terbaca komen ini, ingatlah….
    Bahawa kedudukan, pangkat dan darjat tinggi yang dianugerahkan oleh Allah s.w.t itu bukannya sebagai satu jalan untuk bermegah-megah, bukannya jalan untuk membuktikan bahawa kaum wanita kini telah dapat menyamai lelaki, tetapi ia adalah satu petanda bahawa Allah s.w.t itu Maha Adil kerana menganugerahkan semua itu kepada kaum wanita….
    Kerana pada ‘pandangan’ Allah s.w.t, manusia yang diciptakan-Nya adalah sama sahaja, cuma yang membezakan adalah tahap ketakwaan dan keimanannya….
    Astaghfirullahhalazhim….

     
  32. nursabihah

    10 November 2010 at 12:23 pm

    asalamualaikum ..
    cerita bukan sekadar cerita tapi sebagai peringatan tuk diri ini yg masih mentah..diri ini yg masih memerlukan tunjuk ajar,diri ini juga yg masih belum terdedah dengan watak dunia dan manusia yang sebenar.semoga ustaz terus menulis agar diri ini sentiasa belajar untuk menjadi lebih matang..

     
  33. juju

    26 November 2010 at 2:06 pm

    salam…

    Kisah sebegini harus dijadikn teladan pada kaum hawa..
    setelah wanita menjadi isteri…dan setelah bergelar ibu…janganlah kita lupa tanggungjwb sebagai isteri…terhadap suami.

     
  34. indukjowo

    18 Januari 2011 at 10:56 pm

    salam….cerpen yg santai….

     
  35. Norbaiti Ridzuan

    6 Ogos 2013 at 9:43 am

    Huhuhu… cian datin… dalam x sedar Datuk bukak cawangan lain….😀

     
  36. mazlefah ibrahim

    8 September 2013 at 8:28 am

    Assalamualaikum..

    Memang fitrah seorang wanita utk berkhidmat kpd keluarga (suami dan anak2) melebihi tugasnya dlm kerjaya. Wanita kini dh ‘bertukar rupa’ krn lelaki jg. Wanita dan anak perempuan skrg lebih byk menggalas tugas yg dulunya dilakukan oleh lelaki. Sbg wanita… sy rasa penat apabila byk kerja perlu dibuat sendiri. Nk harapkan adik-beradik lelaki pn payah.

    Jika ini yg berlaku apakah wanita dan anak2 perempuan perlu disalahkan krn byk menghabiskan masa utk kerjaya, di samping itu masih cuba menguruskan keluarga sebaik mungkin. Lelaki yg berpoligami pn selalu beri alasan ttg isteri la.. kurang kasih sayang la.. tp pernah x mereka fikir ‘kami wanita dh penat’ dgn 2 tugas, rumahtangga dan kerjaya. Lelaki sendiri pn tak boleh membimbing dan membentuk akhlak isteri dan anak2nya.

    Jika suami menuntut hak layanan seorang isteri … saya sbg ‘anak2 perempuan’ jg menuntut hak layanan dan keprihatinan seoarang ayah dan abang ke atas kami. ingat wahai lelaki … jgn abaikan isteri dan anak2 di bwh jagaan kamu. lebih lebih lg anak perempuan. x perlu ‘mulakan langkah baru (poligami)’ andai ‘langkah di belakang (keluarga sedia ada) masih goyah’.

    Harap luahan hati ini dpt didengar oleh setiap lelaki.

     
  37. suemaya

    22 September 2013 at 10:41 am

    Penuh sindiran bermkna utk para istero taksub dgn aktiviti luar. Tq ustaz

     

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: