RSS

… KERANA DI SITULAH KEINDAHAN HIDUP!

13 Feb

Sering saya ungkapkan takdir sentiasa mengatasi tadbir. Justeru takdir itu daripada Allah Yang Maha Perkasa manakala tadbir daripada manusia yang lemah tidak berdaya. Namun itu bukan bererti kita lemah dan pasrah… jadi “Jabariah” dalam hidup itu. Atau mengaku super hingga terjebak dalam “Qadariah” ketika merasakan diri bebas daripada ikatan Allah. Kita umat pertengahan – ahli sunnah yang gigih mengatur sebaik tadbir, sekali gus menghulur setulus doa untuk dikurniakan Allah sebaik takdir!

Sejak awal tahun lagi saya ditakdirkan banyak bersama remaja. Daripada anak-anak sendiri, mahasiswa IPTA dan IPTS , ekskutif, usahawan sehinggalah pengacara TV. Banyak yang saya sampaikan dan banyak juga yang saya belajar. Saya bersyukur kerana jiwa jadi lebih dinamik dan bertenaga ketika diterjah oleh pelbagai persoalan oleh mereka. Antara soalan yang kerap ditanyakan ialah apa yang hendak kita lakukan apabila ada sahaja yang tidak kena dalam hidup ini…

Untuk anak-anak, adik-adik, remaja dan “retua” juga saya hadiahkan tulisan ini:… KERANA DI SITULAH KEINDAHAN HIDUP!

Ada ketika-ketikanya, kita terasa apa yang dibuatnya serba tidak kena. Pada hari, minggu atau bulan yang malang itu, kecelakaan seolah-olah datang timpa menimpa. Bagun Subuh lewat, baca Quran luput, solat resah, dimarahi oleh bos, duit gaji lambat, bergaduh dengan kawan, tayar motosikal meletup dan macam-macam lagi. Jadi, kalau demikian halnya, apa yang sebenarnya tidak kena? Dan bagaimana hendak membetulkan keadaan? Hendak bermula dari mana? Wah, pening kepala dibuatnya.

Mungkin anda juga pernah mengalami situasi begini, dan tentu sahaja kita tercari-cari panduan bagaimana hendak membetulkan semula semua keadaan yang bercelaru itu? Dalam apa jua keadaan, remaja hendaklah faham bahawa bila keadaan tidak seperti yang diingini, langkah kita bukanlah mengubah keadaan itu tetapi terlebih dahulu mengubah diri kita sendiri. Ramai orang tersilap, justeru mereka hendak mengubah keadaan luaran sebelum mengubah diri sendiri. Sunahtullahnya tidak begitu.

Dalam apa jua kondisi, mengubah diri itu perlu diutamakan kerana itulah yang akan mengubah keadaan yang kita hadapi. Jadi, apabila berdepan dengan masalah kewangan, dimarah ayah-ibu, tayar motor yang meletup, bergaduh dengan kawan-kawan… hendaklah diingat, ubahlah diri kita sebelum cuba mengubah perkara-perkara yang di luar diri kita. Pertama, remaja perlulah memahami bahawa kehidupan ini disusun dengan satu peraturan yang sangat rapi dan saling berkait rapat antara satu sama lain. Peraturan ini dinamakan Sunnatullah. Barat menamakannya ‘law of nature’. Hukum Sunnatullah ini juga dikenali sebagai ‘cause and effect’ (sebab dan akibat). Hukum ini bukan sahaja berlaku dalam bidang fizik, biologi, ekonomi dan lain-lain.

Malah ia juga berlaku dalam putaran kehidupan. Allah swt telah mengaturkan bahawa setiap akibat yang berlaku mesti mempunyai sebab atau punca. Jika seseorang itu bersedih, tentu terdapat sebab-sebab yang menyebabkan dia bersedih. Jika dia gembira, tentu terdapat sebab-sebab yang menyebabkan kegembiraan itu. Oleh itu jika kita dapati kehidupan kita seperti serba tidak kena, maka hendaklah kita akui bahawa mesti terdapat sesuatu sebab yang menyebabkan keadaan yang serba tidak kena itu. Sebelum mencari di mana penyebabnya, kita hendaklah terlebih dahulu mengakui akan ujudnya penyebab itu.

Tidak mungkin kita akan menemui sesuatu yang kita cari jika kita menafikan akan kewujudannya. Jadi, langkah awal mengubat sesuatu yang tidak kena ini ialah membuang sikap ego. Maksud ego di sini ialah kita mengatakan atau menganggap tiada ‘penyebab-penyebab’ pada keadaan yang serba tidak kena itu. Ramai antara kita yang merasa ego, dengan berkata, “entahlah… saya tidak tahu apa yang tidak kena lagi, semuanya sudah saya lakukan, tapi gagal juga. Dah nasib…” Atau ada yang berkata, “ tak mungkin jadi begini, semuanya sudah ok sejak mula, tiba-tiba sahaja jadi begini?”

Cakap-cakap yang seumpama ini sungguhpun biasa kita dengar namun, jika diteliti ia jelas bermaksud yang penuturnya seolah-olah tidak mahu mengakui ada kesalahan yang menyebabkan sesuatu yang negatif berlaku. Ada juga orang yang mengakui adanya penyebab-penyebab tertentu tetapi penyebab itu adalah orang lain. Bukan dirinya. Ini juga satu petanda ego. “Saya tidak salah, yang salah bapa saya, kawan saya, motor saya…” Ketahuilah, sikap reaktif ini tidak akan menyelesaikan masalah. Bahkan akan menambah masalah. Apa yang perlu kita cari ialah kesalahan diri kita sendiri.

Kita tidak boleh terus menyalahkan orang lain di atas apa yang menimpa kita. Hidup kita adalah tanggung jawab kita justeru apa yang berlaku dalam kehidupan adalah pilihan kita sebenarnya. Orang boleh menimpakan sesuatu ke atas kita, hanya apabila kita ‘mengizinkan’ ia berlaku. Yang menyebabkan kita susah hati, bukan kemarahan teman-teman, tetapi apabila kita mengizinkan kemarahan teman itu menyusahkan diri kita. Secara pro-aktif, kita boleh memilih respon kita pada sebarang situasi dalam hidup… Bila dimarahi, kita boleh memilih untuk sabar dan berdiam diri, atau marah dan bertindak-balas… terpulang!

Kitalah yang menjadi penyebab utama kepada berlakunya sesuatu akibat. Kita perlu mengetahui, mengetahui dan mencari kesalahan itu dalam diri sendiri. Oleh itu, bila ditimpa masalah maka muhasabah tentang perlakuan kita di semua dimensi. Dimensi hubungan kita dengan Tuhan, manusia, pekerjaan, kewangan, kesihatan, tanggung jawab dan peranan yang telah diamanahkan bagi kita melaksanakannya. Telitilah terlebih dahulu soal-soal besar dalam hidup kita tetapi jangan lupa… soal-soal kecil juga kadangkala memberi impak besar untuk menyumbangkan sesuatu yang tidak kena dalam kehidupan.

Sekali lagi diingatkan, dalam mencari penyebab-penyebab atau punca-punca masalah, kita jangan hanya bertumpu mencari penyebab-penyebab yang besar. Sebaliknya carilah penyebab-penyebab yang kecil-kecil. Kita boleh umpamakan diri sebagai seseorang yang sedang berjalan. Jarang orang terjatuh akibat terlanggar batu-batu besar. Sebaliknya ramai yang terjatuh apabila terpijak batu-batu kecil, kulit pisang dan sebagainya. Penyebab-penyebab yang kecil sebenarnya boleh memberi ‘impak’ atau kesan yang beransur-ansur.

Kita mungkin tidak nampak atau tidak perasan pada awalnya, tetapi secara tiba-tiba sahaja keadaan sudah menjadi buruk. Ingatlah, menyelesaikan masalah harus dilakukan persis bagaimana ia bermula. Contohnya, berat badan kita tidak menambah 10 kilogram dalam jangka masa sehari dua. Tetapi ia bertambah sedikit demi sedikit. Maka, untuk mengatasi masalah berat badan itu, tindakan untuk mengurangkannya pun mesti dilakukan secara beransur-ansur.

Adalah mustahil untuk mengubahnya secara mendadak. Sesuatu yang runtuh secara beransur-ansur perlu dibina secara beransur-ansur juga. Barulah tindakan kita nanti akan berhasil. Misalnya kita menghadapi masalah bajet yang tersasar daripada apa yang ditetapkan. Kita perlu sedar bahawa kebiasaannya ‘terlebih bajet’ ini bukanlah disebabkan ‘kebocoran’ perbelanjaan yang besar-besar.

Sebaliknya ia berpunca daripada sikap tidak mengambil berat perbelanjaan yang kecil-kecil – yakni wang yang kita keluarkan untuk membeli barang-barang yang tidak perlu tetapi murah harganya secara tidak menentu masanya. Perbuatan inilah yang sebenarnya memberi kesan besar yang buruk kepada bajet kita. Tawaran harga murah pada sesuatu barang menyebabkan kita mula hilang pertimbangan dan mula membeli bukan atas dasar keperluan, tetapi sebab murahnya barangan itu.

Begitu juga buat remaja yang menghadapi masalah kegemukan. Kegemukan tidak pernah berlaku secara drastik. Ia berlaku secara beransur-ansur hingga ke satu tahap, barulah kita terkesan bahawa berat badan kita sudah ‘over’. Jangan cuba mengubahnya secara mendadak. Kita pun mula bersenam secara ‘maraton’, menjalani skim diet yang terlalu ketat dan macam-macam lagi tindakan yang agresif dan ekstrem. Apa jadi akhirnya? Kita kecewa, kita mengalah dan akhirnya berputus asa bila melihat kesannya tidak seberapa.

Ya, segalanya perlu diubah secara perlahan-lahan, misalnya dengan mengubah cara pengambilan makanan, menukar kepada menu yang sihat dan bersenam secara ringan tetapi konsisten. Jangan sekali-kali membiarkan perut kosong pada jangka waktu yang lama, ini akan menyebabkan kita mudah mendapat penyakit ulser atau gastrik pula. Oleh itu, bertindaklah secara bijak dan beransur-ansur. Ini lebih ringan dan realistik untuk mengubah keadaan! Seperkara lagi ketika hendak memulakan sesuatu proses perubahan, jangan sesekali kita memikirkan kesempurnaan.

Kelak, kita mungkin tidak akan memulakannya langsung. Oleh itu, bermulalah dengan membuat perkara-perkara yang kecil dahulu. Untuk memperbaharui penampilan diri misalnya, janganlah diharapkan wajah, bentuk dan gaya anda seperti bintang filem dalam masa yang singkat. Anda akan kecewa jika mengimpikan kesempurnaan yang semacam itu. Sebaliknya, buatlah yang terbaik pada skala diri anda sendiri. Jangan bandingkan kita dengan orang lain secara tidak sihat.

Cuba bayangkan penampilan diri sendiri yang paling bergaya, cantik dan menarik – jadilah anda yang terbaik. Itu pun secara beransur-ansur. Jangan mengharapkan kesempurnaan, kerana ini akan membantutkan semangat anda untuk menangani masalah penampilan diri itu. Elakkan daripada cepat berputus asa dan hendak melihat hasil yang segera. Jangan naik anak-tangga secara berlari. Ada kalanya perubahan yang kita telah berbuat itu sudah pun menunjukkan kesannya, cuma ia belum kelihatan.

Konsep ini sama seperti ketika kita hendak mencairkan air batu dengan cara memanaskannya. Menurut hukum fizik, sekiranya mula memanaskannya, molekul-molekul air itu sudah pun bergerak. Tapi sedikit demi sedikit. Pada mulanya ia seakan-akan tidak ada tindak balas tetapi lama kelamaan, air batu tiba-tiba terus retak dan mula mencair. Ya, barulah kesannya nampak, walaupun sejak mula memanaskannya tadi, sebenarnya itu telah pun memberi kesan, cuma tidak nampak…

Ingat, sikap hendak melihat kesan yang cepat menyebabkan kita mudah kecewa dan patah semangat di sekerat jalan. Akhirnya, kita perlu sedar, hidup ini bagaikan satu siri gelombang yang datang secara bergilir-gilir. Ada ketikanya, gelombang kecil dan tenang dan ada ketikanya gelombang itu besar dan ganas. Pada ketika gelombang itu ganaslah, semuanya terasa serba tidak kena. Tuhan menetapkan bahawa setiap manusia itu tidak akan mendapat kesenangan sahaja atau kesusahan sahaja. Masing-masing daripada kita akan mengalami pasang-surut dalam hidup – ada masa senang, ada masa susah.

Justeru dalam kehidupan ini, kita tidak boleh terlalu gembira kerana selepas kegembiraan itu mungkin muncul kesusahan. Begitu juga kita tidak boleh terlalu sedih bila kesusahan kerana mungkin selepas itu Allah swt datangkan perkara-perkara yang menggembirakan. Kesedaran tentang hukum Sunnahtullah ini akan memberi ketenangan dalam hidup.

Apabila kita ditimpa kesusahan, rasakan dalam hari… ya, selepas ini akan datang kesenangan. Sabarlah sebentar. Dan apabila datang kesedaran, kita tetap tidak alpa… ya, selepas ini akan datang kesusahan. Bersiap-sedialah. Hakikatnya, tidak ada kesenangan dan kesusahan yang abadi di dunia ini. Kehidupan adalah satu perubahan yang berterusan…

Cabaran kita bukan untuk mengawal perubahan itu tetapi mengubah diri bagi menyesuaikan diri dalam setiap keadaan yang berubah-ubah itu. Fahamilah hakikat ini. Bila yang dibuat ‘serba tidak kena’ itulah hakikatnya satu kehidupan. Hidup bukanlah yang serba kena, serba senang dan serba mudah. Hidup tidak selalu indah, justeru di situlah keindahan hidup!

 
33 Komen

Posted by di 13 Februari 2010 in Tarbiyah

 

Label: , , , , , ,

33 responses to “… KERANA DI SITULAH KEINDAHAN HIDUP!

  1. SUE

    13 Februari 2010 at 10:09 am

    Assalamualaikum ustaz….. TAHNIAH & TERIMA KASIH……… kerana telah berjaya menyedarkan diri yang alpa ini dalam mencari erti dan tujuan hidup sebenarnya……… saya sentiasa menunggu nukilan baru dari Ustaz sebagai pedoman…….sebab saya tahu apa yang ustaz zahirkan adalah lahir dari hati yang suci……….Terima kasih ustaz.

     
  2. شاح

    13 Februari 2010 at 10:09 am

    Assamualaikum.. Terima kasih kerana hadiah.. Penulisan Tuan memang hadiah buat kami semua dari dulu lagi.. Bila yang dibuat ‘serba tidak kena’ itulah hakikatnya satu kehidupan. Hidup bukanlah yang serba kena, serba senang dan serba mudah. Itu lah kehidupan dan sebab itu Allah aturkan kehidupan ini pada manusia yang mana dalamnya penuh dengan keujian kesabaran dan keujian kesenangan.. Bila kita susah,senang,hidup mewah, miskin dan segalanya di dunia ini ada alah ujian.. Jadikan hidup di dunia mengutip ilmu dan menyampaikannya agar kita peroleh satu daripada 3 dari amalan yang tak putus walaupun kita dah meninggal dunia…

     
  3. Yusra

    13 Februari 2010 at 11:45 am

    Salam..

    Subhanallah..Syukran utk entry kali ini ustaz!..alhamdulillah sedikit sebanyak ketenangan dirasai setelah merasai secebis asam garam kehidupan fana ini.Smg terus diberi idea dlm penulisan2 seterusnya & Smg penulisan2 ustaz Diberkati & membawa manfaat kepada semua.Amin.

    Syukran Kathir!

    Wallahualam.

     
  4. aziza

    13 Februari 2010 at 2:04 pm

    Salam ya Ustaz yg di rahmati Allah.. teruskan menulis, menulis dan terus menulis..ajarilah hati2 yang degil ini.. sungguh indah bahasa yang mudah.. meresap ke hati..menusuk ke kalbu..menetap di jiwa… Ya ALLAH.. bantulah diri ini, lekatkan semua ilmu mengajar hati dan sanubari yang sering goyah dengan cabaran2 hidup ini..

    Hai hati.. jika dengan ajaran ini kau menjadi tenang.. bacalah ia selalu..
    hai hati.. jika dengan coretan ini kau menjadi faham akan bahasa cabaran dan dugaan Allah.. terokailah ia selalu..
    Ustaz.. tulis lagi nanti ye.. salam ustaz..

     
  5. mak teh nor

    13 Februari 2010 at 2:29 pm

    salam. tahniah ust, pengisian yang ckup bagus… motivasi yang baik untuk dikongsi bersama. saya pun jujur mengaku kdg2 jadi lost bila dtg keadaan yang xdiduga, rasa malu bila di fikirkan kembali bila diri tenang. rasa dangkalnya akal, nipisnya iman tapi mengaku diri muslim…moga kita sentiasa di bawah rahmatNya. Ameen

     
  6. dinardaneal

    13 Februari 2010 at 4:24 pm

    Semoga ianya menjadi motovasi untuk ku mencari keredhaan Allah.Amin

     
  7. farhha

    13 Februari 2010 at 9:24 pm

    syukran jaziilan ustaz utk tulisan ini,
    mengubat hati yg resah, gundah gulana…

     
  8. Murtadha Rafaai

    14 Februari 2010 at 12:28 am

    Ustaz,really inspiring for me as Muslim teenager..
    Thanks for this precious sharing…
    Jazakallah Khairan Jazak

    =)

     
  9. seorang da'ie

    14 Februari 2010 at 3:29 am

    Kejayaan yang diraih, atau kegagalan yang menimpa dapat ditelusuri jauh ke dalam diri, arkitek sebenar di sini ialah diri kita sendiri, bukan orang lain. Semua manusia mempunyai diari dan catatan perjalanan sendiri, bagi mereka tanggungjawab adalah beban dan memberi masalah. Padahal, tidak seorang pun tidak pernah merasakan kebebasan setelah berani memikul sesuatu amanah. Amanah kita sekarang ialah terhadap diri dan agama.

    Ramai di kalangan sahabat, masih tercari-cari ‘pulau persinggahan’ sebenar, secocok dengan diri, kehendak diri, naluri iman. Perahu yang dikemudi tidak selama-lama berdaya mengayuh melawan badai mendatang, tapi bila mengenangkan nasib diri nun masih jauh lagi meneropong pulau persinggahan idaman, serasa sudah hilang minat untuk mengayuh, biarlah mati keseorangan di tengah-tengah samudera bahaya, tenggelam dipukul ombak.

    Dalam suka ada sengsara, dalam duka pula ada kebahagian. Setiap daripada kita ada jalan cerita sendiri, dan rakaman hidup pada kedua-dua keadaan ini. Sebaik sahaja, diri dilahirkan di dunia, mahu atau tidak kita pasti berhadapan susahnya menghabiskan sisa-sisa hidup. Orang yang hidup lebih dahulu daripada kita hanya mampu tinggal pesan, suri teladan agar kita mampu mentadbir diri, dan keluarga.

    Buatlah pilihan terbaik pada diri kita, tinggal lagi mahu atau tidak.

    wallahu ‘alam.

     
  10. adilah

    14 Februari 2010 at 5:24 pm

    salam..alhamdulillah..keindahan hidup itu adalah apabila hidup x selalu indah..betul3..hm,kadang2 manusia xsabar bila ditimpa sesuatu..sebenarnya, bila ditimpa kesusahan umpanya..kita hanya perlu bersabar dan berfikir..nanti pasti akan ALLAH tunjukkan kebesaran dan kekuasaanNYA..jadi, sabar ye…n senyum dan positif selalu =)

     
  11. naimul firdaus

    14 Februari 2010 at 11:02 pm

    salam ziarah..

     
  12. [husnanajihah]

    15 Februari 2010 at 9:36 am

    salam ustaz..
    pengalaman hidup m’buat sy b’fikir,
    dan bertanya pada diri,
    sudah cukupkah tadbir diri utk mendapat takdir yg terbaik,
    dan satu perkara yg diperoleh drpd masalah dlm hidup,
    masalah itu satu pengalaman dan,
    pengalaman mematangkan.

     
  13. gentarasa

    15 Februari 2010 at 8:57 pm

    Salam sue,
    Masya-Allah. Saya juga ucapkan terima kasih atas dorongan sue untuk saya menulis. Menulis untuk orang lain dalam usaha memperbaiki diri sendiri. Ya, mudah-mudahan Allah jua izinkan kita menulis dan membaca dari hati.

     
  14. gentarasa

    15 Februari 2010 at 8:59 pm

    Salam Shah,
    Hidup kita hanya sebentar. Tidak ada kesenangan dan kesusahan yang mutlak dan berkekalan. Sanggup datang, sanggup pula dipanggil pulang. Hidup adalah untuk diuji… itulah erti hidup yang hakiki. Dalam susah pasti ada senang. Dalam senang pasti ada kesusahan… Kita hanya hamba!

     
  15. kasih

    15 Februari 2010 at 10:30 pm

    Salam ukhuwah untuk Ustaz..
    Syukran, tulisan ustaz banyak mmbantu untuk sy memahami nilai kehidupan. Semoga terus diberi ilham oleh Allah dlm menerbitkan karya2 yg bermutu.

     
  16. husnaizzati

    16 Februari 2010 at 11:54 am

    salam..ustaz..terima kasih atas entri ustaz ini..banyak memberi saya kekuatan untuk bangkit kembali dari uijan yang sedang melanda..saya asyik berfikir kenapa hal ini terjadi pada saya..membuatkan saya murung dan rendah diri…mungkin Allah ingin mentarbiyah saya melalui takdir ini…tq ustaz..

     
  17. norreha othman

    17 Februari 2010 at 11:23 am

    salam ustaz…jutaan ribuan kasih saya ucapkan ..sejak mengujungi blog ustaz saya berasa lebih yakin dengan ujian yang saya hadapi sekarang…saya melihat kearah yang lebih positif.etri2 ustaz amat bermakna kepada saya yang jahil ini …untuk terus menjadi hamba Allah dan khalifah di muka bumi ini…terima kasih!!

     
  18. Haniff Ismail

    18 Februari 2010 at 7:20 am

    Presenting my very best because i know that some day I have to go…
    Syukran ustaz..

     
  19. ibnu nafis

    18 Februari 2010 at 2:24 pm

    Salam Ustaz,
    terima kasih di atas penulisan di atas. Bagus untuk dijadikan petunjuk bg org yg mudah berputus asa. Syukran ustaz..

     
  20. zalwaniza zulkifli

    18 Februari 2010 at 5:42 pm

    salam ustaz…terima ksh atas coretan diatas memberi satu kekuatan buat diri sy selapas di timpa musibah… ujian dan dugaan dari Allah SWT.

     
  21. musdalipah

    19 Februari 2010 at 11:02 am

    Ustaz,
    Terima kasih atas tulisan artikel ini. Sangat membantu & menyedarkan.

     
  22. misya

    19 Februari 2010 at 8:47 pm

    salam ustaz….

    karya ustaz begitu dalam maknanya utk diri sy…terima kasih ustaz…

     
  23. haizad

    23 Februari 2010 at 11:55 am

    benarlah pa yang diperkatakan oleh ustaz. manusia mmg mudah alpa. bila baca rasa bersemangat pula. beban masalah rasa ringan. Thank ustaz

     
  24. e-man

    23 Februari 2010 at 2:38 pm

    Salam Ustaz,
    Semua insan di dunia inginkan kesenangan dan kebahagiaan. Justeru, kekadang bila saya melalui hari dengan mudah pada satu2 hari itu, rasa bersyukur teramat sangat!. Manakan tidak, setiap hari sebelum memulakan hari baru, saya sentiasa berdoa demi kebaikan sepanjang hari pada hari tersebut. Kekadang saya terlalu takut jika Allah tidak menyayangi saya bilamana saya tidak ditimpakan ujian walau sebutir zarah pada hari-hari yang saya hadapi? mintak ustaz jelaskan sedikit kemusykilan…terima kasih banyak

     
  25. umat

    4 April 2010 at 10:42 pm

    Semoga Allah memberkati hamba-hamba yang mengharap padaNya…ameen

     
  26. gentarasa

    5 April 2010 at 6:05 pm

    Salam umat,
    Amin untukmu juga. Semoga terus dipimpin Allah.

     
  27. halman

    26 Ogos 2010 at 6:27 pm

    Askum
    Kehidupan di dunia adalah suatu perjalanan yang semntra menuju kehidupan akhirat. Amalan adalah bekalan menuju kesana…….samada baik dan jahat bergantug kpd diri kita pembuatnya. Keindahan hidup memg diimpikan semua manusia namun secara tdk langsung kesulitan dan kesedihan dtg bertamu. Untuk menemui keindahan hidup yang sejati kita perlulah bersedia menghadapi sunnatullah ini dengan redha dan tabah mengikut ajaran Allah dan asuhan RasulNya…….Inilah pengajaran yang saya perolehi drp penulisan ini.
    Terima kasih Ustaz……

     
  28. pujangga islam

    9 November 2010 at 10:00 pm

    Assalamualaikum ustaz..
    Saya ingin meminta izin dengan ustaz…untuk share ilmu ini di blog saya dan blog rakan2 saya..moga ALLAH m’balas jasa baik ustaz….manfaatkan ilmu bersama…

     
  29. haliza bt osman

    4 Januari 2011 at 9:45 pm

    ..salam..
    tahniah usatz n mkase..
    act, sy suka baca tulisan ustaz..myb utk membeli buku2 ustaz sy blm berkesempatan, namun, membaca di blog tulisan ustaz ni pun cukup membahagiakan sy..syukran..

     
  30. myrol

    15 Disember 2012 at 12:10 am

    salam ustaz…brsyukur kpda Allah krana mmberi peluang kpda saya(hamba yg kerdil) ini utk mmbaca artikel ustaz…sesungguhnya artikel ini telah memberi kembali semangat utk saya truskn prjuangan saya di bumi Allah ini….tq ustaz

     
  31. Nur jannah

    20 Januari 2014 at 4:33 pm

    keindahan hidup ialah bila kita telah mendapat keredhaan ALLAH…bila dimurkai ALLAH Terasa tidakindahnya kehidupan ini.tidak ada gunanya hidup jika dimurkai allah….masih banyak yang kita tidak lakukan untuk mendapat redha ALLAH…..Adakalanya kita terleka dengan kehidupan dunia,hingga lupa tujuan kita dihidupkan di dunia…..tempat kembali sebenar-benarnya adalah di sana.

     

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: