RSS

CINTA ITU BERERTI MEMBERI!

30 Nov

(Maaf, sudah agak lama saya tidak memasukkan entri baru… Kesuntukan waktu adalah kekangan yang sangat besar untuk saya menulis. Walaupun saya sedih kerana tidak dapat membalas dan melayan banyak pertanyaan dari pengunjung, tetapi apakan daya, saya juga diuji dengan apa yang selalu saya sampaikan. Kadang kalah juga di jalan mujahadah ini!

Selepas mengendalikan kursus di A Farmosa Melaka, untuk pegawai-pegawai atasan ATM minggu lalu, saya terus mengendalikan bengkel tulisan di UIA. Kemudian terus ke USIM, untuk menjadi panel pembentangan kertas kerja DAKWAH KONTEMPORARI… belum sempat berehat anak saya yang sedang menuntut di IPT pula ditimpa kemalangan. Terpaksa menguruskannya pula dicelah-celah kesibukan melaksanakan ibadah korban.

Saya agak keletihan… tetapi alhamdulillah, tega dengan segalanya. Terdorong oleh kata-kata yang pernah saya sendiri nukilkan dahulu: Beribadahlah sehingga kau berasa letih untuk melakukan maksiat.Untuk anda, sudi-sudikan membaca tulisan ini seadanya.  Bacalah, dengan nama Allah..

CINTA ITU BERERTI MEMBERI!

Sudah menjadi sunatullah, orang yang berjaya pada tahap “biasa-biasa” sahaja ialah orang yang membawa hanya dirinya sahaja berjaya. Tetapi orang yang berjaya pada tahap luar biasa ialah orang yang membawa orang lain berjaya bersamanya. “No man becomes rich unless he enriches others” – tidak ada orang boleh menjadi kaya hingga dia “mengkayakan” orang lain.

Hakikat ini bukan sahaja dilihat dari sudut material, malah di sudut ilmu, iman, taqwa pun begitu juga. Orang yang paling beriman, bertaqwa dan berilmu ialah orang yang membawa orang lain bertaqwa, beriman dan berilmu bersamanya!

Hakikat ini semacam sudah tradisi dalam perjalanan hidup para Salafussolaeh zaman dahulu. Lihat sahaja Rasulullah s.aw. Baginda dikenali sebagai pemimpin yang berjaya. Dan di bawah didikannya telah lahir ramai pemimpin-pemimpin lain yang berjaya. Antaranya Sayidina Abu Bakar ra, Umar ra, Uthman ra, Ali ra dan sebagainya. Begitu juga dikalangan ulama-ulama besar. Lihatlah betapa ramainya ulama yang dilahirkan hasil didikan Imam Safie, Hanbali, Maliki dan Hanafi.

Bagaimana membawa orang lain berjaya bersama kita? Untuk itu kita mesti amalkan sikap memberi. Kita mesti memberikan ilmu, pimpinan, panduan, kemahiran kepada orang di sekeliling kita. Jangan bakhil menabur kebaikan. Monopoli ilmu, tenaga, bakat dan kemahiran yang ada hanya akan menyekat pertumbuhan dan perkembangan diri kita sendiri. Percayalah, memberi kepada orang lain samalah seperti memberi kepada diri sendiri. Tangan yang menghulur bunga mawar pasti berbau harum! 

RASULULLAH SAW PALING BANYAK MEMBERI

Justeru, Islam sangat menganjurkan agar umatnya memberi. Bahkan tidak salah kalau dikatakan menjadi seorang Islam secara automatik menjadi orang yang memberi. Islam ialah agama yang sangat sinonim dengan sikap memberi. Bayangkan, kedatangan Rasulullah s.a.w adalah untuk memberi rahmat kepada sekalian alam. Sejarah hidup Rasulullah saw memaparkan bagimana baginda memberikan tenaga, harta malah jiwanya untuk umat manusia mendapat hidayah Islam.

Bahkan salah satu sifat yang wajib bagi Rasulullah s.a.w ialah tabligh, ertinya menyampaikan. Bukan sifat itu sangat rapat dengan sikap memberi? Apa yang baginda terima sebagai wahyu daripada Allah akan terus disampaikannya (diberikannya) kepada umat tanpa disembunyikan, disekat atau diselewengkan. Begitu tulus dan telus baginda dalam memberi.

Sejarah kehidupan Rasululah saw diukir indah oleh sikap memberi. Baginda memberi bukan sahaja sewaktu senang, bahkan semasa susah. Sewaktu susah, Rasulullah saw memberi penuh kesabaran. Sewaktu senang baginda memberi dengan kesyukuran. Orang Arab Badwi yang menerima kambing pemberiannya pernah berkata, “dia memberi tanpa takut kepada kekurangan. Lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan, sifat memberi baginda lebih terserlah daripada biasa. Sehingga disifatkan oleh ahli sejarah, tangannya umpama “angin kencang” yakni sangat laju dalam memberi sedekah dan hibah.

Semasa peristiwa Futuh Makkah (pembebasan kota Makkah) yang bersejarah itu, baginda telah memberi maaf kepada kafir Quraisy yang pernah menzalimi bahkan pernah berusaha untuk membunuhnya. Pernah baginda tidak dapat tidur kerana memikirkan kalau-kalau masih ada wang berbaki yang belum disedekahkannya kepada fakir miskin. Dan pada saat-saat kritikal menjelang kewafatannya pun, baginda masih sempat memberi peringatan kepada umatnya tentang kepentingan mendirikan solat walaupun dengan kata-kata yang terputus-putus… as solah, as solah… Baginda masih memberi peringatan!

Sikap memberi Rasulullah saw ini (menyampaikan risalah Islam) telah diteruskan oleh para sahabat, tabiin, tabiut tabiin dan umumnya salafussoleh. Generasi yang hidup 300 tahun selepas Rasulullah saw ini terus memberi masa, tenaga dan jiwa mereka untuk menyebarkan dakwah, menyampaikan ilmu dan memberi bimbingan kepada seluruh umat manusia hingga dengan itu Islam telah tersebar di seluruh dunia.

Bayangkan apa akan jadi kepada manusia dan dunia jika sikap memberi ini terencat dan tersekat selepas kewafatan Rasulullah saw? Tentu sahaya dunia akan gelap dan manusia akan terus kufur. Sejarah mencatatkan 2/3 para sahabat Rasulullah saw telah mati di luar Semenanjung Arab semasa memikul tugas menyampaikan Islam. Ya, begitu agung dan tinggi sekali sikap memberi yang ada di dalam jiwa mereka.

TRADISI MEMBERI

Dulu, kini dan selamanya Islam sangat mementingkan tradisi memberi ini. Islam itu sendiri ertinya selamat dan memberi keselamatan. Dalam rukun Iman dan rukun Islam terpancar anjuran memberi itu secara langsung atau tidak langsung. Dalam bacaaan solat sahaja misalnya, kita diajar, dilatih dan didisiplinkan untuk memberi pujian kepada Allah, berselawat kepada Rasulullah, memberi salam kepada malaikat dan mendoakan orang-orang Islam yang lain.

Begitu juga dengan ajaran puasa yang antara hikmahnya agar kita merasai kesusahan orang miskin dan dengan itu kita terdorong untuk memberi bantuan kepada mereka. Dan pada bulan Ramadan kita dianjurkan untuk bersedekah kepada fakir miskin, memberi makanan untuk orang berbuka puasa dan sebagainya. Manakala tuntutan mengeluarkan zakat adalah ditunjangi oleh kewajipan memberi kepada lapan golongan yang sangat memerlukan dalam masyarakat. Begitu juga dengan amalan berkorban binatang, aqiqah dan menjamu orang-orang miskin, semuanya berasaskan sikap memberi. Apabila ada pelanggaran hukum ataupun kesalahan dalam melaksanakan sesuatu ibadah – misalnya kewajipan membayar dam (dalam ibadah haji), kafarah (dalam ibadah puasa), diyat (jenayah membunuh) dan lain-lain, denda atau hukumannya selalaunya berasaskan sikap memberi seperti membebaskan hamba abdi, memberi makan fakir miskin dan lain-lain lagi.

Dalam adab-adab pergaulan juga, umat Islam digalakkan untuk memberi dalam sebaik sahaja bertemu dengan saudara seIslam kita. Dengan memberi salam bererti kita “memberi” doa demi kesejahteraan saudara kita. Begitu juga dengan membalas salam, kita membalas pemberian doa itu dengan satu doa yang setimpal malah disunatkan lebih lagi. Kita digalakkan sering berziarah (ini memerlukan kita memberi masa, wang dan tenaga), memberi hadiah, mengucapkan tahniah, menyampaikan takziah dan lain-lain perlakuan yang bersifat memberi.

TUHAN ITU AL WAHHAB (MAHA PEMBERI)

Dan di atas segala-galanya itu, Allah adalah Pemberi yang Maha Pengasih dan Pemurah. Nama-nama Allah seperti Al Rahman, Ar Rahim, Ar Razzak, Al A’fu, Al Ghaffar, At Tawwab adalah sangat berkait dengan sifat memberi. Malah salah satu nama Allah yang berkait secara langsung dengan sifat memberi ialah Al Wahhab (Maha Pemberi). Kita diwajibkan mengenal sifat Al Wahhab (Maha Pemberi) ini. Bukan sahaja wajib belajar, memahami dan menghayati Al Wahhab malah kita dituntut untuk meniru dan menteladani sifat mulia dan baik itu dalam kehidupan sehari.

Mari kita renungkan beberapa kriteria sifat Al Wahhab agar kita menyedari betapa hebat dan agungnya sifat memberi pada Allah . Berikut adalah sifat-sifat Al Wahhab:

i) Allah memberi tanpa pinta dibalas.
Berbeza dengan manusia yang sering memberi untuk mendapat balasan, Allah sebaliknya Maha kaya dan Maha Perkasa daripada sebarang sifat kekurangan dan kelemahan. Allah tidak memerlukan makhluk sebaliknya makhluk yang memerlukan-Nya. Allah mengurniakan begitu banyak nikmat, rahmat dan kurniaNya kepada setiap manusia, dan pemberian itu tidak mungkin dapat dibalas. Allah Maha Mengetahui hakikat itu, namun Allah terus memberi walaupun tidak dibalas oleh hamba-hamba-Nya yang kufur dan dibalas secara tidak setimpal oleh hamba-hamba-Nya yang taat.

Usahkan untuk membalasnya, mengiranya sahaja manusia tidak mampu. Kita meminjam terlalu banyak kepada Allah. Ironinya, walaupun pinjaman itu masih tertonggak, namun Allah tidak menarik semula nikmat pinjaman-nya kepada kita. Sekiranya Allah menghentikan pemberian-Nya, maka akan terhentilah perjalanan dunia dan seluruh kehidupan ini. Tetapi tidak begitu, walaupun begitu banyak “hutang” manusia kepada Allah yang tidak dilangsaikan, namun Allah tetap memberi… kerana Allah memberi tanpa minta dibalas.

ii) Allah memberi sebelum diminta.
Kebanyakan manusia, hatta yang pemurah sekali pun, akan memberi setelah diminta oleh orang lain. Allah sebaliknya, memberi sebelum diminta oleh makhluk-Nya. Manusia bersifat pelupa. Sering kali kita lupa meminta apa yang kita sendiri perlukan dalam hidup. Namun, Allah Maha Penyayang, Dia memberikan juga kita rezeki, perlindungan, kesihatan dan pimpinan walaupun kita sering lupa untuk meminta perkara-perkara itu dalam kehidupan ini.

Bayangkan apa akan jadi kepada kita jika Allah memberi hanya apabila kita memintanya? Boleh bernafaskah kita saat ini sedangkan pagi tadi kita “terlupa” memohon oksigen? Apakah kita masih beragama Islam pada hal kita sering lupa meminta dikekalkan hidayah ini di dalam diri kita? Mujur dan syukur, sifat Al Wahhab Allah itu terus pro-aktif (jika boleh dikatakan begitu) memberi, sentiasa dan selamanya, walaupun manusia sering lupa memintanya.

iii) Allah memberi berulang-ulangkali dan berterusan.
Sejak di alam rahim lagi manusia telah mengecap nikmat Allah yang tidak henti-henti dan berulangkali. Dalam tubuh manusia terjadi terjadi pelbagai proses yang unik dan kompleks. Proses bernafas, pernafasan, penghadaman, perkumuhan, pembiakan dan lain-lain sentiasa berlaku secara konsisten. Jantung terus mengepam, buah pinggang terus menyaring, neuron dalam akal terus berfungsi sejak bermulanya kehidupan.

Bukan itu sahaja malah ada berjuta-juta lagi proses yang sentiasa berlaku dalam seluruh makhluk ini – daripada haiwan, tumbuhan, bumi, bulan, matahari, bintang-bintang hinggalah ke seluruh semesta alam ini. Sentiasa ada kuasa yang mengatur, menyusun, menetapkan, menghidup, mematikan, menjalankan dan memberhentikan. Alam ini disusun secara sistematik dan proses pengaturan dan pelaksanaannya berjalan secara berterusan dan berulang kali. Untuk siapa? Ya, untuk manusia – khalifah di muka bumi.

Semua itu dalam kekuasaan Allah yang tidak alpa, letih, mengantuk, tidur dan lemah untuk memberi berulang kali dan berterusan. DIA mahu memberi berulang kali. Kekuasaan-Nya sangat hebat, sehingga DIA mampu memberi secara berterusan. Sebaliknya, kasih-sayang dan kekuasaan makhluk ada batasnya… kita tidak mahu dan mampu memberi secara berulang kali dan berterusan.

iv) Memberi segala sesuatu yang sangat berharga.
Allah memberi sesuatu dengan tujuan. Tuhan tidak memberi sesuatu dengan sia-sia. Manusia diciptakan dengan tujuan yang besar – hamba Allah dan khalifah di muka bumi). Oleh itu apa sahaja yang diberikan Allah adalah “besar” demi melaksanakan tujuan yang besar itu. Allah memberi manusia nikmat zahir yang berupa harta, makanan, minuman, pakaian dan lain-lain. Allah jua memberi manusia nikmat batin yakni ilmu, akal, hidayah, iman, taqwa dan lain-lain. Semua itu sangat berharga sama ada dinilai dari sudut material mahupun dari sudut rohani.

Manusia memberi juga tetapi sering kali yang diberikan itu sesuatu yang tidak berharga. Berapa banyak produk-produk yang tidak berkhasiat malah ada yang beracun beredar di pasaran. Begitu juga dengan perkhidmatan yang sering mengeksploitasi dan memanupulasi pelanggan. Sehingga dengan itu terpaksa digubal pelbagai undang-undang dan akta untuk melindungi para pengguna.

v) Memberi sesuatu yang baik untuk menghasilkan Kebaikan
Allah memberikan pelbagai kebaikan kepada manusia berupa harta, ilmu, kuasa, kesihatan, iman dan sebagainya. Dengan segala yang baik itu Allah inginkan hamba-Nya melakukan kebaikan kepada orang lain. Maksudnya, kebaikan yang diberikan kepada kita bertujuan untuk kita memberi kebaikan kepada yang lain. Antara pengertian manusia sebagai khalifah (mengikut sesetengah ulama) ialah memberi kebaikan kepada diri, orang lain dan persekitarannya.

Allah berikan kita harta, agar kita bersedekah. Diberikan-Nya kita ilmu agar kita mengajar dan berdakwah kepada masyarakat. Diberikan-Nya kita iman agar kita berbaik-baik, berkasih sayang dan berukhawah sesama manusia, kepada haiwan, tumbuhan bahkan kepada alam semesta. Tegasnya, Allah bukan sahaja memerintahkan kita menjadi orang yang baik tetapi mesti memberi kebaikan!

TIRULAH SIFAT AL WAHHAB

Kita dituntut meniru sifat Al Wahabb ini walaupun mustahil kita mampu menyamai-Nya.
“Tangan yang di atas lebih baik daripada tangan yang di bawah.”
Maksudnya, orang yang memberi itu lebih baik daripada orang yang menerima. Oleh sebab itulah, ramai ulama berpandangan menjadi orang kaya yang syukur adalah lebih utama berbanding orang miskin yang sabar. Mengapa?

Selain daripada kesukaran mengawal hati agar tidak lalai ketika memiliki kekayaan berbanding mengawal hati agar tidak resah ketika ditimpa kemiskinan, orang kaya yang bersyukur adalah lebih baik daripada orang miskin yang sabar kerana orang kaya yang syukur lebih bermampuan untuk memberi.

Jika kesabaran simiskin hanya bermanfaat buat dirinya, sebaliknya sifat dermawan sikaya memberi manfaat kepada orang lain. Pemberian zakat, sedekah dan hadiah daripada orang kaya melimpah ruah manfaatnya kepada masyarakat. Rasulullah saw pernah bersabda:
“Sebaik-baik manusia ialah manusia yang memberi manfaat kepada orang lain.”

MANFAAT DARIPADA MEMBERI

Apakah manfaat daripada sikap memberi? Mengapa Islam sangat menggalakkan bahkan kekadang mewajibkan umatnya untuk memberi? Antara manfaatnya ialah:

i) Mengikis sifat mazmumah.
Dengan memberi kita akan dapat membuang sifat mazmumah seperti sombong, hasad dengki, tamak, pemarah dan lain-lain. Harta, ilmu, kuasa dan apa yang kita miliki adalah punca sifat-sifat mazmumah. Dengan menyimpannya sahaja (tanpa memberi), samalah seperti menyimpan “virus” yang sangat berbahaya pada hati kita. Sebab itu kita diwajibkan mengeluarkan zakat.

Istilah zakat itu diambil daripada kata asal “zakah”, ertinya membersihkan. Ertinya, zakat fitrah membersihkan diri, manakala zakat harta membersihkan harta. Oleh itu jika kita tidak mengeluarkan zakat, diri dan harta kita akan “kotor”. Kekotoran diri dan harta inilah yang menyebabkan kekotoran hati. Hati yang kotor adalah punca penyakit mazmumah.

Sebaliknya dengan memberi zakat, kita umpama mengeluarkan toksid-toksid daripada diri, harta seterusnya hati kita. Bila hati sihat, kesihatan itulah yang akan menumbuhkan sifat-sifat mahmudah seperti tawaduk, pemurah, pemaaf dan sebagainya. Yakinilah, sikap memberi adalah terapi, ubat dan penawar kepada penyakit-penyakit hati. Sebab itu bijak pandai mengungkapkan:
“Memberi lebih gembira daripada menerima.”

ii) Mendapat lebih banyak.
Percayakah kita bahawa dengan memberi kita akan mendapat lebih banyak? Maksudnya, dengan memberi, harta, ilmu, iman, tenaga dan lain-lain milik kita tidak akan berkurangan malah akan bertambah. Ini disebabkan sebaik sahaja kita membuat keputusan untuk memberi apa yang kita miliki, Allah akan membuka pintu rezeki, ilmu dan iman yang lebih luas untuk kita. Walaupun niat kita memberi bukan untuk menerima, tetapi hakikatnya siapa yang banyak memberi dialah yang akan lebih banyak menerima.

Kita perlu yakin bahawa setiap 1 yang kita berikan di jalan Allah, Allah akan gandakan 700 kali sebagai balasan. Ini suatu yang menakjubkan. Apakah ada pelaburan di mana-mana istitusi kewangan atau perbankan di dunia hari ini yang mampu membayar dividen atau pulangan sehingga 700 kali ganda? Jawabnya, tidak ada. Namun itulah janji Allah. Dia Maha Kaya dan Maha Pemurah. Malah pada situasi-situasi yang lebih istimewa dan khusus, Allah telah menjanjikan pembalasan pahala tanpa hisab (tanpa hitungan lagi) kepada para hamba-hamba-Nya yang juga istimewa.

Bagi orang yang sabar, Allah telah berjanji memberi ganjaran tanpa hisab. Manakala untuk orang yang berpuasa, Allah telah berjanji melalui lidah Rasulullah saw untuk memberi pahala mengikut kehendak-Nya yang tidak terbatas lagi.

iii) Mewujudkan perpaduan dan keharmonian.
Dengan hanya berfikir untuk mendapat, kita akan menjarakkan. Sebaliknya bila kita berfikir untuk memberi, kita akan merapatkan. Hukum kasih sayang menyatakan bahawa jika hendak disayangi, mesti terlebih dahulu menyayangi. Hanya dengan “memberi” kasih sayang kita akan mendapatnya.

Sebaliknya, sikap tidak mahu memberi akan mencetuskan perbalahan. Kata bijak pandai, “all getting separates you from others; all giving unites to others” – hanya berfikir untuk mendapat akan menjauhkan diri kita daripada yang lain; hanya berfikir untuk memberi akan menyatukan kita dengan yang lain.

Begitu juga jika kita hendak difahami, mesti terlebih dahulu memahami – “first seek to understand than to be understood” – bertindak dahulu untuk memahami baru kita akan difahami. Sikap memberi sangat penting untuk mencipta keharmonian dan sebarang bentuk komunikasi.

Kemesraan dalam perhubungan disebabkan sikap memberi. Sikap memberi boleh dilihat dalam perbualan sehari-hari. Orang yang memberi lebih banyak mendengar daripada bercakap dalam berkomunikasi. Percayalah dengan lebih banyak mendengar, kasih sayang dan cinta akan lebih bersemarak. Ingatkan kita pada ungkapan, the first duty of love is to hear? (Tugas cinta yang pertama ialah mendengar?) Ini bermakna dengan memberi (dalam konteks ini bersedia menjadi pendengar), kita telah bersedia menjadi kekasih, sahabat, saudara, pemimpin atau majikan yang lebih baik.

Cinta itu bererti kita bersedia untuk memberi… bukan untuk menerima! Siapa yang lebih cinta dialah yang lebih banyak memberi. Jika kurang berkuranglah cinta. Bila kurang rasa cinta, tergugatlah perpaduan dan rengganglah perpaduan. Oleh itu hidup ini adalah untuk memberi bukan sebaliknya. Manusia memikul peranan sebagai khalifah di muka bumi. Tugas khalifah itu adalah untuk memberi kebaikan – buat diri sendiri, orang lain dan persekitaran. Hanya dengan itu makmurlah muka bumi ini dengan pembangunan material, keamanan dan keampunan Tuhan.

Malangnya, ramai manusia mementingkan bagaimana untuk mendapat bukan memberi dalam hidup ini. Mendapat pada sangkaan mereka akan membahagiakan. Maka berlakulah persaingan malah perebutan. Padahal hidup ini bukan untuk bersaing tetapi saling berkongsi. “We are here to complete not to compete!” Kita di dunia ini bukan untuk bertanding tetapi untuk saling lengkap melengkapi antara satu sama lain.

Ironinya, dengan banyak memberi kita akan lebih banyak menerima. Lihatlah “figur-figur” yang berjaya, hampir semuanya terdiri daripada orang yang banyak memberi. Manakala mereka yang hanya memikirkan untuk mendapat kerap kali tertipu oleh apa yang didapatinya. Mereka mungkin lebih kaya, tetapi lebih derita pula jiwanya. Mereka mungkin ternama, tetapi lebih runsing pula mindanya. Dengan hanya berfikir untuk mendapat, percayalah kita akan menemui fatamorgana dalam kehidupan ini.

Kekayaan sebenar bukanlah kerana banyak “memiliki” tetapi kerana banyak “memberi”. Justeru, Allah itulah zat yang Maha Kaya, kerana DIAlah yang paling banyak memberi. Jika kita banyak memberi kita akan meningkatkan kualiti jiwa. Jika kita banyak menerima kita akan hanya meningkatkan kuantiti harta. Kualiti jiwa itu matlamat, kuantiti harta itu cuma alat. Jangan tertukar antara alat dan matlamat…

Intailah hari-hari yang berlalu dalam kehidupan sehari-hari. Pada hari yang ceria dan gembira itulah hari yang kita lebih banyak memberi berbanding menerima. Untuk merasa gembira gembirakanlah orang lain. Sebab itu senyuman itu ada dua. Pertama, senyum kerana gembira. Kedua senyum untuk menggembirakan. Senyum untuk menggembirakan itulah yang lebih tinggi nilainya seperti yang disebut dalam hadis:
“Senyum simpulmu di hadapan saudaramu adalah satu sedekah.”

Senyum yang pertama kerana mendapat kegembiraan. Manakala senyuman yang kedua kerana hendak memberikan kegembiraan. Orang yang sentiasa berfikir untuk menggembirakan orang lain insya-Allah akan sentiasa dibukakan pintu kegembiraan buatnya oleh Allah swt. Bijak pandai sering mengingatkan bahawa kita tidak akan bahagia selagi orang di samping kita tidak bahagia. Ertinya, kebahagiaan kita hanya apabila kita berusaha membahagiakan orang lain.

Berikanlah apa yang Allah berikan kepada kita kerana di sana ada hak orang lain yang diamanahkan kepada kita. Jangan jadi seperti Qarun yang menganggap kekayaan diri kerana kepandaiannya. Ya, kita yang memerah keringat. Ya, kita yang penat berfikir. Tetapi dengan tenaga siapa kita berusaha? Tangan, kaki, bahu dan segala pancaindera itu hakikatnya milik siapa?

Semua itu bukan milik kita. … segala-galanya pemberian Allah. Kita bukan pemilik, kita hanya peminjam. Sebagai khalifah, kita memikul amanah untuk memberi kebaikan dengan segala kebaikan yang kita terima. Allah memberi untuk kita memberi.

 
30 Komen

Posted by di 30 November 2009 in Tentang Cinta

 

Label: , , , ,

30 responses to “CINTA ITU BERERTI MEMBERI!

  1. abdul rahman ali

    30 November 2009 at 11:29 pm

    Salam….ustaz, saya amat tertarik tentang topik ini. Antara cinta dan memberi memang saling berkait ;
    1. Ada orang berharta tapi tak kesah nak memberi
    2. Ada yang sibuk nak cukupkan harta sendiri dan…..
    3. Ada juga yang mudah memberi walaupun tak berapa nak ada harta.
    Tiga ragam/paten manusia ini boleh dikenalpasti melalui teori rahsia GENETIK TARIKH LAHIR. Antaranya, bila kita menjaga dan merebut cinta IBU kita maka lebih mudah untuk kita menjadi insan yang senang memberi diketika kurang berada lebih-lebih lagi bila dah berada

     
  2. gentarasa

    1 Disember 2009 at 6:31 am

    Salam saudara dan sahabatku,
    Ana ni patern yang mana? Mana tahu, dengan mengenal tabiat kita… boleh membantu kita mengatur strategi dalam bermujahadah. Ketaatan belum terasa manis walaupun kejahatan sudah dirasakan kepahitannya. Itulah SUNNAH ORANG BERMUJAHADAH.

     
  3. abdul rahman ali

    1 Disember 2009 at 7:42 am

    Salam…usatz. Dari peta tarikh lahir ustaz, kod genetik yang dapat difahami adalah menjelaskan ustaz merupakan individu yang berusaha untuk mendahului keluarga dahulu dalam pun perkara.
    Paten no 2 bermaksud tabiat individu yang sebenarnya juga banyak MEMBERI tapi banyak terfokus kepada famili….ahli keluarga, adik beradik, saudara mara atau ahli keluarga perniagaan.

     
  4. Hamba Allah

    1 Disember 2009 at 10:00 am

    Salam ustaz..terasa diri amat kurang memberi..pemberian Allah amat banyak..tak terhitung namun diri ini terlalu kurang memberi..kerana mendahulukan kehendak yang tak pernah puas..doakan ana semoga dapat memperbaikki akhlak dan mudah memberi kepada yang memerlukan dengan ikhlas…umur makin pendek tapi memberi makin kurang..doakan ana ya ustaz…mudahan jadi warganegara akhirat yang berbahagia..Amin…

     
  5. khairul

    1 Disember 2009 at 3:07 pm

    salam tuan,

    artikel yang hebat dari hamba Allah yg hebat. MInta izin utk guna dan edit sebagai khutbah jumaat.

     
  6. gentarasa

    1 Disember 2009 at 3:57 pm

    Salam sahabatku,
    Syukran. Akan saya didik diri untuk memberi kepada saudara Islam saya yang lain. Doakan saya.

     
  7. gentarasa

    1 Disember 2009 at 3:58 pm

    Salam abdillah,
    Ya Allah, kami doakan agar hamba Mu ini dikurniakan hasanah dunia dan hasanah akhirat. Amin.

     
  8. gentarasa

    1 Disember 2009 at 3:59 pm

    Salam khairul,
    Silakan… semoga jadi amal jariah kita semua… bersama.

     
  9. iman

    1 Disember 2009 at 7:48 pm

    salam ustaz…saya suka sangat artikel ni..
    just nak kongsi amalan peribadi yang InsyaAllah saya berazam untuk lakukannya sepanjang hayat ini.
    1. if beli barang kat kedai, ada baki 10/20 sen, sedekah je la (train diri supaya tak berkira)
    2. bank in duit dalam pertubuhan islam tiap2 bulan hari jumaat (cz harap pahala berlipat kali ganda) dlm RM 10-50 (train diri supaya tak riak, if bank in duit, hanya saya, Allah dan mesin ATM je yg tahu)
    3. berusaha untuk sedekah walaupun duit sikit. hu3.
    4. waqaf harta, beri pinjam, (cth derma pembinaan masjid di bosnia, ble search kat google..dermamasjid.com). semoga selagi mana org manfaatkan masjid tersebut, pahalanya berpanjangan..
    tamakkan saya ni?
    saya hanya berusaha…ini adalah akaun simpanan saya di akhirat.samada dividennya saya dapat atau tidak…biarlah “accountant” yang kira.

     
  10. NurSyahadah

    2 Disember 2009 at 12:39 am

    salam ustaz..
    izinkan saya membuat salinan tulisan ustaz ini untuk dimuatkan dalam koleksi diari muhasabah diri peribadi saya,sebagai panduan bagaimana menjadi hamba yang mahu belajar untuk memberi ilmu..

     
  11. abdul rahman ali

    2 Disember 2009 at 7:17 am

    Salam…ustaz, setiap orang boleh mengenalpasti apakah corak personalitinya dalam kontek membina kekayaan untuk diri, keluarga dan masyarakat. 3 paten manusia yang saya nyatakan dahulu lebih kepada dimanakah kedudukan kita ketika ini, yang perlu setiap individu itu capai adalah mengayakan masyarakat setelah selesai urusan peribadi dan keluarga.
    Jika seseorang itu dominan di paten no 1 maka perlu berhati2 sebab mgkn akan mudah menjadi seorang yang tak kesah nak cari kekayaan dunia…..
    Jika dominan di paten no 2, mgkn terleka fikirkan kekayaan keluarga saja manakal jika dominan di paten no 3, terlebih memberi hinggakan hal2 diri dan keluarga kurang diambil perhatian atau susah nak memberi.

    Apa yang perlu kita lakukan adalah mengimbangi setiap paten2 itu untuk diri kita. Bina kekuatan personaliti dari mencari kesenangan bermula dari diri sendiri ( paten #1 ) kemudian bereskan juga untuk keluarga ( paten #2 ) disamping itu juga praktiskan memberi untuk masyarakat ( paten #3 ).
    Moga2 kita akan benar2 jadi ” BANK MASYARAKAT “

     
  12. nur adibah

    2 Disember 2009 at 11:27 am

    assalam ustaz.
    artikel yang menarik. minta keizinan ustaz untuk guna artikel untuk dikongsi bersama-sama teman-2.

     
  13. sufy

    2 Disember 2009 at 10:34 pm

    salam, subhanallah…sy sgt suka membaca post ni…smg mndapat rahmat dan diberkati selalu..

     
  14. ashyfida

    3 Disember 2009 at 1:06 pm

    salam ustaz..

    Entry yang sgt baik..alhamdulillah. tarbiyah hati melalui PEMBERIAN dan MEMBERI..memberi cinta untuk dicintai. Penuhi cinta Allah untuk dicintai-NYA. memberi bukan sahaja pada harta atau tenaga, tapi pada ilmu yang bisa mententeramkan jiwa. minta keizinan ustaz untuk berkongsi “nota hati” yang dianugerahkan Allah ini utk dikongsikan bersama adik2 usrah atau teman2 seperjuangan..🙂

     
  15. rosma

    3 Disember 2009 at 8:41 pm

    salam ustaz..
    Semua artikel yg ustaz postkan memang selalu menyentuh hati..terima kasih atas artikel yg hebat..smg ustaz selalu diberi kekuatan dan kesihatan yg baik utk terus menulis..

     
  16. novelonline2010

    4 Disember 2009 at 11:37 pm

    betul betul betul. kalau kita beri 1 kita dijanjikan 10 kebaikan. Bila dah cinta pemberian kita sudah tidak dipekirakan atai diungkitkan .Kalau lah manusia saling cinta …namun bukan itu fitrahnya.

     
  17. +*¨^¨*+Puteri Balqis Rania+*¨^¨*+

    4 Disember 2009 at 11:39 pm

    artikel ustaz ni mmg sedap dibaca😉

     
  18. masidas

    5 Disember 2009 at 8:24 am

    Tahniah, selalu kepingin untuk mghasilkn penulisan sebegini, pembaca sntiasa tersentuh dgn hasil susunan aksara yg dtg dari hati yg telus..sentiasa mahu memberi…

     
  19. humaira'

    5 Disember 2009 at 10:58 am

    salam w.b.t

    pertamanya,ana pon nak minta zin tuk c0py artikel2 y ust p0stkan.. tuk buat tazkirah kat diri n kawan2 ana.. ana suka baca karya ust,cam terus msk kat hati…macam ada y mentarbiyah je =D syukran! cume xtau leh istiqamah atau x.. sy d0akan,sem0ga Allah merahmati pjuangan ust lam ‘memberi’ kpd masyarakat dunia hari ni..n moga Allah sentiasa mnunjukkan ana dan umat Islam ke arah khidupan Islam Y sebenar…..amiin

     
  20. nordalily

    6 Disember 2009 at 7:58 pm

    salam ustaz,

    saya suka tajuk dan isi posting ustaz ni, sangat berilmu…. banyak yg saya x tahu…. kadang2 bila orang meminta sedekah saya muskil sama ada utk memberi atau tidak, kadang2 diaorang ni ada sendikit…….bila teringat ada seorang makcik ni bercerita dia kata, Rasuullllah x pernah tidak memberi…..walaupun sedikit Rasullah tetap memberi, ….kita ni manusia, seringgit pun berkira……

     
  21. hamba Allah

    7 Disember 2009 at 12:11 am

    salam ustaz.
    artikel yg ustaz poskn memang brmakna.
    Tp saya masih tak dapat merasa bahawa segala pemberian ini daripada Allah.
    Saya dah cuba untuk merasa tapi masih tak boleh mencapai tahap bahawa Allah sentiasa bersama dengan kita.
    Boleh ustaz tolong saya?

     
  22. izzat sani

    7 Disember 2009 at 4:30 pm

    assalamualaikum us, alhamdulillah sy dh baca artikel terbaru us di dlm SOLUSI. apa yg us nukilkan sedikit sebanyak telah menyedarkan sy erti HIDUP UTK MEMBERI.

    Selama ini sy selalu anggap apabila myebut ‘memberi’ itu adalah berkaitan dgn harta tp selepas mbaca artikel us sy dah sedar MEMBERI itu amat luas skop & konsepnya. Tahniah diatas sgl usaha us dlm nukilan us dlm artikel HIDUP UTK MEMBERI.namun sy ada sedikit soalan utk us..

    1- saya selaku belia & mahasiswa islam, apa perkara utama yg saya perlu beri utk agama kita yg agong ini ?

    2- kini kehidupan belia islam kita amat berbeza dgn kehidupan belia islam yg hidup pd zaman Rasulullah S.A.W, sahabat & tabi’ tabi’in. amat myimpang dr matlamat hidup & kehidupan yg sebenar (terlalu byk hedonisme). apa yg saya perlu sumbang (beri) pd mereka ini? (dlm kontek dakwah, pemikiran yg betul).

    p/s: terima kasih sudi hadir di konvensyen pendakwah muda yg lepas..

     
  23. naniismail

    5 Januari 2010 at 11:01 am

    salam..
    minta izin utk copy n save..sbg panduan hidup

     
  24. gentarasa

    5 Januari 2010 at 2:50 pm

    Salam,
    Ya, silakan. Semoga ilmu diperpanjangkan.

     
  25. karim

    27 Februari 2010 at 12:04 am

    best best…sangat menarik…

     
  26. zaleha yahya

    31 Mei 2010 at 9:26 am

    asslmkm ustz…mohon izin utk guna ungkapan “beribadahlah sehingga kau berasa penat utk melakukan maksiat” sbg peringatan utk diri sendiri.semoga Allah beri kekuatan berterusan kpd ustz utk menyeru ke arah kebaikan.

     
  27. atul

    26 Ogos 2010 at 12:33 am

    salam ustaz..mohon copy..
    syukran ustaz

     
  28. nurislam

    1 Februari 2011 at 8:38 pm

    alhamdulillah,syukran ustaz…
    benarlah,cinta itu bererti memberi..DIA cintakan kita dengan terlalu banyak yang diberikan…bagaimana dengan diri kita? renung-renungkan bersama.tepuk dada tanya iman.insyaallah

     
  29. AngahNormaHajar

    11 Mei 2011 at 3:14 pm

    Assalamualaikum,

    Ustaz,
    Minta izin sya berkongsi nota2 peringatan dr Ustaz dgn kwn2 di fb.
    Minta izin utk sya menyimpan nota2 ini buat pedoman dan iktibar utk hidup sya..
    Semoga Allah terus memberi kesihatan dan kekuatan yg berpanjngn pd Ustaz…utk menulis secara berterusan.
    Terimakasih Allah,Terima kasih ustaz.
    Semoga sya dn kwn2 dan kita semua akn terus berada dlm rahmat Allah dan hidayah Nya..
    Semoga kita kekal dlm Islam.
    MasyaAllah,hati benar2 tersentuh dgn tulisan Ustaz..
    dirsakan diri sendiri terlalu kecik dan kerdil…
    Sya hamba Allah yg hina..
    Semoga Allah ampun kan kita semua dan syurga la destinasi akhir kita

     
  30. tam

    17 Januari 2012 at 4:10 pm

    hingga detik dan saat ini saya masih belum mengerti cinta itu bererti memberi. jika pemberian tak dihargai adakah cinta itu bermakna?

     

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: