RSS

JANGAN BERTASBIHKAN CINTA!

15 Apr

Selepas menonton filem Ketika Cinta Bertasbih dengan anak-anak di rumah, saya terkesima. Begitu indah dan benar sekali sulaman kisahnya. Puas saya katakan kepada anak-anak, saya inginkan apa yang ada dalam filem itu diterjemahkan dalam keluarga.

Namun, saya cuma mengharap, berdoa dan berusaha… bukan mudah menundukkan fikrah apatah lagi jiwa anak-anak remaja kini walaupun anak kita sendiri.

Seperti saudara-saudara juga saya terus berusaha. Kita tidak akan mengalah. Terus dengan tazkirah, solat jemaah dan belaian-belaian lembut tarbiah. Jika tidak diterima sepenuhnya hari ini, esok, lusa… insya-Allah, akan masuk ke hati mereka jua. Ada yang cepat dan menurut dengan taat. Ada yang menunggu, berfikir dan termanggu. Dan ada kelihatan biasa-biasa sahaja… tanpa reaksi, sukar diteka.

Kepada Allah kita berserah, biarlah semua program-program Islamik ini kita “installkan” dulu dalam fikirah dan jiwanya. Walaupun sekarang semacam tidak diendah, tetapi insya-Allah nanti akan berkesan jua.

Lalu dalam kesyahduan harap dan doa itu, saya titipkan tulisan ini buat anakku dan anakmu… dan mungkin juga untuk kita juga… terimalah …

JANGAN BERTASBIHKAN CINTA!

Isteri disimbah asid! Suami yang dikahwini atas dasar cinta rupa-rupanya pendera. Ini cerita lama dalam versi baru (dulu ada cerita suami disimbah asid). Semua ini mengingatkan saya pada perbualan dengan seorang wanita suatu ketika dahulu.

“Entah kenapa, tiba-tiba dia jadi begini. Sepanjang tiga tahun kami bercinta, tidak pula dia menunjukkan sebarang tanda-tanda yang dia panas baran. Semuanya baik dan lembut belaka. Tapi tak sampai lima bulan setelah berkahwin, baru saya tahu dia begitu panas baran orangnya,” luah seorang isteri.

“Awak mungkin bercinta, tetapi tak kenal…” ujar saya.
“Tiga tahun bercinta masih tak kenal? Mustahil,” balasnya.
“Kenal itu dengan akal dan hati. Mungkin semasa tiga tahun awak berdua bercinta… kurang guna akan dan hati, hanya guna emosi dan nafsu. ”
“Akibatnya ini?”
“Ya, akibatnya ini, bercinta tanpa kenal hati budi.”

Begitulah antara dialog yang pernah berlaku antara saya dengan seorang isteri yang didera suaminya. Akibat cinta tanpa kenal dia menderita. Secara tabiinya, kita perlu kenal baru cinta tetapi kini sudah ramai yang cinta baru kenal. Akibatnya timbullah penyesalan yang tidak sudah-sudah. Akibat salah pilih, suami atau isteri yang disangka boleh memberi bahagia, rupa-rupanya punca derita!  Tidak mengapa kalau kita berkenal dahulu terus berkahwin dan kemudian cinta. Seperti Siti Khadijah yang kenal kebaikan Rasulullah saw melalui orang kepercayaannya Maisarah dahulu, terus meminang Rasulullah saw, berkahwin dan kemudian baru bercinta. Untuk kenal orang yang baik, perlulah menerusi orang yang baik. Hanya orang baik yang mengenal orang baik yang lain, seperti mana hanya jauhari mengenal manikam.

Tidak mengapa sekiranya perkahwinan tidak dimulakan oleh satu percintaan tetapi ia mesti didahului oleh satu perkenalan. Apa yang perlu kita kenal? Tidak lain tidak bukan, yang paling kita mesti kenal keseriusannya dalam beragama. Bila agama kukuh, ertinya cintakan Allah dalam diri seseorang juga kukuh. Itulah modal untuk membina kebahagiaan dalam rumah tangga.

Cinta Allah itu adalah sumber untuk mencintai segala dan semua. Iman kepada Allah dan kasih-sayang sesama manusia sangat erat keterkaitannya. Ramai pasangan suami isteri yang terlibat dengan perkahwinan yang tidak dimulakan dengan cinta, berjaya juga membina kebahagiaan rumah tangga kerana kekukuhan keduanya mencintai agama. Ini kerana perkahwinan itu sendiri telah memulakan cinta suci mereka.

Cinta itu bukan tujuan, cinta hanya jalan. Bukan hanya ada satu jalan untuk mencapai tujuan… ada berbagai jalan. Hakikat ini bukan menafikan keperluan cinta untuk membina kebahagiaan rumah tangga, tetapi cinta itu bukan yang pertama dan paling utama untuk mencapai rumah tangga yang bahagia.

Menurut ajaran Islam, ada elemen-elemen yang lebih utama daripada cinta yang perlu dititik-beratkan sebelum, semasa dan sepanjang perkahwinan. Perkara-perkara utama ini semuanya dituntut oleh Allah untuk disempurnakan bagi memastikan cinta, kasih-sayang, tanggung jawab, peranan dan tugasan rumah tangga itu sentiasa terbina di atas tapak iman.

Diantara prinsip-prinsip itu ialah niat, matlamat, perlaksanaan, modus operandi dan natijah perkahwinan itu mestilah selaras dengan kehendak Allah. Oleh itu apabila rumah-tangga bergoncang, telitilah semula niat berkahwin dahulu. Apakah masih kerana Allah? Atau sudah tersasar tanpa sedar? Akibat hebatnya cabaran, masalah dan godaan yang telah melanda alam rumah tangga solat lima waktu telah terabai, pembaziran berleluasa, hiburan telah melampau dan pelbagai suruhan dan tegahan Allah sudah dipinggirkan?

Kalau demikian, jangan tunggu lama-lama, kembalilah ke pangkal jalan, katakana pada diri, “wahai diri, kau berkahwin kerana Allah…” Insya-Allah, “talian hayat” perkahwinan kita akan tersambung semula dengan Allah. Hukum-hakam Allah akan berdaulat semula. Insya-Allah, ketenangan akan menjelma semula.

Selama mana prinsip-prinsip itu dipatuhi, selagi itulah Allah menjamin cinta di antara pasangan suami isteri itu pasti tumbuh, subur dan berbunga sekalipun mereka tidak pernah bercinta sebelum berkahwin. Dan bagi yang telah berkahwin pula (tidak kira berapa lama), syariat Allah ini jika dijadikan rujukan bersama antara suami isteri, insya-Allah rumah tangga akan kembali tenang walaupun pasti ada pergolakan. Hati-hati yang mengingati yang SATU akan mudah bersatu!

Mungkin terlalu ideal atau terlalu jauh untuk melihat tradisi perkahwinan Rasulullah s.a.w dan para Sahabatnya yang serba indah. Tetapi cukuplah kita mengimbau trend perkahwinan masyarakat Melayu Islam satu ketika dahulu yang menyaksikan ramai berkahwin atas pilihan ibu bapa (yang mengenal bakal menantunya) dan perkahwinan itu ternyata berjaya.

Tradisi itu berjalan dengan baik dan teratur kerana pada waktu itu anak-anak sudah dididik dengan asas agama dan akhlak yang teguh serta patuh kepada ibu bapa. Pada waktu itu anak-anak yang baik akan mematuhi perintah ibu-bapa yang baik yang memilih orang yang baik untuk menjadi suami atau isteri anak mereka. Sementara ibu bapa pula memang sedia mewarisi sifat-sifat mulia daripada generasi sebelumnya yang juga mementingkan kepentingan agama dan akhlak.

Kita akan dibantu oleh niat yang tulus sebelum berkahwin dahulu. Jika tulus pasti lurus walaupun kekadang bengkak-bengkok juga di pertengahannya. Tetapi jika awal-awal sudah bengkok, rumah-tangga akan semakin tersasar dan sukar sekali mencari jalan kembali.

Oleh kerana itu, semasa memilih calon suami atau isteri mestilah berdasarkan panduan yang diberikan oleh Nabi Muhammad saw melalui sabdanya, “Dikahwini wanita itu atas empat perkara: harta, keturunan, rupa dan agama. Kahwinilah atas dasar agama nescaya kamu akan mendapat kebajikan.”
Hendak membuat pilihan kita mesti kenal bagaimana tahap beragamanya, bila sudah kenal, berkahwinlah. Insya-Allah, nanti pasti ada cinta. Bukan cinta, kemudian berkahwin selepas itu baru kenal…

Eh, ini pelik? Tidak. Ia praktikal dan realistik dulu, kini dan akan datang. Lihat sahaja gambaran kenal baru cinta dalam filem “Bila Cinta Bertasbih”. Jika ia mampu digambarkan melalui filem, ia mampu juga mampu direalisasikan dalam kehidupan. Dalam filem itu jelas digambarkan bagaimana orang yang baik melamar orang yang baik untuk orang yang baik. Sungguh indah bila cinta bertasbih (memuji Allah). Yakni bila cinta tunduk kepada kehendak Allah. Tetapi kini terbalik, masyarakat begitu hodoh jadinya apabila manusia bertasbihkan cinta – kehendak Allah tunduk kepada cinta!

Dalam masyarakat yang sangat memandang tinggi nilai akhlak dan budi, perkahwinan melalui ‘orang perantaraan’ (match maker) yang juga dipercayai kesolehannya akan mudah dilaksanakan. Dan perkahwinan tanpa didahului cinta sudah menjadi perkara biasa pada ketika itu.

Namun ini tidaklah menafikan perkara-perkara yang dibolehkan dan memang dibenarkan oleh syariat untuk dilakukan sebelum sesuatu perkahwinan dipersetujui. Misalnya seseorang dibolehkan melihat rupa calon isteri atau suami, menyelidiki maklumat tentang keperibadian dan lain-lain latar belakang calon. Namun fokusnya tetap “mengenal” agama bakal calon.

Itu semua dapat dibuat dengan adanya pengaturan orang tengah – sama ada terdiri daripada keluarga atau teman-teman yang rapat. Tegasnya, tidak payahlah seseorang itu sendiri bersusah payah mendapatkan “maklumat” tentang calon suami atau isteri melalui cara percintaan yang melampaui batas. Nanti bukan maklumat yang dapat, tapi maksiat.

Bayangkan betapa indahnya saat pertemuan dua mempelai yang dipertemukan atas keredaan Allah serta restu ibu bapa dan masyarakatnya. Thrill dan suasana suspens sudah semestinya ada yang mana ini menambahkan lagi keindahan pertemuan pertama.

Dan bagi yang sudah lama berumah tangga tidak hairanlah kalau suasana bulan madu akan lebih panjang malah akan terus berkekalan sepanjang perkahwinan. Justeru dalam perlaksanaan rumah tangga Islam sudah ada tip-tip tertentu yang jika diamalkan akan mengekalkan suasana kemanisannya.

Antaranya, isteri sentiasa mengekalkan perasaan malu di hadapan suami, isteri dan suami sentiasa berhias dan memakai haruman, pandangan kasih oleh suami, pandangan cinta oleh isteri, adab serta seni-seni dalam hubungan seks dan lain-lain perkara yang banyak ditulis dalam hadis dan kitab-kitab para ulama muktabar.

Cinta sebelum perkahwinan tidak mempunyai keistimewaan dan ‘lesen’ seperti cinta selepas perkahwinan. Ruangnya begitu terhad untuk membuktikan kecintaan. Ini kerana Allah sangat melarang zina malah segala perbuatan yang boleh menghampirinya seperti bergaul bebas, berkhalwat, memandang dengan nafsu, bersenda gurau dan sebagainya.

Walhal cinta sebelum perkahwinan sangat terdedah kepada perbuatan menghampiri zina sama ada secara lisan atau perbuatan, disengajakan atau kerana tidak mampu menahan godaan. Ketika itulah cinta mula dinodai oleh nafsu. Fitrah hati (cinta dan kasih sayang) sudah bertukar menjadi kehendak biologi (seks) semata-mata.

Apabila seseorang mencintai kekasihnya melebihi cintakan Allah, maka mudah hukum Allah dilanggar. Kerana kekasih, Allah tersisih. Inilah fenomena lumrah dalam masyarakat hari ini terutamanya di kalangan remaja. Maruah diri, nama baik keluarga, kesucian syariat rela dipertaruhkan untuk mendapatkan cinta.

Malangnya cinta yang diburu adalah cinta palsu. Yang mana keindahannya sementara dan menipu. Seseorang dikira sudah bernasib baik jika cinta itu sempat dibawa menjejaki gerbang perkahwinan walaupun kemudiannya tidak indah dan akhirnya berpisah. Namun kajian menunjukkan cinta yang kotor patah di tengah jalan. Tidak sempat bermahtangga cinta telah berkecai.

Dan bagi yang sempat berumah tangga ramai pasangan yang bercerai-berai walaupun mereka telah melalui saat-saat indah di alam percintaan. Tetapi yang paling ramai ialah mereka yang hanya mampu mempertahankan perkahwinan tetapi gagal mengekalkan keindahan cinta di dalamnya. Mereka yang kecewa ini kerap mengungkapkan, perkahwinan adalah pusara percintaan!

Terbukti tidak ada keindahan dengan mengetepikan Tuhan!

DOA KITA BERDUA

Ya Allah,
Kekadang terasa belaian cinta-Mu
Bersama kurnia sekalung hidayah
Tapi kekadang terasa bahang murka-Mu
Seiring patahnya sebuah mujahadah
kami berdua…

Ya Allah,
Walau apa pun kami masih terus di sini …
Mengemis di tepian janji-Mu yang pasti
Di sini kami masih mendamba cinta
Kerna yakin cinta-Mu tak pernah sirna…
selama-lamanya!
… buat kami berdua

Kau dekat terlalu
tanpa senyum
tanpa suara
namun cinta-MU ketara jua!
Dalam doa…
kami berdua!

 
40 Komen

Posted by di 15 April 2010 in Uncategorized

 

Label: , , , , ,

40 responses to “JANGAN BERTASBIHKAN CINTA!

  1. ibnu hisyam

    16 April 2010 at 5:24 am

    Salam,

    JazakAllah ustaz ….sadly related

     
  2. hamba Allah

    16 April 2010 at 7:48 am

    Subhanallah..tepat sekali apa yang diperkatakan diatas, sekarang ni mmg byk berlaku kes penceraian. jika dikaji secara mendalam, mmg itulah faktornya..ramai yang menganggap gerbang perkahwinan merupakan kejayaan dalam hidup berpasangan, walhal ianya permulaan…adakah dapat bertahan atau sebaliknya?? saat bercinta mmg semuanya elok, semuanya dipandang indah….Moga Allah lindungi diri ini dari CINTA nafsu..

     
  3. zaliha

    16 April 2010 at 8:35 am

    salam..
    Syukran ustaz..
    post nih amat terkesan dihati saya..
    semoga cinta akan terus bertasbih bukan manusia bertasbihkan cinta..
    amiin ya rabb..

     
  4. nani

    16 April 2010 at 8:43 am

    Salam,terima kasih ustaz,menarik isu ini.Memang benar ,masyarakat islam sekarang jika pegang Islam sebagai cara hidup sudah pasti selamat.Kadar kelahiran anak luarnikah semangkin meningkat.Kebebasan remaja bila diberi lesen memilih jodoh sendiri dan bercinta sebelum perkahwinan bukan saja mendekatkan diri mereka pada zina,malah ada yang telah terlanjur sehingga memiliki anak sebelum bernikah.Gejala membuang anak,membunuh anak berpunca dari cinta nafsu bukan cinta ALLAH .Selagi ibubapa dan keluarga gagal membimbing anak remaja apa itu keindahan hidup berlandaskan syariat agama dijiwa pasangan yang mabuk cinta,sudah pasti PERCINTAAN pasangan sebelum berkahwin menjurus kepada Mendekati zina..kursus sebelum perkahwinan wajib,alangkah baik jika diwajibkan satu kursus sebelum bertunang.Apa pandangan ustaz?

     
  5. ikram muslimin

    16 April 2010 at 8:52 am

    salamalaik ya ustaz..
    Artikel yg sgt bagus utk ramaja yg mcm saya utk mndidik jiwa.supaya di jauhkan dr sgala kmungkaran..

    Syukran

     
  6. elfutuwwah

    16 April 2010 at 8:55 am

    Assalamu’alaikum wa rahmatullah, jazakAllahu kullalkhaer ustaz!

    sebagai renungan…ma’adzAllah!

    “dan janganlah kamu mendekati zina!, sesungguhnya ia adalah suatu perbuatan terkutuk dan suatu jalan yang buruk!
    (32:al isra’)

    dan ingatlah!

    “teman-teman akrab pada hari itu saling bermusuhan di antara satu sama lain ( kerna hubungan dosa), kecuali orang-orang yang bertaqwa”.
    (67: az zukhruf)

    kita bermohon pada Allah agar disuburkan cinta keimanan dan kasih sayang di hati kita,dan memohon agar ditanamkan kebencian kepada kemaksiatan dan kefasiqan! ameeen!

     
  7. jun

    16 April 2010 at 9:36 am

    salam,terima kasih ustaz,semoga remaja yang menjadi pembaca setia blog ini,mempraktikkan semua ilmu,nasihat,pengalaman dan menghindari semua perbuatan mungkar ketika menjalinkan persahabatan dan percintaan.Biarlah mereka menjadi pasangan yang diredhai Allah ketika bercinta,sebelum berumah tangga sehinggalah mendirikan rumahtangga.Selepas menjadi suami isteri barulah bercinta sehingga ke liang lahad.Selagi belum sah jadi suami isteri,jangan sekali mendekati zina kerana diwaktu itulah keimanan menjadi benteng kemungkaran.Benteng ini akan musnah sekelip mata jika pasangan dikuasai nafsu bebas dalam pergaulan,duduk berduaan tanpa orang ketiga,berpegangan tangan bukan muhrim,memandang pasangan dengan nafsu,lupa diri dan agama.Inilah fenomena remaja akhirzaman,agama dipraktikkan kala akad nikah,kala bercinta hukum agama dan syariat dibuang ketepi ,dosa dan pahala tidak wujud lagi,akibat nafsu menguasai cinta maka terjadilah istilah mabuk cinta.Alangkah ruginya bangsa jika fenomena ini tidak dibendung..lanjutkan lagi isu ini di lain kesempatan ustaz..syukur alhamdulillah dapat panduan hidup yang berguna di pagi hari jumaat ni.

     
  8. Marlina

    16 April 2010 at 11:01 am

    Alhamdulillah saya telah membaca tulisan di atas & memahami segala isi kandungannya.Memang Islam amat menitik beratkan 4 ciri2 yg telah disebutkan.Dlm pengamatan saya,ada juga perkahwinan sebegini yang dilanda ombak.Saya melihat sendiri ada rakan2 saya yang suaminya suatu waktunya amat dikagumi ramai kerana dilihat sebagai contoh yg patut diikuti.Tetapi malangnya mereka tiba2 berubah hanya kerana jatuh cinta kepada perempuan yg lebih muda dari isteri mereka.Adakah kerana mereka tidak pernah jatuh cinta sebelum perkahwinan mereka?Atau pun hubungan mereka semakin renggang dengan Allah?Tetapi yg paling menyedihkan saya bila mereka menjadi tidak adil kpd isteri mereka yg pertama tanpa memberi nafkah zahir & batin.Adakah ini semua dugaan dari Allah untuk menguji tahap keimanan mereka? Wallahu’alam. Na’uzubillahiminzalik

     
  9. umat

    16 April 2010 at 3:07 pm

    Salam ustaz…
    mohon copy hikmah ini ya….

     
  10. fatin

    16 April 2010 at 4:31 pm

    salam alaik,

    jazakallah ustaz..

    memang benar tidak akan ada keindahan dengan mengenepikan Tuhan….
    doakan saya ustaz.. mudah-mudahan nasihat orang ‘senior’ seperti ustaz boleh memberi panduan kepada saya sebelum menjejak alam pernikahan nanti…

     
  11. iman

    16 April 2010 at 6:35 pm

    Assalamualaikum wbt…

    cerita “cinta bertasbih” ni mengajar saya akan cinta yang mengikut syariat…berdasarkan lakonan khairul azam yang sentiasa redha bila jodohnya asyik tak berkesampaian… memang cinta ikut syariat ini adakalanya rasa pahit, perit dan lambat untuk dicapai..tetapi hasilnya SubhanaAllah sangat indah dan manis.. teringin nak mengalami “kisah cinta” sebegitu…sekarang ni, saya sedang meniti tempoh “kesabaran”..semoga tempoh ” manis dan indah” itu akan muncul tak lama lagi…ustaz, doakan saya

     
  12. شاخ

    16 April 2010 at 8:49 pm

    Salam.. Ustaz.. Ana sudah Menulis Ketika Cinta Bertasbih versi Ana.. Kini Ustaz pula.. Masya’Allah.. Kagum Ana dengan tinta dari pandangan dan idea Ustaz.. Syukran Jazillan..

    http://lampuneonmu.blogspot.com/2010/01/ketika-cinta-bertasbih-lain-kalilah.html

     
  13. muhammad fakhruddin

    16 April 2010 at 10:30 pm

    Assalamualaikum Ustaz,

    off topic…bagaimana KCB memberi kesan kepada seorang blogger? http://i-cempaka.blogspot.com/2010/03/petua-blogging-bersama-ketika-cinta.html

     
  14. afa

    17 April 2010 at 12:55 am

    Salam..

    SubhanAllah..diharapkan kt sentiasa di jalan yg benar..
    yg penting kt kena yakin..jgn mempersoalkan jodoh bila nak sampai..
    sentiasalah bersyukur..sesungguhnya kt hamba yg sgt kurang bersyukur..

    Syukran..

     
  15. cikin

    17 April 2010 at 1:11 am

    Alhamdulillah….

    saya jg trksn dgn artikel ust nih.. saya jg kagum dan brsyukur dgn pghsilan filem spt KCB ni. saya rsa ini antra filem yg mngtghkn cara prcintaan dn prkhwinan yg sbnr dlm islam. slama ni kita dhidangkan dgn cara prcintaan org barat di media2. smpikn remaja mrasakn bhawa itulah cara sbnr dlm brcinta. sgalanya sggup dredah demi cinta. saya brhrp agar drama dan filem yg mnonjolkan cara hidup islam yg sbnr dpt dprbnykkn lg d malaysia nih…

    -skdr pndpt-
    wassalam

     
  16. nuriman

    17 April 2010 at 8:23 am

    salam terima kasih ..

     
  17. Teja

    17 April 2010 at 1:30 pm

    Salam ustaz..

    Bila segalanya ‘sepi’ kan dari jalan Allah, pasti bahana menanti di sana. Itulah kesannya. Moga kita sentiasa terpelihara dari ‘merajakan’ nafsu..

     
  18. amir

    18 April 2010 at 12:30 am

    assalamualaikum ustaz.. jazakallah ustaz.. semoga anak2 ustaz mendapat peliharaanNya dengan mengikuti fikrah yang ustaz cita2kan, manhaj rabbaniyah hasil dakwah rasulullah s.a.w…

     
  19. pali

    20 April 2010 at 12:19 am

    assalamualaikum,

    sebagai seorang lelaki yang akan mendirikan rumah tangga tidak lama lagi, saya bersetuju dengan saranan ustaz di atas. Jika cinta kepada isteri adalah kerana cinta kepada Allah, datang ujian (dalam kes saya dalam memilih calon) dalam kepeninngan, calon yang kita nilai dengan mata iman tetap jua menang akhirnya.

    Tipulah kalau saya katakan tidak tertarik pada kecantikan wanita tambah-tambah pula jika auratnya tidak ditutup sempurna. Tetapi apabila mengenangkan niat, masa depan, bimbingan agama kepada bakal anak-anak, yang beragama itu lebih sempurna pada pandangan saya.

    Doa-doakan yang mahu mendirikan masjid ini tuntas dalam pertimbangan, dan istiqamah. Terima kasih atas entry.

    Ketika cinta Beristigfar? hehe.

     
  20. rosma

    20 April 2010 at 11:40 am

    Salam..Alhamdulillah..entry yg sememangnya tak pernah mengecewakan pembaca..Saya telah tonton filem “ketika cinta bertasbih”dan memang cerita itu amat menarik..pertama kali saya melihat filem yg boleh dibuat dengan pelakon yg menutut aurat dengan baik dan menurut syariat..jelas..sebenarnya kita boleh buat filem yg boleh mendidik hati dan minda penonton..tapi filem kita?

    Sekiranya syariat dilaksanakan dalam hidup..InsyaAllah hidup ini akan menjadi indah..

     
  21. rosez

    21 April 2010 at 12:33 pm

    Terima kasih Ustaz… Artikel yang sangat bagus!!!

    Hati-hati yang mengingati yang SATU akan mudah bersatu!

     
  22. saiyida

    21 April 2010 at 3:36 pm

    subhanallah…ya ustaz..ana begitu tertarik dgn tulisan terbaru ustaz..semoga ianya dpt memberikan contoh yg terbaik buat remaja di luar sana..amin..

     
  23. unclejoe

    21 April 2010 at 3:55 pm

    ….entry yang menarik…mereka selalu salah mentafsir cinta… selalu silap memberi cinta… sering keliru menilai cinta.. akhirnya diri yang merana… kalau itu yang dinamakan cinta .. rasanya jadi tidak perlu lah bercinta kan..?

    UJ cuba ingin praktikkan cinta setelah berumahtangga… moga ia satu anugerah.. dan sama-sama membina kesolehan bercinta..

    dari DIA cinta datang kepadanNYA jua cinta pergi…

     
  24. kyra

    23 April 2010 at 10:21 am

    salam

    dalam kampung sy ada seorang yang agak alim setiap waktu solat dia akan bersama-sama anaknya ke masjid.

    saya pelik kerana ramai orang tidak setuju dengan pendekatanyya mendidik anak-anak. sehinggakan terdapat anak-anaknya melakukan perkara yang tidak baik seperti mencuri dan merokok tanpa pengetahuan bapanya.

    dalam masa yang sama, sekiranya isteri melakukan kesilapan yang sangat kecil, seperti lewat menyediakan makanan tengah hari kerana menyelesaikan kerja rumah yang lain, si isteri akan menerima habuan, seperti dirotan dan akan disepak sehingga terhantuk didinding rumah.

    kadang-kadang saya takut nak kahwin sebab memikirkan ada lelaki yang sangat dayus memukul isteri yang melayannya dengan baik. tak reti bersyukur.

    apa pendapat anda?

     
  25. lin haslindah

    25 April 2010 at 12:07 pm

    Betul ka ustaz, keadaan dimana seorang isteri boleh minta cerai bila mana seorang isteri tidak mampu hormat pada suaminya..

     
  26. gentarasa

    25 April 2010 at 9:24 pm

    Salam lin,
    Soal yang lebih utama… mengapa isteri tidak boleh hormat kepada suami? Apakah sebabnya syarie? Perlu perincinannya. Apapun, minta cerai hanya dibolehkan apabila suami gagal dalam menunaikan tanggung jawab asasinya, atau menzalimi isterinya… itupun setelah melalui pelbagai proses pembaikan yang masih gagal. Wallahua’lam.

     
  27. amni_110687

    26 April 2010 at 9:36 pm

    subhanallah..
    ustaz..
    saya amat meminati hasil penulisan ustaz..
    n yang paling penting..
    post ni amat bermakna..
    doakan saya juga menemui suami yang dapat membimbing saya n keluarga..
    doakan juga agar keluarga yang bahagia itu milik kita semua..
    amiin..
    pada pendapat saya..
    bermulanya kecintaan kita adalah dari keluarga itu sendiri..
    bagaimana untuk mencintai orang lain jika kita sendiri tidak mencintai diri kita sendiri..
    dan kita sendiri kabur akan makna cinta itu sendiri..
    walhal terkejarkan cinta..
    cinta perlu di dalami bukan sahaja di rasai..

     
  28. gentarasa

    27 April 2010 at 6:42 am

    Salam amni,
    Semoga hambamu ini mendapat suami yang soleh yang dapat membahagiakannya, di dunia dan akhirat. Amin.

     
  29. amni_110687

    27 April 2010 at 8:45 pm

    amiin

     
  30. rose

    29 April 2010 at 12:10 pm

    terima kasih ustaz di atas perkongsian ilmu..memang tepat dan jelas apa yang ustaz sampaikan dalam entri ni..realiti yang diterjemahkan dengan baik sekali..mohon izin untuk berkongsi bersama-sama rakan2 saya yang lain..semoga timbul kesedaran dan keinsafan di hati kami..

     
  31. Aleng

    3 Mei 2010 at 1:02 pm

    syukur…. artikel ini cukup memberi kesan…. Allah memberikan naluri cinta bukan hanya untuk manusia semata… naluri itu haruslah mendahulukan yang Maha Esa…. Kadang kita di uji melalui cinta… kita setia,jujur, baik, ikhlas tapi kenapa kita kecewa… Subbhannallah… rupanya Allah menguji cinta kita samada kuat kepada Allah atau lebih kepada manusia…. Sedangkan Allah cintakan kita kenapa kita mudah berpaling dan menangisi perginya cinta manusia yang meninggalkan kita… akhirnya kita kembali jua kepada Allah memohon CintaNya… Ya Allah terima kasih atas CintaMu…. terima kasih ustaz atas nukilan ini

     
  32. zuraidah muda

    5 Mei 2010 at 2:19 pm

    Terima kasih ustaz

     
  33. Nani Saudiar Zakir

    7 Mei 2010 at 11:09 am

    Salam Ustaz…
    Terima kasih atas perkongsian ini. Saya akan kongsikan bersama teman-teman lain. Semoga uztaz sekeluarga dirahmati dan dilindungi oleh Yang Maha Esa. Amin.🙂

     
  34. Nurul Awanis Binti Johan

    12 Mei 2010 at 8:30 am

    assalamualaikum ustaz..
    saya baru je baca artikel ni dlm solusi isu 19..saya akan kongsikan dgn semua kwn2 insyaAllah..teruskan menulis+membari peringatan..
    terima kasih

     
  35. rayyan

    15 Mei 2010 at 9:00 pm

    indahnya hidup bersyariat

     
  36. zahra

    17 Mei 2010 at 3:30 am

    salam ustaz…minta izin copy artikel utk perkongsian…jazakallah:)

     
  37. merpati putih Z

    19 Mei 2010 at 12:23 am

    ku tahu kau makin lelah ,ku tahu kau makin lemah namun ku yakin kau masih mampu menanggung berat beban ini..kerna kau dihadirkan disini untuk terus bertahan sehingga hujung nyawa..kita tak tahu nasib kita disana…andai kau dan aku mengerti andai ada cinta antara kita…tinggal sikit sahaja lagi langkahmu maka manisnya kan kau kecap disana…ingatlah bila CINTA BERTASBIH..CINTANYA MENGHULUR RASA SELAMAT MEMIMPIN..KE DAERAH PALING INDAH..SABAR SAYANGKU,SABAR WAHAI LELAKI YG BERIMAN..kau pasti dicintai..

     
  38. gentarasa

    19 Mei 2010 at 12:08 pm

    salam merpati,
    Semoga semua lelaki yang beriman mendapat manfaat daripada tazkirah ini. Syukran.

     
  39. Fiqrah

    15 Ogos 2010 at 9:27 pm

    Terima kasih atas perkongsian ilmu..sgt2 terkesan. Saya mohon utk share dgn teman2 lain.

     
  40. CikTin Comot

    2 Julai 2011 at 10:17 pm

    mohon share ustaz~ insyaAllah semoga dakwah ini akan menyedarkan akan hukum Allah yang sebenarnya~

     

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: