RSS

CATATAN 2 : UMRAH KEMBARA MATA HATI. (Belajar dari Firaun)

22 Jun


FIRAUN(Maaf, catatan ke-2 lambat menyusul. Ini disebabkan saya kembali bertugas di luar kawasan. Kali ini di Seri Pengantin Resort, Janda Baik mengendali kursus untuk 40 orang warga Takaful Ikhlas. Alhamdulillah, 3 hari 2 malam di sana menghadiahkan saya satu pengajaran yang sangat baik dan indah. Mereka semua memberi kerjasama yang sangat baik… Syukran. Untuk anda para pengunjung blog dan untuk mereka (warga Takaful Ikhlas), saya hulurkan tulisan yang tidak sepertinya ini untuk ditatapi.)

Alhamdulillah selepas solat berjemaah Jamak Qasar Maghrib dan Isyak di Concorde Hotel serta sembahyang sunat musafir, semua anggota rombongan Umrah Kembara Mata Hati akhirnya di bawa ke KLIA dengan menaiki bas. Semua wajah menyerlahkan keghairahan, semangat dan keceriaan. Alhamdulillah, saya dapat rasakan kursus setengah hari yang telah dijalani oleh semua anggota rombongan telah mencapai sasarannya.

Sudah ada pengisian ilmu, jiwa dan perasaan di samping persiapan fizikal dan harta untuk misi umrah kali ini. Insya-Allah. Dalam kursus pendek itu, peserta tidak sahaja didedahkan soal teknikal dan mekanikal umrah – rukun, syarat dan sunat-sunatnya, tetapi yang penting ialah penitipan roh umrah itu sebagai mekanisme (proses) membentuk akhlak dan peribadi. Sekarang, saya kira sudah ada” mind set” yang betul untuk menjalani umrah yang bukan sekadar sah tetapi mabrur (makbul) yakni berkesan untuk mengubah perilaku. Amin.

Bayangkan, selama dua minggu akan datang kami akan “melihat” banyak perkara. Kami mesti melihat dengan tepat dan betul (tentunya mengikut pandangan mata hati – rujuk tulisan saya tentang pandangan Mata Hati, insya-Allah… sedikit masa lagi). Ini penting kerana “what you see is what you get” – ibrah, hikmah dan pengajaran yang bakal diraih dalam musafir ini bergantung pada bagaimana kami “melihat” objek, situasi, manusia, keadaan dan apa sahaja insiden sepanjang perjalanan ini. Sekiranya, silap cara melihat, maka “silap” jugalah apa yang kami dapat.

Semua itu bermula dengan meletakkan posisi diri kita dengan betul di sisi Ilahi. Siapa diri kita yang sebenar – who you are? Ini kerana “who you are determines how you see” – siapa diri kita menentukan bagaimana kita melihat sesuatu. Bila kita letakkan diri kita sebagai hamba (bukan tuan apalagi “Tuhan” dalam hidup ini), maka itulah nanti yang menentukan apa yang bakal kami lihat dan dapat dalam umrah ini. Justeru, umrah ini dinamakan Umrah Kembara Mata Hati – mengembara dengan pandangan mata hati, melihat yang tersirat daripada yang tersurat.  

Perjalanan dua puluh minit itu juga terisi dengan tarbiah melalui pengertian doa musafir yang disampaikan oleh ustaz Mohd Nasib. Doa bukan sekadar “memberitahu” atau memohon apa yang kita inginkan kepada Tuhan, tetapi doa hakikatnya mempamerkan sifat kehambaan (miskin, jahil, lemah serta tidak berdayanya) kita di hadapan Allah. Siapa yang tidak berdoa sebenarnya telah sombong dengan Allah. Semoga dengan mengaku lemah di sisi Allah, kita akan diperkuatkan oleh Allah SWT.

Saya duduk di belakang sekali, maklumlah “orang bujang”. Pergi secara solo, tanpa anak dan isteri. Isteri terpaksa menguruskan cucu pertama kami dan minta benar-benar agar saya menjadi pendahulu dalam memandu dan memimpinnya ke sana nanti, Insya-Allah.

Kami akan berlepas ke Cairo dengan singgah di Mumbai (kapal terbang mengisi minyak dan penumpang), sebelum ke Kaherah. Dalam hati masih tertanya-tanya apa hikmahnya singgah di Kaherah? Pada hal hati ingin terus sahaja ke Makkah atau Madinah… Jam 11.45 malam, kapal terbang jenis Airbus itu pun berlepas. Dalam dengus enjin bersama bisikan doa perjalanan, ayat manzil dan 4 Qul serta bacaan ayat-ayat suci yang lain… ia membelah awan membawa bersama segala harapan dan impian. Ya, Allah, berkatilah musafir ini dengan tercapai maksud-maksud baik yang diniatkan di dalam hati.

Ditakdirkan duduk di sebelah saya ialah Dato’ Mokhtaruddin (Hakim Mahkamah Tinggi Negeri Melaka) – salah seorang anggota rombongan kami. (Insya-Allah, nanti akan saya perkenalkan semua anggota rombongan Umrah Kembara Mata hati ini). Sebenarnya saya “terlepas” majlis ta’ruf yang telah dijalankan pada pagi tadi. Jadi, saya belum mengenali sesiapapun anggota rombongan yang lain secara terperinci.

Apa pun Dato’ nampak “cool”, mesra… tetapi sudah sedia melelapkan mata. Keletihan mungkin. Tetapi saya sebaliknya. Memang sukar untuk tidur (dan lebih sukar kalau “buat-buat” tidur). Kesukaran untuk tidur itu (memang jadi kebiasaan saya) cuba saya manfaatkan mengikut pesan mutawwif kami – banyakkan solat hajat, taubat dan istikharah sepanjang penerbangan. Berterusan saya doakan ibu-bapa yang tercinta, sahabat-sahabat dan keluarga. Semoga mereka semua bahagia dunia dan akhirat. Sengaja saya tidak mahu sesiapapun menghantar ke Lapangan Terbang… tidak mahu diusik sebarang kenangan. Terus bergerak, jangan pandang belakang!

Alhamdulillah, selepas solat Subuh dan setelah beberapa jam meninggalkan Mumbai, pengumuman dibuat yang kapal terbang akan mendarat tidak berapa lama lagi. Semua terjaga. Keadaan gelap sudah cerah. Sudah siang. Ya, “Kaherah” sudah kelihatan. Tetapi saya berasa sedikit aneh mengapa Kaherah begitu gondol, gersang, hampir tidak ada sebarang pokok atau tumbuhan… terlalu polos. Mungkin, keadaan sudah berubah sejak 15 tahun yang lalu ketika pertama kali menjejak kaki ke sini. Begitu fikir saya.

Terkejut! Rupanya kami bukan mendarat di Kaherah tetapi di Riyad! Bagaimana boleh jadi begitu? Rupa-rupanya kapal terbang terpaksa berpatah ke belakang dan terpaksa mendarat di Riyad kerana seorang penumpang jatuh sakit. Dengan khabarnya terlalu serius dan doktor (dari Malaysia) yang kebetulan berada dalam penerbangan itu dibawa berunding oleh pilot dan akhirnya keputusan dibuat, mendarat segera.

Perjalanan terpaksa ditambah 3 jam lagi. Begitulah aturan Allah, tentu ada hikmah. Lebih 15 jam di perut kapal terbang. Semua sudah keletihan. Walaupun kelihatan, saya bersyukur, “aerophobia” saya hampir tidak terasa. Kami mendapat “layanan istimewa” di Airport Kaherah sebaik mendarat jam 10.45 pagi. Oleh sebab kebimbangan jangkitan H1N1, lebih-lebih lagi oleh kes pesakit yang terpaksa ditinggalkan di Riyad, kami mendapat laluan khas dengan disertai pemeriksaan khusus oleh alat pengimbas demam. Seorang demi seorang “discan”. Bimbang juga kalau-kalau ada yang sangkut dan kami terpaksa “dikuarintin”. Jika terjadi begitu, tentu cita-cita tergendala.

Namun, alhamdulilah. Kami selamat. Dan akhirnya dapat menghirup udara Mesir, negara yang disebut-sebut dalam Al Quran. Bumi tempat gelanggang perjuangan Rasul, nabi, ulama, auliya’ dan mujahid. Sebut sahaja Mesir terbayang kegigihan dan keberanian insan mulia dan perkasa,  nabi Musa AS, kebijaksanaan dan kecantikan nabi Yusuf AS, ketabahan Ya’kub, keilmuan Imam Safie rhm, kewalian Sayidah Nafisah, Ibn Ataillah dan mujahid seperti Hasan Al Banna, Syed Qutb dan lain-lain. Namun terbayang juga para penzalim seperti Firaun, Haman, King Farouk, Jamal Abdul Nasir dan lain-lain.

Mesir, negara – musibah (mim), sabar (shad) dan redha (ro’) – hidup dengan satu kurniaan Allah, yakni sungai Nil. Pelajar Malaysia, ustaz Fadhil – kelahiran Pahang, yang menjadi pemandu pelancong kami bercerita dan berkisah dengan sungguh ghairah. Anak muda berbakat itu boleh “pergi jauh” kalau dilatih dan dipertajamkan skill komunikasi dan penyampaiannya – raut wajahnya yang mesra dan manis membuatkan kami senang bersamanya. Dia “masak” sungguh tentang Kaherah dan kerenah masyarakatnya.

Ketika itu di Kaherah, suasana meriah sekali. Di samping musim panas, Presiden US, Barack Obama dijadual melawat Kaherah dalam waktu terdekat. Semua jalan dijaga dengan ketat. Menurutnya, anggota keselamatan yang beruniform atau tidak, berkawal lebih ramai daripada biasa. Mesir memang negara “tentera”. Selain presidennya (Mubarak) seorang bekas tentera, belanjawan negaranya juga banyak difokuskan kepada alat kelengkapan ketenteraan. Ustaz Fadil sempat menceritakan kehebatan tentera Islam Mesir dalam perang Oktober 1974 (yang jika tidak diancam Amerika) Mesir boleh menerobos hingga ke Israel.

Ini mengimbau bacaan saya tentang sejarah lampau bagaimana keruntuhan kubu terkuat israel di terusan Suez – Kubu Bar Lev. Bagaimana pejuang Islam sejati, berjaya meruntuhkannya dengan idea biasa tetapi sangat luar bisa – menggunakan aliran air. Setelah “sarapan tengahari” di Rumah Malaysia kami terus dibawa melawat Giza – tempat Piramid dan Spinx.

Saya melihat sahaja piramid dari jauh. Apa yang boleh saya pelajari daripadanya? Tekonologi? Senibina? Itu biasa diperkatakan. Sudah menjadi kajian ribuan sarjana dalam arkeologi dan psikologi kemanusiaan. Terlalu banyak yang telah ditulis. Ya, saya teringat kata-kata yang telah saya nukilkan dalam buku Nota Hati seorang Lelaki. Jika kita merendah diri kita boleh belajar bukan sahaja daripada orang yang bijak dan baik, tetapi juga daripada orang yang bodoh dan jahat! Apatah lagi nama Firaun kerap disebut dalam Al Quran. Tentu banyak yang kita mesti pelajari darinya, masakan Allah meletakkan sesuatu yang titik bengik dalam kitab-Nya yang begitu mulia.

Apa yang saya boleh pelajari daripada Firaun dan piramidnya? Ya, sejahat-jahat Firaun pun dia tetap ada “Sense of the End” ( percaya kepada Hari Akhirat). Dia yakin akan adanya kehidupan selepas mati. Bukan sahaja percaya, bahkan dia membuat persediaan untuk menghadapi Hari Akhirat. Justeru, dia menyimpan harta, pakaian, binatang dan lain-lain alat keperluannya, yang turut ditanam bersama jasadnya di dalam piramid. Itulah persediaan Firaun menghadapi kehidupan selepas matinya.

Kata orang, siapa yang tidak buat “persediaan (preparetion)” untuk melaksanakan satu tugasan, maka dia terpaksa buat banyak “pembetulan (correction)” kemudiannya. Firaun tidak mahu ini berlaku. Dia tidak mahu membuat pembetulan di alam SANA. Namun, tanpa panduan wahyu, ditambah sikap takburnya… segala harta dan persediaannya tidak berguna sedikit pun. Ironinya, Firaun yang membina piramid sekeras waja, mati dek air yang selembut sutera. “Teknologi” sihir akhirnya tersembam di telapak kebersihan hati nurani.

Belum pun sampai hari akhirat sebahagian besar harta simpanannya telah dirompak dan sebahagian yang lain telah dipamerkan dalam muzium. Tidak ada lagi “pembetulan” lagi yang mampu dilakukan oleh Firaun di alam Barzakh. Dia melepaskan peluang untuk membuat pembetulan apabila menolak dakwah Nabi Musa AS dan adiknya Nabi Harun AS.

Walau bagaimana pun sejahat-jahat Firaun, kita masih boleh belajar daripadanya. Tentang keyakinannya terhadap hidup selepas mati dan persediaan menghadapinya (walaupun tersalah). Kita yang “kononnya” lebih baik daripadanya, mana bukti keyakinan kita? Apa persediaan kita?

Yakin sungguh Firaun tentang adanya kehidupan selepas mati. Betapa banyak “pelaburannya” untuk membina piramid? Mengapa tidak dihabiskan sahaja segala harta untuk “enjoy” semasa hidup? Mengapa Firaun juga memikirkan kematian? Hari akhirat? Itulah iktibar kecil daripada Firaun dan piramidnya – insan jahat yang masih yakinkan akhirat.

Kita? Mana solat, puasa, amal jariah, jihad, akhlak dan ibadah kita untuk persediaan hari akhirat? Begitu saya ditumbuk oleh satu tempelakan di kepanasan mentari tengah hari itu. Ketika pelancong Barat datang berbondong-bondong untuk menikmati nilai “estatik”, malah saintis mereka datang mengutip data dan fakta saintifik, kita (umat Islam) datang untuk mengutip apa? Apa yang kita lihat secara terirat di sebalik yang tersurat ini? Tentu, Allah ada tujuan “menghantar” saya (dan umat Islam yang lain) datang ke tepi piramid ini. Dan tujuan itu tentulah tidak sia-sia atau “saja-saja”.

Saya tidak akan mengulangi penulisan tentang kebesaran dan keanehan piramid, semuanya sedia maklum. Namun kekadang kita terlupa, ketika kita kagum dengan piramid yang dibina oleh berjuta-juta tan batu itu dengan hanya satu tiang, kita terlupa kehebatan penciptaan langit yang jauh lebih hebat dan besar tanpa sebatang tiang pun! Subhanallah. Langit dibina oleh Allah penuh kasih sayang, memayungi, meliputi dan menitiskan air hujan sebagai sumber kehidupan tetapi piramid sebaliknya… dibina oleh Firaun dengan air mata, darah dan penindasan sesama manusia! (Insya-Allah akan menyusul tulisan saya nanti – Piramid vs Kaabah).

Terlalu letih dan mengantuk, bayangkan daripada KLIA tadi terus menerus berjaga merentasi waktu hingga terdampar di tepi piramid ini. Alhamdulillah setelah menukar sedikit mata wang dari dollar US ke Junaih (sebagai bekalan jika ada apa-apa kecemasan), kami semua tiba di hotel menjelang waktu Asar. Jamak Qasar takhir dan berehat sebentar di lobi hotel Cairo Khan . Urusan penetapan bilik agak mengambil masa. Bayangkan jumlah beg yang dibawa oleh 48 anggota rombongan dan kapasiti lif yang begitu sempit. Namun, alhamdulillah itu pun sudah dikira sangat baik.

Malam kami dibawa keluar menikmati makanan “nasi mandi” ala Yaman – Nasi berwarna kuning berkilat yang seakan-akan Nasi Briyani dengan ayam bakar. Terlalu banyak dihidangkan dalam pinggan besar untuk seorang – semuanya ikut kapasiti orang Arab. Ramai juga yang makan dalam keadaan mengantuk kepada jam menjelang pukul 9 malam (yakni kira-kira jam 2 pagi waktu Malaysia).

Balik terus tidur dan terjaga kemudiannya pada jam 4 pagi dan terus bersiap ke masjid berdekatan dengan berjalan kaki, menyelinap di celah-celah bangunan. Musim panas di Kaherah menghadiahkan saat yang paling santai untuk warganya aktif sepanjang malam hingga ke Subuh. Kedai-kedai membeli belah, kebab, syisa (menghisap paip dengan bantuan pam air) terus dibuka dan orang-orang dewasa, kanak-kanak masih sibuk ke hulu ke hilir.

Sayu sekali sembahyang di masjid yang terlalu sederhana – hanya tersepit dicelah-celah bangunan. Namun jelas yang datang berjemaah penuh kesungguhan – membaca Quran dan berwirid. Suara imam serak-serak basah pagi itu, merdu dan menyentuh. Entah mengapa air mata mengalir lagi pagi itu… Ya, Allah inilah saudara-saudara Islamku yang tidak pernah aku ziarahi. Iman dalam dada mereka dan aku serupa… kita bersaudara!

Subuh itu saya merintih lagi (Insya-Allah semoga saya tidak letih untuk terus merintih)… saya nukilkan di atas buku catatan bersama linangan air mata:

Ya Allah, aku mencari hati yang indah
Untuk ku serahkan kepada Mu
Tapi apakan daya
Hati yang ada…
Hati yang ini, masih tercela

Ya Allah, ajar aku untuk meminta yang terbaik dari Mu
Ilmu ku terbatas,
ilmu Mu Maha luas
Dalam batas itulah aku meminta..
Mungkin aku terbabas

Tanamkan ke dalam hati ku hakikat kewujudan MU,
Keperkasaan Mu…
Jauhilah aku riyak dan ujub
Yang menjauhkan aku dari terdekat
Dan memutuskan aku dari yang jauh
Amin..

Ya Allah,
Ajarkan aku bagaimana untuk mengasihi manusia!

Seusai solat, sempat saya menemui imam yang masih tafakur di mihrab yang serba sederhana. Bersalaman, tanpa bicara kata. Hanya senyuman penghantar rasa. Dia bertanya dalam bahawa Arab, (entah apa) tetapi saya hanya mengagak dan menjawab (mudah-mudahan tepat), “…ana min Malaysia, umrah, umrah. Imam doa…” Alhamdulillah dia faham. Dia berdoa, saya mengaminkan lantas berkata, “insya-Allah makbul!” Kami bersalaman dan bermuannaqah (berpelukan). Teringat Imam Masjid Manjalara yang saya temui seusai solat Subuh sehari sebelum memulakan perjalanan temph hari. Kebetulan, doa mereka berdua sama!

Keluar dari masjid, kami bertujuh singgah di kedai Teh. Syai Nak-nak (teh berdaun pudina) itu sungguh segar di hidup di kedinginan Subuh itu. Di warung tepi jalan itu, hakim, peguam, ahli perniagaan, pekerja biasa, peladang, penulis mahupun ustaz begitu mesra menikmati teh diserikan oleh keharuman ukhwah! Kami makin akrab, insya-Allah tujuan yang satu akan menyatukan kami. Insya-Allah.

Di warung Teh, di celah jalan-jalan berdebu di kota Kaherah kami begitu ceria bersama. Di sini tidak ada gelar hartawan dan jawatan lagi, siapa sahaja layak menjadi tetamu Allah dan Rasul-Nya, tidak kira dia seorang raja atau hamba sahaya!

Ya, mudah-mudahan setiap kami mampu mengikis hati warisan Firaun yang angkuh dan sombong, sebelum memulakan langkah ke Makkah dan Madinah, tempat leluhurnya solehin dan bermukimnya insan-insan yang mencari kemuliaan… hanya sebagai hamba… hamba  Allah! Amin.

 
28 Komen

Posted by di 22 Jun 2009 in Belajar Dari Alam

 

Label: , , , ,

28 responses to “CATATAN 2 : UMRAH KEMBARA MATA HATI. (Belajar dari Firaun)

  1. amzari

    23 Jun 2009 at 1:43 pm

    Salam Ustaz, semoga perjalanan seterusnya membuka lembaran baru kepada yang baru..

     
  2. muhammad fakhruddin

    23 Jun 2009 at 7:17 pm

    Assalamualaikum ustaz,
    mim,shod dan ro’…
    antara apa yang kita pelajari daripada Firaun ialah, hidup mesti terancang.

    Maka ustaz pun telah merancang tulisan akan datang,Piramid vs. Kaabah.Insya Allah saya menulis mengenai Mulia Kerana Islam pula.

    saya budak baru belajar ^_^

     
  3. haryati

    23 Jun 2009 at 9:24 pm

    Salam Ustaz.

    Alhamdulillah dapat juga baca blog Ustaz ni. Sebelum ni hanya mengikuti tulisan Ustaz dari majalah Anis setiap bulan. Ruangan Kemudi Hati yang pertama saya baca dan menjadi kolum favourite saya.

    Masih segar kisah Firaun ni dan kata-kata kunci yang kami tampal di dinding semasa dalam dewan kuliah Seri Pengantin, Janda Baik tempoh hari.
    Insya Allah, semoga ‘segarnya’ berterusan seiring ilmu yang kami terima dan amalkan.

    Terasa bertuah bila Ustaz antara fasilitator kami kali ini dan kali kedua bagi saya. (Perkasa Diri Modul 1: 21-23rd May, 2004). Looking forward for Module 3.

     
  4. gentarasa

    24 Jun 2009 at 11:44 am

    Salam,
    Selamat berkongsi pengalaman dan ilmu. Ustaz mengajar di SBPI Sabak Bernam ya? Kalau ya, tengok-tengokan anak ana yang kat situ Nur Hikmah Pahrol. Marah-marahlah apa yang patut. Syukran, atas kunjungan dan respon ustaz.

     
  5. gentarasa

    24 Jun 2009 at 11:48 am

    Salam Haryati,
    Sepatutnya saya yang rasa bertuah. Dapat sahabat-sahabat dari Takaful yang begitu mesra dan responsif. Saya banya belajar daripada Haryati dan semua. Cuma, maafkan saya sebab sewaktu di sana dulu saya masih tak berapa sihat… Insya-Allah, bertemu lagi dengan kerahmatan dan keberkatan Allah.

     
  6. gentarasa

    24 Jun 2009 at 11:49 am

    Salam ustaz,
    Insya-Allah, saya akan catat juga pengalaman dan pengajaran daripada ustaz. Kegigihan, kesabaran dan strategi ustaz sepanjang kembara. Saya sangat terhutang budi dengan ustaz. Layanan dan pertolongan sepanjang kembara sangat-sangat dihargai. Syukran!

     
  7. muhammad fakhruddin

    24 Jun 2009 at 7:26 pm

    Assalamualaikum ustaz,
    terlebih dahulu minta maaf banyak daripada ustaz. Saya bukan seorang ustaz,cuma bekas pelajar SBPI Sabak Bernam dan juga anak murid Ustaz Zaki.Ustaz sebenar dalam blog tu ialah Ustaz Zaki,saya yang kerdil ini hanyalah tumpang menulis.

    Sekali lagi dengan penuh rasa sesal atas salah faham yang berlaku,saya minta maaf daripada ustaz.Asif jiddan…

     
  8. Zatil

    25 Jun 2009 at 10:17 am

    salam…
    ana suka baca catatan kembara ustaz.
    banyak dapat pengajaran.
    semoga kembara hidup ustaz sentiasa membuka mata hati setiap yang membacanya

     
  9. safiudin

    25 Jun 2009 at 12:09 pm

    Saya telah membaca Nota Hati Seorang Lelaki, sebuah buku yang menampil pelbagai isu menarik. Terima kasih kerana boleh dijadikan panduan hidup.

    Blog dan post yang menyuruh kita berfikir tentang kehidupan.

     
  10. hatijerneh

    26 Jun 2009 at 8:31 am

    Salam Ustaz,
    Selamat kembali dengan semangat ilmu & dakwah yg jitu… catatan 1 & 2 ustaz amat menarik dan relevan sekali.. mmg tepat ukhuwah Islam sgt hebat dirasa dlm kembara berbanding bila kita dinegara sendiri perasaan ukhuwah itu agak suram!..Entah kenapa ya?
    Tahniah juga atas rintihan2 puitis ustaz dalam melembutkan hati, amat kena di hati sy juga. Mohon di’pinjam’ sebaris dua sebagai peringatan… Terima kasih juga kerana sudi mendoakan saya tempoh hari agar sy di’jerneh’kan hatinya🙂

     
  11. gentarasa

    26 Jun 2009 at 12:35 pm

    Salam,
    Bila kita bermusafir, kita terpisah dari semua yang rapat. Kita “kekosongan”. Padahal kita kan menempuh ujian dan cabaran yang sukar. Pada ketika timbul keinginan untuk mengisi kekosongan itu. Siapa lagi jika tidak pada insan yang sama-sama bermusafir. Itu fitrah. Tetapi yang lebih murni jika kita benar-benar berukhwah kerana Allah. Kita ingin bersama-sama berkerjasama untuk mengharungi kesusahan… Lebih-lebih lagi jika tujuan musafir kita “kerana Allah” dan ke lokasi yang Barakah, lebih mudah Allah satukan hati-hati kita. Insan biasa, bila susah mula mencari tempat berpaut. Insan luar biasa, tidak kira susah dan senang… sentiasa ingin menyemai persaudaraan kerana itu adalah tuntutan Allah!
    Semuga tidak letih, untuk terus melatih diri… bagi memiliki hati yang jernih! amin.

     
  12. gentarasa

    26 Jun 2009 at 12:41 pm

    Salam safiudin,

    Syukran atas kesudian membaca buku saya. Semoga Allah izinkan kita mendapat mafaat dari pembacaan itu. Saya sangat menghargai sokongan anda.

     
  13. gentarasa

    26 Jun 2009 at 12:43 pm

    Salam Zatil,
    Semoga kisah-kisah kita bukan untuk menonjolkan kita. Tetapi demi nilai pengajaran dan ibrahnya bagi sama-sama bertolong bantu di jalan mujahadah yang sangat payah ini.

     
  14. gentarasa

    26 Jun 2009 at 12:46 pm

    Salam,
    Maaf atas kesilapan ana. Kita sama-sama murid rupanya. Saya ni tidak pandai menilai blog dan web ini, sedang belajar. Jangan sesal apa-apa, biasalah tu. Mari kita teruskan ukhwah kita yang sudah bermula ini. Syukran atas ziarah anda yang selalu.

     
  15. arupasirdi

    27 Jun 2009 at 8:11 pm

    salam…saya telah pun membaca tulisan saudara dalam buku “Diari Hati seorg Lelaki”. Saya amat tersentuh apabila membaca tentang artikel “Ketupat Ibu” apatah lagi sekarang ini saya sedang menjaga ibu yg sakit. Memang benar, perlukan banyak kesabaran…memang tak terbalas jasa ibu yg membesarkan kita!!

     
  16. gentarasa

    29 Jun 2009 at 3:25 am

    Salam,
    Saya pun baru balik ziarah ibu hujung minggu ini. Terlalu sedih, ditakdirkan berjauhan. Apa yang boleh diusahakan ialah mendoakan mereka selepas tiap waktu solat. Ibu yang sakit dan dibela oleh kita sangat menguji kesabaran dan ketenangan hati kita. Saya amat faham. Tetapi insya-Allah, balasan baik daripada Allah sangat segera. Hakikatnya ibu kita adalah penanda aras kita dengan Allah, ibu redha… Allah redha. Saya doakan ibu anda dan anda dipelihara Allah sentiasa iman dan Islamnya! Amin.

     
  17. arupasirdi

    29 Jun 2009 at 8:19 pm

    salam ustaz,
    ustaz ada turun ke Ipoh ya? Sudah hampir benar dgn kediaman ibu saya di BG Perak. Saya juga berharap agar ustaz tabah walaupun terpaksa berjauhan dgn ibu tersayang. Muga ibu ustaz juga senantiasa dlm peliharaan Alah selalu hendaknya.
    Terima kasih kerana turut mendoakan kesejahteraan hidup saya dan emak saya…Amin ..

     
  18. Frizdan

    2 Julai 2009 at 5:29 pm

    Salam ustaz…
    Kembara kita serupa, namun hikmah yang ustaz perolehi jauh berharga. Ana pun turut berada di Kaherah, Madinah dan Makkah pada waktu tersebut. Cuma kerana kita berbeza agensi, maka saya hanya terserempak dengan ustaz di Masjidil Haram sahaja. Itu pun saya malu nak menyapa bimbang tersalah orang. Bila bertanyakan pada saudara Al-Adib, maka benarlah sangkaan saya.

    Tulisan ustaz cukup bermakna dalam menilai semula pengalaman kembara yang saya lalui. Semoga kita sekali lagi dijemput menjadi tetamu Allah di rumahNya yang mulia. Amiin..

     
  19. Hj. zack

    2 Julai 2009 at 8:28 pm

    Salam ustaz,
    Saya telah membaca catatan kembara umrah mata hati 1 & 2, terbayang seolah-olah masih lagi berada di bumi Mesir bersama teman-teman. Silaturahim yang telah dijalinkan sewaktu di hotel concorde melalu tazkirah dan sembahyang berjemaah, telah menjadikan kita semua saperti satu keluarga. Sehingga kini saya masih lagi berhubung dengan teman-teman. Didoakan semuga persaudaraan yang telah terjalin itu akan terus subur buat selamanya. Bila nak buat perjumpan saperti yang dirancangkan.

     
  20. gentarasa

    3 Julai 2009 at 5:31 am

    Salam tuan Haji,

    Insya-Allah, doakan agar saya mampu membuat catatan perjalanan seterusnya hinggalah kita tiba di Makkah dan Madinah dan kembali semula ke Tanah Air. Memang, kenangan manis itu tidak dapat dilupakan. Ia adalah “charger” pada hati kita untuk menempuh kehidupan sehari-hari. Ingat janji-janji dan doa serta taubat kita ketika di Mulatazam, hijr Ismail, Di hajarul Aswad, Pancur emas dan di Raudah dan…. Ya Allah, Kau kurniakan hati untuk mengingat, cuma ada hati yang lebih kuat mengingat dari hati yang lain. Jadikanlah hati kami sentiasa ingat. Iman dan ukhawah (persaudaraan) sesungguhnya amat manis daripada segala nikmat dunia yang pernah kita rasa. Tuan haji, selalu-selalulah kita berhubung. Insya-Allah, saya telah hubungan Haji Rahman, Haji Karim, Ustaz Md. Nasib untuk buat perjumpaan. Insya-Allah, kita akan bertemu lagi. Amin.

     
  21. gentarasa

    3 Julai 2009 at 5:34 am

    Slam frizdan,
    Terkilan betul saya kerana tidak nampak Frizdan. Saya yang sepatutnya rasa malu. Insya-Allah, lain kali kalau terserempak lagi (di mana pun jua) tolong tegur ya. Saya ingat-ingat lupa wajah Frizdan, maklumlah orang tua. Apapun saya yakin, Frizdan sendiri tentu ada rasa, pengalaman dan iktibar yang boleh dikongsi bersama. Mengapa tidak dicatatkan untuk saya dan semua? Maju wahai syabab! Ana tunggu.

     
  22. Muhammad Al- Fadzil Bin Hidzir

    6 Julai 2009 at 11:51 pm

    Bismillah ..Assalamualaikum Wrt Wbt.

    Apa khbar Ust? Diharapkan ust sihat, Ana fadzil dari Mesir ni..bila melihat ust dalam FIKRAH PERKASA baru ana perasan. Malu rasanya bila ana mengenali orang yang hebat-hebat dan menjadi guide kepada pakar2 yang dikenali semua dimedia eletronik. Diharapkan sepanjang perjalanan ust dan jemaah di Mesir..Andaikata ada kekurangan dari ana harap dimaafkan.

    Ana rasa mesra w/pun baru ana tahu dari kalangan Ust ada datuk/ Hartawan/ Ahli peniagaan/ Jutawan/Hakim sehinggalah orang awam. Manusia akan terasa senang, gembira dan aman seperti sekeluarga bila kita menyamatarafkan kedudukkan kita diatas muka bumi Allah ini, berhak untuk Allah sahajalah yang membezakan kita dengan amal dan taqwa apabila berhadapan dengannya.

    Semoga Perjalanan ust dan jemaah2 semua diatas layar kehidupan sementara ini mendapat keberkatan didunia dan akhirat.

    Dari ana Kembara Sufie di Bumi Ambia’
    Muhammad Al-Fadzil Bin Hidzir

     
  23. gentarasa

    8 Julai 2009 at 5:09 am

    Salam al Fadhil ustaz,

    Ya, saya sihat dan dalam keadaan baik. Syukran. Rindu pada Fadhil, terus belajar anakku. Nanti pulang sebagai mujahid dakwah. Saya dapat merasakan roh perjuangan, kebimbangan dan harapanmu atas ummah ini. Cemburu melihat ustaz, muda-mudalagi sudah berjiwa perjuangan dan dilengkami ilmu wahyu. Teruskan usahamu. Umrah Kembara Hati akan menyusul lagi… walaupun saya yang kerdil ini mungkin tidak turut serta lagi. Tetapi perjuangan tetap diteruskan.

    Bila balik ke Pahang nanti jangan lupa singgah ke sini ya. Saya akan catat lagi isi perjalanan seterusnya. Tapi beginilah, bila perjalanan telah jauh, beban makin berat, tenaga makin kurang…. saya gagahi juga mana yang dapat dan sempat. Hargai masa muda anakku… Bina sejarah yang lebih mulia dan indah daripada generasi sebelumnya. Allah hu akbar!

     
  24. mohd yusuff bin sharif

    16 September 2009 at 5:58 pm

    saya akan mengembara ke kaherah mulai 1 disember hingga 8 disember 2009 seorang bolehkah mana-mana pelajar malaysia atau sesiapa dari malaysia tolong ambil saya di airport ? lepas tu saya boleh bersendirian di kaherah terima kasih. sila balas pada email saya

     
  25. Hamba Allah

    1 Disember 2009 at 11:11 am

    Salam tuan, saya bersyukur kepada Allah kerana entah mengapa saya boleh terklik di Genta Rasa ni. Mulanya saya nak cari kisah-kisah orang pergi haji lalu saya taip catatan perjalanan dan tak sangka sungguh jumpa ruangan ini.Saya orang jahat tuan. dah 38 tahun tapi tak pernah solat, puasa tapi saya dapat rasakan kelainan dihati saya bila membaca tulisan2 tuan. Saya akan sambung kisahnya nanti..

     
  26. NASLIZA

    19 Disember 2009 at 11:59 pm

    PENULISAN USTAZ CUKUP MENGOCAK RASA HATI SAYA, NASIHATILAH SAYA ………..BAGAIMANA CARANYA MENGIKHLASKAN DIRI MENERIMA KRITIKAN DAN KATA-KATA ORG LAIN?BAGAIMANA MELUPAKAN KESALAHAN ORANG KEPADA KITA, WALAUPUN SAYA TAHU, BELAJAR MEMAAFKAN ORANG LAIN, SETIAP KALI BANGUN DARI TIDUR. SAYA JUGA TAHU BAHAWA KITA HARUS SENTIASA MUHASABAH DAN RENUNG KEBAIKAN ORANG KEPADA KITA???NASIHATILAH SAYA…………. SEKIAN.

     
  27. Rini

    25 Mei 2010 at 11:58 am

    saya akan mengembara ke kaherah mulai 1 disember hingga 8 disember 2009 seorang bolehkah mana-mana pelajar malaysia atau sesiapa dari malaysia tolong ambil saya di airport ? lepas tu saya boleh bersendirian di kaherah terima kasih. sila balas pada email saya

     
  28. syifa

    19 Mac 2012 at 8:12 pm

    salam ustaz..jazakallah atas entry nie..lima tahun lps sy menjadi penghuni melalui jalan2 berdebu kota mesir…puas mehnah dan tribulasi dilalui..hari nie baru sy benar2 faham mengapa Allah hantar sy kesana…menarlah..min (mehnah/musibah) sod (sabar) dan ro’ (redha)..itu yg sy belajar dr bumi mesir..bumi yg rakus tp punya 1000 ibrah yg akan kita dpti jika diamati setiap mehnah dengan sabar dan redha..Alhamdulillah bersyukur kerana Allah pilih saya untuk menuntut ilmu di bumi Ambiya’ dan Bumi Fir’aun nie…Doakan agar apa yg sy dapat dr kembara saya di bumi mesir, mekah dan madinah 1 masa dulu menjadi pedoman hidup yang abadi dalam melalui kehidupan ini..ud’uni ya ustaz..mehanah di Malaysia lebih2 lgi hebatnya..masyaAllah…medan tarbuyah dan dakwah benar2 menguji keimanan…

     

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: