RSS

BILA SEJADAH YANG SUJUD…

09 Dec

Selepas solat Isyak, tiba-tiba saya diminta mengulas satu “peristiwa aneh” yang berlaku sebelum masuk waktu solat asar petang tadi. Dipanggil mendadak begitu kadangkala ada baiknya juga. Kita akan bercakap apa yang terlintas di hati sahaja.

Tanpa boleh merancang atau mengatur ayat dan bahasa, kita akan lebih utamakan “apa” yang hendak disampaikan berbanding “bagaimana” hendak menyampaikannya.

Peristiwa aneh yang dimaksudkan itu adalah sejadah-sejadah di surau kami semuanya dalam keadaan tegak berdiri. Ada antara ahli kariah yang mengatakan sejadah itu seolah-olah sedang sujud. Ada pula yang mengatakan sedang rukuk dan pelbagai tafsiran lagi. Daripada sejadah di mihrab imam di hadapan sehinggalah ke sejadah di barisan (saf) kelima di belakangnya semuanya dalam keadaan begitu. Tidak sangka kejadian aneh yang telah beberapa kali dilaporkan di dada-dada akhbar berlaku pula di surau kami.

Dan sekarang secara tiba-tiba, saya diminta oleh Imam kami mengulas tentang itu. “Supaya, kita semua sekata dalam mentafsir dan bertindak. Ini penting untuk kesatuan jemaah di sini,” kata Imam. Betul juga, bisik hati saya. Selalunya peristiwa aneh begitu akan mengundang pelbagai tanggapan mengikut persfektif dan persepsi masing-masing. Yang percaya akan jadi terlalu obses, manakala yang tidak percaya akan terus memperlecehkannya. Jika salah cara menangani perbezaan itu, tidak mustahil ia boleh menimbulkan perpecahan dikalangan ahli kariah.

“Allah mendidik manusia melalui tiga cara,” saya memulakan kata sebaik sahaja berdepan dengan ahli jemaah. Saya cuba bertenang walaupun dalam hati sendiri masih tercari-cari kenapa saya ditakdirkan Allah bercakap pada malam itu. Sebenarnya jarang saya bercakap di surau itu memandangkan ramai ustaz-ustaz lain yang sering berjemaah bersama. Tambahan pula saya sering bertugas di luar kawasan. Namun, kariah kami bertuah kerana ramai individu yang mampu memberi tazkirah, kuliah dan majlis-majlis zikrullah yang lain. Majlis ilmu di surau kami agak aktif juga.

“Pertama, melalui ayat maqruah. Ia adalah ayat yang boleh dibaca yakni Al Quran. Allah mendidik kita melalui ayat tabsyir, yakni berita-berita gembira. Juga ayat inzar, berita ancaman. Melalui Al Quran juga Allah mendidik melalui ayat-ayat yang menerangkan kejadian alam semesta ini. Didorong-Nya manusia berfikir tentang segala nikmat agar manusia sedar siapakah Pemberi nikmat. Manusia diajak memikirkan tentang Hari Akhirat, syurga dan neraka,” sambung saya.

Inilah input yang saya perolehi daripada guru-guru saya. Bayangkan daripada keseluruhan 6666 ayat Al Quran (mengikut sesetengah pendapat), hanya lebih kurang 500 ayat sahaja yang membincangkan soal hukum-hakam. Selebihnya adalah mengajak manusia merenung, berfikir dan memerhatikan kejadian dirinya, ciptaan bumi, bulan, bintang dan lain-lain lagi. Melalui Al Quran Allah memperkenalkan diri-Nya melalui ciptaan-ciptaan-Nya.

“Kedua, melalui ayat manzurah. Yakni kejadian alam ini. Bukankah segala-galanya teratur? Jadi sudah tentu ada yang mengatur. Bayangkan… detik masa kedatangan komet, berlakunya gerhana matahari, bulan, pasang surutnya air laut pada hari ini, esok, lusa, bulan hadapan, bahkan tahun-tahun akan datang semuanya sudah dapat ditentukan dengan tepat. Kenapa? Sebab segala-galanya teratur. Kalau ayat maqruah bertitik tolakkan dalil naqli (wahyu), ayat manzurah pula hanya dengan menggunakan dalil aqli yakni berdasarkan akal yang rasional, waras dan logik Allah mendorong manusia berfikir untuk merasai kebesaran dan keagungan-Nya. Mustahil segala-galanya-galanya berlaku atau tercipta dengan sendirinya. Dan mustahil juga semua itu berlaku secara kebetulan!”

Muka sebahagian besar para jemaah saya renung satu persatu. Mereka mungkin masih tercari-cari ke mana arah percakapan saya. Bagaimana semua ini hendak dikaitkan dengan peristiwa sejadah berdiri yang menjadi topik perbincangan malam itu? Mungkin ada yang masih tertanya-tanya. Dalam diam saya telah memutuskan bahawa saya tidak akan sekali-kali mensensasikan peristiwa itu. Apa yang penting ialah mencungkil nilai hikmah dan tarbiahnya untuk membantu kita menambah iman serta amal.

“Yang ketiga, dinamakan ayyamullah, yakni hari-hari Allah. Itulah kejadian dan peristiwa yang berlaku dalam hidup kita. Setiap yang berlaku dalam hidup ini adalah didikan Allah untuk manusia. Tidak kiralah kejadian atau peristiwa itu besar atau tidak, semuanya ada nilai didikan kepada kita. Jadi…” tegas saya sambil melihat reaksi pendengar. Mata kami saling bertemu. Hubungan mata itu menunjukkan sudah ada hubungan rasa. Bukankah mata itu jendela bagi hati? Ya, mereka telah bersedia untuk menerima penjelasan selanjutnya.

“Jadi, peristiwa sejadah berdiri di tempat kita termasuk dalam ayyamullah. Tidak kiralah sama ada ia dibuat oleh budak-budak nakal yang hendak bergurau atau sengaja menggemparkan suasana, atau memang ada jin yang mengaturnya begitu, atau ada makhluk lain yang membuatnya… tetapi semuanya wajib berlaku dengan izin Allah juga. Bila Allah izinkan berlaku, pasti ada didikan yang Allah hendak sampaikan. Maha suci Allah daripada membuat sesuatu yang sia-sia…”

“Mesti ada mesej yang Allah hendak kita fahami daripada peristiwa sejadah sebelum solat Asar petang tadi…” tegas saya.
“Mari kita cari apakah mesej itu. Pertama, boleh jadi kita mesti lebih serius mendidik anak-anak kita agar lebih menghormati rumah Allah ini. Jangan mempermain-mainkan tempat solat ini. Jadi, Allah minta kita kuatkan usaha untuk mendidik akhlak anak-anak kita. Bukan dalam soal ini sahaja, tetapi dalam soal-soal yang lain juga.”

“Kedua, mungkin kita mesti lebih prihatin terhadap soal keselamatan, pentadbiran dan pengaturan surau kita ini. Ketiga… dan ini yang paling penting, kita mesti lebih serius menjaga solat jemaah di kariah ini.”

Ahli jemaah mula menangkap apa yang saya maksudkan. Mereka begitu fokus sekali. “Kalau benar ini kejadian misteri lagi ajaib, jangan fikirkan keajaibannya sahaja… tetapi yang lebih utama fikirkanlah juga apa pengajarannya untuk kita yang hidup di alam nyata ini? Tidak malukah kita kalau sejadah yang tidak ada taklif ini pula yang sujud dan rukuk? Sedangkan kita insan yang sempurna bertaraf khalifah ini masih degil, enggan dan derhaka?”

Secara peribadi saya hairan dengan sikap segolongan masyarakat yang terlalu obsess (fanatik) dengan cerita-cerita misteri dan ajaib. Hinggakan kewajipan beribadah pun hendak dikaitkan dengan misteri dan kejadiaan-kejadian aneh. Lihat sahaja berapa banyak peristiwa aneh yang “disensasikan” berlaku sewaktu mengerjakan haji atau umrah di Makkah dan Madinah.

Ada yang mendakwa nampak lelaki misteri berjubah putih, bau harum, cahaya putih turun, Kaabah tak nampak dan macam-macam lagi kejadian aneh. Saya tidak nafikan, ada kemungkinan semua itu benar-benar berlaku… Allah Maha Kaya. Tetapi janganlah menunggu hanya bila berlaku kejadian luar biasa baru hendak kembali kepada tauhid, syariat dan akhlak Islamiah. Kaedah mengajak manusia kepada Tauhid adalah melalui wahyu dan sunah bukan melalui cerita sensasi, misteri dan “magic” yang sering diuar-uarkan.

“Malang, masyarakat kita terlalu suka kepada yang misteri dan ajaib. Pada hal yang dianggap biasa itulah yang sebenarnya lebih luar biasa. Contohnya, bila ada angkasawan terdengar azan di angkasa lepas, semuanya takjub. Sedangkan yang lebih luar biasa ialah muazin yang melaungkan azan secara istiqamah pada setiap waktu di muka bumi yang nyata ini…. Azan di angka lepas kita hairan, azan di muka bumi ini kita abaikan!” kata saya mula mengalih kepada mesej utama meninggalkan cerita mesti sejadah berdiri.

“Apakah suara azan di angka lepas itu yang lebih besar daripada suara azan di muka bumi ini? Sayidina Bilal disunnahkan azan di muka bumi ini kerana di sinilah hidupnya manusia-manusia yang diwajibkan mengerjakan solat. Bagi saya suara azan setiap waktu itulah yang lebih ajaib…”

Kemudian saya bercerita tentang kisah seorang ulama telah mengajar di sebuah madrasah selama 40 tahun dengan tekun. Namun, ketekunan ulama tua itu tidak dihargai oleh murid-muridnya.
“Sepanjang kita belajar dengannya, sedikit pun tidak terserlah keluarbiasaannya,” kata mereka.
“Berbanding dengan guru-guru lain di tempat kita, guru kita ini tidak punya apa-pa keistimewaan. Semua yang ada padanya biasa-biasa sahaja,” tambah yang lain.
“Betul. Aku dengar guru-guru lain pernah mengeluarkan cahaya dari celah-celah jarinya.”

Sungutan-sungutan itu kedengaran jua ke telinga ulama tua itu. Ketika mengajar pada suatu hari, beliau dengan sengaja telah melepaskan kapur ketika menulis di atas papan hitam. Namun anehnya kapur itu tidak jatuh… melainkan terus bergerak dan menulis perkataan yang hendak ditulis oleh ulama tua itu.

Melihat kejadian aneh itu anak muridnya melopong kekaguman. Melihat kekaguman anak-anak muridnya, guru yang tua itu menepuk papan hitam dengan kuat lantas berkata,” aku sangat hairan melihat sikap kamu semua. Melihat kapur ini menulis hanya beberapa ketika telah membuat kamu kagum. Sedangkan aku yang telah menulis selama 40 tahun di papan hitam ini..”

Ahli-ahli jemaah mengangguk-anggukkan kepala. Ada yang merenmung jauh.
“Al Quran yang tertulis di badan manusia dikagumi. Al Quran yang ada di rak buku dan almari di rumah atau masjid sendiri diabaikan,” jawab saya apabila ada soalan tambahan tentang ayat-ayat Quran yang tertulis di badan seorang bayi di Asia Tengah.
“Mungkin rakyat di sana mula mengabaikan Al Quran, jadi Allah jadikan peristiwa itu sebagai peringatan… agar mereka kembali kepada Al Quran.”

“…Tapi kita tetap perlu berhati-hati. Jangan cepat mengiyakan bahawa itu bukti kebenaran Al Quran kerana pada tahun 60’an dahulu ada ibu mendakwa bayi dalam kandungannya boleh membaca Al Quran. Saya masih ingat betapa bangganya umat Islam ketika itu dan menyatakan itulah bukti kebenaran Al Quran. Namun akhirnya rahsia terbongkar. Rupa-rupanya bacaan Al Quran itu datangnya daripada kaset yang disembunyikan di perut ibu tersebut!”

“Jadi kita kembalilah kepada kaedah-kaedah biasa untuk mendidik diri kita. Hadirkan diri ke masjid dan surau. Jaga solat jemaah kita, hidupkan majlis ilmu kita… dan meriahkan kerja gotong-royong dan amal-amal jama’iy yang lain. Itulah jalan biasa yang luar biasa untuk mendidik diri. Istiqamahlah, kerana istiqamah itu lebih tinggi nilainya daripada karamah,” kata saya menutup “kulaih” tidak rasmi itu.

Dalam kegelapan semasa menuju jalan pulang, saya mengimbau betapa banyak kisah-kisah selebriti yang menemui dan mengalami berbagai-bagai kisah ajaib di Makkah dan Madinah seperti yang dilaporkan di dada akhbar dan majlah. Dengan itu mereka berubah. Tetapi sayangnya, perubahan itu tidak kekal lama. Ia merosot sedikit demi sedikit. Atau ada yang masih terus kekal dengan perangai lama. Malang sungguh jika kejadian-kejadian aneh semasa di Tanah Suci itu dianggap sebagai “restu” atau pengiktirafan kepada jalan salah dan berdosa dalam “life style” mereka itu.

Benarlah, istiqamah itu lebih tinggi daripada karamah… kerana istiqamah itu sesungguhnya lebih sukar. Ia memerlukan mujahadah. Sedangkah karamah itu adalah anugerah. Mujahadah itu kerja kita. Anugerah itu “kerja” Allah.

Ah, jangan dikenang “lelaki misteri” berserban putih di masjid Nabawi yang kau temui tempoh hari tetapi carilah seorang guru atau teman yang sama-sama istiqamah di jalan Allah di kampung atau bandar sendiri. Jangan ditunggu sinar cahaya dari langit yang dilihat di bumi Makkah, tetapi cukup sekadar cahaya pelita yang berkerdip di surau sepi di desa sendiri.

Dan jangan dicari-cari sayup-sayup suara azan di angkasa lepas, tetapi sahutlah seruan azan yang begitu jelas menusuk di jendela rumah kita. Jika tidak dapat merasai kedinginan air zam zam… cukuplah sekadar merasa kedinginan air wuduk di Subuh hari. Ya Allah, bantulah kami -Mu mencari jalan kembali kepada-Mu!

 
35 Komen

Posted by di 9 Disember 2009 in Semasa

 

Label: , , , , ,

35 responses to “BILA SEJADAH YANG SUJUD…

  1. aziza

    9 Disember 2009 at 5:08 pm

    subhanallah.. ya ustaz.. di tempat2 suci beginilah ingin ku letak kan diri ku agar aku sentiasa dekat dengan ALLAH.. dan dengan itu aku sentiasa tenang dan bahagia dalam rahmat ALLAH.. rasa takut menambah dosa kerana takut di hukum atas dosa2 itu.. tapi bagaimana caranye ya ustaz.. terlalu jauh perjalanan kearah itu?? aku perlukan bimbingan dr org yang seharusnya membimbing ku ke jalan ALLAH.. atau jika org yg seharusnya membimbing itu ‘tiada’.. apa harus ku lakukan ya ustaz.. berikanlah sedikit pandangan dan nasihat2 dari ustaz yang berpengalaman sebagai panduan… terima kasih ustaz.. semoga ALLAH membimbing diriku, anak2 ku dan suami ku kejalan yang di REDHAI NYA.. amin.

     
  2. fatimah

    9 Disember 2009 at 6:37 pm

    salam.mari berta’aruf. harap ustaz boleh sediakan link biodata ustaz.trima kasih.

     
  3. fatimah

    9 Disember 2009 at 6:39 pm

    oh maaf,saya tidak nampak link biodata ustaz.sekarang saya sudah nampak.abaikan mesej saya tadi

     
  4. gentarasa

    9 Disember 2009 at 9:16 pm

    Salam aziza,
    Rasa yang sedang dihadapi ini adalah bukti Allah telah memberi hidayah kepadamu.

    Kekadang Allah menyempitkan…
    Supaya kita tak hanyut dalam kesenangan
    Kekadang Dia melapangkan…
    Supaya kita tak selalu dipagut kesempitan
    Kekadang Dia melepaskan kita dari kedua-duanya
    Supaya tidak bergantung kepada sesuatu
    selain-Nya!

     
  5. nurkasih

    9 Disember 2009 at 9:48 pm

    salam semua

    suka benar saya dgn quote ustaz.. “Kekadang Allah menyempitkan…
    Supaya kita tak hanyut dalam kesenangan”. Saya sentiasa motivasikan diri saya dengan mengingati kata2 ini jika diri dilanda masalah. Saya cuba bersangka baik, ikhlas dan redha supaya dugaan yang DIA beri tidak menjadi sia2 kepada saya. insyaallah……

     
  6. Nisha

    9 Disember 2009 at 10:15 pm

    Assalamualaikum semua,
    Terima kasih Ustaz. Ia satu peringatan untuk saya supaya sentiasa istiqamah dalam perjuangan yang belum sudah malah bertambah payah.

    Wassalam.

     
  7. Hamba Allah

    10 Disember 2009 at 9:06 am

    Salam ustaz…lazimkan diri dengan kaedah2 biasa spt yang ustaz cadangkan..solat jemaah,gotong royong,majlis2 ilmu..bila dah istiqamah, amalan yang lebih berat sikit tidak mendatangkan masalah…yang penting istiqamah dulu..segala kejadian sebenarnya untuk mendidik kita dan mengambil iktibar dari apa yang berlaku…supaya keinsafan membenih dihati kita..sama-samalah kita memperbaikki kelemahan yang ada pada diri kita..ustaz doakan ana semoga menjadi hamba Allah yang taat..Amin…

     
  8. ibnu nafis

    10 Disember 2009 at 11:10 am

    Subhanallah…
    Tersedar juga saya dari lamunan yg selama ini melalaikan…Terima kasih ustaz. Terima kasih banyak-banyak..Doakan agar aya terus berubah dan di lorongkan dengan jalan yang benar…

     
  9. aziza

    10 Disember 2009 at 3:46 pm

    Maha suci Allah.. terima kasih atas kata2 nasihat ini..syukur alhamdulillah..jika ini hidayah Allah, saya redha atas segala takdirNYA. siapalah kita untuk menidakkan takdir ALLAH..tapi kesakitan dan kedukaan dari takdir itu membuatkan hati ini terlalu lemah dan sedih.. saya pujuk hati supaya jangan terlalu sedih atas urusan dunia yang hanya di pinjamkan ini tapi kadangkala saya tidak berdaya melawan rasa duka kecurangan seorang suami yang saya tanggung ini…Ya Ustaz.. ajarkan saya sesuatu amalan yang boleh saya praktis kn untuk menghilangkan kesedihan dan kedukaan ini selain dri solat yang fardhu.. agar saya dapat menerima takdir ini dengan hati yang tenang dan lapang dan meyerahkan segalanye kepada pengurusan kebijaksanaan ALLAH yang Maha Agung.. mohon bantuan ustaz.. terima kasih membantu saya mendekatkan diri kepda ALLAH..

     
  10. NURANI ROSNI

    10 Disember 2009 at 4:54 pm

    assalamualaikum ustaz, terima kasih kerana menyediakan tazkirah buat kami yang memerlukan bimbingan ke arah kebaikan…
    Teruskan usaha ustaz…

     
  11. Mohd Rizal

    10 Disember 2009 at 6:02 pm

    salam ustaz.

    minta izin untuk ambil sedikit isi dalam buku karangan ustaz.Maaf sekiranya lambat meminta izin.Rujukan di sini… http://whitewakgreen.blogspot.com/2009/12/hadam.html

     
  12. ashyfida

    10 Disember 2009 at 7:16 pm

    salam ustaz…

    terima kasih atas peringatan yg membina dan membuka minda serta mata hati…

    ap jua yg Allah dtgkan pd hambaNya adalah satu ptunjuk kerana semua itu dariNya..itu semua tidak sia2.. samada sebagai peringatan atau amaran, yg penting ikhtibar untuk kita pulang ke pangkal jalan sebagai makhluk istimewa..

    harapan ana agar post2 seperti ini mampu membuka hati yg sentiasa mencari dan menginsafi setiap apa yg telah tiba. fikirlah dgn mata hati, bukan skadar beromong kosong seprti mn firman Allah 7:179

    “Dan sungguh akan kami isi neraka Jahannam banyak dr kalangan jin dan MANUSIA. mereka memiliki hati tetapi tidak dipergunakannya untuk emahami ayat2 Allah dan memiliki mata tetapi tidak dipergunakan utk melihat tanda kekuasaan Allah, dan mereka punyai telinga tp tidk digunakannya utk mendengarkan ayat2 Allah. Maka mereka seperti haiwan ternak, bahkan lebih sesat lagi. mereka itulah org2 yg lengah”

    maka, gunakanlah nikmat yg diberi Allah pd jalan bermanfaat..

     
  13. parsisay

    10 Disember 2009 at 9:05 pm

    salam,
    n3 yg membuka minda.trima kasih ust.

     
  14. masidas

    11 Disember 2009 at 8:03 am

    Salam, Subhanallah. Alam ini punya seribu satu macam tanda kekuasaan Allah, dari mula hingga kini masih banyak yg belum terbongkar, sengaja Allah ‘tutup’kan dari pengetahuan manusia, mengapa? kata seorang guru, bisa pecah kepala manusia jika mengetahui satu persatu mengapa begini dan mengapa begini ciptaan dan aturanNya.HEBATNYA AL-KHALIQ!!! -Laungan Azan yg tidak pernah putus di muka bumi ini ( 24 hours !!)…alam yg sering bertasbih bertahmid memuji Pencipta…Langit yg terbentang tanpa tiang, Laut yg membaluti Bumi menghempas pantai tanpa henti…perkara biasakah inii??
    *** Tahniah us, memberikan kuliah yg terbaik sempena ‘peristiwa aneh’ ini🙂

     
  15. fatimah

    11 Disember 2009 at 11:59 am

    salam, ustaz saya nak tanya pandangan ustaz tentang di link ini. trima kasih.
    http://gurindamrasa.blogspot.com/2009/12/salam-satu-perkongsian.html

     
  16. annirah

    11 Disember 2009 at 6:07 pm

    Assalamualaikum ustaz..
    Terima kasih ustaz kerana menyedarkan hati ini yang semakin lalai dan alpa. Tersentak diri ini seketika. Semoga penulisan ustaz memberi manfaat dan iktibar buat semua. InsyaAllah. Allah yubareekfik..

     
  17. gentarasa

    11 Disember 2009 at 8:18 pm

    Salam annirah,
    Terima kasih juga atas dorongan dan penghargaan, semoga majlis ilmu ini berterusan di bawah naungan dan rahmat Allah.

     
  18. gentarasa

    11 Disember 2009 at 8:34 pm

    Salam,
    Saya sempat ziarah. Subhanallah dinamik! Indah dan berani. Teruskan perjuangan!

     
  19. gentarasa

    11 Disember 2009 at 8:36 pm

    Salam,
    Anda memberi tazkirah yang sangat berkesan. Syukran. Tolong selalu ingatkan saya.

     
  20. gentarasa

    11 Disember 2009 at 8:37 pm

    Salam Mohd Rizal,
    Saya yang patut ucapkan terima kasih kerana memanjangkan ilmu dan tazkirah. Semuga kita ikhlas.

     
  21. gentarasa

    11 Disember 2009 at 8:41 pm

    Salam,
    Jadilah solehah…. insya-Allah, cepat lambat suami kita akan jadi soleh.

     
  22. rosma

    12 Disember 2009 at 9:28 am

    Salam ustaz..tahniah dgn post baru ini..Saya selalu mengambil kata-kata ustaz dr majalh atau blog ini sebagai nasihat utk diri dan sahabat2 diluar sana..harap ustaz halalkan ya..terima kasih ustaz..

     
  23. gentarasa

    12 Disember 2009 at 5:08 pm

    Salam,
    Kata-kata saya itupun saya dapat hasil belajar, membaca dan berbincang dengan sahabat-sahabat dan guru-guru saya. Hakikatnya, jika baik, itu dari Allah. Tetapi PASTI ada yang salah dan silap, dari kelemahan saya. Syukran, kerana memanjangkan jangkauan ilmu yang sedikit dan sekelumit ini!

     
  24. ummu aiman

    16 Disember 2009 at 12:27 pm

    salam ustaz,
    ana ada pengalaman mengubat seorg akhwat yg diganggu jin.baru2 ni jin tu dtg lagi sewaktu akhwat tu tido.tujuan kedtgannya utk mengurangkan sakit akhwat ana ni disebabkan bekas2 peninggalan jin2 lepas yg pernah masuk di badannya..
    apa yg ana nak kongsikan di sini ana berpeluang bercakap dgn jin ni.dia seorg budak 8 tahun.ana berborak dgn dia macam ana layan budak2.ana ada tanyakan kenapa dia boleh dtg dan pergi beberapa kali dlm badan akhwat tu.dia kata semuanya atas izin Allah.dan ana percaya jin ni adlh seorg muslim.
    ana teruskan bertanya beberapa solan.antaranya tentang jodoh.ana sekadar bercerita padanya yg ana da lama buat istikharah tp xpasti dah diberi petunjuk @ belum.ana ada sebutkan nama lelaki tu.dia menjawab,lelaki tu soleh tapi ada yg lebih soleh.dia sebutkan satu nama yg baru.nama sepupu kepada akhwat tu.akhwat tu tak pernah mension nama si syabab ni.ana pun tak kenal siapa laki tu.ana tanyakan beberapa hal tentang si syabab pd jin tu….
    keesokan harinya,ana tanyakan beberapa perkara ttg si syabab tu pada dia.semuanya di iyakan oleh akhwat tu.yg pasti dia tak sedar apa sj yg berlaku setiap kali jin singgah di badannya.dia tanya pada ana mcmn boleh tau semua perihal syabab tu.barulah ana ceritakan apa yg berlaku semlm…

    jadi,persoalan sekarang adakah ana boleh percaya apa yg berlaku?.ana beriman pada perkara ghaib dan semua rukun2 iman yg lain.apakah tanda @ perkara yg Allah nak sampaikan di sini?asif,sekadar minta masukan…jazakillah

     
  25. Juwariah Md Jamil

    16 Disember 2009 at 12:41 pm

    Manusia hanya nampak apa yang jauh, tetapi yang didepan mata ditinggalkan. Sedangkan yang jauh umpama fatamorana di tengah hari. Syukran Ustaz

     
  26. NurSyahadah

    16 Disember 2009 at 9:36 pm

    salam ustaz…terima kasih dengan tulisan ini.tak da apa nak kata cuma,airmata ini mengalir..tulisan ini menyentuh jiwa dan hati…entah kenapa..rasanya ALLAh lebih tahu..

     
  27. gentarasa

    18 Disember 2009 at 10:16 am

    Salam,
    Semoga buku sulung itu mengundang barakah yang melimpah-limpah kerana Allah. Salam perjuangan dan kejayaan.

     
  28. gentarasa

    18 Disember 2009 at 10:31 am

    Salam,
    Apa pun Islam melihat dan menghukum pada yang zahir. Dinilai seseorang itu mengikut hadis yang sahih… pada harta, rupa, keturunan dan agama. Menilai keempat-empat itu juga dengan pandangan, pemikiran dan penelitian yang zahir. Kita berbeza dengan jin, kita di alam syahadah. Jadi elok kita confirmkan yang “ghaib” dengan maklumat, berita dan khabar yang sahih. Bukan yang “ghaib” confirmkan yang zahir. Elok, diambil sumber maklumat tentang seseorang dari sahabat, guru, ibu-bapa dan orang-orang dipercayai disekelilingnya. Jika jin itu berumar 8 tahun, lebih-lebih lagi kita perlu siasat. Ilmu tentang jin saya tidak arif, elok dirujuk pada ustaz2 yang pakar tentangnya. Namun, berhati-hatilah… ikutlah jalan syariat. Syariat itu jalan yang terang dan nyata! Wallahua’lam.

     
  29. Teja

    18 Disember 2009 at 7:12 pm

    Salam semua
    Alhamdulillah,saya mengenali ustaz melalui majalah Solusi.Begitu indah kata2 dalam penyampaian ustaz.Saya cukup berterima kasih.Byk ilmu dan pengajaran yg saya perolehi.Paling penting,tarbiyah kpd diri saya cukup menginsafkan.Syukran..

     
  30. ceriterahamba

    20 Disember 2009 at 12:26 am

    salam,
    terima kasih ustaz atas buah fikir yang sangat berkesan dan terkesan ini…

    terkadang ada mereka-mereka yang terlalu ta’sub membenarkan dan adakalanya ta’asub menafikan sesuatu pekara… walaupun seringkali ianya belum lagi jelas pada pandangan mereka…

    serahlah pada Allah, Dia lebih mengetahui rahsianya… hatta sekeping daun gugur di hutan rimba, setitis air pada lebatnya hujan dan sebutir pasir di pantai jauh..

     
  31. Khairunnisa'

    30 Disember 2009 at 2:42 am

    salam ustaz, suka sy mbaca ulasan ustaz pd tragedi sjadah bsujud. cthnya sy menandakan titik hitam pd sehelai kertas putih, bila btanya pd teman2, mereka hanya nmpak titik hitam berdakwat hitam drpd kertas putih yg masih kosong berkeliling titik hitam.. maknanya kita hanya nampak apa yg xselalu nmpak tp kita jarang nmpak apa yg zahir terangan.. akhirnya penjelasan ustaz ttg isu ni mjawab sume psoalan manusia skrg yg tlalu taksub dgn crita misteri🙂

    Ustaz, saya ada pmintaan. boleh x ustaz bcerita ttg purdah? maaf atas pmintaan

     
  32. gentarasa

    5 Januari 2010 at 3:04 pm

    Salam khairunnisa’
    Saya akan cuba pada masa akan datang. Doakan ya.

     
  33. siti humairah yasin

    3 Mei 2010 at 11:29 pm

    Assalamualaikum us..

    Sya amat menyukai karya-kayra us..penuh dengn kata-kata nasihat dan banyk perkara yang harus direnungkan…Sya ingin meminta izin us untuk mengmbil sedikit cerita atau yat-ayat yang boleh dikongsi untuk di letak dlam blog sya..

    trimas ustaz…

     
  34. wandaa

    14 Mei 2010 at 12:28 am

    Alhamdulillah…bgus perkongsian ilmu ustz.

     
  35. Gregory B. Haynes

    14 Ogos 2010 at 2:06 pm

    Nice post, cool site, keep it up.

     

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: