RSS

CARILAH HATIMU!

07 Apr

carilah-hatimuKau mesti mulakan langkah mujahadah ini sekali lagi. Berbekalkan kata pujangga, kebaikan itu kerapkali perlu dimulakan berkali-kali. Tidak ada istilah putus asa dalam mengharap keampunan dan keredhaan Allah. Walaupun berkali-kali mundur dan terbentur, tetapi itu bukan alasan untuk berhenti. Berhenti ertinya mati – mati hati dalam mengharapkan cahaya Ilahi. Hakikatnya itu lebih bahaya daripada matinya jasad yang lahir ini. 

Ya, kau perlu mulakan sekali lagi. Begitu bisikan ilmu menolak rasa ragu. Selalu. Walaupun terasa diri diselubungi selimut dosa dan kemelut alpa, jangan sekali-kali putus asa. Begitu kata jiwa yang menjerit tanpa suara. Allah tidak akan menutup pintu keampunannya… kunci pintu itu adalah harapan. Selagi ada harapan, selagi itulah ada perjuangan. Tewas dalam satu pertempuran tidak bererti tewas dalam satu peperangan. Begitulah jua dalam peperangan melawan syaitan dan hawa nafsu ini.

Tidak ada jalan lain wahai diri, kecuali bangun dan terus bermujahadah. Hati itu boleh berkarat, pencucinya adalah Al Quran dan ingatkan mati. Begitu panduan yang diberikan oleh Rasul junjungan. Jua teringat pesan Imam Ghazali:
“Carilah hatimu di tiga tempat… Temui hatimu sewaktu bangun membaca Al Quran. Tetapi jika tidak kau temui, carilah hatimu ketika mengerjakan solat. Jika tidak kau temui juga, kau carilah hatimu ketika duduk tafakkur mengingati mati. Jika kau tidak temui juga, maka berdoalah kepada Allah, pinta hati yang baru kerana hakikatnya pada ketika itu kau tidak mempunyai hati!”

Semak-semak dalam kehidupan harianmu. Bagaimana awal pagimu… Telahkah kau buka setiap hari barumu dengan hati yang bersyukur? Telahkah kau ucapkan, segala puji bagi Allah yang menghidupkan aku daripada kematian yang sebentar dan kepada-Nyalah kami akan dikembalikan? Kemudian mintalah berlindung daripada sifat malas, takut, bakhil dan penguasaan orang lain terhadapmu. Senyum. Dan teruskan bersuci dengan mandi dan wuduk. Basuh wajahmu, fikiranmu, pendenganmu dan penglihatanmu daripada cela dosa dan prasangka. Kemudian dirikan solat Subuh. Pinta hidayah, kesihatan, kekuatan dan kesabaran dalam kalimah-kalimah doa dan munajat itu.

Tidak mengapa sekiranya hati terganggu oleh karenah-karenah manusia atau mainan rasa. Tetapi capai segera Al Quran dan bacalah. Bacalah, itu hakikatnya menjana kekuatan jiwa untuk menghadapi badai kehidupan. Jiwa yang tidak membaca al Quran umpama talipon bimbit yang kehabisan bateri. Betapa canggih fungsinya dan betapa mahal sekalipun harganya, tidak berguna… Begitulah jiwa yang mati, betapa segak, cantik, bertenaga dan anggun sekalipun jasad luaran, tanpa al Quran segalanya tidak berguna.

Jangan mendaki puncak hanya untuk meninggikan tempat jatuh. Jangan memburu fatamorgana kemewahan dunia hanya untuk ditipu olehnya. Ingat wahai diri, janji kesibokan yang tanpa henti, kelesuan yang tiada penghujung, kejemuan yang senentiasa mencengkam, kebimbangan tanpa kesudahan, buat pemburu-pemburu dunia yang bagaikan anjing rakus memburu bangkai. Sebaik-baik bekalan adalah taqwa. Sebaik-baik perlindungan adalah Al Quran. Mereka yang begini sahaja mampu ‘menukar’ bangkai dunia menjadi baja dalam kehidupan.
Burulah kehidupan dengan semangat orang yang bersedia untuk mati. Jadilah insan bijaksana yang menghayati pesanan Rasulullah agar sentiasa mengingati mati dan bersedia untuk menghadapinya. Jadilah umpama para sahabat Rasulullah s.a.w yang hidup bahagia, tenang dan aman walaupun dunia ditadbir dan diurus dengan cekap dan berkesan. Jangan jadi Namrud, Firaun dan Haman yang mengurus dunia penuh dengan ketamakan dan kezaliman. Nanti kau diburu oleh resah, gelisah, kesibokan, kejemuan, kemarahan yang tiada berkesudahan.

Ingatlah wahai orang yang bermujadahah… tidak mengapa sekiranya engkau tidak sampai di hujung jalan, cukup sekadar kau telah menempuh jalan. Justeru ketenangan dan kebahagiaan itu bukan hanya ada di hujung jalan, tetapi ada di sepanjang jalan…Genggam al Quran, ingat mati dan berangkatlah. Jalan mujahadah itu susah tapi indah!

 
22 Komen

Posted by di 7 April 2009 in Kemudi Hati

 

Label: , , , ,

22 responses to “CARILAH HATIMU!

  1. pali

    7 April 2009 at 4:57 am

    salams,

    saya ada persoalan disini. Kadang-kadang diri sudah mengetahui akan kaedah & cara, tapi selalu gagal mengorak langkah untuk istiqamah.

    Kenapa istiqamah itu susah? kadang-kadang daki-daki dunia masih sayang ingin disingkir dari kaki.

    Dikata carilah seribu kawan, jangan seribu lawan. Iblis diluar badan selalu digerun, tapi syaitan dalam badan tidak dihitung.

    Ada masalah hati ke kalau macam ni?

    -anak murid tumpang belajar-

     
  2. ummu_huurunain

    7 April 2009 at 11:55 am

    Assalamualaikum ustaz.. Alhamdulillah.. Hati ana kembali tenang dengan tinta kalam tazkiyyah qalbi dari ustaz.. Teruskan berdakwah di ruangan maya ini. Moga ALLAH pelihara hati kita semua.. Amiin..

     
  3. Hot Zoom

    7 April 2009 at 11:23 pm

    Salam,
    Ikutkan hati mati,ikutkan rasa binasa.
    Nak ikut yang mana?
    Kembali kepada fitrah rasnya,tak gitu ustaz?

     
  4. ady

    8 April 2009 at 5:15 am

    Salam,
    Terima kasih ustaz atas titipan peringatan diri ini.Membacanya terasa mengundang semangat bangkit kembali ke medan mujahadah.

     
  5. gentarasa

    9 April 2009 at 3:44 am

    Salam,

    Salam mujahadah. Bangkit, jatuh dan bangkit lagi… Itulah sunnah dalam mujahadah!

     
  6. gentarasa

    9 April 2009 at 3:48 am

    Salam,

    Ya, kembali kepada fitrah hati dengan membawanya dekat kepada Ilahi. Bila sudah demikian, insya-Allah… ikut hati, murni. Ikut rasa, berjaya. Perjuangan membersihkan hati adalah perjuangan yang paling panjang, tetapi itulah jalan yang paling “pendek” menuju Allah.

     
  7. gentarasa

    9 April 2009 at 3:56 am

    Salam,

    Jazakallah Ummu. Tulisanmu membayangkan ketenangan. Pendek dan padat. Selebihnya? Biarlah bahasa hati kita yang terus bersuara!

     
  8. gentarasa

    9 April 2009 at 3:59 am

    Salam,

    Masalah Pali adalah masalah saya. masalah kita semua. Masalah MUJAHADAH! Untuk tahu… belajar. Untuk mahu… mujahadah. Untuk mampu… latih (riadah). Inilah kata ringkas gambaran jalan menuju Tuhan!

     
  9. hudhud

    11 April 2009 at 4:22 pm

    salam..
    mtx izin copy entry ni utk diberikan kpd seorg sahabat..moga ALLAH berkati hidup anda..

     
  10. gentarasa

    11 April 2009 at 6:50 pm

    Salam, Hudhud,
    Jazakallah. Ya, sebarkanlah. Semuga hati saya, anda dan kita semua lebih murni hari demi hari. Berhati-hati menjaga hati.

     
  11. husaini

    24 April 2009 at 9:58 pm

    Salam ustaz,
    Kalau ada org tanya saya , apa yg susah nak buat dalam hidup ini, saya akan jawap mujahadah.
    kalau ada teka-teki apa yang selalu org jatuh dan bangun, saya akan jawap mujahadah. dan kalau ada yang tanya apakah kemanisan dalam jatuh bangun mujahadah?. saya akan jawap : Terasa kasih sayang Allah.

    Doakan saya dalam “perang” mujahadah ini. Dengan senjata yg tumpul, strategi peprangan yang lemah saya akan teruskan jua.Senjata akan terus di asah, strategi akan terus di rancangkan .Muga datang bantuan Tuhan.

     
  12. gentarasa

    26 April 2009 at 5:56 am

    Salam ustaz,
    Saya akan ziarah segera blog ustaz. Insya-Allah. Kita hanya sampai dalam perjalanan menuju Allah, dengan bantuan Allah. Amin.

     
  13. qiswidad

    2 September 2009 at 5:18 pm

    assalamu’alaikum ustaz

    nak mtk izin copy entry ni utk bagi kat naqib/ah dan adik2 usrah.

    mg ustaz tetap menulis. ana peminat tulisan2 ustaz. mudah di hayati, di fahami dan ada chronologi hidup.

    tq

     
  14. gentarasa

    4 September 2009 at 4:20 am

    Salam qiswidad,
    Salam berjuang. Usrah adalah nukleas gerakan dakwah dan tarbiah ummah. Doakan saya.

     
  15. Ameera

    6 September 2009 at 9:20 pm

    salam,
    minta izin utk copy entry ye..syukran🙂

     
  16. NurSyahadah

    6 Disember 2009 at 1:52 am

    assalamulaikum ustaz..
    terimakasih untuk tulisan ini..semoga Allahsentiasa memberi ustaz panduan dan petunjuk meneruskan perjuangan dalam Islam.
    mohon izin juga untuk copy tulisan ini…syukran

     
  17. ita

    10 Disember 2009 at 4:40 am

    salam..sedih hampir menitis rasanya membaca setiap artikal ustaz..artikel ini paling menyentuh hati saya ustaz, sebagai hamba Allah yang jahil, lemah, diri ni sentiasa diuji ustaz..dengan membaca al quran jiwa terasa tenang..Subhanaallah..ustaz, apakah buku motivasi keluaran ustaz yg terbaik tuk saya baca bg menaikkan semangat sy dalam mengharungi musibah yg sering kali menimpa diri ni? sy tiada ibu bapa, bimbingan agama sy rasanya kurang sedangkan hati meronta-ronta ingin mendekati ALLAH YANG MAHA ESA..berkali-kali taubat masih ditakuk yg lama..sukar untuk menjadi wanita solehah..sy perlukan bimbingan..untuk mententeramkan hati sy banyakkan membaca al-quran..benar, al-quran itu pengubat segala penyakit..

     
  18. aziza

    10 Disember 2009 at 4:47 pm

    salam ustaz.. tenang jiwa membaca tulisan ustaz.. saya dah copy artikel ini, saya print, dan laminate.. supaya senang di baca selalu, saya akan tampal kan di meja study.. biar sume org boleh membaca nye.. dan saya juga mohon izin email kan pd kawan2 yea.. biar seperti saya yang mendapat ilmu, mereka juga memperolehi nye.. buku apa ( tulisan ustaz) yang patut saya baca utk meningkatkan diri mjadi hamba ALLAH yang bersyukur dan redha atas ujianNYA ?

     
  19. naniismail

    21 Disember 2009 at 1:35 pm

    salam..
    Alhamdulillah..rasa tenang membaca tulisan ini.

     
  20. halman

    6 September 2010 at 3:15 pm

    Askum….
    Hati suatu yang sememangnya perlu sentiasa dijaga spanjang masa…dengan menyiraminya dengan bacaan al-Quran n zikir. Inilah pengajaran dan nasihat berharga yang saya pelajari dari ini…Thank u Ustaz semoga Allah sentisa bersama dalam setiap penulisan.

     
  21. Amir

    16 April 2011 at 11:29 am

    Assalam.. Minta izin utk dikongsi dlm fb.. Terima kasih

     
  22. azie

    4 Jun 2011 at 12:41 am

    Salam ustaz….
    Terima kasih di atas coretan cerita “Carilah hatimu”…..tengah syok2 baca ternangis plak saya ustaz…gembira sangat dapat baca coretan ustaz nie…susahkan ustaz nak jaga hati….saya pernah terbaca ada satu kata2 cuma tak ingat mungkin hadis kot…”Tuhan tidak melihat rupa paras dan bentuk tubuhmu tetapi Tuhan melihat hatimu”…jadi kita kena jaga hati kita sebaik yang mungkin….Amin…: )

     

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: