RSS

HANTU DALAM HATI KITA…

25 Feb

Secara sinis seorang sahabat berkata, “tidak ada hantu yang berkeliaran pada malam Jumaat.”
“Malam Jumaat, malam yang berkat. Esoknya, penghulu segala hari raya. Hari raya mingguan untuk umat Islam. Mungkin itu sebabnya,” balas saya.
“Bukan itu yang aku maksudkan,” katanya.
Saya senyum sambil bertanya kembali, “kenapa tiba-tiba kau bercakap tentang hantu?” tanya saya kembali.

Dia diam sebentar. Kemudian menyambung, “semua hantu dah masuk dalam TV. Macam-macam hantu telah dimunculkan semula. Pemikiran orang kita kembali ke belakang,” ujarnya.
Saya senyum dengan sindirannya. Teringat kata guru penulisan saya, “ada tiga unsur yang menjadi bahan pelaris dalam media yang dikuasai oleh orang Melayu – seks, mistik atau misteri dan gosip. Benar, media cetak dan elektronik yang ada ketiga-tiga unsur ini akan mendapat sambutan.

“Aku bimbang, pemikiran anak-anak kita akan diracuni. Bukankah siapa kita lima tahun akan datang ditentukan dengan siapa kita bergaul dan oleh apa yang sering kita baca, tonton dan dengar? Kalau cerita-cerita hantu ini yang kerap mereka tonton dan baca, fikiran bawah sedar anak-anak kita akan terkebelakang!”

Saya diam. Memang ada kebenaran kata-katanya itu. Budak-budak sekarang jadi penakut tidak bertempat, hendak ke bilik air, hendak tidur, hendak bersendirian semua penakut. Apa tidaknya cerita-cerita hantu sarat dengan adegan hantu muncul tiba-tiba dari bawah katil, dari sebalik pintu dan sebagainya.

“Aku bimbang melihat peranan ahli agama dan ayat-ayat Quran yang disalah tafsirkan dalam cerita-cerita hantu ini…” tambah saya untuk menyuburkan percambahan fikiran.
“Ada yang berhujah, tengok dalam cerita hantu ini kami memartabatkan ahli agama dan ayat-ayat Quran. Bila ahli agama datang dengan serban dan kopiah serta membaca ayat-ayat Quran, hantu akan cabut lari, terbakar, ghaib dan sebagainya. Apa pandangan kau tentang ini?”
“Al Quran ditujukan untuk difahami, dihayati dan diamalkan oleh manusia. Itu fungsi utamanya. Jika manusia tidak menghayati al Quran, manusia akan jadi hantu yang lebih ganas dan dahsyat!”

“Maksud kau?”
“Akibat meminggirkan Al Quran lahirlah hantu-hantu di kalangan manusia yang menjadi pembuang bayi, mat rempit, peragut, perogol, penagih dadah, perasuah, penjenayah, ahli politik yang putar belit, wanita yang mendedahkan aurat dan penggiat budaya hedonisme di kalangan orang Islam sendiri. Inilah hantu yang lebih dahsyat daripada polong, puntianak, penanggalan, pocong yang digembar-gemburkan itu.”

Saya teringat lagi pesan imam kampung saya dulu, katanya,” hantu ini ada dua, satu hantu di kalangan jin, dan satu lagi hantu di kalangan manusia. Hantu di kalangan jin lebih mudah dihadapi, baca ayat Quran dia akan lari. Tetapi hantu di kalangan manusia ni tak lari kalau dibacakan ayat Quran… “
“Betul kata kau. Ustaz-ustaz atau lebai-lebai dalam cerita hantu datang pada saat-saat akhir dengan kuasa magisnya. Mereka baca ayat Quran yang lebih mirip mantera atau jampi dan hantu pun cabut lari!”

“Pada hal peranan ahli agama dan ayat-ayat Quran bukan sekadar sebagai penghalau hantu tetapi pendidik, pendakwah sekali gus profesional yang menegakkan ayat-ayat Quran dalam sistem hidup manusia secara keseluruhan. Kalau dulu ahli agama dijemput di permulaan majlis untuk membaca doa, kemudian majlis pun berjalan dengan pelbagai agenda yang membelakangkan syariat… Kini ahli agama digambarkan pula sebagai penghalau hantu yang datang di hujung cerita yang tidak memaparkan pun Islam sebagai cara hidup!”

“Islam mesti dimartabatkan sebagai cara hidup dalam keluarga. Itulah penghalau hantu yang paling “mujarab”. Jika sebuah keluarga menjaga solat, menjauhi riba dan rasuah, menutup aurat, mengelakkan diri daripada pergaulan bebas, rajin berusaha insya-Allah mereka tidak akan jadi hantu…”
“Dan hantu-hantu di kalangan jin pun akan takut kepada diri dan keluarga itu betul tak?” tambah teman saya itu.

“Kalau kita tidak jadi hantu, hantu akan takut kepada kita. Orang yang takutkan Allah, makhluk lain akan takutkannya!”
“Jadi cara menghalau hantu?”
“Jangan jadi hantu!”
Kami sama-sama tersenyum.

“Nilai-nilai Islam sentiasa menjadi tempelan. Ayat Quran kekadang dijadikan tema awal atau muncul di akhir cerita hanya untuk menghalalkan cerita yang sarat dengan nilai syirik dan mistik. Jika tidak ada asas agama yang kukuh, tidak mustahil kuasa hantu yang menjadi fokus utama dalam cerita itu akan menenggelamkan kuasa agama yang dipaparkan di penutup cerita. Penonton akan lebih takutkan hantu berbanding keyakinan kepada kekuatan agama dan roh Al Quran,” jawab saya.

“Aku bimbang, ayat-ayat Al Quran sudah tidak dijadikan lagi bahan untuk mendidik hati manusia. Lambat-laun ia akan hanya menjadi azimat, tangkal yang digantung di palang pintu untuk menghalau hantu. Atau ia hanya akan jadi bahan mantera atau jampi serapah ahli-ahli agama yang berimej dukun atau bomoh semata-mata.”
“Nanti orang menuduh kau tidak percaya yang ghaib…”

“Yang ghaib itu ada. Syaitan dan jin ada. Ada hikmahnya Allah ciptakan mereka ghaib dan tidak boleh kelihatan. Dan bila Allah ciptakan begitu, itu sesungguhnya lebih baik untuk manusia. Tidak payahlah susah-susah kita jadi “seekers” untuk berjumpa dengan mereka. Tumpukan sahaja tugas kita sebagai khalifah di muka bumi ini. Musuh yang kita tidak nampak ini pun akan gentar dengan kekhalifahan kita!”

“Kau nak nafikan juga ada ulama-ulama yang pakar dalam menghadapi jin dan umat memerlukan mereka?”
“Aku tidak katakan begitu. Rasulullah saw sendiri telah berdakwah kepada golongan jin. Dan ramai ulama-ulama yang hebat yang mampu melihat jin dengan mata hati mereka. Dan bila ada masyarakat yang diganggu jin, mereka muncul untuk membantu. Tetapi itu hanya tugas sampingan..”
“Tugas sampingan? Apa maksud kau?”

“Tugas utama mereka berdakwah dan mendidik masyarakat. Mereka murabi bukan bomoh atau dukun. Cuma dalam tigas mendidik, kepakaran menghadapi jin kekadang diperlukan. Rasulullah saw juga begitu. Sejarah perjuangannya dipenuhi dengan kesabaran, keberanian dan iltizam mendidik manusia. Puluhan tahun, dari era Makkah menuju era Madinah…”
“Daripada berdakwah, mentarbiah, bersiasah hinggalah memerintah negara. Rasulullah saw lebih banyak menghadapi manusia. Sekali-skala sahaja baginda menghadapi kerenah jin. Kenapa agaknya ya?” giliran saya pula meminta pandangan balasnya.

“Sebab Rasulullah tahu jika manusia mengikut perintah Allah dan menegakkan cara hidup Islam dalam kehidupan mereka, jin tidak akan mengacau. Bahkan jin pun akan tunduk akur dan boleh menjadi hamba Allah yang soleh. Tetapi bila manusia jahat, menjadi hamba kepada hawa nafsunya, jin yang jahat akan mengganggu mereka.”

“Agak-agak kau mana lebih ramai, bayi yang dibuang oleh manusia yang tidak bertanggung jawab berbanding atau yang dilarikan puntianak? Berapa ramai remaja yang mati dan hilang anggota akibat merempit berbanding yang dicekik oleh hantu penanggal? Dan betapa dahsyatnya bahana yang menimpa hidup kita akibat makan rasuah dan riba berbanding termakan santau?”
Dia senyum.

“Ahli agama jangan muncul di hujung cerita dalam kehidupan sebenar manusia. Muncullah di awal, di tengah dan di hujung serta pada bila-bila masa sahaja. Jadilah pendakwah yang mengubat punca masalah. Bukan dukun atau bomoh yang hanya datang bila dijemput. Al Quran itu medium tarbiah bukan jampi serapah. Sedarlah bahawa bahaya hantu yang muncul di kalangan manusia sendiri lebih buruk dan meluas kesannya daripada hantu di kalangan jin.”

“Ayat Al Quran mesti dibaca oleh semua manusia untuk mengatur semua agenda hidupnya. Bukan dibaca oleh orang-orang tertentu hanya untuk menghalau hantu!”

“Dan pada malam Jumaat, jangan asyik terpaku di hadapan TV dengan pelbagai versi hantu yang dikutip semula daripada “mesin pemikiran kitar semula” yang dangkal dan rakus. Tetapi isilah program malam yang berakah itu dengan program membaca Al Quran, tahlil Yasin, qiamullail dan lain-lain aktiviti yang berfaedah.”
“Tidak salah untuk menonton TV, jika programnya memberi manfaat. Jika ada drama atau cerita yang mendidik jiwa apa salahnya?”

Saya terdiam. Ya, kita masih kekurangan penggiat seni yang berkarya atas apa yang diyakini, dialami dan dirasakannya. Hanya dengan itu hasil karyanya akan benar-benar mendidik jiwa. Penggiat seni yang mampu menghalau “hantu” dalam hati manusia bukan mereka yang dihantui oleh nilai-nilai komersial dan dunia “glamour” semata-mata.
“Apa yang mampu kita lakukan hanyalah percubaan mengetuk minda Melayu…”kata teman saya.
“Mengetuk bukan mengutuk… Dan kita mesti berusaha untuk menjadi bahu bukan hanya telinga dan mata pada masalah ini.”
Dan sahabat saya yang menjadi penulis skrip itu kini sedang menyiapkan karyanya berjudul: Hantu-hantu dalam hati manusia!

 
19 Komen

Posted by di 25 Februari 2010 in Iktibar Kisah

 

Label: , , , ,

19 responses to “HANTU DALAM HATI KITA…

  1. nur zatul

    25 Februari 2010 at 10:02 am

    Kebanjiran cerita/telefilem hantu/mistik dewasa ini seolah -olah telah menjadi barah di kalangan masyarakt kita di Malaysia. Ana bersetuju dengan pendapat akh Pahrol, isu buang anak, anak luar nikah dsb jarang dipertontonkan untuk memberi pengajaran, mmg tak terkira banyaknya kes ini berbanding kes orang mati terkena santau atau dirasuk hantu jin. Selain itu, dengan kebanjiran cerita -cerita mistik ini, ia memberi kesan yang besar juga kepada generasi muda terutamanya kanak-kanak, mereka lebih takutkan hantu berbanding takutkan Allah. Ini tidak hanya terjadi di kalangan kanak-kanak sahaja, malah orang dewasa pun terjebak sekali, takut nak keluar malam sebab takut hantu. Walhal kuasa siapakah lebih besar, hantu atau pun Allah? Ada juga ibu bapa yang menjadikan cerita hantu setiap malam jumaat ni sebagai medium untuk ‘mendiamkan’ anak-anak mereka, dengan cara menakutkan anak mereka, sbg contoh ” kalau tak mau pergi mengaji nanti hantu malam tadi tu dtg gigit nanti,,,” pelbagai dialog yang sering didengari seolah mengajar anak-anak supaya lebih takutkan hantu berbanding Allah. Ya, benar, apa yang kita baca, lihat dan amalkan hari ini, merupakan diri kita pada 5 tahun akan datang. Moga kita sentiasa memikirkan usaha untuk mencerahkan semula pemikiran masyarakat kita supaya tidak gelap diselimuti fikrah hantu-hantu ini. Wallahu’alam.

     
  2. شاح

    25 Februari 2010 at 10:09 am

    Salam.. Wah,betul.. banyak buah idea dan banyak kita lihat kejumudan media ni terhadap Islam… Orang sekarang kene kutuk secara umum untuk peringatkan mereka. Orang sekarang tak boleh dah nak belembut-lembut.. Insya-Allah, berhikmah boleh…

     
  3. ibnu nafis

    25 Februari 2010 at 10:38 am

    Salam Ustaz,
    Apa yg ustaz tulis menjadi pedoman utk saya mendidik anak-anak buah saya dalam mendalami Al-Quran. Satu persoalan ustaz, tiap kali saya membaca al-Quran, saya akan merujuk kepada tafsirnya agar mengetahui kandungan dalam ayat-ayat itu. Adakah bena apa yg saya lakukan ini ustaz? sekadar meminta pendapat.
    Syukran.

     
  4. siti hani

    25 Februari 2010 at 12:04 pm

    salam…..amat2 bersetuju
    setuju dengan usaha untuk menjadi bahu, bukan hanya telinga dan mata
    Menjadi bahu dengan apa yang kita terdaya,
    oleh kerana saya seorang ibu,dalam konteks ini bermula dengan mengenalkan mereka dengan semua jenis makhluk2 ciptaan Allah dan tabiaat sebenar mereka seawal yang mungkin.
    Pendidikan awal dari tangan ibu dan ayah amat2 penting dan mudah diterima oleh anak.Alangkah indahnya andai semuanya memainkan peranan ini!

     
  5. khairulaznan

    25 Februari 2010 at 2:53 pm

    Salam.

    Alhamdulillah artikel ni banyak memberi idea baru dan membuka minda pembaca seperti saya. Moga tuan sentiasa dikurnia Allah kekuatan untuk menyebarkan Islam dalam pelbagai cara.

     
  6. amieza

    25 Februari 2010 at 8:55 pm

    salam ustaz pahrol..,

    saya telah mengikuti blog ustaz sejak 2 bulan yg lalu. kali pertama saya membaca entri ustaz, saya menangis…saya dah jumpa cahaya untuk menerangi laluan perjalanan hidup saya..saya mengenali ustaz semenjak tahun 1999 melalui latihan majikan saya. tika itu ustaz kata `saya bukan ustaz, saya baru nak stat’..kini saya yakin ustaz adalah seorang ustaz..murabbi yang akan terus membimbing umat di saat-saat umat Islam melalui akhir zaman ini yang penuh dengan fitnah dunia…

    izinkan saya terus membaca tazkirah ustaz dan doakan saya terus istiqomah dan bermujahadah untuk mencari redha Allah s.w.t..

     
  7. zamri

    26 Februari 2010 at 12:46 am

    Slm ustaz,
    Mmg benarlah apa jua kemalasaha umat di akhir byk disumbangkan oleh pengaruh negatif media massa. Bukan saja cerita2 mistik di hidangkan menjadi santapan minda anak malahan cerita2 fiksyen hayalan spt kartun turut di sumbatkan ke minda anak2 kita. Sesungguhnya bukan hanya ana malahan entah berapa ramai lagi ibu/bapa yg turut bimbangkan perkara ini. Jadi apakah pd pandangan ustaz langkah2 yg ana boleh lakukan untuk membendung gejala ini dari terus meracuni anak2 kita.

     
  8. naimul firdaus

    26 Februari 2010 at 4:40 am

    Terasa pentingnya mempunyai ikatan yang kuat dengan Rasulullah SAW. Di waktu ini hadis baginda mula terserlah benarnya; Islam itu datang dalam keadaan asing dan akan kembali dalam keadaan asing, maka berbahagialah orang-orang yang asing..

     
  9. muhammad fakhruddin

    26 Februari 2010 at 11:01 am

    Assalamualaikum Ustaz,
    geleng kepala saya bila tengok cerita-cerita seram,membawa kesimpulan…

    Masyarakat kita ingat agama bila ada kematian,kenduri tahlil+kena rasuk jin…

    Hantu-hantu dari cerita menjadi realit dengan ‘hantu-hantu’ dalam masyarakat,itu lebih seram!

     
  10. Professor

    28 Februari 2010 at 12:47 pm

    Bismillah

    Ana setuju dengan ustaz. perkara ni bukan benda kecil kerana ia melibatkan tauhid dan aqidah. dan perkara yang melibatkan tauhid dan aqidah akan berlarutan kepada amal-amal yang lain kerana tauhid adalah tunjang kepada agama, aqidah adalah ikatan yang sentiasa berhubung rapat dengan tauhid. Sebab tu la berlaku nya sembahyang yang dah bertahun-tahun, tapi tak mencorakkan peribadi, doa yang panjang lebar, tapi tak dimakbulkan. macam mana nak dimakbulkan kalau keyakinan, syuur, dan kebergantungan kepada Allah disalurkan sedikit sebanyak kepada hantu, tangkal, dan perkara2 yang seumpama dengannya. Nauzubillahiminzalik!

    Sekali tengok, nampak macam islamic, ada ayat-ayat quran, orang yang soleh ‘menghalau’ hantu, tapi hakikatnya macam yang ustaz sebutkan, semua tu hanyalah tempelan kepada cerita yang penuh dengan unsur yang jahiliyyah. kehidupan yang digambarkan dalam cerita tersebut bukannya kehidupan Islam yang syumul, tapi ianya Islam yang ritual. solat, tahlil, kematian, dan sebagainya.

    Mungkin ustaz boleh explainkan tafsir 3 Qul dalam tulisan ustaz selepas ni sebagai satu solusi untuk aqidah yang terkeliru hari ini. Wallahu’alam..

     
  11. hrysobah

    1 Mac 2010 at 7:51 am

    assalamualaikum ustaz,
    saya mempunyai ramai kawan yang suka tonton cerita hantu ni, bila ditanya
    “kenapalah suka sangat tonton cerita hantu ni?” ditempelaknya balik “takut ke?”
    akhirnya lidah kelu. tapi rasanya dengan ada tulisan ustaz ini, insyaallah dapat saya gunakan untuk membuka minda rakan-rakan saya. terima kasih ustaz,

     
  12. rosma

    1 Mac 2010 at 9:12 am

    Salam ustaz..

    Terima kasih ats setiap peringatan yg diberikan..hantu sebenar berada d dlm diri kita..sifat2 mazmumah yang membentuk perangai seperti hantu dan kekadang lebih dr hantu sering diabaikan..media kini tidak memerhatikan proses untuk membaiki hati masyarakat..malah memomokkan masyarakat dgn cerita yg tidak mendatangkan manfaat pun kpd generasi ummah…wallahu ‘aalam..

     
  13. betik_muda

    26 Mac 2010 at 3:04 am

    hantu dalam diri?kupasan yang menarik.moga2 penulis dan penerbit drama mistik baca la entri ustz ni..
    amin..

     
  14. halman

    28 Mei 2010 at 6:37 pm

    Askum ustz….
    Terima Kasih atas penerangan yg ustz dedahkan ini. Ianya..benar2 telah memberi pemahaman pada sy tentang hantu dlm diri manusia berbanding hantu yang sebenarnya.Semoga Allah sentiasa bersama ustz dlm apa yang diperjuangkan.

     
  15. pujangga islam

    8 November 2010 at 5:30 pm

    saya amat tertarik dengan articel ustaz…boleh izinkan ana copy untuk manfaat bersama..

     
  16. kesidang

    16 Februari 2011 at 9:33 pm

    bila la ustaz nak paparkan entri baru yang ‘berhantu’ ni…..
    ih!ih!ih!
    tak sabau ler……

     
  17. Culbert

    14 September 2011 at 9:29 am

    fantastic site. appreciate your this excellent publish. i have fun here lots.

     
  18. Menuju Redha Allah

    1 Mac 2012 at 11:52 pm

    MasyaAllah, Ustz Pahrol rupenye…dlu msa skolah menengah slalu dngr lgu brunsur agama…belek2 kt lirik bwah ada nama Pahrol Mohd Juoi…..tjumpa entri ini setelah carian google saya ” mengapa setiap malam jumaat dikaitkan dengan hantu”……Saya juga kurang senang dgn skeptikal cerita hantu di tv sekarang….

     

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: