RSS

MASA ITU NYAWA!

30 Mar

576254591Antara bekalan yang diberikan oleh Allah kepada manusia ialah nyawa. Dengan nyawa kita hidup dan dengan hidup itu kita diberi peluang untuk melaksanakan misi hidup kita. Justeru, kita perlu bersyukur jika masih diberi kesempatan untuk terus hidup. Nyawa (hidup) ini sangat berharga. Nyawa ini adalah “modal” untuk meraih keuntungan di dunia dan di akhirat. 
Oleh sebab itu nyawa termasuk dalam 4 perkara yang diletakkan dalam kategori dharuriyat bersama-sama dengan agama, keturunan dan harta. Selepas kita bangun daripada tidur, kita disunatkan berdoa dengan doa ini:
“Segala puji bagi Allah yang menghidupkan kami selepas mematikan kami dan kepada-Nyalah kami akan dikembalikan.”

Doa ini secara langsung mengingatkan kita tentang nikmat hidup. Tanpa nikmat hidup, kita tidak berpeluang untuk membuat kebaikan, meraih pahala dan seterusnya mendapat syurga. Prof Dr. Yusuf Al Qardhawi pernah menulis:
“Setiap inci tanah di muka bumi ini adalah tempat yang paling subur untuk menanam benih syurga.”

Ingatlah, hidup di dunia ini sangat penting kerana adanya hari Akhirat. Kebaikan di akhirat tidak akan dapat diraih tanpa kehidupan di dunia. Justeru, di dalam Islam kita dilarang “meminta’ mati apatah lagi membunuh diri. Rasulullah SAW bersabda:
“janganlah seseorang kamu mengharapkan kematian. Kalau dia seorang berbuat kebaikan, mudah-mudahan bertambah kebaikannya, dan kalau dia orang berbuat salah, mudah-mudahan dia bertaubat.” (Riwayat Bukhari).

MENGHARGAI MASA
Apakah tanda kita menghargai nyawa? Jawabnya mudah, kita mesti menghargai masa! Masa hakikatnya adalah nyawa kita. Membazirkan masa atau menggunakan masa tidak selaras mengikut tujuan ia dikurniakan hakikatnya “membuang” nyawa sendiri. Lihat betapa Allah sangat mengutamakan masa walaupun Allah sendiri tidak terikat dengan masa. Masa itu ciptaan Allah dan sekali-kali ia tidak memberi kesan ke atas-Nya.

Walau bagaimanapun dalam mendidik manusia, Allah sangat mengutamakan masa. Buktinya, Allah telah berkali-kali bersumpah dengan masa (Surah Al Asr) dan juga kejadian-kejadian yang ada kaitannya dengan masa seperti bulan, matahari, siang, malam, waktu subuh dan sebagainya. Ini menunjukkan betapa Allah sangat pentingkan masa.

Begitu juga diterangkan Allah suka para hamba-Nya mendirikan solat pada waktu 2/3 malam (dinihari). Ini menunjukkan bahawa di sisi Allah ada waktu-waktu yang tertentu yang lebih disukai-Nya. Ada juga diberitakan dari hadis-hadis bahawa ada masa-masa tertentu yang mana doa lebih dimakbulkan oleh Allah berbanding masa-masa yang lain. Semua ini menunjukkan betapa Allah sangat “prihatin” dengan masa.

ISLAM DAN MASA
Al hasil, dalam ajaran Islam, ibadat-ibadat kerap dikaitkan dengan masa. Umpamanya, sembahyang ada lima waktu, puasa wajib hanya setelah muncul anak bulan Ramadhan. Begitu juga dengan Hari Raya, ibadat haji dan sebagainya – semuanya ada waktu-waktu yang telah ditentukan. Untuk menentukan waktu-waktu ini, secara tidak langsung Allah memerintahkan kita sentiasa perjalanan bulan dan matahari sekali gus agar umat Islam akan sentiasa peka dan mementingkan masa.

Selain itu dengan selalu melihat perjalanan masa (bulan, matahari, siang, malam) akan tersingkaplah rahsia kebesaran Allah sebagai Pengkarya yang paling agung dan sempurna. Bertitik-tolak sikap inilah berkembangnya pelbagai disiplin ilmu berasaskan pengamatan terhadap masa. Antaranya, ilmu sains dan matematik. Jadi tidak hairanlah jika umat Islam menjadi “imam” dalam ilmu sains dan teknologi satu ketika dulu. Ironinya, kini kita ketinggalan. Ya, mungkin akibat tidak “mementingkan” perjalanan masa seperti umat terdahulu!

BAGAIMANA MENGHARGAI MASA = NYAWA?
Ramai orang mengalami masalah bagaimana mendisiplinkan masa. Tetapi hakikatnya jika kita mengamalkan ajaran Islam secara total, maka masa seseorang akan terurus secara automatik. Misalnya, waktu sembahyang. Jika dijaga dengan baik, hidup akan terdisiplin dengan sendirinya. Begitu juga dengan pengurusan masa. Bayangkan, jika seseorang bersembahyang lima kali dalam sehari, maka dengan sendirinya dia akan sentiasa mengawasi masa. Mana mungkin orang yang benar-benar menjaga solat 5 waktu, terlalai dalam hidupnya?

Kehidupan terlalu singkat untuk dosa dan perkara sia-sia. Seperti yang ditegaskan sebelumnya bahawa Allah ciptakan manusia untuk beribadah. Hidup yang sementara dan singkat ini hanyalah satu persediaan untuk satu kehidupan yang abadi. Jika dinisbahkan tempoh hidup di dunia (katalah 63 tahun) berbanding hidup di akhirat (yang infiniti)… nisbah 1: 1,000 000 pun belum memadai. Kalau diibaratkan berniaga, modalnya cuma seringgit tetapi potensi mendapat untungnya berlipat ganda hingga sejuta ringgit apakah kita akan abaikan atau sia-siakan yang seringgit itu? Pasti tidak, kita akan gunakan sebaik-baiknya.

BAGAIMANA MENILAI MASA?
Menyedari hidup terlalu singkat tetapi sangat berharga inilah maka Islam bukan sahaja melarang kita melakukan perkara-perkara dosa, malah perkara yang sia-sia. Bahkan, jika seluruh masa dalam hidup ini dihabiskan dalam ketaatan pun, manusia masih tidak mampu membalas seluruh kebaikan Tuhan. Apatah lagi, kalau banyak masa yang buang sia-sia. Mereka yang mensia-siakan masa adalah orang yang “bankrap “dalam “perniagaannya” dengan Tuhan. Benarlah kata Sayidina Ali:
“Masa itu umpama pedang. Jika kamu tidak memancungnya, ia yang akan memancung kamu.”

Anehnya, masa tidak diukur melalui kuantitinya tetapi kualitinya. Bukan lama atau singkat, panjang atau pendeknya tetapi bergantung pada bagaimana ia diurus dan untuk apa ia digunakan. Imam Nawawi RH misalnya, ulama yang tidak panjang usianya tetapi begitu besar jasanya. Malah, hingga kini kitab-kitab yang ditulisnya dinilai “sangat luar biasa” bukan sahaja dari segi kerelevanan dan ke signifikannya tetapi juga tempoh masa untuk menghasilkannya berbanding usianya yang relatif singkat!

Lihat juga masa pemerintahan Umar Ibn aziz RA yang begitu pendek (hanya sekitar dua tahun) berbanding masa pemerintahan khalifah Bani Umayyah yang lain tetapi terus dikenang sebagai pemerintahan yang sangat mirip dengan Khulafaur Rasyidin. Bukan kerana kuantiti masa pemerintahannya tetapi kerana kualiti kepimpinannya – Umar Ibn Aziz mengatasi kredibiliti khalifah-khalifah yang lain.

Lihat pula bagaimana Rasulullah SAW mendidik para sahabat yang begitu “mencemburui” tempoh masa berjihad dan beribadat oleh seorang mujahid silam Bani Israel bernama Samun Al Ghazi menerusi turunnya surah Al Qadar yang menunjukkan betapa kualiti ibadah malam itu (oleh umat nabi Muhammad SAW) melebih 1000 malam.

Kuantiti masa tidak boleh “dipanjangkan” tetapi kualitinya boleh dipertingkatkan. Justeru dalam Islam banyak hadis yang menjelaskan tentang fadilat sesuatu amalan yang digandakan melebihi tempoh masa dan tenaga yang digunakan. Misalnya, Rasulullah SAW pernah menegaskan bahawa sesiapa yang bersolat jemaah Isyak dan Subuh, maka dia seolah-olah telah beribadah sepanjang malam. Juga bagi orang yang berfikir sesaat hingga terasa kebesaran Allah lebih baik daripada beribadah selama setahun!

ANCAMAN MASA
Namun, ganjaran selalu datang beriringan dengan ancaman. Bagi mereka yang bertangguh-tangguh, ada hadis “mengancam”. Antaranya, Rasulullah SAW bersabda:
” Barang siapa yang telah mencapai umur 40 tahun tetapi kejahatannya masih mengatasi kebaikannya maka bersiap-siaplah masuk ke neraka.”
Hadis tersebut bukan bererti “menutup pintu taubat sebelum masanya”, tetapi hanyalah ancaman buat mereka yang tidak menghargai nyawa (masa).

Seseorang ‘Asi (pendosa) yang telah melangkaui usia 40 tahun, dikira sudah liat dan keras untuk membuat “pusingan U” dalam hidupnya. Nafsunya telah begitu buas untuk dijinakkan walaupun mungkin sudah kehilangan tenaga untuk melakukan kejahatan. Jadi, berhati-hati sebaik mencapai usia akil baligh (sekitar 15 tahun bagi lelaki dan lebih awal daripada itu bagi seorang wanita), wisel “perlumbaan” menuju Tuhan telah pun ditiup. Larian menuju Allah telah pun dimulakan.

Pukul rata umat nabi Muhammad SAW ialah sekitar 63 tahun (mengikut satu hadis). Justeru, bolehlah dikatakan umur 40 tahun ialah tempoh seorang mencapai tahap “kelelahan” dalam perlumbaan itu. Sedangkan menurut psikologi Barat, ‘hidup bermula pada umur 40 tahun – Life begin at forty.”

Jadi kita di mana? Apakah kita rasa umur 40 tahun itu telah “di hujung” atau masih baru bermula? Ramai juga yang terpengaruh dengan fahaman Barat hingga tergamak mengatakan, masa muda tidak mengapa “terbuat” jahat, nanti tua baru bertaubat? Pada hal menurut Imam Ghazali, kejahatan itu tumbuh dalam diri manusia umpama akar sepohon kayu,yang semakin lama dibiarkan semakin kukuh ia mencengkam. Kalau hendak “mencabut” kejahatan daripada seseorang, cabutlah pada usia mudanya kerana bila sudah tua akar kejahatan itu sudah mencengkam dan sukar untuk diungkai!

Di padang Mahsyar nanti, antara satu soalan daripada empat soalan yang Allah akan tanya ialah, “ke mana umur muda mu dihabiskan?”. Tuhan tidak bertanyakan umur tua. Ini menunjukkan betapa bernilainya masa muda berbanding tua. Sehubungan dengan itu Nabi Muhammad SAW juga telah mengingatkan dalam sebuah hadisnya:
“Pergunakanlah lima perkara sebelum datang lima perkara. Masa sihat, sebelum sakit. Masa muda sebelum tua. Masa lapang sebelum sibuk. Masa kaya sebelum miskin. Masa hidup sebelum mati. ”
Jika kita benar-benar sedar hakikat ini, seharusnya, tidak timbul soal bertangguh, membuang masa dan membazir waktu dalam kehidupan.

TUJUAN HIDUP ASAS PENGURUSAN MASA
Menguruskan masa dengan baik, bermula dengan penetapan tujuan hidup. Apa tujuan hidup kita? Ini adalah persoalan asas yang mesti diselesaikan sebelum menguruskan masa. Ya, seperti yang ditegaskan pada awal-awal lagi, tujuan hidup kita adalah untuk menjadi hamba Allah dan khalifah. Untuk mencapai tujuan ini seluruh aktiviti kita hendaklah sentiasa tertakluk kepada hukum Allah.
Tegasnya, kita akan buat perkara yang wajib, halal, harus dan sunat. Manakala yang haram dan makruh kita akan tinggalkan. Begitu juga dengan perkara yang sia-sia atau “lagha”, juga kita tinggalkan. Oleh itu, jika hidup diatur mengikut syariat, maka secara automatik masa kita akan dihabiskan untuk membuat perkara yang baik, benar dan betul yakni yang halal, harus dan sunat.

Malah kita juga dituntut untuk memilih antara dua perkara yang boleh dilakukan mana yang lebih utama? Misalnya, bila bertembung antara mengerjakan umrah dengan membantu orang yang susah, maka lebih utama kita dahulukan membantu orang yang susah.

MENYUSUN HIDUP
Sebenarnya jika kita melaksanakan hukum-hakam Islam, maka secara automatik masa akan terurus dengan baik. Ini kerana kebanyakan hukum-hakam Islam sangat mementingkan ketepatan dan pengamatan terhadap masa. Contohnya, solat lima waktu. Ia punya waktu-waktunya tersendiri. Jika kita hendak solat Subuh misalnya, maka kita akan bangun awal dari tidur. Kita tidak akan tidur berlebihan hingga bangun lewat. Untuk bangun tidur awal tentulah kita tidak akan berjaga hingga larut malam.

Begitu juga dengan zakat, puasa dan haji semuanya mempunyai had masa bagi pelaksanaannya. Tegasnya, apabila seseorang itu menjaga solat, puasa, zakat dan hajinya maka seluruh persoalan hidupnya akan terurus dengan baik. Atau dengan kata-kata yang lain, dia telah menguruskan nyawanya dengan cekap dan berkesan!

 
9 Komen

Posted by di 30 Mac 2009 in Kemudi Hati

 

Label: , , , , ,

9 responses to “MASA ITU NYAWA!

  1. amir

    1 April 2009 at 9:25 pm

    jazakallah ustaz. masalah masa selalu menghantui para remaje zmn skg dek time nilah golongan kami nk enjoy life.. maka mudah2 artikel ni sbg pengetuk hati kpd mana2 yg lupe/leka akan tujuan hidup.. amin

     
  2. haslina

    4 April 2009 at 3:31 pm

    Antara buku yang baik untuk dibaca ialah tulisan Dr Yusuf Qaradawi, pengurusan masa dalam perspektif Islam.

     
  3. gentarasa

    7 April 2009 at 4:32 am

    Ya, Haslina, buku itu menjadi antara buku yang saya sangat pegang isinya. Ciri-ciri dan sifat-sifat masa yang ditulis oleh ulama besar itu sangat praktikal. Syorkan pada yang lain untuk sama-sama membacanya.

     
  4. rosma

    16 Disember 2009 at 7:18 am

    Salam Ustaz..
    Hari ini remaja sgt leka dan lalai dgn masa..saya selalu tanya pljr sy tntg solat..yg sedihnya dlm satu kelas hanya ada 2 atau 3 org sj yg solat..Saya pun tak tau nak buat apa..sb bila ditanya mak ayah pun sendiri x solat..Semoga artikel ini menjadi peringatan utk kita semua..Terima kasih ustaz..

     
  5. Yuana

    17 Februari 2010 at 4:27 pm

    terima kasih mencadangkan buku tersebut, ana pasti akan dptkannya untuk Kl book fair Mac nanti, harap2 tidak berat utk ‘org biasa’ spt ana membacanya.

     
  6. halman

    6 September 2010 at 3:43 pm

    Masa…adalah nyawa bagi mereka yang mengetahui dan tahu kepentingannya semasa di dunia dan mesti diperjelaskan penggunaannya untuk apa di akhirat. Saya mohon agar Allah sentiasa menjaga perilaku saya dalam menguruskan masa seharian hingga ke hembusan nafas terakhir….agar ianya tidak sia-sia.Penulisan ini amat bermakna….terima kasih

     
  7. Mccade

    4 Oktober 2011 at 8:06 am

    It’s great to read something that’s both enjoyable and provides pragmatisdc slioutons.

     
  8. Nahop Risan

    5 Januari 2012 at 3:42 am

    hidup ,,,
    untuk mati .

     
  9. kamaludin

    31 Oktober 2012 at 8:50 pm

    Salam us.mohon kebenaran us untuk copy tulisan us.

     

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: