RSS

PARASIT HATI

27 Dec

Sudah lama aku tidak menulis. Entri dalam genta-rasa sepi. Hujung tahun, biasanya aku sibuk dengan diri ku sendiri. Bermuhasabah tentang masa lalu, menilai masa kini dan merancang masa akan datang. Tulisan-tulisan dalam diari 2009 dan 1430 H diteliti kembali.

Tangis dan senyum silih berganti. Walaupun dicelahi oleh kesibukan oleh program kursus dan ceramah-ceramah yang bertali arus, namun alhamdulillah urusan persiapan pengajian anak-anak dapat juga ditangani secara teratur. Lepas satu, satu. Insya-Allah, menjelang tahun baru mungkin berkesempatan menziarahi cucu.

Sahabat dan saudara-saudaraku, apa khabar? Ku kira kau juga akan sibuk seperti ku. Inilah kehidupan, inilah ujian. Langit kehidupan ini akan sentiasa mendung dengan pelbagai episod dan peristiwa. Hujan, kilat, petir dan guntur akan sentiasa melakarkan suka dan nestapa di kanvas kehidupan kita. Ah, jalan ini, pangkalnya sudah jauh…hujungnya belum tiba. Pernah ku tulis semua ini satu ketika dulu….

Suci Sekeping Hati

Sekeping hati dibawa berlari
Jauh melalui jalanan sepi
Jalan kebenaran indah terbentang
Di depan matamu para pejuang

Tapi jalan kebenaran
Tak akan selamanya sunyi
Ada ujian yang datang melanda
Ada perangkap menunggu mangsa

Akan kuatkah kaki yang melangkah
Bila disapa duri yang menanti
Akan kaburkah mata yang meratap
Pada debu yang pastikan hinggap

Mengharap senang dalam berjuang
Bagai merindu rembulan di tengah siang
Jalannya tak seindah sentuhan mata
Pangkalnya jauh hujungnya belum tiba

Diambang 2010, di mukaddimah 1431 H, enam segmen kehidupan diteliti satu persatu – kerohanian, ilmu, keluarga, kerjaya, kesihatan, kewangan. Ku teliti hati-hati dan ku disuluh sepenuh satu persatu. Kepincangan dan lompang kelihatan di mana-mana. Sabar. Dan aku perlu bangun untuk memperbaikinya. Prestasi dan kemajuan… alhamdulillah, juga kelihatan. Syukur. Dan bangun lagi untuk meningkatkannya.

Di langkah pertama memacu roh hijrah 1431 H dan momentum 2010, aku hanya ingin mengingatkan. Tentang wujudnya parasit… parasit hati!

Awas, parasit yang seperti itu sentiasa ada. Kenali dia dan menghindarlah jauh-jauh tanpa bermusuh. Jangan buka ruang dan peluang untuk dia mencelarukan hidup mu. Jangan biar dia mengelirukan pertimbangan mu. Dia itu pandai berkata dan licik bercerita. Cerita yang memikat. Kata yang mengikat. Dia seolah-olah sahabat terapat… tetapi rencananya busuk sekali. Dalam diam dia bijak melaksanakan dendam. Bagaikan api di dalam sekam!

Mungkin kita tidak pernah menjangka orang yang begini wujud. Jika anda lurus, tulus tetapi tidak berhati-hati… anda akan serahkan segala-galanya kepada dia. Kepercayaan, kesetiaan dan harapan, anda pertaruhkan kepadanya. Dia itu bijak menghulur, tetapi tiba-tiba dia akan menyentak dan anda akan tersentak. Dia kah itu? Mungkin dia berwajah jernih, murah senyuman dan pandai menabur simpati. Lalu anda akan terkesima dalam terpedaya. Sudah nyata tetapi seakan masih tidak percaya. Dia kah itu?

Beringat-ingat, ketika dia bercerita tentang orang lain, satu ketika orang lain pula akan mendengar cerita mu. Dia bijak mengatur bidak, menjolok yang sana untuk menjatuhkan yang sini. Atau menyanjung yang sini untuk memancung yang sana. Di mana pun dia mudah mendapat kawan, kerana simpati, empati dan kata-katanya sangat menawan. Terlalu lama masa untuk mengenal warna dia yang sebenar. Hanya bila anda mula menjarak, barulah rupanya yang sebenar terserlah.

Jangan takut dan rugi untuk menjauhinya. Dia hakikatnya “parasit” pada hati mu dan diri mu. Dia akan sentiasa memperalatkan dan punya dua wajah yang boleh diterima oleh dua atau tiga pihak yang saling bertelagah. Jika permusuhan orang lain menguntungkannya, dia menjadi batu api. Jika perdamaian orang lain memberi manfaat, dia akan kelihatan sebagai juru damai yang begitu cinta keamanan. Tetapi hakikatnya bukan orang lain yang menjadi sasaran kebaikan, tetapi dirinyalah jua yang meraih keuntungan.

Aku menulis ini justeru ada pertanyaan. Aku enggan menulis tentang watak “hitam” dalam kelompok manusia seperti dia. Aku pun bukan “malaikat” yang serba suci dan tidak punya kesalahan. Tetapi berdasarkan ilmu dan pengalaman yang secebis, anda, aku dan kita pasti menemui orang-orang seperti ini dalam pergaulan. Jika tidak setuju, dia senyum, manis seolah-olah setuju. Tetapi belakang kita lain bicaranya. Jadi, jangan ada apa-apa hubungan dengannya… biarkan dia berlalu sebagai “tanda jalan” dalam musafir hidup mu!

Cinta jangan keterlaluan, benci jangan sekali. Namun berhati-hati itu sangat perlu… pembeza antara sangka baik dan waspada. Sangka baik itu dituntut, waspada itu perlu. Jangan tertipu dengan senyuman. Jangan melulu oleh kemarahan. Sebaik-baiknya aturlah perasaan agar sentiasa di pertengahan. Agar diri sentiasa dalam kawalan. Pintalah hidayah, pohonlah taufik, untuk mencari kesetiaan dalam amukkan badai kemunafikan.

Maaf kiranya bicara ku ini dibauri bunga-bunga bahasa. Sengaja ku kelamkan makna di balik sulaman kata-kata. Bukan tidak mahu berterus terang… tetapi sekadar “melembutkan” pendekatan. Ya, mana mungkin air najis akan membersihkan najis? Mana mungkin satu keburukan dihapuskan oleh satu keburukan yang lain? Cuma aku tidak mampu berdiam. Sebagai manusia biasa, hati kita bukankah umpama kuah yang sedang menggelegak? Ada kala dingin seperti salju, tetapi ada masanya bagaikan lahar berapi yang sedia meledak!

Ah, biasa ilmu akan datang memujuk kita. Ditayangkan di depan mata akan keburukan sendiri, lalu ketika itu kaburlah kesalahan orang lain. Teringat pesan Imam Ghazali RHM, jika yang melakukan kemungkaran itu orang muda… kau katakan, dia masih muda. Masih sedikit dosa dan kesalahannya. Berbandingkan kau yang telah tua, yang terlalu pekat oleh maksiat. Dia masih punya masa untuk taubat. Sedangkan kau sudah berada di garis penamat.

Jika yang melakukan kejahatan itu sijahil, kau ingatkan diri mu bahawa dia melakukannya kerana tidak tahu. Sebaliknya jika kau melakukan kejahatan, kau melakukannya dengan ilmu, dalam sedar, dalam tahu. Oleh itu dosa mu adalah terlalu. Takutilah parasit hati… yang berasal daripada hati mu sendiri!

Ya, sekali lagi… pandanglah dulu onar diri mu. Parasit hati itu tidak akan mampu merosakkan mu jika kau sentiasa:
1. Solat berjemaah.
2. Sentiasa berzikir.
3. Berdamping dengan Al Quran.
4. Melazimi taubat dan berselawat.
5. Sering bersedekah.

Itulah perisai hati yang akan melemahkan parasit hati!

 
26 Komen

Posted by di 27 Disember 2009 in Kemudi Hati, Uncategorized

 

Label: , , , , , ,

26 responses to “PARASIT HATI

  1. akram

    27 Disember 2009 at 9:39 pm

    hidup untuk memberi

    thank ustaz sering saya terfikir untuk memberi

     
  2. Hamba Allah

    28 Disember 2009 at 8:21 am

    Salam ustaz…terimakasih ustaz,satu peringatan yang amat bermanafaat buat diri ana…sering lupa onar diri dan lompang hati sendiri,lalu menuding jari kpd orglain dan terlupa satu jari ditunding kpd orglain empat jari menghala kpd kita… doakan ana supaya keinsafan benar2 membenih dihati..semoga uztas sentiasa dlm redha Allah…

     
  3. NURANI ROSNI

    28 Disember 2009 at 10:56 am

    ASSALAMUALAIKUM USTAZ…
    terima kasih atas peringatan untuk mempersiapkan diri kita supaya menjadi lebih baik dari semalam..
    teruskan usaha dan catatan ustaz..

     
  4. naniismail

    28 Disember 2009 at 11:08 am

    Alhamdulillah..

     
  5. shafifah

    28 Disember 2009 at 12:16 pm

    Kunjungan Habib Umar Ben Hafiz ke Pondok Baitul Qurro’, Sg. Udang Melaka : http://wp.me/piAx4-ZY

    Hari ini Jilsah bersama Habib Zaid Ben Yahya ANGGOTA IFTA’ (MAJLIS FATWA) DARUL MUSTHAFA : http://wp.me/piAx4-10Z

    Saranan Dr. Al-Qaradhawi Agar Aqidah Al-Asy’ari Terus Dijaga Di Malaysia : http://wp.me/piAx4-11d

     
  6. zulyunus

    28 Disember 2009 at 1:21 pm

    Sungguh indah kiasan yang ustaz berikan dan sungguh terkesan.

    Mudah-mudahan yang terasa akan berubah, dan yang faham akan bermujahadah.

     
  7. khair

    28 Disember 2009 at 3:19 pm

    banyak jiwa bertopengkan senyuman. pandangan sekilas menghasilkan ma’rifah permukaan. Percaya pada gerak hati, hadkan lidah dalam pergaulan hatikan tenang. jika ditakdirkan sahabat bertukar menjadi kawan,terimalah akhiran itu sebagai pengalaman..Siapa sangka Sayyidina Umar akan menjadi singa Allah, dan siapa sangka Abu Talib akhirnya juga berkiblatkan Lata dan Uzza..

     
  8. fatin

    29 Disember 2009 at 12:14 am

    salam alaik, artikel yg sgt bagus utk saya bermuhasabah, hati ini memerlukan rawatan secara istiqamah, mudah-mudahan Allah sudikan petunjuk dari-Nya…

     
  9. khairulaznan

    29 Disember 2009 at 7:02 am

    “Cinta jangan keterlaluan, benci jangan sekali. Namun berhati-hati itu sangat perlu… pembeza antara sangka baik dan waspada. Sangka baik itu dituntut, waspada itu perlu.”

    …satu ungkapan yang indah Tuan…tetapi kekuatan untuk melakukannya amat minima sekali, rasa begitu lemah jiwa ini. Belum kesampaian lagi ….cuba juga tetapi sering tewas dengan nafsu dan bisikan syaitan.

     
  10. nadzir

    31 Disember 2009 at 9:49 am

    susahnya berhadapan dgn parasit hati…
    kadang kita x sedar siapa dia…kawan atau lawan,
    Atau mungkin diri kita sendiri adalah parasit kepada orang laen
    nauzubillah….

     
  11. aziza

    31 Disember 2009 at 2:38 pm

    assalamualaikum ustaz.. salam tahun baru. Mudah2an tahun BARU mendatang membawa beribu hikmah yang Allah janjikan. saya melatih hati, melatih jiwa melalui tulisan2 dan nasihat2 ustaz..moga hati ini kuat dan terus tabah dengan ujian dan dugaan.. apa yang saya azamkan dan doakan kini agar Allah menghilangkan kegundahan dan kegelisahan di hati walau apa pun ujian yang mendatang..doa juga agar di hati ini tiada kesedihan walau macamana duka yang datang saya dapat terima dengan redha dan hati yang tenang krn percaya itu adalah ujian ALLAH… amin. tapi sukar juga ustaz maklumlah saya ni iman tak seberapa kuat, ilmu terlalu singkat, saya tanam dalam hati inilah didikan dr Allah…tlog doakan saya ye…terima kasih ustaz…

     
  12. Juwairiah Jamil

    31 Disember 2009 at 5:27 pm

    Insya-Allah, mahu berazam untuk membuang parasit hati.

     
  13. zulkifli mohd tasrip

    1 Januari 2010 at 2:18 am

    no komen,t kasih atas artikel,cuma sebagai bekas anak murid,terasa rindu pd kenanagan lama, semasa uztaz mendidik saya dulu,terima kasih dan sampaikan salam pd bekas pengetua hj mohd zakaria

     
  14. hamidah

    4 Januari 2010 at 11:42 am

    assalamualaikum…
    sy begitu tertarik dengan kata2 yang dititipkan dalm entri ini… begitu mendalam dan smpai maksudnya… terima kasih di atas segala nasihat… dan sy berharap agar saya dapt menulis sebegini suatu hari nanti…INSYAALLAH

     
  15. shafifah

    4 Januari 2010 at 12:01 pm

    Siaran Langsung Multaqa Ulama Bersama Habib Umar Bin Hafiz di Indonesia http://wp.me/piAx4-12i

    Pengajian Kitab bersama Syeikh Ahmad Fahmi Zamzam : http://wp.me/piAx4-12d

    Penyelewengan Tauhid & Kalimah ALLAH : http://wp.me/piAx4-12a

     
  16. Murtadha Rafaai

    4 Januari 2010 at 1:35 pm

    Salam Ustaz!
    Lagu sekping Hati tu ustaz ke yang tulis?

    Saya amat meminati tulisan ustaz..
    Moga Allah merahmati segala usaha anda..

    =)

     
  17. gentarasa

    5 Januari 2010 at 2:51 pm

    Salam Murtadha,
    Ya, begitulah. Saya akan ziarah ke blog saudara. Jazakallah atas dorongan.

     
  18. gentarasa

    5 Januari 2010 at 2:53 pm

    Salam hamidah,
    Setiap orang Allah berikan keistimewaan dan keunikan tersendiri. Selamat menemui dan mengembangkannya!

     
  19. gentarasa

    5 Januari 2010 at 2:57 pm

    Salam terima kasih,
    Semoga Zul terus berjaya. Insya-Allah, saya akan sampaikan salam sebaik bertemunya.

     
  20. gentarasa

    5 Januari 2010 at 2:58 pm

    Salam Juwairiah,
    Ya, Allah… bantulah saudaraku ini.

     
  21. gentarasa

    5 Januari 2010 at 3:01 pm

    Ya Allah, bantulah aziza. Janganlah kau serahkan dirinya kepada dirinya. Tetapi terimalah dia sebagai hamba Mu yang sejati… untuk sentiasa dilindungi.

     
  22. parsy

    6 Januari 2010 at 6:22 pm

    Assalamualaikum semua,
    parasit hati tu dituju utk saya.alhamdulillah,satu peringatan utk saya sebenarnya.tak sangka motivasi keatas kak nisha dulu tu di salah anggap sebagai cubaan menghina atau menjatuhkan beliau.maaf pada kak nisha dll.sebenarnya saya dalam latihan ‘perang’.jadi cara motivasinya kasar dan keras sikit walaupun pada kak nisha yg bercita2 mati syahid.maaf sekali lagi.
    Manusia ni allah beri 3 kekuatan. Kekuatan jiwa, akal dan perasaan.Masing2 ada kelebihan dan kelemahan tersendiri.Kalau kekuatan perasaan tu lebih dari kekuatan akal dan jiwa,tak mustahil perasaan buruk sangka tu hinggap pd diri kita.Ini realiti . sebab tu saya tak kesah bila macam2 peluru bertubi2 hinggap,hehehe..sorry ya ustaz.

     
  23. parsy

    6 Januari 2010 at 6:47 pm

    Assalamualaikum,
    Kita layan sebentar senikata lagu ni. Tak tau sapa penulis lirik nya. Tp sy suka lagu ni, sentiasa jadi panduan. Semuga Allah beri pahala berganda2 pd penulisnya atas tarbiah ini.
    Mata Hati (hijaz)
    Pandangan mata selalu menipu
    Pandangan akal selalu tersalah
    Pandangan nafsu selalu melulu
    Pandangan hati itu yg hakiki
    Kalau hati itu bersih
    Hati kalau terlalu bersih
    Pandangannyakan menembus hijab
    Hati jika sudah bersih
    Firasatnya tepat kehendak Allah
    Tapi hati bila dikotori
    Bisikannya bukan lagi kebenaran
    Hati tempat jatuhnya pandangan Allah
    Jasad lahir tumpuan manusia
    Utamakanlah pandangan Allah
    Daripada pandangan manusia.
    wassalam.jangan silap paham plak dgn lagu ni.cuma sebagai panduan hidup saya.

     
  24. akmal ahmed

    8 Januari 2010 at 12:16 pm

    semoga pengalaman menguatkan diri kita untuk terus bertenang, dan lebih matang dalam berhati-hati mengatur langkah…

     
  25. ochee

    25 April 2010 at 3:06 pm

    mungkin juga saya tidak bijak mengatur langkah..

     
  26. ummah_misi

    18 Mei 2010 at 1:48 am

    salam,
    tiada yang lebih benar melainkan apa yang al-QURAN dan as-SUNNAH gariskan.sama2 kita semua mujahaddah dalam menjaga amal dan iman.syukran ya ustaz=>

     

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: