RSS

TUHAN TIDAK PERNAH JERAN DENGAN MANUSIA

08 Mar

kelahiran-21Hampir seminggu aku tidak menulis melainkan cakaran-cakaran rasa di buku catatan peribadi. Namun, keupayaan menulis “membeku” seketika bukan kerana ketandusan rasa, tetapi kerana kebanjiran “peristiwa”. Terlalu banyak pergolakan. Di luar mahupun di dalam lingkungan. Pejuang politik yang terus-terusan bertarung tidak mengenal medan dan batasan. Pejuang bahasa yang bangun melontar kata dan nuansa kecewa di jalan raya. Mahupun pejuang sufi yang menelusuri soal hati dalam sepi liku-liku rasa yang maknawi. 
Ya, perkara yang paling mudah ditulis ialah apa yang kita yakini, alami dan rasakan. Biarlah segala pergolakan itu “transit” dulu di dermaga rasa sebelum dituangkan nanti dalam wadah yang lebih selesa. Tidak mengapa, kerana rasa-rasa itu hakikatnya telah ditambat dengan catatan-catatan ringkas yang mampu mengusik getarannya semula bila tiba saatnya nanti.

Kali ini, biar aku santai menulis “peristiwa” yang kecil sahaja. Walaupun ia agak personel, namun masih boleh dikongsi bersama. Walaupun ia agak kecil, namun jika betul sudut pandangnya ia boleh menjadi luas dan mendalam untuk diselami pengajaran dan ibrahnya. Berapa banyak cerita “aku’ yang mampu menggugat “kamu” dan “kita”? Ya, izinkan aku berkongsi, kerana dalam perkongsian sering terserlah keberkatan. Diharap kau sudi mengikutinya…

Bila kita melaluinya, barulah kita memahaminya. Bila kita merasainya, baru kita menghayatinya. Demikian ingin aku kongsikan bersama kamu. Apa yang telah aku lalui minggu yang lalu. Saat genting, ketika anak ku bertarung antara hidup dan mati… demi satu kehidupan. Detik di mana satu anugerah Ilahi yang tinggi bagi seorang lelaki untuk bergelar datuk dalam pembikinan.

Ah, usia… bila ia semakin bertambah, kita akan menjadi mudah hiba. Dan aku telah melalui detik itu. Alhamdulillah, kini aku dapat rasakan percikan kegembiraan Rasulullah SAW yang memangku cucundanya Hasan Dan Husin. Masih sempat aku bernyawa untuk melihat wajah tulus, mulus dan halus seorang cucu. Moga aku sempat untuk ikut membesarkan dia nanti, menjadi lelaki soleh.

Oh, rupa-rupanya keresahan seorang datuk tidak kurang hebatnya dengan keresahan seorang bapa. Mungkin bukan kerana beban menjadi datuk lebih berat berbanding seorang ayah, tetapi kerana upaya dan tenaga seorang datuk jauh lebih rendah berbanding ayah. Dulu ketika aku menyambut kelahiran seorang anak, jiwa ku menyala-nyala, energi dan potensi di tahap tertinggi. Ingin ku redah apa sahaja. Namun kini ketika usia hampir mencecah separuh abad, aku menjadi lebih “sederhana”. Panjang fikir, dalam pertimbangan, luas pandangan, namun semakin susut semangat dan keringat.

Ingin aku kongsikan, rasa yang ku alami ketika menunggu detik kelahiran itu. Anak perempuan ku mula sakit pada malamnya dan melalui saat-saat cemas mula jam 7 pada paginya. Tuhan memberi mehnah seorang ibu kepadanya. Rasa sakit, rasa perit dan keletihan tahap tinggi, yang bakal menempa dan “mengeluarkan” segala keupayaannya untuk menjadi seorang ibu terbaik. Kesakitan yang hakikatnya satu “ijazah” yang melayakkan seorang ibu mendapat ketaatan tiga kali ganda berbanding ayah.

Siapa lagi di sisi? Genggaman tangan seorang suami walau seerat mana tidak akan dapat bersama-sama berkongsi kesakitan. Ibu kepada bakal ibu (isteri ku), mengambil jarak jauh, berdoa, menangis dan merintih di luar kamar. Ketika pertarungan hidup dan mati itu… tidak ada teman, tidak ada sesiapa dapat berkongsi rasa, hanya dia dan Allah. Rasai, rasailah wahai anak ku, detik melahirkan yang persis detik kematian… rasa harap yang sewajarnya seratus peratus kepada Tuhan. Seharusnya tidak ada lagi rasa bimbang, selamat atau tidak, pengakhiran buruk atau baik… Yakin, sangka baik, insya-Allah selamat, insya-Allah baik!

Ya, aku di mana? Aku pun rupanya tidak tega menunggu begitu. Mendengar seru dan desah resah, Allah, Allah. Jua kata semangat dan lonjak dorongan daripada para jururawat dan doktor. Lalu apa pilihan lagi buat ku selain meminggir sepi di satu sudut yang paling sunyi. Ya, aku masih ingat lagi detik itu. Detik aku terperosok dalam bilik sempit yang dinamakan “surau” itu.

Di situlah tegaknya kamar sufi tempat ego dan takbur tersembam ke bumi. Ketika insan dipagut keresahan, kegelisahan dan ketidaktentuan, barulah semua berpaut kepada Tuhan. Lalu, aku merasakan saat resah ini hakikatnya satu anugerah, untuk aku kembali semula kepada Mu.

Ya, Allah… pengharapan ku pada mu terlalu tinggi. Tetapi aku sedar, aku berdosa. Terlalu banyak kesalahan dan kekhilafan ku kepada Mu. Namun mampukah aku berpaling dari Mu? Tidak, walau dosa ku setinggi gunung, tetapi pengampunan Mu jauh lebih tinggi. Lebih tinggi dari langit yang tujuh. Telah aku ungkapkan kata-kata itu melalui lirik-lirik nasyid yang ku tuliskan, namun seakan-akan baru kini aku merasakan. Aku kembali, aku kembali kepada Mu Tuhan…

Dalam derai air mata aku memohon kepada Mu. Aku kembali kepada Mu. Segala yang fana ini hakikatnya tidak ada apa-apa. Sekelumit pun tidak akan berguna. Hanya wajah Mu yang kekal abadi. Ketika sekalian meminggir, Engkau jualah wahai Tuhan… yang terus sudi menghampir. Aku datang wahai Tuhan. Walau dengan kusam dan kelam wajah yang berdosa, namun aku datang. Aku yakin Kau tidak akan mengusir ku walaupun aku jauh tidak layak menjadi tetamu pengampunan Mu.

Jam 11 pagi, tiba-tiba pintu surau kecil itu terkuak. Anak bongsu lelaki ku memberi salam dan berbisik, “kakak dah selamat bersalin!” Derai air mata ku tidak dapat ditahan lagi. Syukur, syukur, syukur ya Allah, Engkau masih sayang kepada ku, pada kami, pada semua insan yang terlalu banyak berdosa ini. Dalam sujud syukur ku di hujung duha, aku terdengar raungan tangis cucu yang pertama. Telah diperdengarkan azan, telah diiqamatkan…

Ya, Allah, seperti mana Kau sudi bersama kami ketika kelahirannya, semoga Kau terus sudi bersama sentiasa ketika kami membesar dan mendidiknya. Benarlah wahai Tuhan, Engkau Maha Pengasih, Maha Penyayang… kerana setiap kelahiran bayi adalah menjadi bukti bahawa Kau tidak pernah jeran dengan kerenah insan!

Kalau begitu Tuhan yang Maha Berkuasa, siapa pula kita untuk kecewa dengan manusia… Selamat datang cucu ke dunia manusia, gelanggang pahala dan dosa, medan ketawa dan air mata. Ketika datuk hampir pamit, dunia yang penuh tipu daya ini terus menggamit. Selamat datang, selamat berjuang di sini.

 
6 Komen

Posted by di 8 Mac 2009 in Diari Hati

 

Label: , , , ,

6 responses to “TUHAN TIDAK PERNAH JERAN DENGAN MANUSIA

  1. Amri Bin Rahamat

    8 Mac 2009 at 1:48 pm

    Assalamualaikum Ust,

    Saat yang sangat indah menambah ahli keluarga baru.
    Anugerah Allah tidak ternilai.

    Semoga dengan kehadirannya menambah kekuatan di jalan Islam.

     
  2. gentarasa

    9 Mac 2009 at 5:06 am

    Waalaikum salam, jazakallah Amri. Inilah perjalanan usia, semakin ke hujung jadi semakin laju. Terima kasih atas kiriman artikel yang lalu. Semoga pelajar-pelajar UPSI dapat meraih ibrah dan mujahadah daripada Maulid Nabi tahun ini.

     
  3. tun fatimah

    10 Mac 2009 at 6:05 am

    tahniah ustaz,menyambut cucu sulung.siapa namanye?

     
  4. gentarasa

    10 Mac 2009 at 10:22 am

    Jazakalallah. Ya, baru setelah seminggu baru dirasmikan – Muhammad Atif. Selemah-lemah ukhwah ialah gembira atas kegembiraan orang lain, dan dukacita atas kesedihannya. Semuga ukhwah maya ini, nyata dalam realiti hati kita yang paling dalam. Jazakallah Tun Fatimah!

     
  5. Azman

    10 Mac 2009 at 1:01 pm

    Tahniah Ust atas kedatangan cucu sulung moga ia dapat menganti Datuknya suatu hari kelak…

     
  6. norah_nor

    11 Mac 2009 at 5:40 am

    alhamdulillah tahniah buat ustaz sekeluarga…

     

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: