RSS

DIPILIH UNTUK DISISIH

02 Nov

gambar sajak 3Entri Kembara Cinta Telah Bermula mendapat respons yang baik daripada pengunjung blog ini. Alhamdulilah, perkongsian ilmu dan pengalaman menjadi semakin subur. Ramai yang menyatakan rasa sedih, terkilan dan kecewa kerana tidak terpilih sebagai Tetamu Allah tahun ini.

Saya faham dan hayati rasa hati saudara-saudari. Inilah perasaan yang membuak-buak dalam dada saya setiap tahun bila melihat orang lain ke Makkah tahun demi tahun. Seakan-akan diri terpinggir.

Namun, pada tahun lepas dan tahun ini tidak lagi. Kerinduan yang tertahan tidak menjejaskan diri. Tidak ada rasa terkilan akibat “tertahan”. Tidak ada rasa “terpinggir” walaupun tak sampai. Mengapa?

Alhamdulillah menerusi pengajian, muhasabah diri dan nasihat-nasihat orang yang ditua-tuakan dalam hidup saya, kini saya tahu apa makna semuanya itu.

Bersedialah untuk menunaikan haji seperti bersedia menemui mati. Bersihkan jiwa, fikiran, perasaan dan pancaindera daripada dosa-dosa. Bermujahadah. Berperanglah habis-habisan dengan nafsu. Jika belum dipanggil lagi… itu petanda Allah masih menghulurkan waktu untuk kita bersedia. Itu sesungguhnya lebih baik daripada “sudah” dipanggil, “telah” mampir, tetapi belum bertemu-Nya!

Apa maksud saya? Pada buku catatan saya tertulis begini:

“Apakah tanda haji mabrur? Boleh dijawab oleh tuan punya badan sendiri. Pertama, apakah hatinya merasa semakin dekat dengan Allah? Kedua, apakah dia terasa semakin ringan untuk melakukan kebaikan? Ketiga, apakah dia mula terasa berat amat untuk melakukan maksiat? Keempat, apakah akhlaknya bertambah baik? Kelima,  apakah dia sudah jadi role model kepada orang-orang di sekelilingnya?

Catatan itu bersambung lagi:

“Janganlah ke sana untuk mencari karamah (peristiwa-peristiwa aneh) tetapi cukup sekadar bertemu ISTIQAMAH. “

Lalu rasa-rasa itulah yang mendorong saya menulis beberapa kisah dalam majalah Anis (merupakan tulisan saya yang terakhir di sana) . Saya catatkan beberapa kisah yang benar-benar saya alami, lihat dan rasai. Saya lihat sendiri betapa ada Haji dan Hajah yang bercerita tentang “kehebatan” dan “keberuntungan” diri kerana terpilih tetapi bila disuluh dengan ilmu mereka sebenarnya masih tersisih. Mujur, jika kita belum pergi, maka itu peluang untuk lebih serius mempersiapkan diri. Jangan sampai dipilih untuk disisih!

Bagi yang akan pergi, bertaubatlah banyak-banyak, pinta petunjuk dan hidayah sepanjang kembara di sana. Bersedia atau tidak, jangan diperkirakan lagi. Tetapi tanamkan rasa terus berusaha, bermujahadah dan berdoa serta bersangka baik. Katakan pada diri, “Allah telah memanggil aku, aku wajib pergi, bersedia atau tidak aku mesti pergi! Aku mesti bersangka baik kepada Allah. Dan memberi peluang untuk diri sendiri.”

Bagi yang telah pergi, sudi-sudilah terus-terusan bermuhasabah. Apakah ibadah hajiku tahun-tahun yang lalu sudah “berbuah”? Akhlakku bagaimana? Istiqamahku setakat mana? Solat, puasa dan lain-lain ibadah habluminallah apakah sudah semakin meningkat? Bagaiman pula dengan riyak, ujub dan summah? Hasad, marah dan tamak? katakan, “wahai Tuhan, apakah amalan hajiku temph hari telah KAU terima?”

Untuk anda saudara-saudaraku. Sudi apalah kiranya membaca kisah-kisah ini. Bukan untuk menyuluh orang lain, tetapi buat menyluh diri sendiri. Bukankah kita saling menjadi cermin antara satu sama lain? Jadi pandanglah “wajah” kita dalam kisah-kisah ini:

1. Sekalipun sudah berkali-kali haji
Kisah yang menyayat hati ini berlaku beberapa tahun yang lalu. Seorang kaya yang bergelar haji mati dalam keadaan yang menyedihkan sekali. Pada tahun-tahun terakhir menjelang kematiannya, dia hidup begitu menderita dan terseksa sekali.
“Kau maafkanlah kesalahannya, “ rayu saya kepada adik.
Saya tahu adik saya begitu kecewa dengan sikap haji yang pernah menjadi majikannya.
“Dah maafkan bang,” ujar adik saya perlahan.

Saya masih ingat betapa marahnya dia kepada Pak Haji majikannya itu. Setelah bekerja hampir setahun, gaji yang diberikannya kurang daripada apa yang dijanjikan dahulu. Adik saya tetap bersabar. Dengan harapan, gaji yang tidak sampai separuh itu akan dibayar penuh pada satu hari nanti. Namun malang, hari yang dinantikannya tidak pernah tiba. Hendak dikatakan perniagaannya rugi tidak juga… Perniagaannya bertambah maju. Pekerjanya makin bertambah. Dan yang paling ketara setiap tahun dia akan pergi mengerjakan hati. Entah kali ke berapa, sudah tidak dapat dihitung lagi.

Mula-mula adik saya bersangka baik. Mungkin majikannya ada strategi tersendiri. Dia setia menanti. Namun segala-galanya terbongkar apabila rakan kongsi perniagaan Pak Haji itu menemuinya pada satu hari.
“Bulan depan saya akan mengerjakan haji. Saya minta maaf dan ini separuh daripada gaji-gaji kamu yang tidak dibayar selama ini,” katanya kepada adik saya.
“Maksud tuan?” tanya adik saya kehairanan.
“Saya rasa berdosa kerana turut terbabit tidak membayar gaji kamu,” kata rakan kongsi niaga Pak Haji tersebut.

“Kalau begitu mengapa separuh sahaja?” tanya adik saya lagi setelah mengira wang diberikan.
“Separuh lagi kamu mintalah kepada Pak Haji. Bukankah kami berkongsi perniagaan ini. Tidak adillah kalau saya seorang sahaja yang membayarnya,” kata rakan niaga Pak Haji itu secara berterus-terang.
Adik saya malu alah untuk menuntut baki gaji tersebut. Maklumlah sudah beberapa kali meminta tetapi ditolak dengan pelbagai alasan. Memandangkan Pak Haji itu juga turut akan mengerjakan haji buat sekian kalinya pada tahun itu, adik saya menyangka beliau akan mengambil sikap yang serupa dengan rakan niaganya.

Tunggu punya tunggu, harapan adik saya tetap tidak kesampaian. Pulang daripada Makkah tahun itu dan pulang lagi pada tahun-tahun berikutnya tetap membuahkan natijah yang sama. Ketika adik saya memohon berhenti kerja sekalipun baki gajinya tetap tidak dilangsaikan. Pak haji tersebut tetap selamba dengan sikapnya. Teganya dia, berulang alik ke Makkah tetapi menzalimi pekerjanya sendiri. Apakah dia sudah tidak mengenal lagi keutamaan yang wajib berbanding dengan yang sunat. Pada hal mengabaikan hak sesama manusia itu kekadang lebih padah hukumannya daripada mengabaikan hak Allah.

“Betul kau telah reda?”
“Insya-Allah bang. Tetapi masalahnya bukan saya seorang sahaja yang mengalami keadaan begitu, ramai lagi pekerja-pekerjanya yang lain menerima nasib yang sama.”
Saya tunduk. Sedih. Pak Haji telah diserang “stroke” yang berat hingga badannya terketar-ketar dan hilang daya pertuturan dan lumpuh separuh badan. Dan berbulan-bulan kemudian, dia pergi buat selama-selamanya. Semoga Allah merahmati rohnya. Mana tahu dia bukan sengaja… dia hanya tidak tahu! Mungkin.

2. Sah tetapi tidak mabrur.
Pernahkah anda dikejutkan oleh sikap seseorang yang baru pulang mengerjakan haji? Hasil pergaulan dengan masyarakat, ramai yang pernah mengalami kejutan apabila kawan atau saudara mereka yang baru pulang dari Makkah telah berubah sikap. Bukan ke arah kebaikan tetapi sebaliknya. Jika dahulu tutur katanya lembut dan merendah diri tetapi kini bertukar sama sekali.

Benarlah seperti apa yang pernah saya pelajari dahulu, ego itu bermacam ragam. Ada orang ego dengan harta dan kuasa, tetapi ada juga yang ego dengan amal dan “pahala”nya. Padahal ibadah itu (termasuk haji) umpama pokok, buahnya adalah akhlak. Apalah gunanya pokok yang tidak berbuah?

Minggu lalu berlaku satu dialog ringkas antara saya dan sepupu saya selepas mengerjakan solat tarawih di masjid berhampiran rumah kami.
“Ibadah haji hanyalah satu proses. Yang dicari ialah “output”nya,” kata saya.
“Maksud abang kesan haji?”
“Ya. Daripada output itulah dapat diukur apakah haji itu mabrur atau tidak,” jelas saya lagi.
“Apakah kesan haji?” tanyanya lagi.
“Takwa dengan Allah. Berakhlak sesama manusia.”

“Siapa yang mampu mengukur takwa dan akhlak?”
“Payah sekali. Terlalu maknawi. Tetapi sekadar boleh diagak-agak.”
“Oleh siapa?”
“Oleh yang empunya diri.”
“Bagaimana?”
“Melalui rasa hati.”
“Bagaimana?”

“Bila terasa ringan melakukan kebaikan, berat melakukan kejahatan. Mudah merendah diri. Mudah rasa berdosa dan segera bertaubat. Tutur kata menjadi lembut dan senang sekali untuk bersedekah,” saya menceritakan semula apa yang pernah dipelajari dahulu.
“Kita sepatutnya bermuhasabah kenapa ada orang yang begitu berbangga bercerita tentang beberapa kali dia mengerjakan haji dan umrah tetapi perangainya tidak pernah berubah… Masih tega menzalimi, mengumpat dan menipu orang lain.”
“Sahkah haji yang begitu?” tanyanya untuk mendapat kepastian.
“Jika tepat syarat dan segala rukunnya memang sah, tetapi tidak mabrur!”

Setelah dialog itu berakhir, dalam hati saya terpahat satu kesimpulan:
Janganlah hendaknya diheboh-hebohkan sudah berapa kali kita telah melaksanakan haji dan umrah tetapi tanyalah diri sendiri, sudahkah akhlak kita bertambah baik setelah itu? Apalah gunanya memiliki beratus-ratus pokok buah-buahan tetapi sebatang pun tidak menghasilkan buah?

3. Di Hajarul aswad itu…
Tolak menolak begitu hebat. Rebut merebut begitu dahsyat. Acap kali berlaku pertengkaran. Kekasaran, siku menyiku usah dikatakan lagi. Sudah biasa. Ironinya, itu semua konon katanya ingin mendapat keredaan Allah – ingin mencium batu syurga, Hajarul aswad itu. Mungkin jika Ansar dan Muhajirin berada di situ melihat gelagat umat ini, mereka akan sedih berbaur hairan. Apa tidaknya, ketika persaudaraan mereka dikukuhkan sebaik pasca peristiwa hijrah, mereka saling berkorban demi iman dan Islam.

Jika ada di antara Ansar punya dua bidang tanah, diserah satunya kepada saudara muhajirinnya. Begitu juga yang punya dua rumah. Yang punya satu, rela dikongsi bersama . Harta dan segala milik dibelah dua. Malah yang punya dua isteri, rela diceraikan untuk diberikan kepada kaum muhajirin yang tidak punya apa, hilang segala-galanya apabila berhijrah dari Makkah ke Madinah. Itu semua sudah tercatat dalam sejarah.

Sudah menjadi teladan yang indah yang dinukilkan dalam kitab Hayatus Sahabah, bagaimana dalam satu peperangan telah terjadi peristiwa yang indah. Di kalangan tentera Islam saling menolak untuk meminum air walaupun terlalu dahaga kerana mengutamakan sahabat seperjuangannya yang lain. Pada saat yang sangat kritikal pun ukhuwah terus dipertahankan kerana itulah buah iman. Iman kukuh, ukhuwah teguh.

Namun sedih dan malang sekali, kini… di hadapan Kaabah, Muslim sesama Muslim saling bertolak-tolakkan, meluntur persaudaraan, meleburkan iman, hanya untuk mendapat barakah sunat mencium batu syurga itu. Ukhuwah itu wajib, mencium Hajarul Aswad itu walaupun dituntut tetapi hanya sunat. Jika tidak berkesempatan, cukuplah ber”istilam”, melambai dan mengucup tangan sambil mengucapkan, “bismillahi Allah hu Akbar!” Jika ikhlas, itu pun sudah memadai untuk mendapat barakah Hajarul Aswad.

Semua ini mengingatkan saya kepada perbualan dengan seorang kenalan sebaik pulang mengerjakan umrah tidak beberapa lama dahulu.
“Kau dapat menciumnya?” dia bertanya, senyumnya sinis sekali.
Ketika saya diam.
“Aku dulu dapat menciumnya lebih tiga kali,” dia bersuara apabila melihat saya diam.
“Bagaimana kau boleh dapat peluang macam tu?”
“Itulah ajaibnya. Dah memang rezeki aku… semacam satu lorong khas disediakan untuk aku untuk menciumnya…”
Dan dia terus bercerita tentang “keajaibannya”.

Saya tersenyum. Mengapa kekadang kita mencari yang “ajaib-ajaib” sahaja di Makkah dan Madinah. Kemudian kejadian luar biasa itu dijadikan semacam penanda aras pada status diri dalam beragama. Seorang kawan, asyik bercerita bagaimana dia akan mendapat gelas air zamzam pemberian orang berjubah putih setiap kali selepas bertawaf. Dia seolah-olah merasakan orang berjubah putih itu adalah “insan luar biasa” yang mengiktiraf akan kehebatannya. Pada hal, rasa saya, kalau dialah yang memberi gelas air zamzam kepada orang lain selepas orang lain itu penat bertawaf, itu yang lebih luar biasa. Bukankah tangan yang memberi lebih baik daripada tangan yang menerima?

 
22 Komen

Posted by di 2 November 2009 in Tarbiyah

 

Label: , , , , , , ,

22 responses to “DIPILIH UNTUK DISISIH

  1. ummumuhammad

    2 November 2009 at 11:51 am

    salam..
    semoga Allah mengurniakan yang terbaik buat kita, terpilih menjadi hambaNya yang terbaik,terpilih menjadi tetamuNya yang terbaik, namun hakikatnya kita perlu berusaha untuk jadi yang terbaik..terima kasih ust, atas segala tazkirah-tazkirah ust, saya salah seorang pembaca setia tulisan ust, saya sangat terkesan dengan tulisan ust dalam majalah anis, “andai dia pergi dulu sebelummu”. kerana apa yang ust tulis benar-benar terjadi kepada saya dan artikel itu betul-betul memotivasikan saya..syukran, jazakallah khaira jaza’..semoga ust sentiasa didalam rahmat Ilahi..

     
  2. zai

    2 November 2009 at 3:28 pm

    hati tersentuh lagi membaca artikel ustaz. saya antara org yg menunggu utk terpilih ke sana. namun setiap kali membayangkan diri akan ke sana, macam2 perasaan ada seolah2 tak layak rasanya berada di sana lagi. belum cukup rasanya taubat yg dilakukan, belum istiqamah amalan yg ada…tp sampai bilakah saya terasa cukup saya pun tak tau..

     
  3. sunah

    2 November 2009 at 3:33 pm

    Salam wrt wbt ya ustaz..syukran atas peringatan yang diberi..diri ini masih belum sampai lagi ke tanah haram, tetapi tidak sekali-kali niat di hati terpadam untuk mengunjunginya sebelum kembali kepada Pencipta..hajat hati ingin dibawa bersama ibu dan bapa..semoga dipermudahkan urusan itu kelak, dan dikurniakan ALLAH hati yang benar-benar bersedia bila sudah tiba masanya..

     
  4. me n myself

    3 November 2009 at 1:57 am

    Salam ustaz…begitu mendalam + terkesan dihati ini sehingga tak tertanggung lagi menampung air mata kekesalan ini dr gugur membasahi pipi. semuanya seolah itulah saya sekarang..begitu ruginya saya..peluang sebagai tetamuNya ramadhan yang lalu disia-siakan begitu sahaja..dugaan yang minimum saya hadapinya disana tetapi sebaliknya apabila balik di tanah air.”.Ya Allah ampunilah hambaMu ini. Sesungguhnya aku hambaMu yang lemah +dhaif mengharapkan keampunan +kasih sayangMu…”. Doakan saya ustaz…terima kasih…

     
  5. Kakcik

    3 November 2009 at 2:13 am

    salam..
    membaca tulisan ustaz bagaikan hiburan di kala hati saya bersedih. Saya di perantauan ketika ini…adakalanya saya kuat, adakalanya saya amat lemah menghadapi cabaran. Kata-kata ustaz amat terkesan di hati saya terutamanya tentang ‘ikhlas’. Memang mudah untuk menerima nasihat orang lain supaya ‘ikhlas’…tidak mengharapkan balasan. Namun untuk sampai ke tahap itu amatlah payah…adakalanya kita ingat, adakalanya kita lupa. Bila org tidak menghargai apa yg kita buat, hati mula berkata2 dan sedih. Teruskan lah menulis ustaz…utk mengubat hati ini..terima kasih.

     
  6. fadhliatari

    3 November 2009 at 3:52 am

    Salam,

    Moga saya juga diberikan kesempatan untuk menunaikan haji. Insyallah, kalau diizinkan, doa-doakan supaya dapat mengerjakan umrah dahulu.

    terima kasih atas peringatan ini, ustaz. Alhamdulilah.

     
  7. Azman Abdillah

    3 November 2009 at 12:50 pm

    Salam Ust.saat ini kita telah diasak dengan masalah akhlak dan intergriti agama yang jatuh merudum bak saham yang rugi. Tidak cukup kalangan ahli politik bercakaran,kini giliran ahli agama dan cendikiawan Islam pula. Heboh diperkatakan disana sini. Sedih melihat hal ini seolah-olah tiada lagi insan di Malaysia ini yang mementingkan kasih sayang sesama saudara.

    Sayangnya,golongan yang cintakan agama dan mementingkan kasih sayang seolah-olah tidak mendapat tempat dimana-mana. Komen dan cadangan mereka tidak diambil peduli sebaliknya mereka ditekan dan ditindas.

    Cukuplah jika artikel ini dapat mengubat jiwa dan duka yang lara ini serta memberi kesan dalam hidup seharian. Jika tidak dapat merubah sekalipun ,biarlah ianya hanya sekadar pipit yang cuba memadamkan api tika Ibrahim dibakar. Wallahualam.

     
  8. iman

    3 November 2009 at 8:30 pm

    Ya Allah…izinkan aku bertandang sebagai tetamuMu sesegera yang mungkin…sesungguhnya hati ini x tertahan lagi rindunya..tersangat rindu Ya Allah..walaupun sedar diri ini banyak lagi kekurangan..

     
  9. balqiszafira

    4 November 2009 at 12:09 am

    Salam ustaz…alhamdulillah, masih ade kesempatan utk sy membaca nukilan ustaz.terima kasih atas post yg menarik dan cukup mmberi keinsafan.
    Saya antara salah seorang pembaca Anis terutama skali di ruangan ustaz..
    post yg ustaz tulis sgt menarik dn bersahaja,namun ckup utk membuatkan hati terkesan dan akal mule berfikir akn kebenaran..alhamdulillah…
    maksudnye lepas ni ustaz xmenulis lagi utk Majalah Anis ke?

     
  10. mujahidmuda

    4 November 2009 at 12:36 am

    Slm. Post terbaik!! ust boleh tak ana nk no hp ust?? rancang panggil ust mai ceramah…

     
  11. mujahidmuda

    4 November 2009 at 12:37 am

    Slm Mantop ust!! Ust, boleh tak ana nk no hp ust? Rancang nk panggil ust mai ceramah..

     
  12. Syahrul Fadzil

    4 November 2009 at 1:05 am

    Terima kasih, Tazkirah yang menyentuh hati, kebetulan direzekikan untuk ke Tanah Suci tahun ini, Ustaz Mohon dihalalkan, dimaafkan dan didoakan…

     
  13. zai

    4 November 2009 at 10:49 pm

    salam ziarah..

    terima kasih atas sebuah tazkirah yang indah dan begitu syahdu menusuk jiwa sehingga terasa begitu rindu untuk kesana walaupun entah bila kerana keadaan kewangan yang masih belum mencukupi walaupun begitu tetap berharap Allah mengizinkannya dan masih menanti terjadinya KUN FA YA KUN…

     
  14. rusimah

    4 November 2009 at 11:54 pm

    salam alaik ustaz..

    ustaz…nukilan2 ustaz banyak menginsafkan dan menjadi motivasi kepada diri saya,ustaz,bolehka saya publish nukilan2 ustaz dalam blog saya?saya tidak jemu membaca…

     
  15. Zakaria

    5 November 2009 at 9:54 am

    Salam aleykum warohmatullah,

    Benar contoh kisah teladan yg telah ustaz paparkan. Saya juga mengalaminya. Dan setiap kali itu hati kecil saya bertanya, itukah yg didambakan oelah setiap kita yg pergi ke tanah suci ?. Mencari magic, luarbiasa, takjub dan lain-lain perkara yg asing dari pandangan biasa.

    Alhamdulillah, ustaz dapat menghuraikan dalam bentuk tulisan. Inilah yang harus kita cari, pelajari dan amali sebelum bertamu ke sana nanti. Moga terus istiqomah dalam jalur dakwah ustaz.

    Terima kasih.

     
  16. hisyam

    5 November 2009 at 9:41 pm

    salam alaik ustaz, mohon tunjuk ajar dan teguran dalam bidang penulisan ilmiah, jemput datang ke blog ana, moga ustaz sudi meninggalkan nasihat yg berguna untuk ana baiki tahap penulisan ana.

    syukran

     
  17. Nisha

    6 November 2009 at 8:33 pm

    Assalamualaikum semua,
    Betul tu Ustaz, bukan di pilih untuk di sisih tapi biarlah “Dipilih untuk Menagih Cinta yang bersih”.

    Wassalam.

     
  18. ibnu nafis

    11 November 2009 at 5:12 pm

    Salam ustaz,
    Rasa tenang membaca nukilan ustaz ini.. Insyaallah.. Apa yg ustaz titipkan kearah kebaikan, akan saya ikuti..Insyaallah juga..Jika ada rezeki yg lebih bertemu jua kta di sana..

     
  19. NURANI ROSNI

    19 November 2009 at 3:09 pm

    Assalamualaikum ustaz,

    Saya tidak jemu2 membaca nukilan ustaz..alhamdulilah sgla mslah berpunca dari kealpaan kita.. pokok pangkalnya kembalilah pada asasnya..dan bersangka baiklah pada ALLAH..stiap mslh yg mdtg untuk mengukur sejauh mana kesabaran dan keimanan kita kepadaNya..

     
  20. gentarasa

    20 November 2009 at 10:20 am

    Salam Nurani,
    Sabar dalam bersabar. Itulah sabran jamil… sabar yang indah.

     
  21. NORMALA

    20 Jun 2010 at 4:57 pm

    HAJI YG MABRUR DILIHAT DIHUJUNG KEHIDUPAN KITA….MATI. BUKAN SEMASA MENGERJAKAN HAJI. RUKUN HAJI ADALAH PERBUATAN ATAU LATIHAN BAGI KITA MENGHADAPI KEHIDUPAN SEBENAR. SEMASA HAJI KITA HANYA INGAT TUHAN BERSABAR DGN UJIAN KESUSAHAN DAN SAKIT,ELAK BERKATA YG SIA2 SANGGUP MENERIMA APA SAJA KAFARAH DAN MELAWAN IBLIS .TAAT MENUTUP AURAT.BEGITULAH YG KITA MESTI BUAT BILA KEMBALI DARI MEKAH

     

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: