RSS

BERCINTALAH BERKALI-KALI

05 Jan

Melalui pengalaman, semakin meningkat usia perkahwinan perempuan jadi semakin becok tetapi lelaki sebaliknya jadi semakin pendiam. Watak wanita yang pemalu bertukar menjadi peleter kerana kerenah anak-anak dan urusan rumah tangga yang terus bertambah dan bertambah – perjuangan yang tidak selesai-selesai. Manakala lelaki yang dulunya, ceria dan banyak cakap, perlahan-lahan menjadi pendiam (ada kalanya muram) apabila beban penanggungan keluarga semakin bertambah.

Ya, jika tidak dikawal, ujian dan beban rumah tangga akan menyebabkan suami isteri menjadi semakin “bisu”. Isteri mungkin sibuk bercakap itu dan ini dengan anak-anak tetapi kehilangan suara dan kata bila berdepan dengan suami. Suami apatah lagi, jika di luar rumah pun sudah semakin pendiam di dalam rumah lebih-lebih lagi. “Mati kutu” memanjang.

Pernahkah kita kehilangan kata-kata apabila bertemu dengan isteri atau suami? Bukan hendak menyebut kata-kata sayang, cinta dan kasih lagi, malah sekadar untuk bertanya khabar pun sudah terlalu berat. Lidah jadi bungkam. Seolah-olah tidak ada apa-apa yang hendak diperkatakan lagi. Lalu rumah tangga menjadi sepi. Masing-masing leka dengan hal sendiri. Seolah-olah sudah tidak ada apa lagi yang boleh dikongsi.

Kekadang perasaan itu datang kerana kerap kali apabila suami bersuara hendak meluahkan masalah, isteri membalasnya dengan selamba. Ah, masalah aku lebih besar. Atau terdetik di hati, balik-balik yang itu juga. Bosan. Begitu juga bagi pihak suami, sudah lali mendengar “siaran ulangan” yang kerap diperdengarkan isteri. Masalah anak, masalah kesihatan, masalah wang… tidak ada cerita baru!

Ada kalanya duduknya rapat-rapat, tetapi sudah tidak bertemu lagi. Masing-masing menonton TV, dari awal rancangan hinggalah tamat siaran, tetapi tidak ada yang dibualkan. Tidak ada yang dapat dikongsikan. Boleh jadi dalam kereta, sisuami sibuk memandu, di sebelahnya isteri membisu. Muram tanpa reaksi atau respons. Mujur masih ada anak-anak yang menjadi “mediator” secara tidak rasmi, terhubung jugalah kata-kata atas apa yang ditimbulkannya. Bila anak tiada, keadaan pun menjadi sepi semula.

Oh, maaf… saya tidak bercakap tentang “orang baru” yang masih berbulan madu, ketika itu segala-galanya indah sahaja. Perkara yang kecilpun boleh menjadi topik perbualan yang berjela-jela. Sejak senja melabuh tirainya hingga terkuak mentari pagi, cerita tidak habis-habis lagi. Ini cerita orang lama. Apakah kehilangan kata-kata menunjukkan kehilangan cinta? Mana yang lebih tepat, cinta yang melahirkan kata-kata atau kata-kata yang melahirkan cinta?

Bagi saya, kedua-duanya betul dan patut dipraktikkan. Benar, sewaktu mula bercinta dahulu, cintalah yang melahirkan kata-kata, tetapi apabila cinta telah lama bermula dan ingin diperbaharui semula, kata-katalah yang perlu diluahkan untuk mengharumkan cinta. Ingat kita bercinta bukan hanya sekali tetapi kita perlu bercinta berkali-kali.

Apa maksudnya? Maksudnya, kita perlu bercinta berkali-kali dengan orang yang sama (isteri kita). Cinta itu perlu diperbaharui. Perbaharuilah cinta dengan luahan kata-kata yang baik. Jangan membisu, jangan menjadi tuli. Sentiasa jadi lidah yang menuturkan kata-kata yang baik dan telinga yang sentiasa terbuka mendengarnya.

Kata bijak pandai, the first duty of love is to hear – tugas cinta yang pertama ialah untuk mendengar. Itu betul, tetapi jika tidak ada apa yang hendak diperkatakan apa pula yang hendak kita dengarkan? Jadi untuk menjadi pendengar, mesti ada “penuturnya”. Kata-kata yang baik umpama sedekah, kita mesti ringan mulut untuk memulakannya. Ada kalanya berdiam diri tidak terpuji, apatah lagi jika sudah ke tahap menimbulkan sangsi.

Ada orang yang petah dan becok bercakap dengan orang lain di tempat kerja, tetapi bertukar jadi pendiam di dalam keluarga sendiri. Sikap peramahnya boleh bertukar jadi pemarah bila di rumah. Marah yang tertahan itulah kekadang menimbulkan diam yang panjang. Lama-kelamaan, jika tidak diuruskan baik, marah terpendam akan menjadi dendam. Dendam itulah yang akan mewujudkan diam yang panjang!

Di dalam ilmu pengurusan komunikasi ada hukum yang dinamakan “hukum 24 jam”. Hukum ini menyatakan jangan dibiarkan krisis yang berlaku antara rakan sekerja melepasi temph 24 jam. Mesti ada di antara mereka (seelok-eloknya kedua-duanya) bertindak memecahkan kebuntuan itu dengan mengambil inisiatif menegur, memandang atau memberikan sebarang reaksi atau petunjuk ingin berbaik-baik semula.

Jangan malu alah untuk memulakan. Justeru, jika tempoh 24 jam sudah berlalu, dan tidak ada sebarang inisiatif dilakukan, maka peluang untuk berbaik-baik semula akan menjadi lebih sukar. Maka begitulah dalam sebuah rumah tangga, teguran dan percakapan yang pertama untuk mengujudkan kemesraan semula setelah lama membisu adalah sangat mahal harganya. Percayalah inilah termasuk dalam tuntutan menghubung silaturahim yang sangat besar pahalanya di sisi Islam. Dalam Islam, siapa yang memulakan langkah untuk memberi satu kebaikan sesungguhnya mendapat ganjaran yang lebih besar daripada pihak yang menerimanya. Sebab itu, orang yang datang berziarah lebih tinggi kedudukannya daripada orang yang diziarahi.

Maka begitulah dalam rumah tangga. Untuk bercinta lagi, luahkanlah kata-kata yang baik untuk mencairkan prasangka, meleburkan curiga dan memadamkan dendam. Cari-carilah topik yang menarik untuk diperbualkan. Antara kaedahnya ialah:
• Berdoa untuk Allah ilhamkan kata-kata yang baik dan menarik semasa memulakan perbualan.
• Menerima dan berkongsi hobi dengan pasangan.
• Ulas apa yang anda dengar, lihat atau baca dengan pasangan serta kaitkan dengan situasi terkini dalam rumah tangga.
• Sekali-sekala masak bersama resipi kesukaannya.
• Jangan prasangka dan curiga dengan selalu memaafkan selagi pasangan tidak melanggar syariat.
• Amalkan peraturan 24 jam. Jangan biarkan “gencatan suara” melebihi masa 24 jam. Mujahadahlah untuk meminta maaf secara resmi atau tidak resmi.
• Tempoh-tempoh yang dirasakan sukar dalam perhubungan hendaklah diisi dengan amalan habluminallah seperti solat, munajat dan taubat. Jangan selesaikan masalah dengan satu masalah lain.

Pernah satu ketika seorang Sahabat memberitahu Rasulullah s.a.w. akan rasa sayangnya kepada seorang sahabatnya yang lain. Rasulullah pun bertanya semula, apakah dia telah memberitahu sahabatnya itu tentang rasa kasihnya. Sahabat itu menjawab bahawa dia belum berbuat demikian. Lantas, Rasulullah pun berkata, “Pergilah kamu kepadanya dan nyatakanlah bahawa kamu mengasihinya.”

Jika anda menyayangi seseorang, nyatakanlah. Dalam rumah tangga, seorang suami harus menyatakan kasih sayang kepada isterinya. Begitulah sebaliknya. Tetapi saya kurang setuju jika perkataan “sayang” itu diluahkan berulang-ulang. Pernah saya terdengar seorang suami memarahi isterinya dengan perkataan sayang. “Yang, dah berapa kali saya bagi tahu jangan buat macam ni. Kenapa awak degil lagi?” Begitulah herdik sisuami sambil menjegilkan mata dan meninggikan suara. Bagaimana? Apakah panggilan sayang sebegitu masih romantik lagi?

Kasih sayang ini boleh dinyatakan dengan pelbagai cara mengikut kesesuaian keadaan dan masa. Pertama, secara tindakan, kedua secara lisan. Sayang yang dilahirkan dalam bentuk tindakan itu lebih besar impaknya berbanding secara lisan. Jangan menanam tebu di mulut tetapi menyembunyikan racun di hati. Buktikan sayang, dengan perbuatan kerana cinta itu perbuatan (love is a verb) bukan perkataan. Namun, alangkah indahnya jika perbuatan yang baik diiringi juga dengan perkataan yang baik.

Sayangnya, ramai suami atau isteri telah melakukan kesilapan. Kesilapan mereka bukannya tidak menyayangi pasangan, tetapi tidak ataupun semakin kurang meluahkan rasa sayang itu dalam bentuk perbuatan ataupun kata-kata. Kita tersilap kalau beranggapan sekali bercinta, tetap cinta selamanya. Yang sebenarnya, cinta yang kekal abadi ialah cinta yang dibuat berkali-kali. Berkali-kali bercinta, baru cinta itu abadi. Bukankah bijak pandai mengingatkan bahawa satu kebaikan (termasuk cinta) perlu dimulakan berkali-kali.

Benar, setelah usia perkahwinan meningkat, kalimat-kalimat cinta seperti “I love you” atau “Saya sayangkan awak” sudah semakin kurang kedengaran. Ramai beranggapan, mereka sudah terlalu tua untuk mengucapkan kalimat-kalimat yang lazimnya diucapkan sewaktu mula-mula berkahwin dahulu. Tetapi apakah kita sudah terlalu tua untuk menyatakan cinta dalam bentuk tindakan dan percakapan?

Sebenarnya, banyak perkataan yang boleh masih boleh dipilih untuk menggantikan kalimat-kalimat romantik yang susah dirasakan malu dan segan untuk diucapkan sewaktu usia tua. Mungkin perkataan itu biasa-biasa sahaja tetapi intonasi dan bahasa badan yang mengiringinya mampu mencipta kesan yang luar biasa.

Kata-kata baik wajar diiringi oleh belaian fizikal. Katakanlah isteri kita membuat sesuatu perkara yang baik, maka kita pun membelai rambutnya atau menepuk bahunya sebagai tanda sokongan dan penghargaan. Ini adalah salah satu bentuk sentuhan fizikal yang sering diabaikan terutamanya oleh pasangan suami isteri yang berusia 40 tahun ke atas. Sedangkan, semakin bertambah usia perkahwinan, sewajarnya semakin banyak belaian fizikal yang tidak dibauri oleh keinginan seks.

Selain daripada itu, kasih sayang juga mesti dibuktikan dalam bentuk tindakan pembelaan. Katakanlah isteri menghadapi krisis dengan keluarganya atau kawan-kawan di tempat kerja, maka kita sebagai suami perlu membelanya. Membela di sini bukan bermaksud membenarkan sahaja sikap isteri walaupun kita tahu dia bersalah. Tetapi membela dalam ertikata bersimpati dan empati terhadap krisis yang mereka alami.

Juga dengan memberi jalan penyelesaian ataupun panduan-panduan untuk mereka bertindak dalam menyelesaikan sebarang persengketaan peribadi tersebut. Jangan sekali-kali kita menempelak, menyindir atau membiarkan mereka keseorangan. Buktikan, kita sentiasa di sisi isteri ketika dia menghadapi “serangan” orang lain. Walaupun ada kalanya (menerusi penilaian kita) dia yang bersalah… jangan dipersalahkan, cuma perbetulkan sahaja!

 
21 Komen

Posted by di 5 Januari 2010 in Tentang Cinta

 

Label: , , , ,

21 responses to “BERCINTALAH BERKALI-KALI

  1. NURANI ROSNI

    5 Januari 2010 at 4:52 pm

    assalamulaikum ustaz,
    setiap perlakuan dan perbuatan terhadap pasangan kita sama ada ianya baik atau pun buruk, akan memberi impak untuk perjalanan kehidupan seharian.. yang penting tanamkan rasa saling menghormati dan mempercayai. Insayala..”semuanya akan baik-baik saja”..

     
  2. nurkasih

    5 Januari 2010 at 5:35 pm

    salam semua..

    usia perkahwinan ibu dan ayah ialah lebih kurang 30 tahun. selama saya memerhatikan, ayah seorang yg sangat penyayang biarpun tidak ditunjuk. dia di rumah jarang2 bercakap. dikenali sebagai seorang pendiam dlm keluarga dn dibuktikan oleh nenek juga. tetapi kdg2 dia bergurau2 juga dgn kami. di luar sana, ayah lain..seorang yg sgt peramah dgn suma org. org yg x kenal pon dia cukup suka bersapa. kdg2 saya yang naik segan. =p

    dah berpuluh tahun saya terbiasa dgn keadaan begini.. tidak pelik saya dan ayah tidak pernah bercakap dlm masa sehari, 2 hari, 3 hari…. bercakap apabila perlu..”ya” atau “tidak”. walaubagaimanapun saya sangat sayang ayah saya lebih dari diri sendiri..ayah, setiap hari ku doakan semoga ayah dan ibu di tempatkan di syurga…ayah, kami sayang ayah!!!

     
  3. nurkasih

    5 Januari 2010 at 5:55 pm

    owh yer, terlupa pula. ayah bukan seorang yang pemarah cuma agak garang sedikit. kdg2 mungkin tekanan kerja dan keberantakan saudara mara serta keletihan mmbwtkan ayah marah. tetapi ayah tidak pernah memukul sewenang2 nya..

    mungkin cara didikan nya adakala saya berkecil hati, x perlu lah dinyatakan., tetapi saya fikir ayah sudah melakukan yg terbaik. dia cuma tidak tahu ttg sesuatu yg tepat yg patut dilakukan. saya bangga menjadi anak kepada kedua ibu bapa saya. jadi saya x akan amek kisah. yang saya tau ayah sayangkan kami walaupun tidak pernah ayat itu di ucapkan.. ~salam kasih sayang semua~

     
  4. widyana

    5 Januari 2010 at 9:55 pm

    slm ustaz…………..
    bercintalah berkali-kali…….
    dlm maksud nya…1artikel yg menarik dan mmpu mmbuat ht kecil kte berfikir dgn sedalam nya…sekarang sy sedang melalui jln untuk meninggalkan cinta demi mndapatkn CINTA!!!
    Perit nya ht dan resah nya fikiran,sy hanya mmpu berdoa semoga ALLAH mmberi sy kkuatan utk terus bertahaan walaupun sy keseorangan dlm meniti ujian ini…harap ustaz dan pembaca semua sudi mndoakan sy…Sy dh byk kli cuba melangkah namun seringkali jua tersungkur!!!

     
  5. dinilhayah

    6 Januari 2010 at 7:37 am

    assalamu’alaikum…

    syukran…perkongsian yang sangat bermanfaat…

    dalam keluarga ana, abah dulu sangat pendiam dan agak panas baran, ummi yang banyak bersuara dalam rumah…nak dengar suara abah agak susah, kalau kami(anak-anak) buat lawak pun dia sukar nak gelak…
    tapi alhamdulillah makin meningkat usia abah…dan dah makin besar anak-anak abah…abah jadi makin best…ummi dan abah juga nampak makin romantik…abah selalu mengusik ummi…abah juga suka berdiskusi ilmiah dengan anak-anak…

    kami anak-anak rasa syukur sangat-sangat….
    mungkin masa abah muda-muda dulu dan kami kecik-kecik lagi…banyak tekanan hidup…

    kadang-kadang terfikir…kan best kalau masa kecik-kecik dulu macam ni…

    tapi…apapun…Allah itu lagi mengetahui apa yang terbaik untuk hambanya…

    jazakallahu khairan kathir (“,)

     
  6. shafifah

    6 Januari 2010 at 10:23 am

    Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan,Penggunaan Kalimah Allah : http://wp.me/piAx4-12Q

    Buku Baru: Mutiara Ahlu Bait dari Tanah Haram: http://wp.me/piAx4-12J

    Majlis Ilmu dan Qiyamullail Bersama Ustaz Sufian Nur al-Banjari : http://wp.me/piAx4-12w

     
  7. shafifah

    8 Januari 2010 at 10:33 am

    Jadual Lengkap Program Ziarah dan Dakwah Habib Umar di Malaysia : http://wp.me/piAx4-135

    PENGGUNAAN NAMA ALLAH: ANTARA CELARU DAN KELIRU http://wp.me/piAx4-13v

    Isu Kalimah Allah – Dr. Siddiq Fadzil : http://wp.me/piAx4-13p

     
  8. ERAKITA

    8 Januari 2010 at 12:23 pm

    assalamualaykum,

    tahniah. ini satu artikel mengenai cinta sejati yang sungguh baik. cinta kembali segar. Insyaallah, kata2 cinta dan sayang pada orang tersayang (isteri) diiringi perbuatan seperti yg tuan sarankan akan diamalkan. oh ya, saya juga jemput ustaz dan sahabat-sahabat untuk mengunjungi blog saya di http://erakita.wordpress.com untuk membaca artikel mengenai isu2 terkini. Ulasan dan pandangan mengenai penggunaan kalimah Allah oleh agama lain baru saja diterbitkan.

    terimakasih.

     
  9. aziza

    8 Januari 2010 at 4:20 pm

    salam ustaz yang di rahmati Allah.. syukur alhamdulillah. saya dah dapatkan solusi dan membacanye dr kulit ke kulit..sejak jumpa blog ustaz, mbaca nasihat dn tulisan ustaz, alhamdullilah hati saya semakin tenang dan redha menghadapi ujian yang Allah turunkn, wlau pun kadang2 timbul juga rasa sakit tu.. tp dapat diatasi dgn kalimah2 zikir kpd Allah spt nasihat2 ustaz..alhamdulillah.. solusi keluaran isu 14 dan 15 dpt jg saya miliki meskipun dh 2 bulan saya mcari (tmpat kami terpencil kut, x de jual solusi).. sungguh puashati dengan SOLUSI..bnyk pengajaran dan ilmu..syukur kpd Allah menemukan saya dgn bacaan yg mambantu menenangkan hati dan menambah ilmu agama..smoga saya mnjadi hambaNYA yg diredhai…amin. InysaAllah, saya teringin nak melanggan trus dr penerbitan..tapi kan ustaz, macamana nk daptkan SOLUSI isu 1 hingga 12? boleh d langgan dr penerbitan tak ustaz?

     
  10. sumayyah

    8 Januari 2010 at 10:22 pm

    Assalamualaikum ustaz..
    alhmdlh sy dpt sy temui diskusi yg menarik untuk di kongsi,
    demikianlah sebuah kehidupan…
    saya agak sedih juga apabila mak selalu berkata….
    ‘sunyi kat rumah’ setelah kami anak2nya rmai yg bljr jauh..dan jarang2 pulang….abah kurang bercakap ngan mak…tapi dgn anak2 abah mesra..
    kesian mak…kakak kata, mak selalu tanya soalan yg xpatut sbb kurang membaca…abah pula suka membaca..mak kurg membaca sbb sibuk buat kerja rumah…apapun kesian mak….semoga Allah memberikan taufiq dan hidayah buat mak dan abah…ameen

     
  11. Najihah Mumtazah

    10 Januari 2010 at 3:48 pm

    Assalamualaikum…
    Alhamdulillah…bersyukur sgt2 kepada Allah kerana menemukan kpd saya blog ustaz ni, menitis airmata saya bila pertama kali menjejakkan diri di blog ustaz ni..banyak persoalan hidup yang sentiasa membelenggu diri berjaya saya temui disini…terima kasih ye ustaz, tulisan-tulisan ustaz sering kali meyentuh hati kecil saya yang sedang bermujahadah untuk menjadi mukminah solehah…setiap pagi sebelum ke kelas, saya pasti akan menjenguk sebentar ke blog ustaz..untuk mencari sedikit kekuatan diri sbg bekalan dan peringatan sepanjang hari yang saya lalui sebagai mahasiswa. Dan saya selalu menanti post terbaru dari ustaz..mabruk ya ustaz!!!

     
  12. amami

    13 Januari 2010 at 8:18 am

    salam buat semua…
    saya bgtu tertarik dgn “bercintalah berkali-kali”… perenggan pertama bnyk mengingatkan sy pd ibu bapa sy y jauh d’kg…
    ya..itulah realitinya..walaupun phit u d’telan tp sy sedar ma n ayah menyayangi kami…kami mmg rapat dgn ibu,tp dgn ayah,,,sukar u d’jelaskan.. sjk kecil kami sering dtinggalkan ayah..demi m’cri rezeki bt 14 org ank… bgtu sukarnya perjlnn hdp ayahku…kami tdk punyai ms b’sama ayah sprtmana knk2 lain..
    seiring dgn usiaku..ak mulai fhm..ak cuba mengeratkan kmbali kemesraan antara kami, ayah n anak,,, walaupun di penghujung usianya…tp ternyata ia bknlah sesuatu y mudah..
    sy sntiasa berdoa agr Allah permudahkan segala urusan…memberi sy kekuatan…
    _salam kasih bt semua_

     
  13. Ijah Ali

    31 Januari 2010 at 9:33 pm

    Assalamualaikum…
    Saya amat tersentuh dengan tulisan di blog ustaz ini. Saya amat menyesali kehidupan yang telah berlalu antara saya dengan bekas suami. Apa yang saya baca dari mesej ustaz ada kebenarannya. Sekarang saya sudah kehilangan segala-galanya..takdir sudah menentukan kami brpisah..sungguh perit tapi apakan daya semuanya ketentuan Allah..cakap ke tak cakap ke, antara suami isteri, kalau suratan takdir kata Kun Payakun..maka jadilah ia..
    Semuanya sudah tersurat dalam kitab Allah (al mahfuz)

     
  14. Fat-hi

    19 Februari 2010 at 9:10 pm

    assalamualaikum betul kata buya

     
  15. gentarasa

    19 Februari 2010 at 9:27 pm

    Salam,
    Terima kasih anakku.

     
  16. yus

    11 Mei 2010 at 9:40 pm

    ya bunaiya…. cinta berlandaskan syariat membawa kita ke landasan yang betul…

     
  17. atul

    26 Ogos 2010 at 12:34 am

    salam ustaz…mohon copy..
    syukran ustaz

     
  18. gentarasa

    26 Ogos 2010 at 9:38 am

    Salam ok Atul… silakan.

     
  19. kamila

    27 Ogos 2010 at 5:30 pm

    inilah yang sedang saya alami…mudah untuk dinyatakan pada tulisan tetapi terlalu sukar untuk dipraktikkan..harap kebosanan ini tidak berpanjangan…kerana masa yang tinggal hanya terlalu singkat.

     
  20. gentarasa

    2 September 2010 at 6:56 am

    Salam,
    Banyakkan doa untuknya di bulan Ramadan ini. Kekadang pintu hati diketuk dan terbuka oleh doa, bukan dengan kata-kata. Insya-Allah, kita hambaNya yang lemah.. hati kita pun tak dapat dikawal apatah lagi hati orang.

     

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: